Tanah runtuh & kehilangan nyawa di Cameron Highlands, dimanakah had ketamakan manusia?

Tanah runtuh & kehilangan nyawa di Cameron Highlands, dimanakah had ketamakan manusia?

KENYATAAN AKHBAR – PARTI SOSIALIS MALAYSIA – 20/9/2021

Baru-baru rakyat Cameron Highlands digemparkan dengan pelbagai kejadian tanah runtuh. Salah satu kejadian yang berlaku pada 16hb. September, 2021 di Sg Palas Brinchang menyebabkan seorang wanita meninggal dunia apabila tanah runtuh diatas rumahnya. Satu lagi kejadian tanah runtuh juga berlaku di jalanraya Simpang Pulai ke Cameron Highlands di Seksyen 43.9 sepertimana yang dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya. 

Kejadian sedemikian tidaklah baru dan kawasan tanah tinggi ini telah lama menjadi mangsa pembangunan yang melampau sejak beberapa dekad yang lalu. Memandangkan Cameron Highlands sememangnya menerima taburan hujan yang tinggi, maka apajua pembangunan yang melibatkan pembersihan hutan, pemotongan pokok, akan mengeruhkan lagi keadaan dan meningkatkan kejadian tanah runtuh. 

Tanah runtuh pertama yang direkodkan di Cameron Highlands adalah pada tahun 1961 dimana ianya mengaut nyawa seramai 16 orang di kawasan Ringlet. Tetapi nampaknya kita gagal belajar dari kejadian-kejadian sedemikian, dan masih bertindak untuk melakukan projek pembinaan berterusan di Cameron Highlands.

Pada masa bila pihak pakar dan Jabatan-jabatan Kerajaan sedang bertungkus lumus memperbaiki jalan dan melaksanakan langkah-langkah mitigasi untuk mengurangkan kejadian tanah runtuh,  pihak pemodal nampaknya hanya bertumpukan kepada mencari lokasi baru yang dapat mengaut keuntungan kepada mereka.  

Kami difahamkan suatu projek taman tema yang dikenali sebagai ESCAPE Cameron Highlands akan dibina dengan keluasan 60ha. Projek ini yang akan dimajukan oleh syarikat Sim Leisure Group dijangka akan membuka fasa pertamanya seluas 24.3 hektar pada tahun 2023. 

PSM Cameron Highlands membantah projek ini yang sudah pastinya melibatkan pembersihan kawasan hutan, pembalakan dan pembangunan cerun. Eksploitasi beterusan dikawasan tanah tinggi ini melalui pelbagai projek pembangunan, hanya menguntungkan pihak pemodal dan merugikan rakyat tempatan dalam pelbagai cara. Rakyat tempatan Cameron Highlands, kinipun merungut kerana kesesakan jalanraya akibat kehadiran pelancong yang melebihi kapasiti kemudahan infrastruktur yang sedia ada.

Pada masa bila para pemodal mengaut keuntungan, rakyatlah yang terpaksa berhadapan bahaya tanah runtuh dan kesesakan jalanraya yang menganggu kehidupan harian mereka. 

Kerajaan Negeri haruslah dengan segera menghentikan projek sedemikian dan membuat evaluasi serius mengenai had pembangunan yang dibenarkan dikawasan tanah tinggi ini. Apakah rasionalnya terus meluluskan pelbagai projek pembangunan sedemikian disuatu lokasi yang terhad keluasannya? Pembangunan tidak terkawal selama beberapa abad ini, menyebabkan semakin hari semakin luas kawasan tanah hutan yang sensitif geologi tanah dan ekosistem dibersihkan. Sudah tentu, impak jangka panjang yang terpendam akan membawa pelbagai kejadian tanah runtuh dan dan sebagainya.

PSM ingin tanya, adakah Kerajaan Negeri tetapkan suatu had pembangunan di Cameron Highlands? Sememangnya tidak masuk akal bagaimana projek pembinaan terus diluluskan dalam suatu kawasan yang kerap memaparkan impak akibat pembangunan seperti ini.

Kejadian tanah runtuh dan pencemaran dengan mudah diketepikan dengan janji palsu bahawa pembangunan baru yang diluluskan itu pasti mampan dan langkah mitigasi telah diambilkira.

Tetapi sejarah kejadian kerosakan alam sekitar sehingga kini jelas menunjukkan bahawa, bilangan projek yang kononnya ‘mampan’ lengkap dengan kelulusan EIA juga  menonjolkan kesan pencemaran dan kemungkinan kejadian tanah runtuh dalam jangka masa panjang. 

Justeru itu, kami menyarankan bahawa semua pembangunan baru di Cameron Highlands harus dibekukan dan dikaji semula keperluannya. Berbanding dengan manfaat ekonomi, kos kehilangan nyawa dan hartabenda tidak dapat diganti apabila musibah berlaku kerana ketamakan manusia. 

