Menteri Sumber Manusia Patut Fokus Kepada Perwujudan Kerja

Menteri Sumber Manusia Patut Fokus Kepada Perwujudan Kerja

Menteri Sumber Manusia Patut Fokus Kepada Perwujudan Kerja, Bukannya Memaksa Rakyat Mengambil Apa Jua Kerja Yang Ada

Menteri Sumber Manusia, YB S. Saravanan baru-baru ini menyatakan bahawa rakyat Malaysia perlu mengubah corak pemikiran mereka dan menerima apa-apa pekerjaan yang ada untuk mengatasi masalah kadar pengangguran yang semakin meningkat. Pemuda PSM menyangkal kenyataan ini yang tidak bertanggungjawab, berfikiran sempit serta berdasarkan idea kuno. Terdapat beberapa sebab Pemuda PSM mencela kenyataan ini.

1) Masalah Kualiti Hidup

Walaupun Pemuda PSM bersetuju dengan YB Saravanan bahawa pekerjaan 3D (Bahaya, Kotor dan Sukar) amat diperlukan dan tidak patut dipandang rendah, realitinya perkerjaan sebegini tidak digaji secara berpatutan. Umum diketahui bahawa pekerja-pekerja migran sering diambil untuk kerja sebegini sebab gaji yang dituntut oleh mereka jauh lebih rendah daripada pekerja tempatan. Disebabkan ini, rata-ratanya, kualiti hidup mereka amat teruk.

Kenyataan Menteri Sumber Manusia juga tidak sensitif terhadap realiti hidup pekerja di Malaysia dari segi ketidaksepadanan kerja. Golongan graduan, terutamanya anak muda, berdepan dengan kekurangan peluang pekerjaan dalam pasaran. Ramai daripada mereka terpaksa mengambil pekerjaan tidak tentu, seperti pemandu Grab dan rider FoodPanda. Malah, ramai yang mempunyai pekerjaan penuh juga menggalas tanggungjawab tambahan ini untuk menjana pendapatan yang mencukupi.

Jikalau nasihat Menteri Sumber Manusia ditaati, kualiti hidup rakyat Malaysia akan bertambah teruk. Golongan graduan akan terpaksa mengambil pekerjaan yang tidak sepadan dengan apa yang mereka belajar untuk gaji yang kurang. Malah lebih senang untuk golongan kapitalis mengambil peluang ini untuk merosotkan syarat kerja (gaji, cuti tahunan, liputan perlindungan perubatan dsb) kerana bukan sahaja pekerja Malaysia disaran mengambil apa jua peluang yang ada, tiada pula pelan untuk meningkatkan peluang pekerjaan yang dapat memastikan kualiti hidup setiap pekerja selesa yang dapat bersaing dengan peluang pekerjaan sedia ada.

2) Masalah Pembangunan Negara

Tanggungjawab kerajaan adalah untuk memaksimakan kapasiti produktif negara untuk menjana keuntungan yang dapat disalurkan kepada rakyat melalui pelbagai jenis aktiviti pembangunan dan kebajikan. Ini patut dilakukan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang sepadan dengan kepentingan nasional serta keinginan individu. Sebagai contoh, jika terdapat kekurangan infrastruktur di Malaysia, produktiviti dalam kejuruteraan sivil patut ditingkat untuk mengatasinya.

Menteri kita kelihatan terlalu selesa menerima bahawa sesetengah rakyat Malaysia akan terus menganggur dan seluruh golongan pekerja Malaysia terus ditindas kapitalis. Golongan pekerja kini mendapat bahagian yang amat kecil daripada keuntungan yang dijana atas hasil kerja mereka, iaitu hanya 35.2% daripada KDNK. Ini jauh lebih kurang daripada beberapa negara membangun dan maju seperti Korea Selatan dan Afrika Selatan yang melebihi 40%. Malangnya, hasil yang lebih besar disalur bukannya kepada golongan yang memerlukannya atau untuk mengukuhkan institusi kerajaan yang sepatutnya seperti hospital, tetapi terus ke dalam saku warga kapitalis.

Mungkin sebab inilah YB Saravanan menyarankan rakyat Malaysia keluar bekerja di negara lain. Katanya, kita patut melupakan impian dan rancangan kita seketika untuk memastikan kelangsungan hidup. Amat ketara bahawa kerajaan Malaysia, terutamanya Kementerian Sumber Manusia, ketandusan idea untuk menghidupkan balik ekonomi negara. Apakah rasionalnya jika kekurangan peluang pekerjaan di sesuatu negara diselesaikan dengan menggalakkan rakyat negara itu keluar mencari peluang pekerjaan di negara lain? Lebih-lebih lagi pada masa ini apabila krisis Covid-19 telah menghancurkan ekonomi seluruh dunia. Tidakkah jaminan kerja di negara lain juga terjejas?

Kemungkinan besar pekerjaan yang terbuka di negara lain juga bukan profesional dan bersifat tidak mahir, sekali gus menjadikan pekerja dari Malaysia menjadi pelarian ekonomi yang ditindas sama seperti pekerja migran di sini. Masalah-masalah sama seperti gaji yang kurang dan keadaan kerja yang teruk mungkin membelenggu pekerja sebegini. Bukan sahaja itu, hasil titik peluh pekerja Malaysia tidak digunakan untuk membangun negara dan menambah baik keadaan hidup di sini, memanjangkan keperitan hidup rakyat di sini.

Penutup

Kita patut sedar bahawa cara mengatasi masalah-masalah di atas tidak lain dan tidak bukan ialah melalui perbelanjaan kerajaan untuk meningkatkan peluang pekerjaan. Dalam keadaan ekonomi yang tidak tentu, kerajaan patut menjajarkan GLC-GLC dan mengguna pakai idea-idea ekonomi progresif seperti Modern Monetary Theory (MMT) untuk menyifarkan kadar pengangguran. Sektor-sektor seperti pertanian dan penjanaan kuasa bersih boleh dibangunkan dengan kapasiti graduan dan pekerja di Malaysia. Wang yang dibelanja melalui aktiviti sebegini tidak pergi kepada golongan kapitalis tetapi membuah hasil dengan membangunkan negara dan memastikan kualiti hidup rakyat terjamin.

