PULIH NEGARA DEMI RAKYAT – Strategi Nasional Pasca Covid 19

PULIH NEGARA DEMI RAKYAT – Strategi Nasional Pasca Covid 19

Its Beginning!

STRATEGI NASIONAL PASCA COVID 19

DEMI MENJAMIN KESEJAHTERAAN RAKYAT PASCA COVID-19

Malaysia menghadapi cabaran terbesar sejak zaman kemelesetan ekonomi 1996-1997 dengan pandemik Covid 19.  Pandemik global ini telah memaksa kerajaan melaksanakan langkah-langkah perintah kawalan pergerakan dan penutupan semua aktiviti ekonomi dan sosial, sekaligus mengakibatkan rakyat terjejas dari segi kesihatan, ekonomi dan sosial. Walaupun kerajaan telah mengambil langkah-langkah segera menangani kesan PKP dan melancarkan 3 pakej stimulus demi membantu rakyat dan meransang kembali ekonomi negara, PSM merasakan ianya hanya merupakan langkah jangka masa yang pendek dan tidak menyeluruh.

Maka PSM mendesak agar kerajaan dengan segera mengambil beberapa langkah konkrit seperti yang berikut dalam usaha membantu rakyat mengharungi kesan pandemic Covid 19;

Mengutamakan program untuk memantau dan mengawal penularan Covid di Negara kita. Keselamatan rakyat harus dijadikan keutamaan kerajaan. Antara perkara yang harus diambil berat adalah;

Keselamatan kakitangan kesihatan. Bekalan pakaian keselamatan/perlindungan mesti mencukupi.

Kapasiti kita untuk melakukan ujian Covid harus ditingkatkan.

Kerajaan harus mengumumkan Moratorium terhadap kesalahan imigresen untuk sekurang-kurangnya sepanjang tahun ini dengan tujuan mengalakkan kaum pekerja migran berkerjasama dengan jabatan kesihatan dalam memeriksa, mencari kenalan terdekat dan mengasing orang yang disyaki dijangkiti Covid.

Menyediakan hostel untuk mengkuarantin rakyat Malaysia dan juga pekerja migran yang merupakan kenalan pesakit Covid. Hostel ini mesti membekalkan makanan yang mencukupi untuk semua yang dikuarantin.

Jika kaedah “Tracking App” (aplikasi penjejak) dalam telefon bimbut diguna untuk membantu mengawal penularan wabak Covid, langkah-langkah ketat harus diambil untuk memastikan maklumat ini hanya digunakan untuk tujuan mengawal Covid dan tidak dikongsi dengan agensi ataupun pihak korporat untuk tujuan lain. Semua rekod yang dikumpulkan oleh aplikasi ini harus dimansuh selepas tempoh 6 minggu dan regulasi yang mewajibkan penggunaan aplikasi ini harus mempunyai “sunset clause”.

 

Terus Memastikan keselamatan rakyat biasa berkaitan jangkitan Covid dengan;

Pemantauan pasar raya, pasar malam, dan tempat awam yang lain.

Pengasingan kes yang dikenalpasti sehingga ujian swab menjadi negatif.

Kuarantin untuk semua kenalan kes yang dikenalpasti.

Pengumuman status kawalan dengan pecahan daerah supaya aktiviti ekonomi boleh dibenar atau pun dikawal.

 

Amatlah penting bahawa pelonggaran PKP dalam beberapa sektor bisnes dan industri dilakukan secara berperingkat dengan pematuhan ketat majikan terhadap syarat-syarat & standard prosedur (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI). JIka ianya tidak dipatuhi maka akan berlaku semula lonjakan kes dan segala usaha bersama kita dalam PKP fasa 1, 2 dan 3 akan gaga . Kerajaan dengan tegas harus mengerahkan pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK), MITI dan agensi sokongan lain untuk memastikan SOP dipatuhi.

MEMBINA SEMULA KEUPAYAAN PRODUKTIF NEGARA

Lanjutan dari bantuan-bantuan yang telah disalurkan kepada perusahaan kecil & sederhana (PKS), kerajaan harus melanjutkan pakej ransangan untuk tempoh yang lebih panjang terutamanya kepada mikro PKS. Kerajaan harus nasionalisasikan sektor perkilangan produk keperluan asas demi memastikan bekalan tidak tergendala. Sebagai contoh, kilang seperti Imperial Garment, sebuah pengeluar tekstil besar, baru mengumumkan mereka akan menutup kilang mereka. Kilang seperti ini harus diambil alih oleh kerajaan untuk membuat pakaian keselamatan untuk kakitangan kesihatan kita dan juga untuk diekspot ke negara-negara membangun yang menghadapi kekurangan bekalan pakaian keselamatan.

Kilang-kilang elektronik yang kehilangan pasaran luar negara harus dibantu dalam proses pertukaran ke pembuatan meter suhu (thermometer) dan visor infrared. Ini membantu rakyat di semua tempat kerja untuk periksa suhu badan semua pekerja dan pelanggan, dan infra-red visor boleh digunakan oleh anggota unit kawalan kerajaan tempatan untuk memantau pelanggan yang datang ke pasar supaya mereka yang demam boleh dinasihat mengasingkan diri dan berjumpa dengan doctor secepat mungkin. Kajian terhadap RNA Covid dan juga antibodi melawan Covid harus dibuat di Malaysia dalam skala yang besar. Kita memerlukan ujian-ujian ini. Banyak negara di Asia dan Afrika juga akan meminta ujian ini.

Kita juga boleh memacu ekonomi negara dengan lancarkan program –program bernas yang membantu rakyat biasa, dan juga memulihkan alam sekitar termasuk –

Pembinaan landfill (tempat pembuangan sampah) yang selamat dan mampan supaya sampah domestic dan industrial tidak menghancurkan alam sekitar.

Penanaman pokok di kawasan yang telahpun dibalak

Elak daripada menyelamatkan (bail-out) syarikat korporat besar. Insentif khas juga harus ditawarkan kepada industri pembuatan yang berjaya menukar keupayaan produksinya dari menghasilkan barangan bukan keperluan asas (‘non essential’) ke essential harus disediakan.

TINGKATKAN KEUPAYAAN KHIDMAT KESIHATAN NEGARA

Banyak skop khidmat biasa sistem kesihatan awam kita telah ditangguh kerana hospital-hospital umum kita terpaksa menfokuskan wabak Covid. Oleh itu banyak rawatan bagi penyakit lain seperti batu hempudu, batu karang ataupun barah usus telah ditunda kerana hospital kerajaan tidak ada kapasit untuk merawat mereka. Kekurangan ini harus ditangani. Hospital-hospital daerah harus dipertingkatkan supaya pembedahan dan rawatan dapat dijalani. Jika perlu, pakar-pakar di sektor swasta harus dijemput datang dan bekerja secara sementara untuk menangani kes-kes penyakit lain yang telah diabaikan dalam 2 bulan yang lalu.  Peruntukan Bajet Kementerian Kesihatan juga harus ditingkatkan untuk mempertingkatkan sektor khidmat kesihatan awam.

Pandemik global Covid-19 telah membuktikan betapa pentingnya sesebuah negara untuk menyediakan khidmat kesihatan awam yang mantap. Maka kerajaan harus mengatur semula polisi kesihatan awam dengan menambah dan mengekalkan bilangan doktor, doktor pakar, jururawat dan pembekal khidmat kesihatan yang lain. Hentikan penswastaan khidmat sokongan seperti pembersihan dan penyelengaraan agar mereka menjadi barisan hadapan dengan jawatan tetap. Hentikan promosi program pelancongan kesihatan dan program Pesakit Bayar Penuh di Hospital Kerajaan, supaya tenaga kerja sektor awam dapat memberikan khidmat tanpa berbelah bahagi kepada pesakit hospital awam. Hentikan penswastaan stor bekalan ubat, demi mengurangkan kos perolehan dan birokrasi. Elakkan dari menandatangani apa jua Perjanjian Perdagangan Bebas Antarabangsa (FTA) yang meningkatkan hakmilik paten syarikat farmaseutikal, monopoli pasaran dan meningkatkan harga ubat.

Pengalaman Covid 19 telah membuktikan betapa pentingnya menyediakan akses khidmat kesihatan awam kepada semua tanpa mengira kewarganegaraan. Demi menjamin kesihatan umum, maka warga asing tidak kira sama ada mereka yang berdokumen, tanpa dokumen, dan perlarian haruslah disediakan akses rawatan yang samarata dan dengan kos yang mampu oleh mereka.

WUJUDKAN SKIM BANTUAN PENGANGGUR UNTUK TANGANI KEHILANGAN KERJA RAKYAT

Sesebuah masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semua keluarga cukup makan– iaitu mereka memperolehi pendapatan yang cukup untuk membeli barangan keperluan keluarga.

Adalah dianggarkan seramai 2.5 juta rakyat pekerja Malaysia akan kehilangan kerja akibat PKP Covid 19 ini. Maka Skim Insurans Pekerja yang sedia ada dan yang diumumkan dalam Pakej Stimulus tidak mencukupi utk mengurangkan beban rakyat pekerja kerana ianya bergantung pada majikan untuk mendaftarkan pekerja . Juga skim ini tidak meliputi pekerja kontrak yang tidak ada majikan tetap ataupun peniaga kecil (tidak berdaftar dengan PERKESO). Kita memerlukan satu skim yang lebih menyeluruh yang meliputi semua sektor, termasuk informal.

Maka kita perlu laksanakan konsep Pendapatan Asas Sejagat (Universal Basic Income) iaitu skim bayaran untuk semua rakyat yang hilang punca pendapatan mereka termasuk pekerja harian, pekerja kontrak, dan peniaga kecil, sehingga mereka jumpa sumber pendapatan baru. Ia juga tidak boleh mengandungi syarat seperti perlu dicarum terlebih dahulu.

Apabila sektor swasta gagal menawarkan kerja, maka kerajaan harus ambil inisiatif dan menjadi pihak yang dapat menawarkan kerja. Bidang-bidang ekonomi baru harus dibuka seperti industri janakuasa elektrik dari sumber guna-semula (renewable energy), industri baik-pulih alam sekitar dan sebagainya.

Kerajaan harus mengunakan langkah fiskal dengan meningkatkan perbelanjaan pembinaan infrastruktur asas, sekaligus menjana pekerjaan dan menjana rantaian ekonomi domestik . Bayaran gaji kepada pekerja dalam kerja-kerja umum akan menjana permintaan pasaran dalam negeri dan ini akan mengalakkan PKS untuk mengeluarkan barangan yang diperlukan rakyat.

TINGKATKAN JAMINAN BEKALAN MAKANAN

Malaysia amat sensitif dan mudah terkesan daripada sebarang impak terhadap bekalan makanan luar, kerana kadar impot kita yang tinggi untuk memenuhi keperluan tempatan. Maka kita perlu tingkatkan keupayaan penghasilan makanan dalam negeri, untuk memastikan faktor luar tidak menjejaskan bekalan makanan.  Syarikat perladangan besar (GLC) harus memperuntukan 10% dari simpanan tanahnya utk ditukar dari pertanian komoditi ekspot ke tanah pertanian makanan harian.  Juga pekebun kecil getah dan kelapa sawit harus digalakkan dan diberi bantuan untuk berpindah kepada pertanian & penghasilan makanan.

Hentikan pengusiran petani dan penternak yang sedang bercucuk tanam dan menternak ditanah kerajaan atau swasta. Hakmilik sementara dari 20 hingga 30 tahun harus diberikan agar mereka boleh melabur secara efektif dan menghasilkan produk tani utk rakyat.  Perkenalkan kemudahan keselamatan sosial (social security) kepada petani seperti skim PERKESO dan pencen agar pendapatan bidang pertanian menjadi lebih stabil dan menarik untuk diceburi oleh anak muda.

Program hantaran bekalan makanan dari stok kerajaan ataupun pihak NGO harus dilanjutkan sehingga Disember 2020 terutamanya kepada keluarga B40.