 

Sivarajan  A
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia
PSM Cameron Highlands. 
20/9/2021

Skim Jaminan Pendapatan Asas RM1,000 sebulan kepada keluarga yang hilang punca pendapatan akibat COVID-19.

Skim Jaminan Pendapatan Asas RM1,000 sebulan kepada keluarga yang hilang punca pendapatan akibat COVID-19.

Sejak tercetusnya pandemik Covid-19 pada Mac 2020, PSM telah mendesak Kerajaan agar memperkenalkan suatu Skim Jaminan Pendapatan Asas, atau Guaranteed Basic Income kepada sesiapa yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid 19. 

Dokumen pelan tindakan PSM bertajuk “Kemelesetan Ekonomi Pasca Covid 19 : Cadangan Memulihkan Negara Demi Rakyat” membawa cadangan agar setiap keluarga yang kehilangan punca pendapatan haruslah dibayar sebanyak RM1000 untuk memastikan bahawa keluarga tersebut tidak terjerumus dalam kancah kemiskinan. Dokumen ini telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada Julai, 2020. 

Tetapi malangnya Kerajaan masih kekal dengan modal bantuan yang bersifat ‘one off’ .Skim Bantuan Khas Covid (BKC) yang diperkenalkan juga berupa bayaran ‘one off’ dimana golongan miskin tegar akan dibayar RM 1,300/isi rumah, RM 500 untuk warga emas dan RM500 untuk bujang secara ansuran.  B40 pula akan menerima bayaran RM800/isi rumah, RM200 untuk warga emas dan bujang RM 200. Bantuan BKC juga dipanjangkan kepada golongan M40. Golongan M40 merupakan mereka yang mempunyai pendapatan isu keluarga melebihi RM 5000. Sebanyak 3.1 billion di khususkan untuk bayaran tersebut. 

PSM membawa cadangan bahawa, berbanding dengan bayaran sekali gus ‘one off’ yang disebarkan luas dari golongan miskin tegar sehinggalah M40, adalah lebih memanfaatkan jika Kerajaan memfokuskan bantuan kepada isi rumah yang benar-benar kehilangan punca pendapatan akibat Covid 19. Bantuan melalui Skim Jaminan Pendapatan Asas yang berupa Universal Basic Income (UBI) ini dapat membantu isi rumah tersebut menangani kos asas rumah tangga seperti makanan dan sebagainya. 

Dalam suatu kajian lapangan yang dibuat oleh Jabatan Statistik Malaysia , pada March 2020, mereka mendapati golongan yang paling ketara kehilangan kerja ialah mereka yang bekerja sendiri. Sebanyak 46.6% dari responden yang kerja sendiri menyatakan bahawa mereka kehilangan pendapatan berbanding dengan, 23.8% bekerja dengan majikan, 1.8% sektor swasta, 0.4% kerja dengan syarikat Multinasional dan 0.4% yang bekerja dengan syarikat GLC(Government Linked Company)

Kajian yang sama melaporkan, seramai 71.4% responden yang bekerja sendiri hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kurang dari satu bulan pendapatan mereka, berbanding dengan 49.2% responden yang bermajikan, 58% bekerja dengan swasta, 31.2% kerja dengan syarikat Multinasional dan 38.9% yang bekerja dengan syarikat GLC. Maka bantuan segera secara bulanan pada masa-masa kritikal apabila mereka kehilangan kerja adalah amat penting sekali. Rujukan

PSM mencadangkan bantuan ini hanya kepada mereka yang hilang kerja dan tiada apajua sumber bantuan yang lain. Maka mereka yang menerima bantuan lain dikecualikan seperti mereka yang 

  1. Sedang mencarum pada Perkeso yang boleh memanfaatkan SIP dan sebagainya, 
  2. Menerima pencen tetap (sama ada pesara kerajaan atau lain) yang amaunya lebih dari RM1,000/sebulan
  3. Kakitangan kerajaan
  4. Masih mempunyai pekerjaan alternatif (selepas kehilangan kerja utama)
  5. Masih ada sumber pendapatan yang layak membayar cukai persendirian
  6. Masih bekerja di sektor awam atau swasta/berniaga dan sebagainya . 

Cadangan ini dikhususkan kepada sesiapa yang kehilangan sumber pendapatan seperti pekerja di sektor formal, pekerja persendirian berskala kecil, peniaga bersifat mikro yang kehilangan punca pendapatan pada waktu ini

Kini, bantuan yang diberikan oleh Kerajaan seperti Subsidi Upah ataupun bantuan dari Skim Insurans Pekerja (PERKESO) hanya membantu pekerja sektor formal sahaja. 

Manakala lebih kurang 3 juta pekerja tidak formal dan 2 juta yang terlibat dalam pekerjaan sendiri tiada sebarang sistem sokongan apabila mereka kehilangan punca pendapatan akibat penutupan bisnes masa pandemik ini. 

