Kempen Pencen Warga Emas

Kempen Pencen Warga Emas

Its Beginning!

Kempen Pencen Warga Emas

[/vc_row]

Negara Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat penuaan dengan 1 daripada 8 orang penduduk Malaysia sekarang ini berumur lebih 60 tahun.

Namun, rakyat Malaysia menghadapi cabaran yang hebat kerana warga emas kita sedang bergelut untuk kelangsungan hidup, dengan simpanan KWSP yang tidak mencukupi, kenaikan harga barang, kekurangan kemudahan sokongan bagi warga emas dan sebagainya. Ramai dalam kalangan warga emas kita pada hari ini dan masa akan datang tidak mempunyai pencen atau pendapatan bulanan yang tetap untuk menampungkan kehidupan mereka.

Oleh itu, kita perlu wujudkan sistem pencen warga emas sejagat untuk memastikan keterjaminan dari segi kewangan, kesihatan dan jagaan sosial bagi golongan warga emas yang semakin bertambah jumlahnya. Pencen warga emas sejagat merupakan komponen perlindungan sosial yang komprehensif untuk semua rakyat.

Mengapa Pencen Warga Emas penting?

Malaysia dijangka akan menjadi sebuah negara tua menjelang tahun 2030, dengan 15% daripada penduduk Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas.

Peningkatan nisbah warga emas dalam masyarakat bermakna penuaan populasi. Masyarakat kita akan menghadapi masalah besar jika tidak menangani penuaan populasi dengan dasar sosio-ekonomi yang komprehensif dan menjamin kesejahteraan masyarakat. Warga emas dalam masyarakat kita memerlukan perlindungan sosial yang komprehensif supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah, sejahtera dan bahagia. Perlindungan sosial yang komprehensif bagi warga emas sepatutnya termasuk bantuan kewangan yang bersesuaian, perkhidmatan kesihatan yang disubsidi, pengangkutan mesra warga emas yang disubsidi, perkhidmatan jagaan sosial, pencen dan sebagainya.

Pencen ialah peruntukan dana yang menyediakan pendapatan berkala kepada orang awam apabila mereka tidak lagi mempunyai pendapatan tetap daripada pekerjaan. Pada masa ini, kakitangan kerajaan dilindungi dengan skim pencen yang diuruskan oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), dengan 731,785 orang penerima pencen ; sementara itu, adanya lebih kurang 550,000 orang sedang mencarum untuk Skim Persaraan Swasta (PRS).

8,392,031 orang daripada 15,716,213 orang ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah merupakan pencarum aktif setakat suku keempat tahun 2022. Namun, dilaporkan bahawa terdapat sebanyak 2 juta ahli KWSP yang berumur 40-54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka, iaitu satu jumlah wang yang memang mencukupi langsung untuk persaraan.

Selain itu, terdapat lagi 40% tenaga yang tidak dilindungi oleh apa-apa simpanan wajib untuk hari tua mereka.

Dengan simpanan hari tua yang sedikit ataupun langsung tidak mempunyai apa-apa pendapatan selepas persaraan pada umur 60 tahun, warga emas kita akan menghadapi ketidaktentuan dan kesusahan yang teruk dalam menjalani kehidupan mereka.

Oleh itu, pelaksanaan pencen warga emas sejagat yang melindungi semua rakyat menjadi sesuatu yang amat diperlukan sekarang ini!

Fakta yang perlu anda tahu

Kemiskinan usia tua ialah satu isu masyarakat yang serius yang perlu diberikan keutamaan segera dalam perancangan dasar negara dan pengerahan sumber.

  1. Populasi warga emas (berumur 60 tahun dan ke atas) pada masa sekarang ialah 4.1 juta orang. Ini merupakan 12.5% daripada jumlah warganegara kita. Adalah diramalkan bahawa angka ini akan mencecah 5.3 juta orang (15.3%) menjelang tahun 2030 dan 7.0 juta orang (20%) pada tahun 2040.
  2. Dianggarkan bahawa 2.3 juta orang atau 56% daripada warga emas di negara kita pada masa ini tidak dilindungi oleh skim pencen kerajaan atau swasta dan/atau skim insurans. Mereka memerlukan bantuan pendapatan bulanan.
  3. Pencen bulanan akan membantu dalam menangani cabaran harian yang dihadapi oleh kumpulan warga emas ini dan memastikan mereka hidup secara bermaruah.
  4. Populasi dengan umur bekerja (berumur 18-60 tahun) adalah dianggarkan sebanyak 21 juta orang, di mana 15 juta daripadanya berada dalam tenaga kerja. 6 juta orang, dengan kebanyakannya terdiri daripada suri rumah tangga dan pelajar berada di “luar” tenaga kerja. Daripada 15 juta orang ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hanya 7.6 juta orang merupakan pencarum aktif. Justeru, sebenarnya 13 juta orang warga Malaysia yang berada dalam lingkungan umur bekerja ini tidak mencarum untuk sebarang bentuk skim pencen/simpanan persaraan!
  5. Masalah ini diburukkan lagi dengan hakikat bahawa majoriti ahli KWSP tidak akan dapat mencapai simpanan persaraan asas sebanyak RM240,000 yang diperlukan apabila bersara pada umur 55 tahun. Hampir 52% (6.67 juta orang) ahli KWSP di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan di bawah RM10,000, dengan 2 juta orang daripada mereka berada dalam lingkungan umur 40 hingga 54 tahun.
  6. Semasa tempoh pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah ini bertambah buruk apabila terdapat pengeluaran wang sebanyak RM145 bilion daripada KWSP. Sebahagian besar pengeluaran simpanan wang ini adalah oleh mereka yang mempunyai simpanan terendah.
  7. Majoriti besar daripada mereka yang mempunyai simpanan KWSP yang rendah dan mereka yang tiada simpanan KWSP langsung adalah daripada kumpulan berpendapatan isi rumah B40. Mereka tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membekalkan pemakanan dan pendidikan kepada anak-anak mereka, apatah lagi menyokong ibu bapa mereka yang serba kekurangan.

Oleh itu, keperluan untuk melaksanakan skim “Pencen Warga Emas” sejagat adalah amat terdesak.

Cadangan dan pembiayaan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru untuk melaksanakan Skim Pencen Sejagat yang melindungi semua penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak menerima apa-apa pencen kerajaan atau pencen swasta. Cadangan kami ialah setiap orang yang layak patut dibayar dengan pencen RM500 sebulan.

Pada masa ini, terdapat sebanyak 2.4 juta orang penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas. Lebih kurang 25% daripadanya ialah penerima pencen kerajaan. Skim yang kami usulkan ini akan memanfaatkan 1.8 juta orang warga emas dan akan menelan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM10.8 bilion setahun (1.8 juta orang X RM500 X 12 bulan).

Skim sebegini akan meningkatkan kualiti hidup warga emas kita dengan hebatnya dan membolehkan mereka untuk menjalani usia tua mereka dengan lebih bermaruah. Ia juga akan mengurangkan beban kewangan yang sedang ditanggung oleh anak-anak mereka. Penyuntikan RM10.8 bilion ke dalam ekonomi negara kita akan meningkatkan hasil jualan perniagaan-perniagaan kecil di seluruh negara dan meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga kecil di Malaysia.

Kami percaya bahawa negara kita mampu melaksanakan skim ini:

  • Jumlah belanjawan negara kita pada tahun 2023 ialah RM390 bilion. RM11 bilion hanya 2.8% daripada jumlah belanjawan.
  • Menurut Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan, kerajaan boleh menjimat sebanyak RM17 bilion sekiranya kerajaan tidak memberi subsidi bahan api kepada golongan T20. (Astro Awani 28/2/2023) Jumlah subsidi bahan api pada tahun 2022 ialah RM50.8 bilion. Daripada jumlah ini, 35% pergi kepada T20.
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa RM10 bilion boleh dijimatkan sekiranya sistem perolehan kerajaan diperketatkan. (Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan – 17/1/2023)

Untuk jangka masa yang panjang, kerajaan perlu memulakan sebuah dana seperti Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk sistem perlindungan sosial yang dipertingkatkan seperti yang diperjuangkan oleh PSM dan banyak lagi kumpulan lain. Dana KWAP telah meningkat daripada geran awal kerajaan sebanyak RM500 juta pada tahun 1991 kepada RM42 bilion pada tahun 2007, dan kepada RM159 bilion pada penghujung tahun 2021. Untuk memulakan sebuah dana baharu, sebahagian keuntungan yang diperolehi oleh Petronas dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain perlu diperuntukkan bagi tujuan ini.

Adalah tidak berguna hanya sekadar bercakap tentang membina sebuah masyarakat yang “penyayang” dan “inklusif”. Kita perlu mengamalkan skim-skim dan program-program yang menjadikan hasrat-hasrat ini satu kenyataan. Skim Pencen Sejagat akan menjadi pelengkap yang amat dialu-alukan dan dihargai untuk jaringan perlindungan sosial di Malaysia.

Tunjukkan sokongan anda dengan klik pautan ini: 
https://www.change.org/p/laksanakan-pencen-warga-emas-perlindungan-sosial-untuk-semua

Soal Jawab Mengenai Skim Pencen Warga Emas

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah simpanan wajib (iaitu dicarum daripada gaji bulanan pekerja) untuk hari tua pekerja, tetapi ia bukannya skim pencen yang menjamin pendapatan tetap pada hari tua. Seorang ahli KWSP boleh mengeluarkan kesemua simpanannya sekali selepas mencapai umur persaraan, dan jika dia menggunakan kesemua simpanannya yang dikeluarkan itu dalam masa yang singkat, maka bermakna dia tiada lagi apa-apa wang untuk membiayai persaraannya.

Skim pencen warga emas akan menyalurkan wang secara berkala (bulanan) kepada seorang yang sudah bersara tanpa mengira berapa yang dia sudah simpan.

Bantuan Warga Emas (BWE) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang membayar RM500 seorang kepada mereka yang layak, ialah bantuan kebajikan berkala untuk membantu warga miskin tegar. Ia bukannya pencen yang membiayai semua rakyat yang sudah mencapai umur persaraan. Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Disember 2022, hanya seramai 140,447 menerima Bantuan Warga Emas (BWE) di seluruh negara, berbanding dengan lebih 2 juta warga emas yang memerlukannya.

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Jika kerajaan betul-betul berhasrat untuk melaksanakan skim yang memberi perlindungan sosial yang komprehensif dan menjamin kesejahteraan masyarakat, makai a akan berusaha untuk mendapatkan dana untuk menjayakan skim tersebut. Ada banyak cara untuk kerajaan meningkatkan pendapatan kerajaan tanpa membebankan rakyat biasa untuk membiayai program-program sosio-ekonomi yang memanfaatkan seluruh rakyat, antaranya:

  • Tangani penyelewengan dan ketirisan dalam perbelanjaan awam untuk menjimatkan dana kerajaan;
  • Perkenalkan dan tingkatkan cukai ke atas golongan mahakaya dan korporat besar;
  • Semak dan struktur semula sistem pencen atau simpanan hari tua yang wujud sekarang.