Kelewatan kelulusan kewarganegaraan rampas peluang hidup seperti biasa

Kelewatan kelulusan kewarganegaraan rampas peluang hidup seperti biasa

Source: Sosialis

oleh Dr Jeyakumar Devaraj

Merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman baru-baru ini yang mengatakan bahawa ibu bapa harus bertanggungjawab terhadap masalah yang melibatkan kanak-kanak tanpa dokumen, di mana beban untuk pembuktian anak-anak ini terletak di bahu ibu bapa tersebut, bukannya tanggungjawab kerajaan.

Walaupun kita bersetuju bahawa ibu bapa harus bertanggungjawab tetapi pada masa yang sama, pihak Bahagian Kewarganegaraan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga harus mempercepatkan proses permohonan kewarganegaraan, terutamanya bagi kes-kes di bawah peruntukan Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan. Kini, kesemua permohonan ini ditangani oleh Menteri Dalam Negeri dan ianya mengambil masa yang lama untuk maklum balas.

Untuk mempecepatkan proses, kes-kes ini memerlukan pengubahsuaian prosedur operasi standard (SOP) ataupun tatakerja pihak Jabatan Pendaftaraan Negara (JPN) dan KDN. Ini kerana memandangkan Menteri Dalam Negeri sibuk dengan pelbagai urusan lain, maka kebanyakan kes mengambil masa lebih daripada satu tahun untuk menerima maklum balas. Ini merupakan masalah kepada pihak pemohon kerana permohonan di bawah Perkara 15(A) perlu dibuat sebelum seseorang kanak-kanak itu mencapai umur 21 tahun. Setiap kali permohonan ditolak, tiada sebab diberikan, para ibubapa hanya dinasihatkan untuk memohon semula, dan akhirnya terpulang pula kepada jasa baik Menteri!

Oleh yang demikian, Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencadangkan bahawa kita memerlukan SOP jelas yang menurunkan kuasa kepada pihak JPN untuk menyelesaikan kes-kes ini pada peringkat pentadbiran JPN sendiri mengikut SOP yang jelas.

Cadangan polisi PSM adalah seperti berikut:

1. Kanak-kanak dengan ibu yang bukan warganegara Malaysia dan tidak didaftarkan perkahwinan dengan bapa mereka yang berwarganegara Malaysia

Masalah pertama adalah tatakerja JPN sekarang tidak mengikuti peruntukan yang terkandung dalam Seksyen (1)(a), Bahagian II, Jadual  Kedua Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “tiap-tiap  orang  yang  lahir  di  Persekutuan  dan  sekurang-kurangnya seorang  daripada  ibu  bapanya  pada  masa  kelahiran  itu  seorangw arganegara  atau  bermastautin  secara  tetap  di  Persekutuan” ialah warganegara.

Sebaliknya alasan yang digunakan sejak zaman kerajaan Barisan Nasional dulu adalah mengikut Seksyen 17, Bahagian III, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Berhubung dengan seseorang anak tidak sah taraf, sebutan mengenai bapa orang itu atau mengenai ibu atau bapanya, atau mengenai seorang daripada ibu bapanya adalah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai ibunya.”

Oleh kerana rujukan pada Seksyen 17 ini, walaupun nama bapa tertera dalam sijil kelahiran dan kedua-dua ibu dan bapa menyatakan orang berkenaan memang bapa kepada anak itu, kerakyatan anak masih ditentukan mengikut status ibu. Walaupun ujian DNA dijalankan ke atas bapa si anak yang membuktikan dia memang bapa kandung, ianya juga diketepikan dalam amalan JPN pada takat ini.

Oleh kerana pendekatan sebegini, semua kes dalam kategori ini dikendalikan sebagai kes di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: “Kerajaan Persekutuan boleh, dalam  apa-apa  hal  keadaan  khas  yang  difikirkannya  patut, menyebabkan  mana-mana  orang  yang  di  bawah  umur  21  tahun  didaftarkan  sebagai  warganegara”, dan ramai antara mereka ditolak permohonan kewarganegaraan berulang kali tanpa sebab.

Maka, PSM mencadangkan agar Kerajaan Pakatan Harapan harus mengunakan kuasa Kerajaan Persekutuan yang terkandung dalam Seksyen 15(A) – “Kerajaan Persekutuan boleh, dalam  apa-apa  hal  keadaan  khas  yang  difikirkannya  patut, menyebabkan  mana-mana  orang  yang  di  bawah  umur  21  tahun  didaftarkan  sebagai  warganegara” – untuk mengubal SOP baru dalam meluluskan kewarganegaraan bagi mana-mana kanak-kanak yang dilahir di Malaysia dan mempunyai bapa yang dibuktikan sebagai warganegara Malaysia (jika bapa dapat dikenalpasti melalui rekod dalam sijil kelahiran ataupun melalui ujian DNA). Permohonan ini harus diluluskan di peringkat JPN dan bukannya dirujuk kepada Menteri Dalam Negeri.

2. Kanak-kanak yang ibu kandung mereka bukan warganegara dan bapa mereka tidak diketahui kewarganegaraannya, yang dianakangkat oleh keluarga berwarganegara Malaysia

Pada takat ini, kes-kes seperti ini diberi ruang memohon kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan yang telah dihuraikan di atas. Biasanya mereka ditolak berulang kali tanpa diberi sebab. Ini amat menyusahkan kanak-kanak tersebut untuk memperolehi khidmat pendidikan dan kesihatan kerana dianggap bukan warganegara.

PSM mencadangkan bahawa, memandangkan kanak-kanak berkenaan ialah “orang tidak bernegara” (stateless) dan tidak boleh dihantar balik ke mana-mana negara lain memandangkan mereka sudah menjadi sebahagian daripada keluarga warganegara Malaysia, SOP JPN harus diubahsuai supaya semua kes di bawah kategori ini diluluskan kewarganegaraan mereka jika mereka telah dianak angkat oleh keluarga warganegara Malaysia selama lima tahun ataupun lebih. Kuasa untuk melulus perkara ini harus diturunkan ke pegawai tinggi JPN dan dijadikan keputusan pentadbiran dan bukan keputusan berasaskan budi bicara Menteri Dalam Negeri.

3. Kanak-kanak yang dibesarkan di rumah anak yatim

PSM juga ingin mengetengahkan kes-kes berkenaan anak-anak yang dibesarkan di rumah anak yatim yang tidak dapat dipastikan kewarganegaraan ibu bapa mereka. Adanya beberapa ratus individu yang telah ditinggalkan oleh keluarga mereka semasa mereka masih kecil dan dibesarkan di asrama anak yatim. Biasanya pihak pengurusan rumah anak yatim akan mendaftarkan mereka di JPN dan mereka dikeluarkan sijil kelahiran. Tetapi, nama dan kewarganegaraan ibu dan bapa tidak dicatit, dan oleh itu mereka ditakrif sebagai “bukan warganegara”.

Mereka yang dianakangkat oleh warganegara Malaysia boleh memohon di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan, tetapi ramai tidak dianakangkat dan terpaksa mengharungi hidup mereka sebagai seorang bukan warganegara. Permohonan melalui peruntukan Perkara 15(A) tertutup untuk mereka yang telah mencapai umur 21 tahun. Mengikut SOP JPN yang sedia ada, individu dalam kategori ini boleh memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 19 (2) Perlembagaan Persekutuan, tetapi permohonan sebegini jarang diluluskan.

Ketiadaan kewarganegaraan amat menyusahkan anak-anak yatim ini. Mereka menghadapi masalah untuk hadir ke sekolah. Apabila mereka mencapai umur 20 tahun, mereka menghadapi masalah mencari kerja. Oleh sebab tanpa kad pengenalan, mereka tidak boleh mendaftarkan diri dengan KWSP ataupun PERKESO. Mereka hanya boleh mencari kerja yang “tidak formal” bercorak kontrak, dengan gaji harian yang rendah. Mereka tidak boleh membuka akaun bank ataupun mendapatkan lesen memandu.

Apabila mereka berkahwin, mereka tidak dapat mendaftarkan perkahwinan mereka, kerana JPN memerlukan kad pengenalan atau pasport asing untuk mendaftarkan perkahwinan. Oleh itu, anak-anak mereka diiktirafkan sebagai lahir di luar nikah. Anak-anak kepada wanita yang tiada kad pengenalan terus diiktiraf sebagai “bukan warganegara” juga, dan masalah ini berterusan sehingga generasi seterusnya. Jika mereka jatuh sakit, mereka menghadapi banyak masalah untuk mendapatkan rawatan. Hospital kerajaan akan mencaj mereka pada kadar warga asing, iaitu berlipat kali ganda berbanding dengan caj terhadap warganegara Malaysia.

Anak-anak yatim ini tidak boleh disalahkan kerana status mereka yang tidak diketahui, memandangkan mereka sendiri tidak mengetahui tentang ibu bapa mereka. Memandangkan juga mereka akan terus tinggal dan kerja di Malaysia, adalah wajar bagi sebuah negara yang menegakkan keadilan  untuk menyelesaikan masalah mereka dengan segera.

JPN harus diberi SOP baru untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan Malaysia melalui Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutan kepada semua anak-anak yatim yang dibesarkan di rumah-rumah anak yatim sejak kecil walaupun ibu dan bapa mereka tidak dapat dikenalpasti. Kuasa ini harus diturunkan kepada pegawai tinggi JPN dan dijadikan satu keputusan pentadbiran dan bukannya keputusan berasaskan budi bicara Menteri. Pengubahsuaian ini tidak memerlukan sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan kerana kuasa untuk melakukannya adalah termaktub dalam Seksyen 19(2).

Jangan nafikan peluang golongan tanpa kewarganegaraan untuk menjalani kehidupan seperti orang lain

Kelewatan meluluskan dan memberi maklum balas kepada para pemohon dalam kes-kes seperti di atas merupakan suatu penganiayaan terhadap mereka yang memerlukan kewarganegaraan ini. Tanpa kewarganegaraan, mereka dinafikan peluang untuk menjalani kehidupan mereka seperti orang biasa.

Kerajaan Pakatan Harapan harus menyediakan SOP yang sesuai dan menurunkan kuasa kelulusan kewarganegaraan kepada JPN agar ianya tidak tersangkut di pejabat Menteri Dalam Negeri. PSM juga mencadangkan bahawa satu jawatankuasa khas harus ditubuhkan untuk memantau prestasi JPN dalam mengendalikan kes-kes yang tergolongan dalam kategori-kategori permohonan kewarganegaraan yang dihuraikan di atas.

PSM berharap syor-syor untuk mengatasi isu ketiadaan kewarganegaraan yang dihuraikan di atas akan dikaji dan dilaksanakan oleh kerajaan baru Pakatan Harapan. Tanpa mengubahsuaikan tatakerja (SOP) yang sedia ada, masalah ketiadaan kerakyatan di kalangan mereka yang sudah tinggal di Malaysia untuk hampir keseluruhan hayat mereka tidak akan dapat diatasi.

==========

Dr Jeyakumar Devaraj ialah Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Meja Kajian Dasar PSM.