Anggaran peruntukan yang diperlukan jika skim ini dipanjangkan kepada 700,000 keluarga (10%) sebanyak RM1000 sebulan, maka kita memerlukan RM8.4 billion setahun.

Konsep bantuan Skim Jaminan Pendapatan Asas ini tercetus dari konsep Universal Basic Income (UBI) atau konsep Pendapatan Asas Sejagat. Ianya bukan untuk menjadikan rakyat malas, dengan bayaran tunai RM1000 setiap bulan kepada akuan mereka, Tetapi ianya merupakan suatu jaringan sosial memastikan isi keluarga yang kehilangan punca pendapatan secara mendadak tidak tersungkur dengan kelaparan. Penjelasan lanjut konsep UBI ini boleh difahami dari penulisan berikut.

Jika diambil Garis Kemiskinan terkini iaitu RM 2208, dianggarkan terdapat sehingga 8.3% isi rumah yang berada dalam golongan ini. Ancaman Covid dan kemelesetan ekonomi yang menjurus menekan rakyat terbawah ini dengan paling dahsyat sekali. Maka bayangkan bila mereka ini kehilangan punca pendapatan? Bantuan segera RM1000 terus kepada isi rumah mereka sekurang-kurangnya membolehkan keluarga tersebut menyediakan makanan dan keperluan asas sehinggalah ketua isi rumah dapat mencari kerja atau sumber pendapatan yang baru. 

Maka PSM dalam dokumen pelan tindakan “Pemulihan Nasional Haluan Baru Untuk Malaysia – Permintaan Rakyat Mudah Je” meletakkan hujah bahawa rakyat perlu bantuan Skim Jaminan Pendapatan Asas dengan segera dan bukannya bantuan berupa ‘one off’ yang jelas gagal memulihkan sosio ekonomi isi rumah terjejas dengan efektif.

Sivarajan Arumugam
Setiausaha Agung, Parti Sosialis Malaysia

PEMULIHAN NASIONAL : Haluan Baru untuk Malaysia

PEMULIHAN NASIONAL : Haluan Baru untuk Malaysia

Kelemahan struktur pentadbiran Malaysia telah didedahkan apabila pandemik COVID-19 melanda.

Sistem ekonomi neoliberal jelas gagal melindungi rakyat terbanyak apabila sebuah pandemik sebegini menyerang kita. Pemerintahan yang pro-korporat telah melemahkan batu asas jaringan perlindungan sosial selama ini lalu mendedahkan rakyat kepada pelbagai tekanan sosioekonomi.

Kegagalan tersebut perlu diatasi untuk pulih dari pandemik ini serta mengukuhkan asas jaringan perlindungan sosial supaya kita bersedia menangani cabaran pada masa akan datang.

Oleh itu, PSM melancarkan suatu pelan PEMULIHAN NASIONAL : Haluan Baru Untuk Malaysia dengan seruan “Permintaan Rakyat Mudah Je” untuk mengalakkan rakyat bersama menentukan hala tuju pembangunan negara.

 

Batalkan Terus Projek Lombong Nadir Bumi di HSK Ulu Jelai dan penempatan Orang Asli Pos Lanai

Batalkan Terus Projek Lombong Nadir Bumi di HSK Ulu Jelai dan penempatan Orang Asli Pos Lanai

KENYATAAN AKHBAR PARTI SOSIALIS MALAYSIA- 25HB.OGOS, 2021

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan kenyataan YAB Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 24hb. Ogos, 2021 di Dewan Negeri Pahang bahawa tiada kelulusan pajakan melombong untuk nadir bumi Lanthanide di HSK Ulu Jelai, Lipis yang juga menjadi penempatan Orang Asli Pos Lanai.

Beliau mengatakan bahawa “Permohonan baru akan diproses oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan akan ada laporan awal teknikal. Ada dua perkara yang mesti dipatuhi iaitu Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar dan Skim Pengendalian Melombong (OMS) sebelum pajakan lombong boleh diluluskan. Tanpa dua perkara ini, mereka tidak boleh beroperasi.” YAB Menteri Besar berkata demikian apabila menjawab soalan-soalan dari YB Lee Chean Chung (PKR-Semambu) dan YB Young Syefura Othman (DAP-Ketari).

Tiada Pajakan Melombong Lanthanide Dikeluarkan Di Jelai – MB Pahang

Walaupun, pengerak projek (syarikat perlombongan) pernah melampirkan suatu surat ‘kelulusan’ dari PTG Pahang dalam Laporan Terms of Reference EIA nya ( Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar), tetapi kami berharap YAB Menteri Besar akan kekal dengan keputusannya untuk tidak meluluskan apajua pajakan perlombongan nadir bumi dan terus membatalkan projek lombong nadir bumi Lanthanide di HSK Ulu Jelai ini.

PSM bersama pelbagai organisasi alam sekitar dan masyarakat prihatin telah menyuarakan bantahan kami kepada projek ini kerana pencemaran alam sekitar yang teruk akan berlaku jika lombong toksik ini dibenarkan.

Perlombongan ini yang akan mengunakan suatu teknologi in-situ leaching melibatkan proses mengepam bahan kimia dalam tanah Hutan Simpanan Kekal untuk mengeluarkan mineral yang mengandungi elemen nadir bumi Lanthanide. Penempatan terdekat yang akan kena tempias projek perlombongan ini ialah Kampung Orang Asli Pos Lanai kerana tapak lombong berada dihulu Sungai Telom. Sungai Telom yang menjadi sumber air kepada semua aktiviti kebun, ikan kepada komuniti Orang Asli Semai ini, mengalir betul-betul melalui tapak perlombongan ini!

Selain dari itu juga, yang merisaukan lagi ialah Sg Telom dan juga Sg Jelai merupakan ‘river basin’ Sungai Pahang yang menjadi sumber air untuk rakyat Pahang. Kami juga dimaklumkan oleh Pengurusan Air Pahang (PAiP) bahawa loji-loji air yang mengunakan Sg Jelai telah ditutup sebanyak 23 kali sepanjang tahun 2020 sebab aktiviti perlombongan dan perladangan yang mencemari punca air. Pihak Suruhanjaya Pengurusan Air Negara ( SPAN) juga memberikan amaran bahawa terdapat 18 ‘water intake’ ,iaitu 5 loji rawatan di Sg Jelai dan 13 loji di Sg Pahang yang terpaksa ditutup jika pencemaran berlaku. Ianya akan menyebabkan bekalan air untuk lebih 120,000 akaun penguna terputus di seluruh Pahang.


Maka, kami berharap Kerajaan Negeri akan terus membatalkan projek ini, yang akan membawa kemudaratan jangka panjang kepada alam sekitar dan masyarakat setempat, Orang Asli Pos Lanai. Tindakan sedemikian adalah selaras dengan hasrat KDYMM Pemangku Raja Pahang yang menekankan prinsip Environment, Social dan Governance (ESG) dalam titah baginda semasa pembukaan Dewan Negeri Pahang pada hari Isnin lalu.

Sivarajan A
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia

Kenyataan kami terdahulu

Dewan Negeri Pahang – Hentikan Perlombongan Toksik di HSK Hulu Jelai!

Dewan Negeri Pahang – Hentikan Perlombongan Toksik di HSK Hulu Jelai!

Parti Sosialis Malaysia menyeru kepada semua Ahli Dewan Negeri Kerajaan Negeri Pahang yang akan bersidang pada 23hb.Ogos.2021 ini, agar membatalkan segera projek perlombongan nadir bumi Lanthanide yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Susulan kelulusan yang diberikan oleh Pejabat  Tanah dan Galian Pahang pada tahun 2019, syarikat perlombongan Aras Kuasa Sdn Bhd akan membersihkan 660 ha kawasan Hutan Simpanan Kekal Hulu Jelai, Kuala Lipis Pahang untuk melaksanakan perlombongan ini.

Kami amat terkejut mengetahui bagaimana suatu kawasan yang masih diklasifikasikan sebagai Hutan Simpanan Kekal dalam Rancangan Tempatan Daerah Lipis boleh di nyah wartakan dari rizab Hutan Simpanan tanpa melalui proses bantahan awam.

Pengerak projek Aras Kuasa Sdn Bhd memperkenalkan suatu teknologi perlombongan yang dikenali sebagai ‘in-situ leaching’. Proses in-situ leaching ini melibatkan proses, mengepam bahan kimia kedalam tanah dan melarutkan bahan mineral yang dikehendaki. Teknologi dari China ini tidak pernah dilakukan di Malaysia lebih-lebih lagi dikawasan Hutan Simpanan Kekal.

Perlaksanaan teknologi tersebut di Jiangxi selatan China juga menimbulkan pelbagai masalah pencemaran komposisi tanah, pencemaran air bawah tanah dan air sungai. Pengumpulan bahan kimia yang akan dimasukkan dalam tanah selama dua tahun (tempoh aktiviti perlombongan) ini akan terkumpul dan mencemari alam sekitar untuk jangkamasa panjang, selepas pengerak projek mengaut keuntungan dan meninggalkan tapak lombong. 

https://e360.yale.edu/features/china-wrestles-with-the-toxic-aftermath-of-rare-earth-mining

Rakyat telah bangkit membantah projek kilang pemprosesan nadir bumi di Lynas Kuantan Pahang, walaupun nadir bumi tersebut diimport dari Australia dan ianya hanya diproses di Lynas. Tetapi, projek ini lebih teruk lagi , kerana nadir bumi Lanthanide ini akan dilombong di bumi Hutan Simpanan Hulu Jelai , mengunakan suatu teknologi yang belum terbukti setakat mana ianya akan mencemari alam sekitar.