Untuk meningkatkan minat rakyat terhadap pekerjaan 3D, Menteri Sumber Manusia kita patut berusaha menambah baik syarat kerja, terutamanya gaji dan aspek keselamatan, melalui undang-undang baharu dan pemantauan yang berkesan. Kerajaan juga patut berhenti melihat rakyat Malaysia sebagai komoditi untuk dijual-beli atau beban kepada kerajaan. Sebaliknya, merekalah penjana keuntungan yang patut diperkasakan untuk meningkat kualiti hidup mereka sendiri serta mewujudkan kapital yang dapat dibelanja melalui program kebajikan.

Arveent Kathirtchelvan,
Biro Sains dan Teknologi,
Pemuda Parti Sosialis Malaysia.
18 May 2020

DEKLARASI MEI 1, 2020  COVID MENYERANG, PEKERJA DIANCAM

DEKLARASI MEI 1, 2020 COVID MENYERANG, PEKERJA DIANCAM

Hari Pekerja Mei 1, 2020 membawa satu cabaran yang besar kepada kelas pekerja di Malaysia dan diseluruh dunia. Fenomena COVID-19 memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020.

COVID-19 juga membawa implikasi lebih teruk kepada pekerja. Yang bekerja terdedah kepada ancaman virus dan keselamatan yang kurang manakala yang tidak bekerja, diancam pula dengan isu menyara kehidupan dan jaminan kerja.

Yang paling terjejas ialah pekerja di sektor informal termasuk pekerja Migran dan pelarian. Kesemua pekerja harian ini telah hilang punca pendapatan mereka dan hidup tanpa keperluan asas seperti makanan dan kebuluran.

Krisis yang melanda kesan COVID-19 bukan sekadar krisis kesihatan tetapi juga adalah krisis ekonomi yang akan membawa padah kepada kaum pekerja yang akan terus berhadapan dengan krisis jaminan kerja, krisis pengangguran, jaminan makanan dan kelaparan.

Walaupun kerajaan mendesak polisi sifar pembuangan kerja tetapi reality dilapangan, apa yang jelas adalah pemberhentian pekerja berlaku secara berleluasa, pemotongan gaji bermaharajalela dan pengurangan kerja secara mendadak, secara paksa dan secara zalim.

Maka, sempena dengan Hari Pekerja tahun 2020 yang luarbiasa ini, Kami mempertengahkan tuntutan- tuntutan seperti di bawah:

1. KERAJAAN HARUS TEGAS DAN KONSISTEN DALAM MENANGANI LOBI DAN TINDAK TANDUK SYARIKAT YANG TIDAK MENGUTAMAKAN KESIHATAN DAN KESELAMATAN PEKERJA SEMASA KRISIS COVID-19
Maka, Kami sarankan:

I. Setiap syarikat yang beroperasi harus mematuhi garis panduan keselamatan di tempat kerja yang ditetapkan oleh KKM sehingga ancaman COVID-19 berakhir.

II. Wujudkan Jawatankuasa COVID-19 di tempat kerja yang diwakili oleh majikan, pekerja dan kesatuan untuk memastikan semua prosedur oleh KKM dipantau dan dipatuhi secara ketat.

III. Kerajaan harus mengambil tindakan keras keatas syarikat bukan essential yang beroperasi secara haram sama tempoh masa PKP dan MITI harus bersikap bertanggungjawab dan transparen semasa memberikan kebenaran.

IV. Gaji pekerja harus dibayar penuh dan hentikan semua bentuk UGUTAN ATAU PAKSAAN terhadap pekerja dalam tindakan pemotongan gaji atau cuti tanpa gaji semasa krisis COVID-19.

2. HENTIKAN PENGUSIRAN PAKSA & LAKSANAKAN PERUMAHAN SELESA

Kerajaan harus hentikan sebarang pengusiran paksa terhadap pekerja, masyarakat marhaen termasuk peneroka bandar, orang asal dan pekerja ladang dan pekerja migran dari tempat tinggal mereka termasuk tidak memotong utiliti seperti air dan elektrik. Laksanakan Skim Perumahan Rakyat yang munasabah pada harga yang mampu.

3. HAK KESIHATAN KEPADA SEMUA – Kerajaan harus meningkatkan dan memperkasakan hospital kerajaan dengan diberi lebih sumbangan wang supaya dapat kekal memberikan perkhidmatan yang terbaik dan percuma kepda rakyat. Kerajaan juga harus membuat kajian untuk memiliknegarakan hospital kesihatan swasta untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik dan memadai. Elaun khas juga harus dipanjangkan kepada Frontliners hospital yang sering terpinggir seperti pembersih hospital, pemungut sampah dan dan lain-lain dimana mereka harus dijadikan pekerja tetap.

4. JAMINAN MAKANAN DAN KAWALAN HARGA BARANGAN – Keupayaan Negara untuk menjamin makanan tempatan harus diutamakan. Iktiraf dan berikan geran tanah kepada golongan petani dan penternak yang telah lama bertani dan membekalkan hasil pertanian untuk kegunaan tempatan. Hentikan pengusiran petani dan penternak. Pada masa yang sama kawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan keperluan harian dan kembalikan semula pemberian subsidi kepada rakyat secara berkesan.

 

5. PEKERJA MIGRAN DAN PELARIAN– Kerajaan harus hentikan sebarang tangkapan atau penghantaran balik pekerja migran dan pelarian dalam tempoh masa setahun semasa krisis COVID-19. Pakej Stimulus Ekonomi juga harus meliputi pekerja migran dan pelarian di Malaysia dan kerajaan harus memastikan bekalan makanan yang mencukupi kepada golongan ini. Pekerja migran harus mendapat layanan yang saksama tanpa diskriminasi. Kerajaan juga harus iktiraf dan memberi hak kerja kepada pelarian di negara kita.

