KDN sekat hak pengawal keselamatan untuk berhimpun – sesuatu yang tidak masuk akal

KDN sekat hak pengawal keselamatan untuk berhimpun – sesuatu yang tidak masuk akal

 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) cuba menyekat hak pekerja untuk berhimpun dan menyuarakan tuntutan mereka dengan cara mengeluarkan surat peringatan kepada pihak majikan supaya tidak membenarkan pekerja berhimpun.

KDN telah mengeluarkan sepucuk surat kepada Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) (dalam surat ditulis sebagai Persatuan Industri Kawalan Keselamatan) pada 30 Januari 2019 dengan tajuk “Peringatan kepada syarikat kawalan keselamatan untuk tidak membenarkan pengawal keselamatan daripada mengikuti perhimpunan jaminan kerja tetap untuk pekerja kontrak kerajaan sekolah pada 31 Januari 2019, jam 10.30 pagi di Kementerian Malaysia, Putrajaya”.

Dalam surat tersebut, KDN “menasihati semua syarikat kawalan keselamatan supaya tidak membenarkan pengawal keselamatan masing-masing daripada terlibat dengan perhimpunan tersebut. Semua syarikat pembekal perkhidmatan kepada kerajaan mempunyai obligasi untuk memastikan pengawal keselamatan yang dilantik berkelakuan baik, bertatatertib, mematuhi peraturan-peraturan dan tidak melakukan perbuatan-perbuatan buruk, salah laku atau menyalahi undang-undang semasa tempoh perjanjian perkhidmatan”. KDN juga mengatakan bahawa Kementerian Pendidikan memaklumkan kepada KDN tentang perhimpunan tersebut.

Walaupun KDN menggunakan perkataan “menasihati” dalam surat, namun amat jelasnya tujuan surat ini bersifat intimidasi dan memberi amaran kepada syarikat kawalan keselamatan supaya menghalang pekerja-pekerja mereka terlibat dalam aksi perhimpunan berkenaan. KDN merupakan badan kerajaan yang mengeluarkan lesen kepada kesemua syarikat kawalan keselamatan yang mengganggotai PPKKM.

Surat “peringatan” sebegini juga menakut-takutkan pekerja yang hanya ingin mengemukakan tuntutan mereka kepada pihak kerajaan.

Kenapa pengawal keselamatan yang menghadapi masalah ketidakjaminan kerja tidak boleh berhimpun untuk menyuarakan tuntutan mereka supaya hak asasi mereka dilindungi? Adakah berhimpun secara aman untuk menyuarakan tuntutan kepada pihak berkuasa itu sesuatu yang menyalahi undang-undang? Bukankah Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan telah jelas termaktub bahawa “semua warganegara berhak  untuk  berhimpun  secara aman  dan  tanpa  senjata”?

Adakah tindakan seseorang warganegara menggunakan hak demokratik untuk berhimpun secara aman itu sesuatu salah laku atau kelakuan yang tidak baik bagi KDN?

Aksi di hadapan Kementerian Pendidikan yang diadakan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan pada 31 Januari 2019, bertujuan untuk membawa tuntutan pekerja kontrak kerajaan sekolah berkenaan dengan jaminan kerja tetap kepada perhatian pihak Kementerian Pendidikan yang menyumberkan luar perkhidmatan sokongan (seperti kawalan keselamatan dan pembersihan) kepada kontraktor swasta.

Pekerja-pekerja pembersihan dan kawalan keselamatan di sekolah-sekolah kerajaan menghadapi masalah besar baru-baru ini apabila kontrak lama digantikan dengan kontrak baru. Ramai pekerja pembersihan di sekolah kerajaan diberhentikan kerja apabila kontraktor baru mengambailalih. Nampaknya Kementerian Pendidikan telah membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah pekerja dan mengakbatkan sebilangan besar pekerja tidak diupah semula oleh kontraktor baru. Pekerja-pekerja ini hilang kerja secara tiba-tiba, tanpa sebarang notis dan tidak diberi pampasan, kerana mereka merupakan pekerja kontrak yang tidak mempunyai jaminan kerja. Oleh yang demikian, pekerja-pekerja yang tidak dijamin kerja mereka terpaksa membawa isu ini kepada perhatian Kementerian Pendidikan.

Penyerahan memorandum kepada Kementerian Pendidikan memang berlangsung secara aman dan lancar, dengan pegawai Kementerian Pendidikan bersedia untuk membincangkan isu ini. Jadi, adalah tidak masuk akal untuk KDN mengeluarkan surat “peringatan” yang menakut-takutkan pekerja supaya tidak hadir dalam aksi ini.

Tindakan KDN mengeluarkan surat “peringatan” kepada PPKKM yang bertujuan untuk mengintimidasi dan menghalang pengawal-pengawal keselamatan daripada membawa isu berkaitan dengan jaminan kerja mereka kepada perhatian Kementerian Pendidikan, adalah sesuatu yang tidak patut berlaku. Tindakan sebegini bukan sahaja mencabuli hak asasi rakyat untuk menyampaikan keluhan dan tuntutan mereka kepada pihak berkuasa, tetapi juga menunjukkan kegagalan pihak KDN dalam memahami kemelut yang dihadapi oleh pengawal-pengawal keselamatan di Malaysia, khususnya mereka yang berkhidmat di premis-premis kerajaan seperti sekolah.