PEMBASMIAN KEMISKINAN

Antara cabaran terbesar ialah untuk memastikan warga berpendapatan rendah B40 (pendapatan isi rumah < RM 4000) tidak tercampak dalam kemiskinan dek kerana kehilangan mata pencarian. Maka langkah kerajaan dalam memberikan bantuan sara hidup RM1,600 kepada 4 juta isi-rumah harus dipanjangkan sehingga isi-rumah tersebut dapat kembali memperolehi pendapatan RM 4000 dan lebih.  Golongan B40 yang berdaftar dalam Bantuan Sara Hidup harus diberikan diskaun 50% bayaran bil elektrik TNB, bil telefon bimbit, kemudahan multimedia Unifi, Maxis dan sebagainya sehingga Disember 2020.

Bina & sewakan rumah-rumah kosong di seluruh negara kepada golongan B20 yang tidak memiliki tempat tinggal.

BIAYAI BANTUAN DENGAN PENCUKAIAN YG MAHA KAYA  DAN KORPORAT

Kesemua bantuan yang penting untuk rakyat perlu diteruskan, tetapi dari mana pula datangnya dana tersebut? Selain dari meningkatkan pinjaman Kerajaan melebihi tahap 55% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) yang akan membebankan rakyat pada masa akan datang, Lembaga Hasil Dalam Neger (LHDN) harus memperkenalkan polisi baru untuk mencukai golongan 10% yang terkaya di Malaysia. Peningkatan cukai pendapatan bagi golongan ini, seperti cukai harta (untuk harta-harta yg melebihi nilai 1 juta), dan cukai pendapatan dari saham perlu diperkenalkan. Juga perlu dikenakan adalah cukai keatas aset kewangan seperti bon melebihi RM1 juta, mungkin perlu cukai sebanyak 2%.

Hentikan semua insentif cukai dan pengecualian cukai kepada syarikat-syarikat besar & multinasional (MNC) yang telah menikmati insentif tersebut melebihi 5 tahun.

LANGKAH MONETARI

Bank Negara perlu mengambil tindakan menambahkan bekalan kewangan dalam pasaran dengan merendahkan faedah pinjaman (kos pinjaman). Peruntukkan simpanan rizab bank swasta juga boleh dikurangkan agar lebih banyak pinjaman boleh disediakan. Tetapi ianya harus dipacu rapi supaya dapat membantu sektor-sektor khusus yang ingin dibangunkan. Memandangkan keadaan ekonomi dunia yg merundum, tidak guna pembiayaan digunakan untuk melabur dalam industri yang tidak melihatkan apajua prospek dalam masa dua tahun akan datang.

Bank Negara juga boleh membeli bon Kerajaan pada kadar faedah yang rendah, sebagai contoh 0,5% agar Kerajaan mempunyai dana yang cukup untuk membiayai pelbagai program prihatin rakyat. Ini akan membolehkan jumlah pinjaman Kerajaan tidak melonjak.

Kerajaan juga harus elakkan dari menjual aset-aset kerajaan untuk menjana dana. Penjualan asset dalam kemelesetan ekonomi akan merugikan kerajaan kerana harga aset jatuh jauh daripada harga normal.

JAMINAN PERUMAHAN RAKYAT

Keperluan asas perumahan haruslah dijamin dalam krisis ini agar rakyat tidak diusir keluar dan dicampak ke jalanraya hanya kerana gagal membiayai pinjaman perumahan. Maka moratorium 6 bulan penangguhan bayaran perumahan ini harus dilanjutkan sehingga Disember 2020 dengan menghapus kira faedah. Selepas akhir tahun ini, arahan mesti dikeluarkan kepada semua bank swasta agar menstrukturkan semula pinjaman perumahan supaya peminjam dapat terus membayar mengikut keupayaan mereka.

Perkenalkan juga suatu skim bantuan pembayaran sewa

Mengharamkan pengusiran penyewa oleh tuan tanah dengan memasukkan klausa pengharaman dalam akta Covid-19.

Wujudkan Tribunal di peringkat daerah untuk mendengar kes penyewa yang tidak mampu membayar sewa rumah.

Kes-kes harus diputuskan atas prinsip beban sewa harus ditanggung bersama oleh pesewa (ikut kemampuannya), tuan rumah, dan kerajaan (yang harus sedia membayar sebahagian daripada caj sewa rumah )

Kerajaan juga harus mendesak bank swasta untuk membatalkan terus pinjaman perumahan (rumah berharga RM150,000 kebawah) bagi peminjam golongan berpendapatan rendah (gaji RM3000 dan kebawah) yang hilang kerja atau sumber pendapatan.

Kami juga mencadangkan untuk diambil alih projek Perumahan Mampu Milik Swasta yang tidak terjual dan nasionalisasikan sebagai Program Perumahan Rakyat (PPR) kerana  terdapat ribuan rakyat B40 terutamanya di Bandar-bandar utama yang masih menunggu ditawarkan perumahan PPR sewa. Ini menunjukkan permintaan untuk perumahan PPR amatlah tinggi. Maka dicadangkan agar pihak Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil alih projek perumahan mampu milik yang gagal dijual oleh pemaju swasta akibat pandemik Covid 19, untuk dijadikan PPR.

Semua PPR pusat dan negeri juga harus mengecualikan bayaran sewa untuk setahun.

KONSULTASI DAN LIBAT URUS DEMI MENJAYAKAN PROGRAM

Elemen demokrasi untuk menerima kritikan dan cadangan dari rakyat dan pihak berkepentingan adalah amat penting untuk menjayakan semua langkah-langkah diatas dan membina semula ekonomi dan sosial rakyat. Maka, satu mekanisma konsultasi dengan pertubuhan berkepentingan seperti kesatuan sekerja, pertubuhan petani, pelajar, nelayan, PKS dan sebagainya haruslah berterusan.

Parlimen sudah semestinya besidang untuk lebih dari satu hari, kerana ada banyak isu seperti perundangan , polisi dan bajet bantuan baru yang perlu didebat dan diluluskan. Pemantauan dari Parlimen juga perlu diaturkan melalui jawatankuasa khas dianggotai oleh ahli parlimen Kerajaan dan juga pembangkang yang perlu mengadakan mesyuarat pemantauan mereka sepanjang tahun (selain dari sesi Parlimen) agar menjadi pengaudit keberkesanan langkah-langkah kerajaan dan memberikan maklumbalas untuk penambahbaikkan segera.

Dapatkan maklumbalas daripada rakyat untuk semua skim yang akan dilancarkan untuk mengendalikan serangan Covid dan kegawatan ekonomi.

Melibatkan rakyat tempatan dalam pengendalian dan pemantauan program-program ini supaya kroni sesiapa tidak dapat merampas/mencuri peruntukan yang diluluskan untuk kebaikan semua.

Hak demokrasi dan hak asasi perlu sentiasa dipatuhi – tindakan keras hanya munasabah dikenakan terhadap yang melanggar peraturan PKP berulang kali. Pemenjaraan seseorang boleh menghancurkan ekonomi keluarganya dan semua ahli keluarga itu – isteri, anak dan mungkin ibu-bapa akan disusahkan. Hukuman penjara untuk kesalahan di bawah PKP harus dielakkan sejauh yang boleh.

PIhak berkuasa juga harus diberikan penerangan menyeluruh (debriefing) agar mereka jelas mengenai had kuasa yang telah diberikan kepada mereka semasa PKP, sama ada dari segi penahanan, pemeriksaan, soal-siasat , kebebasan bersuara, mengkritik, komen media social dan sebagainya. Segala penyalahgunaan kuasa pihak berkuasa harus disiasat oleh badan bebas, seperti Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

  

    

 

Mohon tonton video di link yang disedia : https://youtu.be/MTOuSUjW4NA

               Dokumen Strategi Nasional Pasca Covid19 PULIH NEGARA DEMI RAKYAT 2020

PSM MOH Budget 2021 briefing – 11Nov- LCH