6. GAJI MINIMA RM 1800 DAN CUKAI KHAS KEATAS MNC – Pengagihan kekayaan harus memastikan kenaikan gaji minima ke RM 1800 dan laksanakan cola (Cost of Living Allowance) untuk menghadapi kenaikan kos hidup seperti yang disarankan oleh Bank Negara pada tahun 2016. Selain itu untuk menampung sebahagian kos dalam membekalkan bantuan kepada rakyat, kerajaan harus melaksanakan kadar cukai kecemasan terhadap semua industri antarabangsa (MNC).

7. TAMATKAN SISTEM KONTRAK DAN JADIKAN PEKERJA TETAP – Kerajaan harus mansuhkan sistem kontraktor untuk buruh. Sistem kontrak harus dipakai hanya untuk kerja sementara dan tidak boleh disalahgunakan.

8. HAK KESATUAN SEKERJA – Hormati semangat keharmonian industri dengan memperkasakan kesatuan sekerja dan hak mereka membuat rundingan bersama(CBA). Hentikan semua aktiviti menghancurkan kesatuan sekerja di negara ini.

9. HENTIKAN DISKRIMINASI PEKERJA BERASASKAN GENDER DAN ORIENTASI SEKSUAL

• Jamin hak pekerja wanita dan mansuhkan undang-undang, polisi dan tindakan yang mengakibatkan diskriminasi.
• Gubal Akta Kesaksamaan Gender (Gender Equality Act). Hentikan segala bentuk diskriminasi dan gangguan terhadap wanita di tempat kerja.
• Iktiraf pekerja domestik dan melindungi hak mereka dengan pembentukan undang-undang yang baru.
• Kuatkuasakan Konvensyen berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan gubal Akta Gangguan Seksual yang komprehensif.
• Kerajaan juga harus mengubal undang-undang selaras dengan Konvesyen ILO 100 Konvensyen Imbuhan Sama 1997.

10. HENTIKAN PENSWASTAAN PERKHIDMATAN ASAS – Air, elektrik, kesihatan, pengangkutan awam, pendidikan tidak harus diswastakan demi keuntungan. Ianya satu perkhidmatan asas yang harus disediakan oleh kerajaan untuk rakyatnya.

11. HAK ORANG ASAL/ASLI – Iktiraf Hak Tanah Adat Orang Asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status tanah Rizab Orang Asal/Asli di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak). Rancangan pembangunan tanah Orang Asal/Asli hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi mereka.

12. ALAM SEKITAR – Gunakan tenaga alternatif yang bersih dan murah. Hentikan projek yang memudaratkan kesihatan rakyat Malaysia seperti perlombongan Bauksit, Insinerator, Loji Nuklear dan lain-lain; hentikan pengeksportan sampah dari negara asing dan disimpan di landfill serta dibakar secara terbuka; dan hentikan pembakaran tanah perladangan dan pembalakan.

13. PENDIDIKAN PERCUMA DAN HAK PELAJAR – Laksanakan pendidikan percuma kepada semua pelajar, kanak –kanak migran dan pelarian. Mansuhkan AUKU, Akta 174, PTPTN, PTPKN dan semua akta yang mengongkong kebebasan akademik mahasiswa.

14. LAKSANAKAN JAMINAN PERLINDUNGAN SEKURITI SOSIAL untuk semua termasuk Skim Pencen dan kemudahan untuk golongan warga emas. Hak Bekerja Orang Kurang Upaya (OKU) juga harus dijamin. Skim pekerjaan yang memberi peluang pekerjaan untuk OKU harus dilaksanakan.

 

15. KEBEBASAN DAN DAN HAK ASASI
• Mansuhkan Penahanan Tanpa Bicara – Mansuhkan akta zalim macam Prevention of Crime Act 1959 (POCA) , Prevention of Terrorism Act (POTA) dan SOSMA . Akta-akta baru yang digubal kena memastikan tidak ada penahanan tanpa bicara.
• Mansuhkan Akta Hasutan (1948) serta segala undang-undang yang menindas kebebasan bersuara rakyat. Pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia yang menyekat kebebasan rakyat bersuara harus dibatalkan.
• Kebebasan Media dimana media utama dan alternatif harus diberi kebebasan untuk memberi maklumat sebenar kepada rakyat. Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang menyekat kebebasan ini harus dimansuhkan. #oleh Jawatankuasa Mei 1, 2020

Deklarasi ini disokong oleh:

1. Agora Society
2. Aliran
3. All Women’s Action Society (AWAM)
4. Angkatan Mahasiswa UM
5. Asylum Access Malaysia (AAM)
6. BENTARAKATA
7. Beyond Borders Malaysia
8. Borneo Komrad
9. Center For Orang Asli Concerns (COAC)
10. Centre for Independent Journalism (CIJ)
11. Community Development Centre (CDC)
12. Demokrat UM
13. Diversiti Malaysia
14. Gabungan Pemandu Lori
15. Gerakan Mahasiswa Maju UOM GMMUPM
16. Gerakan Pembebasan Akademik
17. Greenpeace Malaysia
18. Jaringan Flat Kos Rendah Marhaen
19. Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
20. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)
21. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
22. Jawatankuasa Bekas Pekerja Tamil Nesan
23. Jawatankuasa Bertindak Orang Asli Pos Lanai
24. Jawatankuasa Petani dan Penternak Semenanjung Malaysia, Marhaen
25. Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML)
26. Justice for sisters
27. Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia
28. Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia
29. Klima Action Malaysia (KAMY)
30. KLSCAH Women Division
31. KLSCAH Youth Division
32. Knowledge and Rights with Young people through Safer Spaces (KRYSS)
33. Kuliah Buku
34. Liga Rakyat Demokratik
35. Malaysia Muda
36. Malaysians Against Death Penalty and Torture (MADPET)
37. Marahean Institute
38. National Union of Plantation Workers (NUPW)
39. New Era University College Student Union NEUCSU
40. North South Initiative (NSI)
41. Our Journey
42. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
43. Pelangi Campaign
44. Pemuda PSM
45. Pemuda Sosialis
46. Peoples Like Us Support Ourselves (PLUsos)
47. Persahabatan Semparuthi
48. Persatuan Alam Sekitar Klang
49. Persatuan Kebajikan Tanah Perkuburan Tamil (Hindu Kristian) Paling Jaya, Semenyih
50. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower)
51. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
52. Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
53. Pusat Komas
54. Queer Lapis
55. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
56. Seksualiti Merdeka
57. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
58. Suara Siswa UM
59. Tenaganita
60. UMANY
61. University of Malaya Students Union
62. UTM-MJIIT Voices
63. Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Malaysia (RUM)

