PSM parti angkuh? PSM enggan berunding?

PSM parti angkuh? PSM enggan berunding?

12 April 2018

PSM parti angkuh? PSM enggan berunding?

Semakin hari semakin dekat dengan PRU, maka serangan demi serangan ke atas PSM pun semakin hebat. Walaupun PSM hanya akan bertanding kurang daripada 3% kerusi di seluruh negara berbanding dengan Parti PAS ataupun Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang akan bertanding jauh lebih banyak kerusi, tetapi PSM dituduh seperti halangan yang hebat untuk Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya.

Tuduhan yang dilemparkan ke atas PSM, termasuk PSM terlalu angkuh, PSM tidak fleksibel, PSM keras kepala, PSM meletakkan syarat yang terlalu ketat, PSM tidak mahu berunding dengan PH, PSM mahu memecahkan undi, PSM makan dedak BN dan sebagainya.

Kebanyakan mereka yang serang PSM adalah penyokong tegar PH, mereka yang tidak banyak mengetahui tentang PSM, atau golongan yang hanya mahu melihat BN jatuh. Bagi golongan sebegini, sesiapa sahaja yang tidak setuju dengan mereka, walaupun inginkan perubahan politik, tetap akan dilabelkan sebagai musuh yang perlu dimusnahkan,

Salah satu tuduhan adalah PSM tidak mahu berunding dan terlalu sombong atau angkuh. Kami ingin mengemukakan fakta-fakta di bawah. Adalah lebih baik kita membiarkan fakta yang bercakap, kerana serangan ke atas PSM itu terlalu tidak adil dan berniat jahat.

PSM bertanding dalam 3 PRU sebelum ini, iaitu pada tahun 1999, 2004 dan 2008, dengan meminjam logo parti lain. (Anda boleh membaca sejarah PSM pinjam logo parti lain di sini: https://www.facebook.com/psm.sosialis/photos/a.268006483358616.1073741829.218826211609977/1025830864242837/)

Selepas PSM didaftarkan pada tahun 2008, PSM sudah adanya usaha untuk rundingan kerusi dengan Pakatan Rakyat pada masa itu.

Berikut ialah kronologi rundingan kerusi PSM dengan Pakatan sebelum ini.

16 Ogos 2010 – PSM mengambil inisiatif untuk menulis surat kepada Anwar Ibrahim bagi membincangkan kerjasama Pakatan Rakyat (PR) and PSM. Tiada respon terhadap surat tersebut.

18 Mac 2011 - PSM sekali lagi mengambil inisiatif untuk menulis surat kepada semua tiga parti dalam PR, tetapi tiada maklumbalas.

14 Jun 2011 – Selepas tiga bulan dan tanpa sebarang respon, maka kami menulis satu lagi surat peringatan. Semua surat dihantar melalui tangan pula. Tiada respon juga.

22 Disember 2011– Menulis satu lagi surat kepada Saifuddin Nasution, Mustafa Ali and Lim Guan Eng, masing-masing Setiausaha Agung untuk ketiga-ketiga parti komponen PR. PSM sekali lagi meminta kerjasama, dan sekali lagi tiada respon.

11 Mei 2012 – Memandangkan PSM guna simbol kunci (calon bebas) di Jelapang melawan DAP dalam PRU-12 pada tahun 2008 dan calon DAP menang, tetapi selepas itu calon tersebut bersama dengan dua orang calon PKR lompat parti ke BN menyebabkan kerajaan PR di Perak jatuh, maka PSM merasakan jika PSM menang kerusi tersebut, kerusi itu pastnya akan selamat. PSM menulis surat kepada Ngeh (DAP), Nizar (PAS), dan Nur Manuty serta Lee Boon Chye(PKR) untuk berbincang mengenai kerusi Jelapang.

20 dan 26 Jun 2012 – PSM menghantar keratan akhbar kepada Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng untuk menunjukkan aktiviti yang dilakukan oleh PSM Jelapang.

