Dewan Negeri Pahang – Hentikan Perlombongan Toksik di HSK Hulu Jelai!

Dewan Negeri Pahang – Hentikan Perlombongan Toksik di HSK Hulu Jelai!

Parti Sosialis Malaysia menyeru kepada semua Ahli Dewan Negeri Kerajaan Negeri Pahang yang akan bersidang pada 23hb.Ogos.2021 ini, agar membatalkan segera projek perlombongan nadir bumi Lanthanide yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Susulan kelulusan yang diberikan oleh Pejabat  Tanah dan Galian Pahang pada tahun 2019, syarikat perlombongan Aras Kuasa Sdn Bhd akan membersihkan 660 ha kawasan Hutan Simpanan Kekal Hulu Jelai, Kuala Lipis Pahang untuk melaksanakan perlombongan ini.

Kami amat terkejut mengetahui bagaimana suatu kawasan yang masih diklasifikasikan sebagai Hutan Simpanan Kekal dalam Rancangan Tempatan Daerah Lipis boleh di nyah wartakan dari rizab Hutan Simpanan tanpa melalui proses bantahan awam.

Pengerak projek Aras Kuasa Sdn Bhd memperkenalkan suatu teknologi perlombongan yang dikenali sebagai ‘in-situ leaching’. Proses in-situ leaching ini melibatkan proses, mengepam bahan kimia kedalam tanah dan melarutkan bahan mineral yang dikehendaki. Teknologi dari China ini tidak pernah dilakukan di Malaysia lebih-lebih lagi dikawasan Hutan Simpanan Kekal.

Perlaksanaan teknologi tersebut di Jiangxi selatan China juga menimbulkan pelbagai masalah pencemaran komposisi tanah, pencemaran air bawah tanah dan air sungai. Pengumpulan bahan kimia yang akan dimasukkan dalam tanah selama dua tahun (tempoh aktiviti perlombongan) ini akan terkumpul dan mencemari alam sekitar untuk jangkamasa panjang, selepas pengerak projek mengaut keuntungan dan meninggalkan tapak lombong. 

https://e360.yale.edu/features/china-wrestles-with-the-toxic-aftermath-of-rare-earth-mining

Rakyat telah bangkit membantah projek kilang pemprosesan nadir bumi di Lynas Kuantan Pahang, walaupun nadir bumi tersebut diimport dari Australia dan ianya hanya diproses di Lynas. Tetapi, projek ini lebih teruk lagi , kerana nadir bumi Lanthanide ini akan dilombong di bumi Hutan Simpanan Hulu Jelai , mengunakan suatu teknologi yang belum terbukti setakat mana ianya akan mencemari alam sekitar.

Penempatan terdekat yang akan kena tempias projek perlombongan ini ialah Kampung Orang Asli Pos Lanai kerana tapak lombong berada dihulu Sungai Telom.  Sungai Telom yang menjadi sumber air kepada semua aktiviti kebun, ikan kepada komuniti Orang Asli Semai ini, mengalir betul-betul melalui tapak perlombongan ini ! Komuniti Pos Lanai lah akan menjadi masyarakat pertama yang akan terkesan secara langsung jika perlombongan ini dibenarkan.

Sudah kah kita lupa bagaimana Orang Asli dari suku kaum Bateq Kuala Koh Kelantan meninggal dunia akibat pencemaran dipercayai dari air lombong mangan selepas perlombongan itu ditutup.

Lokasi tapak perlombongan ini juga dipercayai duduk di punca air ‘river basin’ yang mengalir ke Sungai Pahang yang menjadi sumber air untuk rakyat Pahang. Kami juga dimaklumkan oleh Pengurusan Air Pahang (PAiP) bahawa loji-loji air yang mengunakan Sg Jelai telah ditutup sebanyak 23 kali sepanjang tahun 2020 sebab aktiviti perlombongan dan perladangan yang mencemari punca air.  Pihak Suruhanjaya Pengurusan Air Negara ( SPAN) juga memberikan amaran bahawa terdapat 18 ‘water intake’, iaitu 5 loji rawatan di Sg Jelai dan 13 loji di Sg Pahang yang terpaksa ditutup jika pencemaran berlaku . Ianya akan menyebabkan bekalan air untuk lebih 120,000 akaun penguna terputus.

Justeru itu, para Ahli Dewan Negeri secara bipartisan harus membantah projek perlombongan ini dengan segera kerana kos kemusnahan alam sekitar, pencemaran air dan kehilangan nyawa tidak dapat digantikan dengan hasil pulangan cukai dan royalti kepada dana Negeri.

Sumber Alam adalah harta warisan keseluruhan rakyat Pahang dan bukanlah milik khas mana-mana Kerajaan yang memerintah. Kerajaan hanyalah bertugas sebagai pemegang amanah yang menjaga warisan alam ini bagi pihak rakyat. Maka dilarang mengondol kekayaan sumber alam untuk kepentingan segelintir, lebih-lebih lagi apabila ianya menghancurkan alam sekitar untuk generasi yang akan datang. 

 

Sivarajan A.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia