Pemaju dan Polis zalimi Peneroka di Johor

21 October 2008

16 October 2008

Suasana di laluan masuk utama ke Kampung Baru Plentong Tengah (KBPT), Johor Bahru jauh berbeza dengan hari biasa kepada penduduk KBPT pada pagi 16hb Oktober ini. Lebih kurang pukul 8 pagi, penduduk mula berhimpun di sekitar laluan masuk KBPT. Penduduk menuntut supaya segala perobohan rumah di KBPT harus ditangguh sehingga projek penempatan semula penduduk di Kampung Bukit Dagang disempurnakan. Perhimpunan penduduk di laluan masuk KBPT sememangnya bertujuan menyampaikan hasrat ini kepada bailiff dan pemaju iaitu Bukit Lenang Development Sdn Bhd. Namun, kehadiran road block polis selama tiga hari berturut-turut, kehadiran truk FRU dan water cannon di samping begitu banyak polis sama ada berpakaian uniform dan tidak telah mengakibatkan suasana di laluan masuk KBPT pada pagi ini begitu membebankan hati rakyat yang mencintai keamanan.

Saudara Kassim selaku ketua jawatankuasa keselamatan kampung asyik mengingatkan penduduk supaya tenang dan selesa dengan kehadiran polis yang begitu ramai dengan mengulangi alasan bahawa kehadiran polis sekadar menjaga keselamatan penduduk di sana. Persoalannya adalah sama ada FRU dan water cannon diperlukan untuk menjaga keselamatan penduduk kampung?

Pada lebih kurang pukul 9 pagi, penduduk-penduduk mula berhimpun di tengah-tengah jalan raya masuk ke kampung. Isu manghalang jalan keluar-masuk kampung tidak timbul kerana penduduk faham terdapat jalan alternatif yang lebih kecil masih membenarkan orang masuk-keluar kampung. Dalam masa itu, polis tidak berpakaian uniform dan ada yang berpakaian logo United Nations telah memberi arahan bahawa saudara Kassim dilarang guna alat pembesar suara. Penduduk memberi kerjasama dengan mengakur kepada arahan tersebut. Saudara Kassim mahupun penduduk lain tidak lagi guna alat pembesar suara sejak itu.

Selepas itu, Light Strike Force menuntut supaya satu laluan untuk polis dibuat untuk memisahkan perhimpunan penduduk di tengah jalan raya. Penduduk memberi kerjasama dengan mengakur kepada arahan tersebut. Pasukan LSF ini terus membuat dua baris anggota-anggota LSF di tengah-tengah perhimpunan penduduk. Benteng penduduk sekarang dibelah dua. Setakat ini, penduduk mungkin masih anggap bahawa dengan memberi kerjasama penuh kepada pihak penguatkuasa, polis akan menjaga kepentingan rakyat.

Pada pukul 10 pagi, perundingan mula berlaku selepas peguam wakilan penduduk iaitu Saudara Hassan Karim, timbalan pendaftar mahkamah tinggi JB dan peguam wakilan pemaju iaitu Thomas Phillips sampai. Lebih ramai penduduk mula sampai tetapi ramai lebih cenderung berdiri di tepi jalan raya. Namun, bilangan polis yang hadir nampak lebih ramai daripada lebih kurang 200 orang penduduk yang hadir di samping beberapa orang aktivis daripada SUARAM JB, PAS, PKR, ALC, PSM dan sebagainya. Sekiranya taktik road block polis dan khabar angin menakut-nakutkan selama tiga hari yang lepas tidak digunakan, adalah dipercayai bahawa kehadiran penyokong perjuangan penduduk jauh lebih ramai daripada yang ada pada hari ini.

Akhirnya, Saudara Hassan Karim mengumumkan keputusan bailiff bahawa perobohan rumah 'kosong' akan dijalankan pada hari tersebut. Namun, penduduk masih tidak putus asa. Apa gunanya rumah 'kosong' dirobohkan selain daripada menakut-nakutkan semangat perjuangan penduduk? Penduduk kekal mempraktikkan hak asasi mereka untuk berhimpun secara aman. Penduduk masih hendak mencari jalan penyelesaian supaya perobohan ditangguhkan.

Penduduk telah memohon injunction terhadap semua rumah terlibat sebelum 14hb Ogos ini. Perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi JB telah ditetapkan pada 29hb Oktober baru-baru ini. Mengapakah pemaju tidak benarkan proses perbicaraan mahkamah tinggi ini dijalankan sebelum sebarang tindakan perobohan rumah dilaksanakan?

Namun, polis kita nampaknya tidak sabar hendak menjalankan 'tugas' tanpa mempertimbangkan hak penduduk dengan mengguna budi bicara. Selepas polis membuat pengumuman bahawa penduduk mesti bersurai dalam 10 minit, dengan cepatnya keadaan golongan penduduk menjadi kecoh. LSF dan anggota polis yang lain mula menarik penduduk yang duduk atas lantai. Polis mula menangkap orang berhimpun dengan kasar. Diantara mereka yang berhimpun ada yang bajunya dikoyakkan, ada yang ditendang oleh polis, ada rambut ditarik dan ada yang kaki dipijak. Muka pengerusi JKB, saudara Haji Jamion pula terus dilanggar oleh polis dengan seal sehingga saudara Haji Jamion terus jatuh pengsan. Keganasan polis turut menuju kepada orang tua dan wanita. Polis pada pagi ini nampaknya macam lebih cenderung menangkap rakyat yang berhimpun secara aman daripada menangkap penjenayah seperti pencuri, perompak, penculik dan pembunuh.

Sejumlah 27 orang termasuk penduduk dan aktivis ditangkap lalu dihantar ke Balai Polis Johor Jaya. Penangkapan ini seakan-akan telah membawa kejayaan kepada pemaju dalam menjayakan tujuan merobohkan lebih kurang 20 buah rumah 'kosong' pada hari ini.

Di Balai Polis Johor Jaya, semua lelaki daripada 27 orang yang ditangkap telah digari satu tangan. Adakah polis berkuasa menggari mereka sedangkan penangkapan mereka merupakan illegal arrest di mana alasan penangkapan tidak diperjelaskan sebelum penangkapan? Apabila polis dipertanyakan sama ada penduduk ditahan, bila penduduk akan dibebaskan dan sebagainya, polis membalas dengan berteriak dengan kasar terhadap saudari See di samping mempersoalkan kehadiran orang bangsa Cina berada di kampung Orang Melayu kepada Ahli jawatankuasa pusat PSM, Saudara Choo. Respons polis bukan sahaja menghina hak asasi manusia dan mencemar nama PDRM, bahkan juga berbau menghasut sentimen perkauman.

Penduduk dan mereka yang ditahan telah menerima layanan seperti pengganas sejak penangkapan sehingga digari dalam Balai Polis Johor Jaya pada hari ini. Penduduk KBPT mesti masih ingat bahawa mereka telah membuat laporan polis pada 13/10/2008 bertujuan untuk menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan pemaju yang dianggap tidak bertimbang-rasa dan diharap supaya pihak polis menjaga keselamatan penduduk kampung. Pendirian polis dalam isu konflik antara pemaju dengan penduduk KBPT telah didedahkan dengan jelas dalam peristiwa hari ini.

Hak perumahan rakyat merupakan salah satu hak asasi manusia yang mesti ditegakkan. Perjuangan hak peneroka bandar di KBPT sebenarnya berlandaskan penghormatan diberi kepada hak perumahan penduduk. Penduduk hanya menuntut perundingan secara aman dengan pemaju mengenai penangguhan sebarang perobohan rumah agar penempatan semula di Bukit Dagang disempurnakan.

Insiden polis mengganas terhadap penduduk KBPT pada 16hb ini telah mendedahkan bukan sahaja pemaju yang tidak mengerti hak perumahan penduduk, kerajaan negeri Johor yang diketuai UMNO dan pasukan polis juga tidak menghormati hak penduduk termasuk hak perhimpunan aman yang dibenarkan dalam perlembagaan. Segala kesudahan yang berlaku kerana insiden tersebut harus ditanggung oleh ketiga-tiga pihak tersebut.

Banyak pengajaran yang manfaat dapat dihayati oleh golongan rakyat tertindas terutamanya penduduk KBPT melalui insiden ini. Di Johor kali ini, rakyat menyaksikan bagaimana pakatan pemaju yang hanya kejarkan keuntungan mempergunakan kuasa pemerintahan dan penguatkuasa undang-undang dalam mengabaikan hak perumahan rakyat dan mencabuli hak asasi rakyat. Kalau bukan perjuangan Rakyat, sama ada perobohan di kampung hari ini masih 20 buah rumah sahaja atau leabih banyak amat dibimbangkan. Maka, dipercayai bahawa perjuangan rakyat di KBPT pada hari ini akan menjadi salah satu faktor dalam mendorong aspirasi peneroka bandar dan rakyat tertindas melawan golongan penindas.


Choo Shinn Chei
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM
Merangkap Ahli Perwakilan Negeri Johor
Parti Sosialis Malaysia (PSM)
(012-7097721)

Tanah & Perumahan