13 September 2012 - Pada bulan September, PSM mendapat khabar bahawa PR Perak mengambil keputusan untuk memulau semua aktiviti PSM, kerana PSM hendak tanding menggunakan logo sendiri. Maka, kami menulis satu surat untuk minta satu mesyuarat bagi membincangkan perkara ini. Tiada maklumbalas.

Pada hari yang sama, PSM sekali lagi menulis surat kepada Anwar Ibrahim, Karpal Singh, Lim Guan Eng, Hadi Awang, Mustafa Ali, Wan Azizah dan Saifuddin Nasution. Dalam surat tersebut, PSM menyatakan bahawa PSM bersetuju untuk sertai PR, tetapi meminta kepastian bahawa isu yang berlaku kepada Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR) dalam PRU 2004 tidak berulang sekiranya PSM menyertai PR. Pada tahun 2004, Syed Husin Ali dilarang bertanding di Kota Bharu kerana beliau adalah Sosialis. PSM juga hanya meminta untuk tanding 1 daripada 222 kerusi parlimen, 1 daripada 59 kerusi DUN Perak dan 2 daripada 56 kerusi DUN Selangor. Permintaan PSM adalah begitu minimum sekali.

19 September 2012 – PSM sekali lagi menghantar e-mel kepada Anwar Ibrahim mengenai perkara di atas.

28 September 2012 - PSM sekali lagi menulis surat rasmi dan menghantar melalui tangan kepada semua kepimpinan PR. Hanya Anwar Ibrahim membalas e-mel mengatakan bahawa Azmin Ali akan mengadakan rundingan terus dengan PSM mengenai kerusi-kerusi di Negeri Selangor.

8 November 2012 – Akhirnya Azmin Ali bersama Tian Chua dan Lee Boon Chye berjumpa dengan wakil PSM di Tingkat 14 Bangunan Parlimen. Dr. Jeyakumar Devaraj dan Selvam mewakili PSM dalam perjumpaan tersebut. Azmin berkata bahawa PSM mempunyai ramai calon berkualiti dan boleh meletakkan lebih calon tetapi dengan syarat perlu menggunakan logo PKR. Tian Chua pula berkata bahawa PSM tidak sepatutnya menyertai PR sebelum PRU kerana boleh menimbulkan beberapa kekeliruan.

7 Januari 2013 – PSM menulis satu lagi e-mel kepada Anwar Ibrahim meminta penjelasan sama ada pandangan Tian Chua adalah pandangan peribadi atau posisi PR memandangkan PR berdolak-dalik dan tidak menunjukkan sebarang minat untuk berdialog.

12 Januari 2013 – Berlangsungnya Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka yang dianjurkan oleh PR. PSM turut memobilisasi ahlinya untuk program ini, tetapi Dr Jeyakumar, wakil PSM yang dihantar untuk berucap di pentas utama, tidak dibenarkan bercakap sebagai wakil PSM dan hanya diperkenalkan dirinya sebagai wakil NGO oleh pengacara majlis. Ini adalah syarat jika PSM hendak dibenarkan untuk menyampaikan ucapan.

13 Januari 2013 - PSM mengadakan Kongres Khas (SPD) yang mengambil keputusan untuk menyertai PR dan hasrat ini akan diumumkan kerana pada masa itu ada persepsi bahawa PSM yang tidak mahu menyertai PR, PSM angkuh dan sebagainya

29 Januari 2013 – Akhirnya setelah lebih 2 tahun, satu mesyuarat diadakan dengan kepimpinan Pakatan Rakyat, di mana mesyuarat tersebut dihadiri oleh Mat Sabu (PAS), Tony Pua (DAP), Dr. Fuziah dan Nurul Izzah(PKR). Maklumbalas mesyuarat tersebut adalah:

Mohd Sabu: Jika PAS boleh bekerjasama dengan DAP, maka tiada masalah untuk PAS bekerjasama dengan PSM. PSM boleh menyertai PR dan boleh menggunakan logo sendiri.