Majikan harus beri lebih keutamaan kepada keselamatan, kebajikan dan nyawa pembersihan

Majikan harus beri lebih keutamaan kepada keselamatan, kebajikan dan nyawa pembersihan

oleh M. Sarasvathy

Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) mengucapkan terima Kasih kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah yang telah mengeluarkan arahan untuk menjalankan saringan COVID-19 ke atas kakitangan yang bekerja di Hospital Teluk Intan. Arahan ini telah dikeluarkan pada 26 Mac 2020. Akan tetapi, beliau juga menafikan dakwaan yang dikemukakan dalam kenyataan oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) pada 25 Mac 2020 mengenai 7 orang pekerja pembersihan di Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan yang dilarang oleh majikan Edgenta UEMS untuk melakukan saringan COVID-19.

Berkenaan dengan isu ini, kami telah dimaklumkan bahawa 7 orang pekerja pembersihan tersebut telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada 26 Mac 2020, lebih kurang pada pukul 2.00 petang. Terima kasih kepada pihak hospital Teluk Intan yang mengambil berat terhadap kesihatan 7 orang pekerja tersebut lalu menjalankan saringan COVID-19 ke atas mereka. Kami juga berharap saringan COVID-19 akan dijalankan ke atas semua pekerja pembersihan di Hospital Teluk Intan supaya keselamatan mereka lebih terjamin.

Pada masa yang sama, syarikat Edgenta UEMS, majikan kepada pekerja-pekerja pembersihan berkenaan, juga mengeluarkan kenyataan bahawa kesemua 7 orang pekerja pembersihan akan dijalankan saringan atau sedang tunggu untuk saringan berikutan keputusan positif ujian saringan 37 orang petugas Hospital Teluk Intan yang telah dikuarantin. Persoalan kami adalah, kenapa majikan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan lebih awal untuk pekerja-pekerja tersebut sebaliknya bersikap sambil lewa terhadap kesihatan mereka? Malah, pekerja dilarang oleh Penyelia Edgenta UEMS yang bernama Pn. Azilah untuk menjalankan saringan COVID-19 pada 25 Mac 2020.

Pekerja-pekerja tersebut juga diugut oleh Azilah bahawa jika sesiapa memberitahu dan mendedahkan sebarang perkara atau masalah yang berlaku di hospital kepada kesatuan, mereka akan diberhentikan kerja. Azilah mendakwa bahawa Kesatuan tidak ada kena mengena dengan pekerja dan tiada kesatuan di bawah majikan Edgenta UEMS, serta kesatuan hanya wujud di bawah majikan NS Medik Sdn. Bhd. sebelum ini.

Kesatuan KPSPSHKSM mengecam sekeras-kerasnya dakwaan pihak majikan Edgenta UEMS berkaitan dengan kesatuan. Adalah jelas menunjukkan bahawa tindakan Azilah tersebut merupakan pemangsaan ke atas ahli kesatuan sekerja (union busting). Kesatuan sekerja itu adalah untuk pekerja dan status kesatuan bukanlah ditentukan oleh penukaran atau pengambilalihan oleh majikan baru.

Pada masa kini, negara kita sedang menghadapi krisis yang serius disebabkan oleh wabak COVID-19. Malah, kerajaan telah melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020 untuk kebaikan rakyat Malaysia. Akan tetapi, Edgenta UEMS yang sepatutnya memberikan lebih perhatian kepada langkah-langkah keselamatan untuk pekerja pembersihan, tidak berbuat sedemikian malah memesongkan perkara ini kepada perkara lain yang tidak serius untuk masa kini.

Kesatuan menggesa pada pihak Edgenta UEMS supaya tidak memutarbelitkan fakta dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih efisyen untuk menjamin keselamatan pekerja-pekerja pembersihan yang juga merupakan barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus untuk membendung wabak COVID-19.

==========

M. Sarasvathy ialah Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM).

Mengapa bilangan kes baru COVID-19 masih meningkat?

Mengapa bilangan kes baru COVID-19 masih meningkat?

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Rakyat Malaysia dikejutkan pada 23 Mac 2020 dengan berita bahawa bilangan kes baru COVID-19 di Malaysia telah bertambah seramai 212 orang pesakit. Ini telah membawa kepada jumlah kes keseluruhannya 1518 orang pada 23 Mac 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah memaklum bahawa 212 kes baru telah dikenalpasti dalam dua puluh jam yang tamat pada 12 tengah hari 23 Mac 2020. Jadual di bawah merumuskan bilangan kes baru yang didiagnosis di Malaysia setiap hari sejak 14 Mac 2020.

Series 1: Bilangan kes baru COVID19 di Malaysia

20200325 - series1

Adakah strategi Perintah Kawalan Pergerakan kurang tepat? 

Bilangan kes keseluruhan pesakit COVID-19 adalah 238 orang pada 14 Mac 2020. Ianya telah naik secara mendadak kepada 1518 kes dalam tempoh 8 hari. Ada orang awam yang menyoal mengapa begitu banyak kes baru COVID-19 masih berlaku walhal negara kita telah mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac 2020.

Jawapannya adalah, Perintah Kawalan Pergerakan hanya akan mengurangkan jangkitan baru selepas tarikh dikuatkuasakan secara berkesan (iaitu 18 Mac 2020). Namun, oleh kerana tempoh inkubasi untuk COVID-19 adalah 3 hingga 12 hari, seorang yang dijangkiti hanya akan mula menunjukkan gejala-gejala COVID-19 seperti demam, batuk dan sakit badan antara 3 hingga 12 hari selepas dia dijangkiti virus itu (tempoh masa purata inkubasi adalah 6 hari). Jadi, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mula dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, mereka yang sudahpun dijangkiti virus sebelum tarikh tersebut akan mengalami gejala penyakit COVID-19 selepas tarikh itu. Kita hanya boleh melihat pengurangan dalam kadar kes baru 6 hingga 10 hari selepas tarikh penguatkuasaan PKP, iaitu antara 25 Mac 2020 hingga 29 Mac 2020.