Penempatan terdekat yang akan kena tempias projek perlombongan ini ialah Kampung Orang Asli Pos Lanai kerana tapak lombong berada dihulu Sungai Telom.  Sungai Telom yang menjadi sumber air kepada semua aktiviti kebun, ikan kepada komuniti Orang Asli Semai ini, mengalir betul-betul melalui tapak perlombongan ini ! Komuniti Pos Lanai lah akan menjadi masyarakat pertama yang akan terkesan secara langsung jika perlombongan ini dibenarkan.

Sudah kah kita lupa bagaimana Orang Asli dari suku kaum Bateq Kuala Koh Kelantan meninggal dunia akibat pencemaran dipercayai dari air lombong mangan selepas perlombongan itu ditutup.

Lokasi tapak perlombongan ini juga dipercayai duduk di punca air ‘river basin’ yang mengalir ke Sungai Pahang yang menjadi sumber air untuk rakyat Pahang. Kami juga dimaklumkan oleh Pengurusan Air Pahang (PAiP) bahawa loji-loji air yang mengunakan Sg Jelai telah ditutup sebanyak 23 kali sepanjang tahun 2020 sebab aktiviti perlombongan dan perladangan yang mencemari punca air.  Pihak Suruhanjaya Pengurusan Air Negara ( SPAN) juga memberikan amaran bahawa terdapat 18 ‘water intake’, iaitu 5 loji rawatan di Sg Jelai dan 13 loji di Sg Pahang yang terpaksa ditutup jika pencemaran berlaku . Ianya akan menyebabkan bekalan air untuk lebih 120,000 akaun penguna terputus.

Justeru itu, para Ahli Dewan Negeri secara bipartisan harus membantah projek perlombongan ini dengan segera kerana kos kemusnahan alam sekitar, pencemaran air dan kehilangan nyawa tidak dapat digantikan dengan hasil pulangan cukai dan royalti kepada dana Negeri.

Sumber Alam adalah harta warisan keseluruhan rakyat Pahang dan bukanlah milik khas mana-mana Kerajaan yang memerintah. Kerajaan hanyalah bertugas sebagai pemegang amanah yang menjaga warisan alam ini bagi pihak rakyat. Maka dilarang mengondol kekayaan sumber alam untuk kepentingan segelintir, lebih-lebih lagi apabila ianya menghancurkan alam sekitar untuk generasi yang akan datang. 

 

Sivarajan A.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia

PSM MENDESAK JKUASA BIPARTISAN DEWAN NEGERI SIASAT BANJIR DI KEDAH

KENYATAAN AKHBAR – 19HB. OGOS, 2021 – PARTI SOSIALIS MALAYSIA

BANJIR DI KEDAH – PSM MENDESAK JKUASA BIPARTISAN DEWAN NEGERI SIASAT

Semalam, rakyat Kedah dikejutkan dengan banjir kilat di sekitar kawasan Yan yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan alam sekitar. Rakaman dalam media social, menunjukkan visual banjir lumpur yang deras melalui kawasan perumahan itu sangat menakutkan dan memberi impak yang teruk kepada rakyat biasa yang sedang melawan pandemik Covid-19 pada masa kini.

Kejadian tersebut nampaknya dari suatu lokasi yang ditelah ‘bersihkan’ samaada kerana aktiviti pembalakan, pembangunan ataupun kerja kuari. Arus air melimpah melepasi kawasan tadahan air tanpa kawalan dan halangan semulajadi iaitu pokok-pokok hutan rimba.

Sahabat Alam Sekitar (SAM) mensyaki banjir ini adalah punca dari pembersihan kawasan dari pokok, dikawasan hutan di Gunung Jerai. SAM dan masyarakat setempat pernah mengheret Kerajaan Negeri Kedah ke mahkamah untuk menghalang perlombongan kuari yang intensif di kawasan berkenaan beberapa tahun yang lalu tetapi mereka kalah.

Walaupun aktiviti yang merosakkan alam sekitar dan kemungkinan banjir akan berlaku pernah diutarakan oleh pihak aktivis sebelum ini, malangnya kejadian banjir ini membuktikan kegagalan apajua tindakan mengelakkan perkara ini. Akibatnya, rakyat jelata terpaksa menanggung penderitaan akibat kesan banjir teruk ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor pula pernah berkata pembalakan tidak akan dihentikan kerana Kerajaan Negeri akan kerugian berbillion ringgit. Adakah MB sedar bahawa banyak aduan SPRM terhadap pembalak-pembalak haram pernah dilaporkan ? Jabatan Alam Sekitar Negeri (DoE) sendiri mengakui bahawa tiada kelulusan EIA diberikan kepada aktiviti pembalakan di beberapa kawasan seperti Rimba Teloi dan Gunung Bongsu. Tahun lalu pula, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki yang melakukan aktiviti pembalakan haram di kompartmen 50 Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, Kedah.

Adakah ini menunjukkan Kerajaan Negeri bersikap was-was membuat penguatkuasaan kerana risau hasil pembangunan, pembalakkan akan terhenti dari disalurkan ke dana Negeri jika penguatkuasaan ketat dilaksanakan?

Tetapi jika hasil kepada Negeri difikirkan, sekarang siapa yang akan tanggung kos kerosakan harta benda dan nyawa rakyat yang terjejas? Siapa yang akan tanggung, kos pembaikpulihan infrasturktur yang rosak?

MB harus menyarankan suatu penyiasatan bebas dan segera keatas trajedi ini tanpa melindungi mana-mana pihak ataupun kepentingan politik Kerajaan Negeri.

PSM mencadangkan suatu Jawatankuasa Bipartisan dibawah Dewan Negeri Kedah dianggotai oleh ADUN-ADUN Kedah harus dibentuk segera untuk menyiasat perkara ini . Selain dari kejadian di Yan ini, jawatankuasa ini harus menyiasat pembalakan dan perlombongan haram di Negeri Kedah. Jawatankuasa ini juga harus diberikan kuasa untuk mengarah mana-mana pihak berkuasa Negeri dan syarikat swasta berkaitan untuk menjawab didepan panel inkuiri khas ini. Hasil penyiasatannya harus dijadikan laporan umum kepada rakyat Kedah.

Sumber Alam adalah harta warisan keseluruhan rakyat Kedah dan tidak dipunyai oleh mana-mana Kerajaan yang memerintah. Kerajaan hanyalah bertugas sebagai pemegang amanah yang menjaga warisan alam ini bagi pihak rakyat, dan dilarang mengondol kekayaan sumber alam untuk kepentingan segelintir.

Sdr. R. Karthiges
Penyelaras Zon Utara PSM (Kedah)
Ahli JKuasa Pusat PSM

BEBAS AKTIVIS SARAH IRDINA, HENTIKAN INTIMIDASI TERHADAP AKTIVIS

Parti Sosialis Malaysia mengecam tindakan polis baru baru ini yang jelas ingin mensenyapkan hak bersuara rakyat yang terjamin dalam Perlembagaan Malaysia.

 
 
Dalam masa seminggu ini sahaja para aktivis yang menyuarakan suara agar PM letak jawatan melalui aksi #Lawan di intimidasi dan siasat berulang kali. 
 
 
Kini kami difahamkan aktivis muda Sarah Irdina dari Misi Solidarity  ditahan polis dan akan berada dlm lokap Balai Jinjang sepanjang malam ini.
 
 
Jika apa yg di nyatakan oleh aktivis #Lawan iaitu supaya Perdana Menteri letak jawatan ini menyebabkan tangkapan dan siasatan dibawah Akta Hasutan, maka kenyataan yg sama di sahut berulang kali di Parliament pagi ini apabila dibongkarkan bagaimana Kerajaan PN salahpandu Parliament mengenai isu Ordinan Darurat. Ianya terbongkar dengan kenyataan jelas dari Istana hari ini. 
 
 
Selain dari tangkapan Sarah Irdina hari ini, beberapa doktor juga disoalsiasat dan di intimidasi atas aksi Hartal Doktor. 
 
 
Maka seperti mana yg diseru oleh bekas Ketua Polis, Dato Hamid Bador, polis harus berintegriti dan tidak di gunakan untuk kepentingan politik pemerintah. 
 
 
Maka, PSM mendesak agar Sarah Irdina dibebaskan segera, dan polis harus menghentikan segera tangkapan dan intimidasi terhadap aktivis dan rakyat yang mengkrtitik Kerajaan dan menyuarakan tuntutan dalam ruang demokrasi. 
 
 

Sivarajan Arumugam

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia 
6pm 29hb Julai 2021.
Siri 29 – Memperingati Perjuangan Pembebasan Aktivis PSM EO6 (2011) – Ulangtahun ke-10

Siri 29 – Memperingati Perjuangan Pembebasan Aktivis PSM EO6 (2011) – Ulangtahun ke-10

Siri 29 – Memperingati Perjuangan Pembebasan Aktivis PSM EO6 (2011) – Ulangtahun ke10

#HariIniDalamSejarah
28 Julai 2011

Mogok Lapar Untuk Keadilan

Pada hari ini, Dr Kumar membuat keputusan untuk melancarkan mogok lapar membantah penahanan tanpa sebab yang berterusan terhadap beliau dan lima lagi kepimpinan PSM. Berikut adalah kenyataan komrad Rani yang telah berjumpa dengan Dr Jeyakumar;

“Apabila saya jumpa suami saya Dr Jeyakumar pada 11 pagi semalam, 27 Julai 2011, beliau suarakan perasaannya yang sangat hampa dan kecewa dengan pendirian polis dan kerajaan terhadap enam aktivis PSM yang ditahan di bawah EO sejak 2 Julai 2011.  

Menurutnya, polis enggan berganjak dari posisi asal mereka walaupun PSM 6 telah bekerjasama penuh dan menjawab kesemua soalan yang ditanya semasa soalsiasat dijalankan. Walaupun polis tidak dapat sebarang bukti untuk menjustifikasikan pertahanan lanjutan, namun beliau pasti tempoh tahanan mereka akan dilanjutkan sebab polis dan kerajaan ada agenda sendiri  dan mempunyai tujuan untuk memangsakan PSM6 .

Maka Dr Jeyakumar telah memberitahu saya bahawa beliau akan mulakan mogok lapar pada 28/7/11 untuk mendapatkan keadilan. Beliau akan teruskan mogok lapar sehingga kesemua PSM6 dibebaskan atau dituduh dimahkamah. Saya cuba menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian kerana risau akan kesihatan beliau tetapi beliau bertekad mahu meneruskan mogok lapar kerana berpendapat

 

  1.      Walaupun tuduhan keatas mereka adalah hanya pengerak BERSIH dan ini dinafikan oleh 6 orang tetapi polis sengaja mahu kaitkan mereka dengan tuduhan ini

 

  1.      Walaupun sudah berkali-kali dikatakan PSM tidak ada kaitan dengan PKM dan PSM tiada niat untuk kembangkan fahaman komunis dan selama ini semua aktiviti PSM adalah terbuka dan transparen, tetapi polis cuba memaksa, mereka (frame up) tuduhan-tuduhan palsu keatas PSM 6

 

  1.      Tuduhan menghidupkan komunisme ini hanya berdasarkan beberapa t-shirt dan kebelakangan ini polis sedang bergiat “frame-up” tuduhan baru dan menurutnya ini berdasarkan lawatan-lawatan pemimpim PSM ke luar negara atas jemputan parti sosialis lain di dunia dan cuba bertokoh tambah bahawa PSM ada hubungan rahsia dengan PKM di Thailand.

 

Dr. Jeyakumar menafikan semua tuduhan palsu ini, semua soalan polis menjurus untuk mengeluarkan satu cerita karut untuk melanjutkan tempoh tahanan.

Dr Jeyakumar memberitahu polis dan kerajaan supaya bersikap jujur dan review kerja-kerja dan aktiviti PSM dalam 13 tahun sejak ia ditubuhkan. Di mana semua aktiviti PSM adalah terbuka dan dan jika PSM mengkritik kerajaan BN, itu adalah hak demokratiknya.

Menurut Dr Jeyakumar, beliau telah memberi kerjasama penuh sejak direman di mana beliau telah menandatangani 3 laporan termasuk laporan 45 muka surat di Pulau Pinang. Sekarang SB telah sediakan report dengan 80 mukasurat tetapi Dr Jeyakumar buat keputusan beliau tidak akan tandatanganinya kerana beliau melihat kesemua siasatan sebagai sia-sia sahaja. Polis masih ‘menembak secara liar’ (shooting wildly).

Oleh itu, Dr Jeyakumar telah hilang kepercayaan kepada polis untuk melaksanakan isu ini secara adil. Beliau menuntut supaya Menteri Dalam Negeri mainkan peranan untuk membebaskan atau hadap mereka ke mahkamah. Sehingga hari itu beliau akan buat mogok lapar”

Ketua parti MIC, Dato G Palanivel juga meluahkan rasa ketidakpuashatian terhadap kepimpinan Najib yang terus menahan kepimpinan PSM. Beliau menyeru agar mereka dibebaskan segera.

 

 

Ahli Parlimen Dr. Mujahid Rawa, Ahli Parliament Parit Buntar mengecam penahanan PSM EO6, berikut adalah kenyataan beliau,

Saya begitu simpati dengan dengan penahanan enam anggota PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat atau Emergency Ordinance (EO) di atas kesalahan “menentang Yang di-Pertuan Agung” kononnya menghidupkan fahaman Komunis! Saya yakin saya tidak keseorangan menyatakan simpati terhadap mereka dan keluarga mereka yang ditahan, seluroh rakyat yang cintakan keadilan pasti “meluat” dengan lagak regim yang sedang nazak sekarang terkial-kial cuba mempertahankan keabsahannya dengan cara yang menjijikkan.

Apatah lagi dalam suasana simpati ini, saya mengenali YB Jeyakumar, seorang komrade yang gigih memperjuangkan hak rakyat marhaein. YB Sungei Siput ini terkenal sebagai seorang sosialis dalam makna yang positif dan memperjuangkan suaranya melalui saluran resmi PSM dan dirinya sebagai Ahli Parlimen. Penangkapan mereka di ambang 9 July di Pulau Pinang adalah satu yang malang bagi hak kebebasan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pendirian mereka. Penangkapan mereka memutarkan jam ke belakang untuk rakyat Malaysia yang sudah 59 tahun merdeka.”

Pada ketika itu, PSM bersama dengan Suaram juga telah membuat  keputusan untuk melancarkan suatu protes candle light vigil, bermalam .’overnight’ pada 31hb Julai sempena lengkap 30 hari PSM EO6 ditahan. Dirancang bahawa protes semalam itu akan berakhir di Bukit Aman pada pagi 31 Julai, 2011.

Dari desakan berterusan, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengeluarkan kenyataan bahawa tahanan EO6 sebenarnya ‘dilayan dengan baik’. Beliau enggan memberikan apajua jaminan yang mereka akan dibebaskan dengan alasan penyiasatan beterusan.

SUHAKAM juga mengecam tindakan polis yang mengunakan alat pengesan pembohongan yang digunakan terhadap tahanan Letchumanan dan Sarasvathy. SUHAKAM menuntut suatu pertemuan dengan Ketua Polis Negara susulan berita bahawa tahanan telah dipaksa untuk mengambil ujian tersebut.

Suatu protest candlelight vigil juga diadakan di Pulau Pinang, sekitar Kompleks Penyayang.


Siri #HariIniDalamSejarah ini akan menjejaki usaha PSM dalam Perjuangan Membebaskan Tahanan PSM EO6 sehingga hari mereka dibebaskan pada 29 Julai, 2011. Nantikan kiriman kami yang seterusnya.

#PartiSosialis

ℹ️ Untuk maklumat terkini, sertai saluran Telegram PSM di ? t.me/partisosialis

 

Siri 28 – Memperingati Perjuangan Pembebasan Aktivis PSM EO6 (2011) – Ulangtahun ke-10

Siri 28 – Memperingati Perjuangan Pembebasan Aktivis PSM EO6 (2011) – Ulangtahun ke-10

#HariIniDalamSejarah 
27 Julai 2011

Pada hari selepas desakan dan surat kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein Onn, maka pihak polis membenarkan keluarga tahanan berjumpa dengan PSM EO6 di enam balai yang berlainan.

Suatu sidang akhbar juga diadakan bersama wakil keluarga tahanan masing-masing, selepas mereka telah berjumpa dengan PSM EO6.  

Dalam sidang media ini juga dibongkarkan bahawa komrad Sarasvathy dipaksa untuk mengambil ujian pembohongan ‘lie test’. Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan membuat aduan polis bahawa M. Sarasvathy dipaksa menandatangani dokumen keterangan 62 mukasurat tanpa kerelaan beliau. Suatu mesin polygraph disambung kepada badannya kononnya untuk mengesan samaada beliau bohong ataupun tidak.

Akibat dari tekanan tersebut, Saras mengalami sakit dada dan dibawa ke Hospital.

PSM juga mencabar Ketua Polis Negara untuk membuktikan dengan dokumen klip video jika benar-benar PSM bergerak sebagai kumpulan Al Maunah dan mengumpulkan senjata untuk menumbangkan Kerajaan. Sejak PSM melancarkan kempen “Udah lah tu Bersaralah BN” pasukan polis merekod keseluruhan pergerakan kami dengan video. Maka dimana buktinya?

Dato Dr. Subramaniam

Seorang lagi Menteri dalam kabinet Najib Razak menyuarakan ketidakpuashatian terhadap penahanan beterusan itu. Dato Dr. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia mengatakan seperti berikut.

The IGP and Home Ministry should review the continual arrest of Dr (Michael) Jeyakumar and five others under the Emergency Ordinance. To date the police have not shown any convincing evidence that they were involved in an armed struggle to overthrow the government. There are also confusing signals that they were arrested because of their involvement in Bersih. They were, however, arrested much earlier than the Bersih event. Moreover many others involved in Bersih have not been arrested and those arrested have been released.

Pada hari ini, juga suatu protes membotakkan kepala diadakan di Penang membantah penahanan beterusan PSM EO6. Protes ini diambil bahagian oleh, Soh Sook Hwa, ADUN, YB Teh Yee Cheu di pasar Bayan Baru.

Dr Kumar juga memaklumkan bahawa beliau akan memulakan protes mogok lapar dalam tahanan membantah tahanan tanpa sebab ini. Mogok lapar akan bermula besok 28 Julai, 2011.


Siri #HariIniDalamSejarah ini akan menjejaki usaha PSM dalam Perjuangan Membebaskan Tahanan PSM EO6 sehingga hari mereka dibebaskan pada 29 Julai, 2011. Nantikan kiriman kami yang seterusnya.

#PartiSosialis

ℹ️ Untuk maklumat terkini, sertai saluran Telegram PSM di ? t.me/partisosialis