Jangan Korbankan Masa Depan Persaraan untuk Menampung Kelemahan Sistem Kesihatan Negara

Jangan Korbankan Masa Depan Persaraan untuk Menampung Kelemahan Sistem Kesihatan Negara

KENYATAAN AKHBAR PSM – 20 JUN 2025 – JANGAN KORBANKAN MASA DEPAN PERSARAAN UNTUK MENAMPUNG KELEMAHAN SISTEM KESIHATAN NEGARA
Oleh: Wan Zamzaidi Wan Zahid

Parti Sosialis Malaysia (PSM) memandang serius apa yang disiarkan di media sosial dan pautan ke media utama berkaitan pemakluman daripada Menteri Kesihatan sedang mengkaji kemungkinan membenarkan rakyat menggunakan akaun KWSP mereka untuk tujuan mencarum ke dalam polisi insurans kesihatan, agar pencarum boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta. Sejujurnya, ini satu cadangan yang salah arah dan jelas membimbangkan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditubuhkan untuk menjamin masa depan persaraan rakyat Malaysia. Ia bukan untuk menampung kos sistem kesihatan swasta yang mahal, dan bukan juga untuk mengimbangi kegagalan sistem kesihatan awam yang antara lain berpunca daripada pengurusan yang lemah atau pembiayaan yang tidak mencukupi. Jika cadangan ini diteruskan, ia hanya akan menguntungkan syarikat insurans dan hospital swasta, sedangkan rakyat akan terus terhimpit dengan beban kewangan.

Kerajaan mempunyai tanggungjawab dalam menyediakan kesihatan percuma atau berkemampuan kepada rakyat. Itulah asas kontrak sosial antara rakyat dan negara. Apabila kerajaan mula menyarankan rakyat menggunakan simpanan sendiri (KWSP) untuk membiayai rawatan di hospital swasta, ini menunjukkan kerajaan gagal menyediakan kesihatan yang berkualiti dalam sektor awam. Lebih membimbangkan, ia juga menormalisasikan beban kos kesihatan ke atas individu dan bukannya menuntut penyelesaian sistemik.

Kita perlu sedar, simpanan KWSP bukan bantuan kerajaan. Ia adalah hasil titik peluh pekerja. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, gaji yang belum mencapai tahap yang dianggap berpatutan, dan kos sara hidup yang tinggi, ramai dalam kalangan rakyat tidak mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi untuk bersara. Kajian KWSP sendiri menunjukkan bahawa majoriti pencarum tidak mempunyai simpanan yang mencukupi apabila mencapai umur persaraan.

Dengan membenarkan penggunaan simpanan KWSP, kali ini untuk membayar insurans atau rawatan hospital swasta, maka kerajaan secara halus menggalakkan rakyat mengorbankan masa depan persaraan mereka untuk menampung kelemahan sistem kesihatan negara.

Mari kita berfikir, siapa yang paling untung jika skim ini diluluskan?

Jawapannya jelas, iaitu syarikat insurans kesihatan dan rangkaian hospital swasta di mana syarikat insurans akan mendapat pelanggan baharu yang “dipaksa” untuk mengambil perlindungan oleh sebab duit KWSP “dibolehkan”, manakala hospital swasta pula akan menerima lebih banyak pesakit yang membayar melalui insurans, tanpa perlu bersaing harga atau memperbaiki perkhidmatan.

Sedangkan rakyat akan kehilangan sebahagian duit persaraan, terus terperangkap dalam sistem kesihatan dua darjat dan akhirnya tetap terpaksa kembali bergantung kepada hospital kerajaan(yang kekal bermasalah) apabila rawatan lebih kompleks diperlukan.

Jika kerajaan benar-benar mahu membantu rakyat dalam mendapatkan akses kepada kesihatan yang berkualiti, perkara utama yang harus dilakukan ialah memperkasakan hospital awam. Kita semua tahu keadaan sebenar: masa menunggu yang terlalu lama, kekurangan doktor pakar, masalah kelengkapan seperti kurangnya katil, peralatan yang rosak berbulan-bulan tidak dibaiki, dan juga beban kerja yang berat kepada petugas kesihatan. Ini sepatutnya menjadi fokus sebenar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbanding apa yang diperkatakan ini.

Kalau kita boleh selusuri permasalahan ini, kita mungkin boleh lihat ada kepincangan-kepincangan dari segi hala tuju, termasuk kekurangan peruntukan dan tumpuan dalam dasar kesihatan negara.

Jika kerajaan salurkan lebih banyak dana kepada KKM, menambah baik fasiliti dan pakar, menyediakan insentif kepada penjawat kesihatan, dan mengurangkan birokrasi, rakyat sebenarnya tidak perlu pun untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Daripada mencadangkan penggunaan KWSP untuk insurans kesihatan swasta, kerajaan sepatutnya berusaha untuk meningkatkan peruntukan bagi kesihatan awam dalam belanjawan tahunan.

Apa yang kita ingin lihat sebenarnya adalah usaha untuk membangunkan pusat rawatan pakar kerajaan di kawasan bandar dan luar bandar agar rakyat tidak perlu ke hospital swasta, bukan sebaliknya.

Kita tidak menolak sebarang usaha untuk memperluaskan akses kesihatan. Tetapi ia mesti dilakukan dengan keadilan, tidak menindas rakyat, dan tidak memberi ruang kepada kapitalis kesihatan memperkaya diri atas penderitaan orang ramai.

Justeru, PSM menyeru khalayak untuk bersuara. Jangan biarkan hak kita dirampas perlahan-lahan atas nama “pilihan rawatan”. Jangan benarkan duit KWSP kita, yang sepatutnya untuk masa depan kita, digunakan untuk menampung sistem kesihatan yang gagal diurus oleh kerajaan.

Kesihatan adalah hak, bukan keistimewaan, manakala KWSP adalah simpanan masa depan, bukan dana kecemasan untuk menutup kelemahan dasar. Apa yang seharusnya dilakukan adalah meningkatkan keupayaan hospital kerajaan, bukan mencari peluang untuk keuntungan hospital swasta.

Dikeluarkan oleh,
Wan Zamzahidi Wan Zahid
Pengerusi PSM Pahang

PSM Bersolidariti Dengan NUBE : Hentikan Penindasan Pekerja; Berikan Ruang untuk Pelihara Hak Pekerja!

PSM Bersolidariti Dengan NUBE : Hentikan Penindasan Pekerja; Berikan Ruang untuk Pelihara Hak Pekerja!

28 Ogos 2024

Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut bersolidariti bersama Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) yang telah melancarkan siri piket di seluruh negara sejak 21 Ogos 2024 untuk mempertahankan hak-hak pekerja daripada dicabuli oleh golongan majikan.

Kami memandang serius pada isu penindasan terhadap kesatuan sekerja oleh ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam bank-bank di negara kita. Kami menyeru supaya hak kesatuan sekerja dihormati dan dipelihara.

Aksi piket terbaru yang dianjurkan oleh NUBE ini bertujuan untuk mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja bank kerana CEO bank enggan mendengar keluhan pekerja-pekerja malah terus menekan pekerja-pekerja dengan cara yang tidak adil. Antara masalah yang diketengahkan oleh NUBE adalah, pihak pengurusan tinggi Maybank khususnya telah gagal menangani isu gangguan seksual di cawangannya, malah menindas mangsa dengan menggantung tugasnya dan membiarkan pelaku terus bebas tanpa tindakan.

Sejak kebelakangan ini, dalam keadaan masyarakat dilanda pelbagai masalah ekonomi seperti kenaikan harga barang dan sebagai golongan pekerja di negara kita terus ditindas dan dieksploitasi oleh golongan majikan yang kaya raya. Hak pekerja untuk berkesatuan sering disekat dan tidak dihormati oleh kebanyakan majikan yang kaya raya ini demi kepentingan mereka sendiri.

Tindakan CEO-CEO bank yang mengaut keuntungan berlebihan tetapi terus membiarkan golongan pekerja B40 dan M40 hidup dalam kesusahan membongkarkan kepincangan yang wujud dalam dunia pekerjaan pada hari ini. Lebih-lebih lagi, ruang untuk pekerja-pekerja berkesatuan masih sempit. Penyertaan warga pekerja dalam kesatuan sekerja kini telah merosot ke 6% daripada seluruh tenaga kerja di negara kita. Jika keadaan ini dibiarkan berkekalan, kebebasan bersuara untuk pekerja akan terus disekat dan golongan pekerja akan terus dianiayai.

Setiap rakyat mempunyai hak untuk berpersatuan mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, kesatuan-kesatuan sekerja di Malaysia boleh membuat perjanjian bersama dengan majikan mereka. Hak untuk mengadakan perundingan kolektif termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Hak untuk Berorganisasi dan Perundingan Kolektif (Konvensyen No. 98), di mana Malaysia juga merupakan salah sebuah negara yang menandatanganinya.

Di Malaysia, sebanyak 60% pekerja menyertai dalam perjuangan kesatuan sekerja pada tahun 1940-an. Persekutuan Kesatuan Sekerja Se-Malaya (PMFTU) kuat memperjuangkan hak bekerja dan hak asasi pekerja di Malaya pada masa itu. Beribu-ribu orang pekerja turun menyuarakan hak mereka dalam setiap protes pada zaman itu. Tetapi kini, usaha pekerja untuk memperjuangkan hak mereka telah disekat dengan hebatnya. Pekerja-pekerja takut akan kehilangan kerja dan menghadapi serangan bertubi-tubi daripada pihak majikan apabila mereka menyuarakan hak mereka. Aksi piket yang dianjurkan oleh NUBE merupakan antara nafas baharu untuk setiap kesatuan sekerja yang masih bernyawa lagi.

Baru-baru ini, beberapa orang ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia turut mengalami ancaman pemusnahan kesatuan yang teruk. Pekerja-pekerja pembersihan di hospital telah menerima tekanan hebat daripada pihak majikan. Ada yang digantung kerja sementara dan sebahagian lagi pekerja menerima surat kaunseling sebagai amaran disebabkan mereka menyertai aktiviti kesatuan sekerja. Pemangsaan ahli-ahli kesatuan sekerja terus berlaku sehingga menjadi satu lumrah di Malaysia. Niat di sebalik tindakan kebanyakan golongan majikan ini adalah untuk mengurangkan keahlian dalam sesebuah kesatuan sekerja dan menjurus ke arah menghapuskan kesatuan sekerja di negara kita.

Sebelum ini, semasa YB Kulasegaran daripada Pakatan Harapan menjadi Menteri Sumber Manusia, beliau telah menunjukkan rasa simpatinya dan menetapkan sasaran untuk meningkatkan keahlian kesatuan sekerja kepada 30 peratus. Namun, tiada sebarang pindaan dibuat terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959 sejurus dengan niat itu. Sehingga kini, agenda mengenai pindaan Akta Kesatuan Sekerja tersebut untuk mengagalakkan lebih ramai pekerja menyertai kesatuan tidak diperkatakan oleh mana-mana Menteri Sumber Manusia daripada Kerajaan Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan selepas itu. Nampaknya tiada sesiapa daripada Kerajaan Perpaduan menunjukkan minat untuk memperkasakan gerakan pekerja di Malaysia.

PSM berpandangan bahawa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) harus mencampur tangan untuk menyelesaikan segera isu yang dihadapi oleh pekerja-pekerja bank di negara kita ini. Hak, kebajikan dan kesejahteraan golongan pekerja harus diberi keutamaan supaya semua pekerja yang membanting tulang dalam pembangunan ekonomi negara kita dapat hidup dengan selesa dan bermaruah.

Kerajaan juga harus mengambil tindakan terhadap CEO-CEO dan pihak pengurusan bank yang menindas pekerja dan kesatuan sekerja. Segala bentuk penindasan yang bertujuan untuk menghancurkan kesatuan sekerja harus dihentikan serta-merta!

Dikeluarkan oleh,

R Saratbabu Raman
Ketua Biro Pekerja
Parti Sosialis Malaysia (PSM)