Adakah kadar kematian akan menurun selepas 30 Mac 2020? 

Kadar kemasukan kes ke Unit Jagaan Rapi (ICU) dan kadar kematian tidak akan menurun serentak dengan penurunan kadar kes baru. Sebelum kita ke situ, saya ingin menerangkan bahawa bukan semua kes Covid-19 perlu rawatan ICU. Statistik daripada negera China menunjukkan bahawa 80% kes COVID-19 boleh dirawat di wad biasa dengan ubat batuk dan ubat tahan demam, dan mereka akan sembuh dalam jangka masa 2 minggu. 15% daripada semua kes COVID-19 mengalami kesusahan dalam bernafas dan memerlukan rawatan oksigen yang boleh diberi melalui tiub hidung di wad biasa. Hanya 5% pesakit akan mengalami kesesakan nafas teruk dan memerlukan rawatan di ICU. Jika 5% ini menerima rawatan yang sesuai, 4 daripada 5 orang antara mereka ini akan pulih. Hanya seorang antara setiap 5 orang yang memerlukan rawatan ICU akan meninggal dunia walaupun rawatan yang sesuai diberikan padanya.

20200325 - timeline

Gambarajah di atas menunjukkan bagaimana pengenalpastian kes COVID-19 biasanya berlaku 7 hari selepas pesakit itu dijangiti virus, dan kemasukan ke ICU pula berlaku sepuluh hari selepas diagnosis untuk 5% antara keseluruhan yang didiagnosis. Dan daripada itu, untuk 1% pesakit yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19, secara puratanya mereka meninggal dunia 14 hari selepas kemasukan ke ICU.

Jadi bilangan kemasukan kes ke ICU hanya akan berkurang mulai 10 hari selepas kemuncak bilangan kes baru COVID-19. Dan bilangan kematian setiap hari akan berkurang 24 hari selepas kemuncak kes baru COVID-19.

Bolehkah Perintah Kawalan Pergerakan dapat ditamatkan pada 31 Mac 2020?

Saya rasa tidak boleh. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerana sistem kesihatan negara kita tidak dapat mengawal dan mengurangkan penularan penyakit COVID-19 di kalangan rakyat pada takat itu. Apabila terlalu ramai orang dijangkiti pada tempoh masa yang sama, sistem kita tidak mampu mengenalpasti semua kontak dan kuarantin mereka dengan selamat. Jika kita dapat mengasingkan semua kes penyakit COVID-19 di dalam hospital, dan mengasingkan semua kontaknya, ia tidak membawa kepada situasi seperti yang kita perhatikan di negara Itali. Di Itali, bilangan kes baru adalah 3,000 sehari dan sistem kesihatan Itali tidak mampu memberi kesemua pesakit rawatan yang sepatutnya diberi. Itulah sebabnya kadar kematian di Itali sudah mencapai 9% daripada semua kes yang dikenalpasti. (Kadar kematian di China di luar Wilayah Hubei adalah hanya 1%.)

Kerajaan kita telah mengambil keputusan yang bijak dalam mengumumkan PKP supaya kami dapat memasang tembok pertahanan terhadap wabak COVID-19 ini. Pada saya, kita perlu mengurangkan kes baru di Malaysia ke bawah 50 sehari sebelum kita melepaskan tembok pertahanan ini. Barulah sistem kesihatan kita akan dapat mengasingkan kes-kes baru itu, dan juga mencari dan mengkuarantin semua kontak-kontak mereka. Matlamat kita adalah untuk membawa bilangan jangkitan dalam negara kita ke angka sifar seperti telah dilakukan di wilayah Hubei di negara China. Tetapi jika berjaya mencapai itu pun, kita perlu terus berjaga-jaga kerana wujudnya risiko tinggi kes-kes COVID-19 akan diimport semula ke Malaysia oleh pelawat ataupun warga Malaysia yang melawat ke luar negara.

Saya juga berpandangan bahawa bilangan kes baru tidak akan turun kepada 50 sehari pada 31 Mac 2020 dan tempoh PKP harus dilanjutkan untuk sekurang-kurangnya satu minggu lagi. Saya sedar bahawa PKP ini menyusahkan rakyat kerana ramai sudah menghadapi masalah kewangan untuk membeli keperluan harian. Tetapi jikalau kita menghentikan PKP terlalu cepat, wabak COVID-19 akan meletup semula dan ianya akan membawa masalah yang lebih besar kepada kita semua. Kerajaan harus menangani situasi kekangan wang dengan melaksanakan bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) secepat mungkin supaya sebahagian besar keluarga B40 mendapat sedikit wang untuk menguruskan keluarga mereka buat masa ini.  (Nota: Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pada 25 Mac 2020 bahawa PKP akan dilanjutkan 2 minggu lagi sehingga 14 April 2020.)

Tulisan saya sampai setakat ini dahulu.  Tolong mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Ianya dilaksanakan untuk kebaikan umum. Dan pada masa yang sama, hulurkanlah bantuan kepada jiran-jiran yang menghadapi masalah dalam memperolehi makanan untuk keluarga. Cuba menganjurkan bantuan di peringkat komuniti saudara-saudari masing-masing, tetapi jika tidak dapat memberi bantuan secukupnya, hubungilah pihak kerajaan. Kita boleh mengatasi masalah wabak COVID-19 ini jika kita semua bekerjasama dan bertindak atas prinsip solidariti sesama manusia.

========== 

Dr Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan seorang doktor pakar pernafasan dan anggota kepada Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK).

Ujian COVID-19 dan KWSP: Jangan umum sesuatu sebelum berfikir betul-betul

Ujian COVID-19 dan KWSP: Jangan umum sesuatu sebelum berfikir betul-betul

oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya berhenti membuat keputusan tergesa-gesa pada ketika seluruh negara sedang menempuh kesusahan. 