Tony Pua : DAP berkata mereka tiada masalah PSM menggunakan logo sendiri termasuk menyertai PR. Mereka hanya meminta supaya jangan tanding di Jelapang.

Nurul Izzah : PKR berkata bahawa persoalan menyertai PR dan menggunakan logo harus diputuskan oleh Majlis Presiden (Presidential Council) dan bukan oleh mereka.

Maka sekali lagi, tiada keputusan dan terpaksa tunggu.

22 Mac 2013 - PSM menulis surat kepada kepimpinan PR. Tiada respon

27 Mac 2013 - PSM sekali lagi menulis kepda Anwar, Karpal, Guan Eng, Hadi, Mustafa Ali dan Wan Azizah, bertanya tentang apa yang boleh dilakukan dan juga memberi cadangan tentang kerusi Jelapang, iaitu melantik satu Jawatankuasa Bebas yang terdiri dari NGO untuk memutuskan calon terbaik yang layak bertanding di situ. PSM juga mengatakan bahawa wakil rakyat PSM akan undi bersama PKR sekiranya menang, kerana PKR memberi alasan PSM terpaksa guna logo PKR bahawa mereka akan kurang undi dalam menentukan siapa yang jadi MB.

2 April 2013 - DAP menganjurkan caramah hadapan pejabat PSM Sungai Siput, tetapi tidak mahu menjemput PSM

Mengenai kerusi Jelapang, PSM berjumpa Haris Ibrahim, Toh Kin Woon, Ambiga dan Jayanath untuk tubuhkan satu Jawatankuasa bagi mencari penyelesaian untuk calon Jelapang dan PSM akan akur dengan keputusan itu.

3 April 2013 - Parlimen dibubarkan

4 April 2013 - Dalam situasi terdesak, Dr Jeyakumar menghantar pesanan teks kepada Azmin, Fuziah, Nurul Izzah, Syed Husin, Lee Ban Chen, Sivarasa, Yusmadi, Loh Gwo Burne, Johari dan Tian Chua kerana tiada maklumbalas.

6 April 2013 - PSM mengadakan perjumpaan dengan Xavier (PKR) dan Ambiga. Xavier berkata bahawa PSM kena tanding dengan logo PKR dan kalau tidak PKR akan juga tanding. Apabila PSM mempersoalkan tiga penjuru akan memberikan kemenangan kepada BN, Xavier berkata mereka tidak risau kerana tanpa PSM pun, mereka ada majoriti.

13 April 2013 - PSM akhirnya dapat bertemu dan berbincang dengan Anwar Ibrahim. Perjumpaan yang diadakan di ibupejabat PKR tersebut dihadiri Anwar Ibrahim, Tian Chua dan Xavier Jayakumar sebagai mewakili PKR, sementara PSM diwakili oleh Dr. Nasir Hashim, Dr. Jeyakumar Devaraj dan S.Arutchelvan.

Dalam mesyuarat tersebut, Anwar Ibrahim meminta PSM menggunakan logo PKR. PSM menyatakan hasratnya yang hanya akan bertanding untuk 4 kerusi yang ditandingi sebelum itu. Namun, Anwar berkata bahawa beliau hanya boleh memberi kepastian untuk 3 kerusi di bawah kuota PKR dan menyuruh PSM berbincang dengan DAP tentang kerusi DUN Jelapang. Anwar meminta bahawa PSM menggunakan logo PKR hanya untuk pilihanraya, dan PSM boleh menggunakan logo sendiri secara bebasnya selepas pilihanraya. Anwar menjelaskan bahawa logo PKR hanya perlu ada dalam kertas undi, dan PSM boleh terus mengkibarkan bendera PSM di kawasan yang ditandingi PSM. Sekiranya PSM menang lagi, wakil PSM boleh angkat sumpah sebagai PSM dan bukannya PKR. PSM telah meminta tempoh masa 3 hari untuk memberi maklum balas kerana PSM perlu berbincang dengan ahli-ahlinya. Anwar juga meminta Xavier supaya dua kerusi Selangor, iaitu Kota Damansara dan Semenyih, tidak diumumkan semasa program pengumuman calon PKR untuk Selangor pada hari keesokannya.

14 April 2013 - PKR umumkan calon PKR untuk Semenyih walaupun Anwar meminta supaya jangan umumkan.

15 April 2013 - Mesyuarat Kongres Nasional khas PSM dihadiri perwakilan dari semua cawangan parti. Ahli-ahli PSM telah memutuskan dalam mesyuarat tersebut bahawa boleh menggunakan logo PKR.

Nota : Sejak itu banyak pihak telah meminta PKR untuk memberikan kerusi Semenyih kepada PSM, seperti Dato Ambiga dan lain-lain, tetapi tidak dilayan oleh Azmin Ali. Anwar Ibrahim akhirnya mengaku bahawa keputusan Selangor adalah di bawah Azmin. Beliau pun akhirnya setuju PSM tanding logo PSM tetapi tidak saling serang-menyerang semasa kempen PRU.

20 April 2013 - Hari penamaan calon. PSM dikejutkan bahawa kerusi Kota Damansara di mana PSM tanding menggunakan logo PKR, juga ditandingi oleh satu lagi parti komponen PR, iaitu PAS.

5 Mei 2013 - Pilihanraya Umum ke-13. 3 daripada 4 kerusi yang ditandingi PSM adalah tiga penjuru, melawan parti komponen PR. Hanya Sungai Siput ada satu lawan satu dengan BN dan PSM menang.

6 Mei 2013 - Hantar surat menyatakan kekecewaan PSM kepada PKR dan PAS kerana tiga penjuru semasa PRU-13.

1 Ogos 2013 - Surat pertama diterima PSM daripada Sekretariat Pakatan Rakyat, di mana dikatakan bahawa permohonan PSM untuk menyertai PR dalam proses dan bertanya sama ada PSM bersetuju dengan Pendirian Bersama PR.

8 Ogos 2013 - PSM membalas surat dan berkata bahawa PSM setuju dengan Pendirian Bersama dan Buku Jingga. PSM juga menyatakan bahawa perkara tersebut sudahpun dimasukkan dalam manifesto PSM sebelum itu.

Nota – Selepas itu langsung tiada maklumbalas. PR pun hancur setelah berlakunya satu demi satu krisis bermula dari Langkah Kajang.

22 September 2015 - Pakatan Harapan dibentuk oleh PKR, DAP dan AMANAH. Apabila Ambiga dan Maria Chin bertanya mengapa PSM tidak dijemput untuk menyertainya, alasan yang diberikan adalah PSM tidak setuju dengan Perkara 153, iaitu satu kenyataan yang palsu dan berniat jahat. Selepas itu, Tian Chua meminta maaf dan Wan Azizah hantar SMS kepada Arul menjelaskan bahawa beliau diberi maklumat salah.

Justeru, PSM berpendirian bahawa isu PSM kena ambil inisiatif untuk berbincang dengan PH memang tidak akan berhasil, kerana semua hanyalah propaganda kosong di mana tidak ada keikhlasan daripada pihak PR sebelum ini dan PH sekarang. PSM pun sudah bosan dengan permainan ini, dan apabila DAP dan PAS berpecah, maka hampir semua kerusi sudah pun ditigapenjurukan.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) hanya bertanding di tempat yang sudah ada buat kerja dan sekadar mampu. PSM berharap rakyat akan faham mengapa PSM mengambil keputusan sedemikian. Walaupun PSM mempunyai ideologi dan pendirian sendiri sepertimana parti PAS dan DAP, namun PSM dari dulu memang setuju dengan kerjasama politik atau program bersama untuk menumbangkan BN. Harap kronologi ini sedikit sebanyak memberikan pencerahan