1. Isu bayaran ujian COVID-19

Perdana Menteri berkata dalam sidang akhbar tengahari tadi (23 Mac 2020) bahawa warga asing perlu membayar untuk ujian COVID-19. Namun, nasib baiknya Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hashim Abdullah menjelaskan kemudian bahawa ujian COVID-19 di mana-mana klinik atau hospital di bawah Kementerian Kesihatan adalah PERCUMA untuk semua orang termasuk warga asing. Ketika kita sedang sibuk melawan pandemik ini dan menggalakkan warga migran, termasuk mereka yang tanpa dokumen, untuk keluar mendapatkan ujian dan rawatan jika mereka mempunyai simptom penyakit, kenyataan daripada Muhyiddin Yassin sebegini adalah tidak bertanggungjawab. Ini bukan masanya untuk menjimat kos ataupun terus melaksanakan dasar-dasar yang bersifat diskriminasi. Serangan virus itu tidak mendiskriminasi sesiapa pun.

PSM menyeru pada Perdana Menteri, Menteri Kesihatan dan Ketua Polis Negara supaya memberi jaminan yang jelas bahawa sesiapa yang mempunyai simptom boleh menjalani ujian dan rawatan COVID-19 secara percuma dan tanpa sebarang gangguan. Jaminan ini penting kerana golongan migran dan pelarian di negara kita akan berasa lega untuk tampil ke hadapan tanpa ketakutan daripada ditangkap atau didakwa atau dihantar pulang ke negara asal apabila mereka menjalani ujian saringan atau rawatan COVID-19.

PSM juga menyeru pada Kerajaan untuk mengisytihar moratorium ke atas operasi penangkapan imigresen selama 6 bulan. Kerajaan harus menubuhkan satu jawatankuasa bersama dengan komuniti pekerja asing untuk membantuk Kementerian Kesihatan dalam mengenalpasti dan menghubungi kes-kes COVID-19 dalam kalangan mereka di samping menyampaikan maklumat kesihatan kepada pekerja-pekerja asing.

2. Pengeluaran simpanan KWSP

PSM bersetuju dengan pendirian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mengkritik Kerajaan Perikatan Nasional kerana membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan wang maksimum RM500 sebulan sehingga bulan Disember ini. Ini merupakan satu tindakan yang tidak bijak dan tidak dipertimbangkan betul-betul. Kebanyakan orang yang memang menghadapi kesusahan hidup sebenarnya tidak mempunyai akaun simpanan KWSP pun, seperti petani, pekerja dalam sektor ekonomi gig dan sebagainya. Oleh sebab Kerajaan sudahpun menyatakan bahawa majikan tidak boleh memotong gaji dan adanya Skim Insurans Pekerjaan (SIP) untuk membantu pekerja-pekerja yang menghadapi pemberhentian kerja, maka adalah tidak perlu untuk ini. Pendekatan sebegini akan sekali lagi menghakis kebajikan hari tua pekerja dan mewujudkan lubang besar dalam jaring keselamatan mereka.

==========

S.Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pekerja migran derita kerana syarikat milik CMI Melaka gagal laksana tanggungjawab sebagai majikan yang berperikemanusiaan

Pekerja migran derita kerana syarikat milik CMI Melaka gagal laksana tanggungjawab sebagai majikan yang berperikemanusiaan

BANDAR BARU BANGI, SELANGOR – 17 FEBRUARI 2020: Seramai 130 orang pekerja migran dari Bangladesh tidak dibayar gaji 5 bulan dan terpaksa hidup dalam keadaan menderita tanpa pendapatan asas untuk makanan serta keperluan asas lain, kerana majikan yang mengupah mereka gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk melindungi hak asasi pekerja. Lebih-lebih lagi, pemegang saham terbesar syarikat yang tidak mempedulikan kebajikan pekerjanya ini ialah sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Melaka,  Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI).

Sekumpulan wakil untuk pekerja yang diupah oleh SSN Medical Products Sdn Bhd telah membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Cawangan Bangi pada hari ini kerana majikan mereka gagal membayar gaji dari bulan Oktober 2019 sehingga sekarang. Selain itu, majikan mereka juga tidak memperbaharui permit kerja pada tahun lalu untuk semua pekerja migran yang dibawa masuk sejak bulan Mei 2018. Pekerja-pekerja migran ini masih bekerja selepas tamat tempoh permit kerja kerana kontrak mereka adalah untuk 3 tahun. Majikan juga tidak membeli tiket penerbangan pulang ke negara asal untuk semua perja walaupun permit kerja sudah tamat tempoh sejak bulan Mei 2019, seperti dikehendaki undang-undang.

Pemegang saham yang terbesar sekarang untuk SSN Medical Products Bhd Bhd dengan kilang pengeluar barangan perubatan getah yang terletak di Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan, Selangor, ialah Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) yang memiliki 80% daripada jumlah saham syarikat tersebut.

Syarikat SSN Medical Products Bhd Bhd membawa masuk 130 orang pekerja dari Bangladesh melalui perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan Bangladesh (G2G) sejak tahun 2018. Pekerja-pekerja ini dibawa masuk secara berperingkat dalam lima kumpulan mulai bulan Mei 2018. Pekerja-pekerja ini mempunyai kontrak pekerjaan dengan syarikat tersebut untuk tempoh 3 tahun dari tarikh masuk ke negara ini. Permit kerja mereka hanya diambil untuk jangkamasa setahun ketika mereka dibawa masuk, iaitu tamat tempoh permit antara bulan Mei 2019 hingga Januari 2020. Namun, pihak syarikat gagal memperbaharui permit kerja mereka sehingga hari ini.

Pasport untuk pekerja-pekerja ini masih dipegang oleh pihak majikan. Keadaan ini menyebabkan mereka sering menghadapi gangguan daripada pihak polis kerana tidak memiliki dokumen sah, walaupun keadaan ini wujud bukan kerana kesalahan mereka.

Menurut pekerja-pekerja migran ini, pengeluaran syarikat telah berkurangan dan jumlah hari bekerja juga semakin berkurangan sejak bulan November 2019. Kelewatan dalam pembayaran gaji bermula sejak bulan Julai 2019, kemudiannya langsung tidak dibayar gaji sejak bulan Oktober 2019. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa meminjam wang daripada kawan-kawan lain untuk mendapatkan keperluan asas mereka. Pekerja-pekerja ini tinggal di asrama yang disediakan oleh majikan dengan RM50 dipotong daripada gaji mereka setiap bulan.

Pihak pekerja juga pernah mengadu masalah ini kepada Kedutaan Bangladesh pada bulan Ogos 2019 dan 8 Feb 2020, namun tiada sebarang tindakan diambil. Pada 12 Feb 2020, pekerja-pekerja telah membuat satu aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja di Putrajaya.

Memandangkan situasi pekerja semakin teruk, di samping pihak majikan langsung tidak mengambil peduli tentang kebajikan dan kesihatan pekerja, dalam aduan yang dibuat di JTK Bangi pada hari ini, para pekerja menggesa JTK Bangi untuk mengambil tindakan berikut:

  • Mendapatkansemula gaji 3 bulan pekerja berkenaan yang disimpan oleh pihak majikan sebagai deposit sekuriti.
  • Mendapatkan semula gaji pekerja yang tidak dibayar dari bulan Oktober 2019 hingga Februari 2020 (5 bulan).
  • Menguruskan pas sementara untuk semua pekerja berkenaan(yang tamat tempoh permit kerja) sehingga gaji tertunggak dan  pampasan yang lain dibayar penuh.
  • Memastikan majikan membelikan tiket penerbanganuntuk semua pekerja yang berkenaan supaya mereka dapat kembali ke negara asal selepas di ayar gaji tertunggak dan pampasan lain.

Aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Kajang, Letchimi Devi dan Vaani, telah membantu pekerja-pekerja migran ini untuk mengemukakan aduan mereka kepada pihak JTK. Turut hadir bersolidariti untuk pekerja migran ini ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM.

“Kami berharap pihak JTK akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan perkara ini memandangkan situasi pekerja-pekerja ini yang tidak mempunyai sebarang pendapatan atau simpanan untuk keperluan asas mereka. Tanpa dokumen sah, mereka juga tidak boleh bekerja di tempat lain,” kata Letchimi Devi.

Penternak jadi mangsa kepada pembangunan yang abaikan kesejahteraan rakyat marhaen

Penternak jadi mangsa kepada pembangunan yang abaikan kesejahteraan rakyat marhaen

oleh Gandi CF

Sejak kebelakangan ini, timbulnya banyak isu berkaitan dengan penternak dan petani, terutamanya isu pengusiran paksa. Beberapa bulan yang lepas, pihak pengurusan syarikat Sime Darby telah mengeluarkan notis pengusiran paksa kepada semua penternak yang mengusahakan penternakan lembu dan kambing di ladang-ladang Sime Darby, dan kelmarin pula satu kandang di Bukit Tinggi, Selangor, telah dirobohkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang. Apakah nasib penternak selepas ini?

Apabila isu-isu pengusiran paksa diviralkan dalam laman media sosial, saya rasa sakit hati apabila terbaca komen-komen yang ditulis. Begitu sempit pemikiran segelintir rakyat Malaysia di mana mereka tidak dapat membezakan antara isu penternak dengan isu perkauman. Masalah ini adalah masalah seorang penternak yang menghadapi pengusiran paksa, dan jangan pandang dari sudut perkauman.

Apakah masalah sebenarnya yang dihadapi oleh penternak?

Sebenarnya, penternak ini menternak di sesuatu kawasan untuk beberapa generasi tetapi mereka mula mengalami masalah apabila sesuatu kawasan itu berlaku pembangunan. Masalah ini wujud akibat perancangan pembangunan yang tidak seimbang dan mengabaikan bidang pertanian. Baru-baru ini, kita dapati kebanyakan kerajaan negeri melantik penguatkuasa untuk menangkap lembu-lembu yang berkeliaran di tempat awam dan usaha ini dapat sambutan baik daripada kalangan orang ramai, tetapi sebab lembu-lembu itu berkeliaran tidak diketahui oleh orang ramai. Punca sebenarnya, kawasan-kawasan tersebut merupakan kawasan penternakan dari dulu lagi, tetapi akibat daripada berlakunya pembangunan, maka ternakan tersebut tiada lagi tempat untuk meragut dan terpaksa berkeliaran di kawasan awam.

Persoalan di sini adalah, mengapa kerajaaan tidak menyediakan atau menawarkan tempat lain untuk penternak-penternak ini, sebaliknya beria-ia untuk mengambil tindakan pengusiran paksa. Sepatutnya sebelum sesuatu perancangan pembangunan dilakukan, perlu buat tinjauan terlebih dahulu. Selesaikan masalah penternak dan bincang terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan. Sekiranya tempat yang sesuai sudah ditawarkan, tetapi penternak masih berdegil untuk tidak berpindah, barulah ambil tindakan, tetapi perkara ini tidak berlaku. Nampaknya kerajaan langsung tidak mempedulikan penternak.

Kawasan ladang diberi notis pengusiran, kawasan bandar pun diberi notis pengusiran. Jadi, ke manakah penternak ini akan pergi? Ada antara kalangan kita akan bertanya, kenapa tidak beli tanah sendiri? Untuk menjalankan aktiviti penternakan, perlunya tanah yang luas. Harga tanah yang terlalu tinggi menjadi batu penghalang untuk penternak memiliki tanah sendiri, terutamanya penternak kecil-kecilan. Lagipun, di mana adanya tanah untuk dibeli? Memang sukar sekali. Jika ada tanah pun, harganya adalah jauh lebih tinggi daripada kemampuan penternak itu sendiri. Oleh itu, isu penternak adalah serius dan perlu mencari jalan penyelesaian untuk menjamin kesejahteraan penternak. Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk menyelamat sektor penternakan.

==========

Gandi CF ialah aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Seremban. Beliau juga merupakan seorang penternak.

PSM Launches Climate Crisis Campaign 2020. Declare Climate Emergency!

PSM Launches Climate Crisis Campaign 2020. Declare Climate Emergency!

PRESS STATEMENT PARTI SOSIALIS MALAYSIA 21ST JAN, 2020

In response to climate crisis, Parti Sosialis Malaysia (PSM) passed a motion during 2017 National Congress conduct a study on reducing greenhouse gases. After in depth consultations with civil societies (CSOs) and PSM’s researchers in the last two years, PSM has completed a policy document to address several aspects of climate crisis.

In 2019 National Congress PSM passed a motion to launch a national campaign to address the urgent need to tackle climate change. Based on this document, PSM is launching a nationwide campaign demanding the government to “Declare Climate Emergency.”

Malaysia’s ‘business as usual‘ attitude is prevented from taking drastic but necessary measures to tackle the climate crisis.

Why we need to declare Climate Emergency Now?

  1. Deforestation is happening at an alarming rate, with land and natural resources under purview of the state, we are unable to regulate deforestation effectively.
  2. Our path to economic progress is unsustainable, with contradicting policies that demand exploitation of natural resources and preservation at the same time.
  3. Complete disregard for environmental effects by approving over-development Penang South Reclamation (PSR) is approved with ‘kelulusan bersyarat’.
  4. Failure by the government to reduce Malaysia’s absolute greenhouse gases emission.

Hence, PSM will launch “Declare Climate Emergency !” with the Phase 1 (January-2020 until May-2020) consisting of;

  1. First 10 Demands to six (6) Ministry which is crucial to reduce our GHG emission (letters sent to respective Ministries). Refer to Table 1 below.
  2. Social Media and mass media campaign to educate public about climate crisis.
  3. Conduct regional activities such as roadshow, forums and roundtables (refer Table 2) with communities, PSM branches, campuses and CSOs on GHG in;
    a. Seberang Perai, Penang
    b. Ipoh, Perak
    c. Pasir Gudang, Johor
  4. Call for action with members of public, grassroots and CSOs for Earth Day 2020.
  5. Political pressure for Pakatan Harapan to enact Declare Climate Crisis in Parliament.

Phase 2 will commence in other state(s) such as Pahang, Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan and Perlis.
PSM will be monitoring the progress of the First 10 Demands by respective ministries. PSM’s Climate Crisis Campaign 2020: “Declare Climate Emergency” was meant to empower grassroots and communities to push necessary change.

PSM calls upon the Pakatan Harapan led government to execute fast pace actions to reduce greenhouse gases to avoid catastrophic impact due climate crisis. Malaysia could only push developed and hypocritical nations after setting good example by becoming a carbon neutral nation.

Members of publics and organization who wish to get involved, volunteer and/or support could do so by contacting 019-4479734. Alternatively, follow Parti Sosialis Malaysia at our social media (Facebook, Twitter, Instagram) and website.

Issued by;

SHARAN RAJ
Central Committee
Bureau for Environment & Climate Crisis
Parti Sosialis Malaysia (PSM)

21 January 2020.

Mengapa Mahathir mahu hidupkan kembali mayat mumia yang sudah mati?

Mengapa Mahathir mahu hidupkan kembali mayat mumia yang sudah mati?

oleh Nik Aziz Afiq

Kita dikejutkan dengan pengumuman Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, baru-baru ini yang mahukan Pengajaran dan Pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dikembalikan. Kami merasakan kesal kerana selaku orang yang berpengalaman, nampaknya Mahathir tidak belajar dari sejarah dan bakal mengulangi kesilapan yang sama lagi. Mangsanya nanti adalah pelajar kita terutama pelajar sekolah luar bandar.

Tidak dinafikan bahawa ada terdapat kebaikan dalam pelaksanaan PPSMI, tetapi kita juga harus melihat implikasi buruk yang bakal dihadapi. Ia tidak sukar untuk diagak kerana kita pernah mengalaminya sendiri sebelum ini dan akhirnya memansuhkannya pada tahun 2009. Mengapa mayat yang sudah dikuburkan mahu dihidupkan semula?

Lupakah Tun pada tahun 2007, dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College di Amerika Syarikat, menunjukkan Malaysia mengalami kemerosotan mata paling signifikan dalam kalangan 59 buah negara yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut?

Kajian 2007 tersebut yang membandingkan dengan data tahun 2003, menunjukkan kemerosotan ketara dalam kalangan pelajar untuk penguasaan subjek Sains Matematik sejak PPSMI diperkenalkan. Kita jatuh 34 skor mata untuk penguasaan Matematik dan penurunan kepada 40 mata bagi matapelajaran Sains.

Kami mendesak sebelum apa-apa dasar berkenaan pendidikan hendak dilaksanakan, ia mestilah dilakukan kajian terperinci terlebih dahulu dengan mendengar pandangan pelbagai pihak, terutama kesatuan guru-guru yang akan terlibat terus sebagai pelaksana dasar ini.

Tindakan tergopoh-gapah pihak kerajaan pada tahun 2002 dulu telah memangsakan pelajar generasi tersebut, maka apakah kerajaan mahu bereksperimen lagi dengan halatuju dan nasib pelajar masa kini?

Pihak kementerian harus mencari fomula lain dalam meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar, PPSMI bukanlah formula tersebut. Ia telah diuji dan telah ternyata gagal.

Tidak perlu khuatir pelajar akan keliru kerana Sains Matematik ini datang dari Bahasa Inggeris dan bukan bahasa asal tempatan. Ini ditegaskan lagi melalui kajian UNESCO lama dahulu pada tahun 1958, bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda lebih berkesan.

Kami mendesak pelaksanaan ini tidak diteruskan dan pihak kerajaan wajib membuat penilaian semula terhadap langkah ini. Jangan pisang berbuah dua kali. Akhirnya kami berharap ini bukanlah satu tindakan untuk sekadar puaskan hati atau ego PM dan akhirnya nanti akan mengambil langkah U-turn semula selepas peralihan kuasa.

==========

Nik Aziz Afiq Bin Abdul ialah Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia.