Keputusan Menangguh Perlaksanaan Gaji Minimum Langsung Tidak Adil Kepada Pekerja

Keputusan Menangguh Perlaksanaan Gaji Minimum Langsung Tidak Adil Kepada Pekerja

KENYATAAN AKHBAR PARTI SOSIALIS MALAYSIA

Sebilangan besar pekerja berpendapatan rendah telah menerima berita tahun baharu yang amat menghampakan daripada Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar. Akibat daripada keputusan Menteri itu, pekerja-pekerja di tempat kerja kurang daripada 5 orang pekerja terpaksa menunggu 6 bulan lagi sehingga 1 Julai 2023 untuk menikmati gaji minimum RM1,500 yang dinanti-nantikan mereka. 

Perintah Gaji Minimum yang menetapkan kadar gaji minimum pada RM1,500 telah berkuatkuasa mulai 1 Mei 2022, tetapi kerajaan pada masa itu memberi pengecualian kepada para majikan yang menggajikan kurang daripada 5 orang pekerja. Kini, kerajaan baharu juga turut bersimpati dengan majikan-majikan dalam golongan ini dan menangguhkan lagi penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 berdasarkan alasan cabaran ekonomi dan kewangan yang dihadapi oleh mereka.  

Parti Sosialis Malaysia (PSM) tiada sebarang halangan terhadap keputusan kerajaan untuk membantu golongan perniagaan mikro atau majikan yang menghadapi masalah kewangan. Tetapi kami amat tidak dapat menerima satu keputusan yang mengabaikan dan langsung tidak mengambil kira pekerja miskin yang terjejas akibat penangguhan pelaksanaan gaji minimum ke Julai 2023. 

Kementerian Sumber Manusia harus berlaku adil dan mewakili kepentingan golongan pekerja juga. Adakah Menteri mendapatkan pandangan golongan pekerja sebagai antara pihak berkepentingan utama? Pekerja berpendapatan rendah yang menghadapi kos hidup tinggi setiap hari sudah tentu tidak dapat menyokong satu keputusan yang akan terus menyusahkan mereka.

PSM berpendapat bahawa dalam keadaan ini kerajaan harus menyediakan satu tabung untuk memberi subsidi upah kepada setiap pekerja dalam kategori ini untuk enam bulan yang akan datang – RM300 sebulan untuk 3 bulan dan RM150 sebulan untuk baki 3 bulan dengan RM150 lagi ditanggung oleh majikan. Pada anggaran PSM, hanya kurang daripada 300,000 orang pekerja bekerja untuk majikan dalam kategori ini, dengan gaji RM1,200. 

Belanjawan untuk bantuan subsidi ini hanya RM90 juta sebulan untuk 3 bulan pertama dan RM45 juta sebulan untuk 3 bulan seterusnya. Peruntukan ini bukan begitu besar, tetapi akan banyak membantu pekerja yang bergaji rendah di negara kita.

Beban daripada penangguhan penguatkuasaan gaji minimum tidak harus ditanggung oleh pekerja termiskin. Kami sedar bahawa pegawai kerajaan sedang mengorbankan sebahagian gaji mereka sebagai aksi solidariti kepada rakyat yang mengalami kos hidup yang tinggi, tetapi pekerja termiskin tidak mampu berbuat demikian.

Menteri Sumber Manusia juga harus sedar dan mengambil tindakan tegas terhadap sebilangan besar majikan yang masih belum membayar RM1,500 sebulan kepada pekerja-pekerja mereka sejak bulan Mei 2022. PSM menganggarkan bahawa kerajaan sendiri belum mengubahsuai kontrak untuk membolehkan kontraktor di sesetengah sekolah kerajaan membayar gaji minimum baharu kepada pekerja-pekerja mereka. Jangan abaikan pekerja!

Kerajaan harus tunaikan janji pilihan raya dengan peka dan mesra terhadap lapisan-lapisan yang termiskin dan terpinggir.

MohanaRani Rasiah
Ahli Jawatankuasa Pusat dan Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia
28hb.Disember, 2022

Parti Sosialis Malaysia Menyeru Kerajaan untuk Mengutamakan Isu Alam Sekitar serta Mengisytiharkan Darurat Iklim

Parti Sosialis Malaysia Menyeru Kerajaan untuk Mengutamakan Isu Alam Sekitar serta Mengisytiharkan Darurat Iklim

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh Batang Kali dan banjir di kawasan Pantai Timur.

Bencana sedemikian sekali lagi mengingatkan kita betapa pentingnya Kerajaan menyedari realiti alam sekitar yang berada dalam keadaan genting.

Amat jelas bahawa kesan krisis iklim di Malaysia semakin serius setiap tahun. Tragedi Batang Kali membuktikan bahawa jika aktiviti pembalakan dan pembangunan tidak mampan diteruskan di lokasi-lokasi persekitaran, maka kejadian tanah runtuh akan berlaku apabila kekurangan liputan tumbuh-tumbuhan di lereng bukit dan tempat takungan air dimusnahkan.

PSM menyeru kepada Menteri baru Kementerian Sumber Alam, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim YB Nik Nazmi untuk mengisytiharkan Darurat Iklim segera agar kemerosotan keadaan persekitaran hutan, tebing bukit, sungai dan perairan kita diutamakan. Hanya dengan deklarasi sedemikian, maka Kerajaan akan mengadakan tindakan segera dan bukan mengendalikan amalan biasa ‘business as usual’ urusan Jabatan dan Kementerian berkenaan.

Selain itu, beberapa kawasan di Pantai Timur juga memerlukan lebih perhatian daripada pihak kerajaan. Di Terengganu, keadaan banjir semakin serius kerana jumlah mangsa banjir meningkat secara mendadak dari 11,415 orang sehingga 19,601 mangsa hanya dalam sehari, dan usaha penyelamatan juga susah dilakukan akibat cuaca yang buruk dan jalan juga telah ditenggelami air. Banyak mangsa masih terperangkap di rumah mereka, dan mereka terpaksa meminta bantuan daripada orang awam melalui media sosial.

Oleh itu, amat penting kerajaan menggubal dasar polisi yang mengutamakan kelestarian alam sekitar supaya mengelakkan tragedi sebegini. Kita perlukan sistem yang lebih telus dan demokratik untuk melibatkan organisasi masyarakat sivil, orang awam dan juga komuniti Orang Asli dalam proses pembangunan negeri. Usaha ini bertujuan untuk mewujudkan mekanisme semak dan imbang supaya kerajaan negeri tidak akan meluluskan projek pembangunan yang memusnahkan alam sekitar.

Kami berharap tragedi tanah runtuh dan banjir besar menjadi amaran kepada kerajaan dan juga rakyat Malaysia bahawa sistem kapitalisme yang hanya berlandaskan keuntungan tanpa menjaga alam sekitar dan kesejahteraan rakyat hanya akan menyebabkan rakyat marhaen merana. Oleh itu, amat penting kita menggubal polisi negara dan dasar ekonomi yang lebih mampan dan manusiawi demi kebaikan rakyat.

Sekian, terima kasih.

Disediakan Oleh:

Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim (BASKI)
Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Pendirian PSM berkenaan PRU-15

(Artikel asal diterbitkan di Sosialis.Net)


Pada 30 Oktober lalu, iaitu 5 hari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Pakatan Harapan (PH) secara tidak langsung menggagalkan kerjasama pilihan raya (electroral pact) dengan PSM apabila tidak menawarkan sebarang kerusi kepada PSM untuk bertanding dalam PRU ke-15. Pada hari yang sama, PSM memutuskan untuk tidak lagi meneruskan kerjasama pilihan raya tersebut kerana tidak ada sebarang keperluan lagi.

PSM mengucapkan terima kasih atas sokongan padu daripada pelbagai organisasi, kawasan perjuangan dan rakyat jelata yang memberikan solidariti, dorongan dan sumbangan wang supaya kami meneruskan hasrat kami untuk melibatkan diri dalam PRU-15.

Memandangkan hanya ada dua hari sahaja sebelum hari penamaan calon pada 5 November 2022, PSM telah mengambil beberapa keputusan setelah mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Nasional Parti dan ahli-ahli kami.

Isu pokok di hadapan kita adalah sama ada PSM hendak bertanding dalam PRU-15 atau “sit out” (tidak mengambil bahagian) memandangkan kekangan masa dan ruang yang ada. Setelah berbincang dengan komponen dalaman parti, PSM mengambil 3 keputusan seperti di bawah:

1. Walaupun PSM telah gagal dalam pembentukan kerjasama pilihan raya dengan PH, namun kami masih mengambil pendirian yang sejajar dengan Sesi Perbincangan Dalaman (SPD) pada 13 Februari 2022, iaitu PSM tidak akan menyertai sebarang gabungan lain seperti BN dan PN. Untuk PRU ini, kami akan bertanding secara bersendirian tanpa gabungan, dan juga ahli-ahli kami boleh menyokong dan membantu calon parti lain yang mempunyai rekod prestasi yang baik, progresif dan berjiwa rakyat.

2. PSM juga mengambil keputusan untuk bertanding dalam PRU ini secara minimum berbanding tidak bertanding langsung. Formula yang diambil parti adalah seperti berikut:

i. PSM tidak akan bertanding di kawasan sandangan (incumbent) Pakatan Harapan. Ini adalah untuk memberikan peluang kepada PH yang cuba mendapat kemenangan, selain daripada menangkis sebarang tafsiran bahawa PSM berniat untuk membalas dendam ekoran kegagalan kerjasama pilihan raya dengan PH.

Ini bererti juga bahawa Dr Jeyakumar tidak akan bertanding di kawasan Parlimen Sungai Siput buat pertama kalinya sejak tahun 1999. Selain itu, PSM juga tidak akan bertanding dalam kerusi-kerusi sandangan PH yang lain, tetapi mengambil keputusan untuk bertanding di kawasan Parlimen dan DUN yang lebih sukar dan merupakan kubu kuat BN. PSM menganggap ini sebagai satu cabaran kerana ini adalah kawasan-kawasan yang perlu kita buat kerja dan tempat yang perlu kita membina kuasa rakyat pada masa hadapan.

ii. Memandangkan kekangan masa dan faktor strategik, kami hanya akan bertanding di dua tempat baharu yang tidak pernah kami bertanding sebelum ini. Dua tempat ini ialah sebuah kawasan Parlimen di Negeri Sembilan, iaitu P131 Rembau yang agak besar, dan juga satu kawasan DUN di Perak, iaitu N48 Ayer Kuning.

Di dalam dua kawasan ini, PSM akan menetapkan dua orang calon tempatan dan bukannya calon payung terjun.

iii. Salah satu daripada dua kawasan yang dipilih ialah kawasan Parlimen Rembau yang terletak di Negeri Sembilan. Ia merupakan satu kawasan Parlimen yang besar dan mempunyai 4 kawasan DUN di bawahnya. Kawasan Parlimen ini dipilih kerana PSM tidak pernah meletakkan calon di Negeri Sembilan dan ini akan menjadi pembuka tirai untuk PSM di Negeri Sembilan selain daripada memberikan kami latihan lapangan untuk Pilihan Raya Negeri yang akan berlangsung dalam 6 bulan lagi.

Kawasan kedua ialah kawasan DUN Ayer Kuning di bawah kawasan Parlimen Tapah, di mana PSM tidak pernah bertanding di situ lagi tetapi mempunyai hasrat untuk memperluaskan kerja-kerja parti di kawasan sekitar pada masa hadapan. Di dalam kedua-dua kawasan ini, PSM pernah dan masih menjalankan kerja dengan masyarakat B40 tempatan, masyarakat pekerja ladang, petani, penternak dan juga pekerja kontrak kerajaan serta pekerja lain.

3. Walaupun PSM cukup sedar bahawa bertanding secara solo adalah satu cabaran yang cukup besar, dan mungkin kami akan dituduh sebagai membazir wang dan masa. Namun, kami merasakan sebagai sebuah parti perintis di negara ini yang membawa obor politik kiri, maka PSM tidak boleh sit out atau berkecuali dalam PRU ini.  Kami berhasrat mengambil kesempatan dalam kempen 2 minggu ini untuk mengetengahkan perkara berikut:

  • Memperkenalkan Manifesto PSM kepada rakyat Malaysia, kerana kami sebagai parti yang berasaskan idea sosialis, kami mempunyai tawaran kami yang berbeza kepada rakyat Malaysia.
  • Calon-calon kami ialah aktivis rakyat dan kami merasakan adalah penting untuk mereka membawa suara dan keluhan rakyat marhaen ke pentas Parlimen dan DUN yang akan didominasi oleh parti-parti berhaluan kanan dan agenda-agenda neoliberal.
  • Calon-calon PSM juga seperti biasa akan membuat pengisytiharan harta dan Aku Janji Lawan Perkauman yang tidak dilakukan oleh parti-parti lain. Ini juga akan meletakkan satu penanda aras yang tinggi untuk parti-parti lawan kami.

4. Selain itu, kawasan-kawasan perjuangan rakyat dan Jawatankuasa Marhaen akan menggunakan dua minggu tempoh kempen ini untuk mempopularkan tuntutan akar umbi mereka kepada semua calon daripada semua parti yang bertanding. Antara jaringan yang sudah mengatur program setakat ini untuk membina kuasa rakyat dan membuat tuntutan akar umbi ialah Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Jawatankuasa Sokongan Masyakarat Ladang (JSML), Gabungan Pemandu Lori (GPL) dan GAPETA (Gabungan Petani dan Penternak dan Jaminan Makanan).

Akhir kata, pengalaman kami dalam PRU ini telah memberikan kami satu pengajaran penting bahawa kita perlu membina kekuatan kita sendiri di samping meneroka ruang untuk membina satu gabungan baharu dengan parti-parti berhaluan kiri dan kiri tengah berlandaskan program dan kuasa rakyat dari bawah.

Pilih Suara Marhaen!

S. Arutchelvan
Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) / Pengarah Biro Pilihan Raya PSM

Pemerkasaan Melampau oleh Rang Undang-Undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022

Pemerkasaan Melampau oleh Rang Undang-Undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022

Pada 26 Julai 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen bagi menghentikan penggunaan produk tembakau dalam kalangan rakyat yang dilahirkan pada dan selepas 1 Januari 2007. Meskipun visi tersebut bermanfaat dari segi perubatan dan kesihatan, kandungan RUU ini mempunyai beberapa masalah khususnya dalam cara pelaksanaan.

Pertama sekali, Fasal 17 menyatakan bahawa sesiapa sahaja dilahirkan pada dan selepas 1 Januari 2007 yang ditangkap merokok atau mempunyai produk tembakau mahupun penggantinya, bahkan hanya menggunakan apa-apa alat merokok, akan didenda tidak melebihi RM500 (asalnya RM5,000 tetapi telah diturunkan menurut hantaran twitteroleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin). Ini bermakna kaedah menghukum akan digunakan untuk melawan masalah merokok yang merupakan isu kesihatan, bukan jenayah, memburukkan lagi stigma dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula, pilihan untuk mengenakan bayaran denda akan menyebabkan golongan berpendapatan rendah lebih terkesan berbanding golongan lain. Secara amnya, hukuman tidak akan menghentikan orang daripada merokok dan orang yang didenda tidak punya apa-apa insentif untuk berhenti merokok; dia hanya akan lebih berjaga-jaga untuk mengelakkan diri daripada ditangkap lagi oleh badan penguatkuasaan. Oleh itu, adalah jelas bahawa RUU ini bertentangan dengan matlamat akhir yang dinyatakan.

Selain itu, Fasal 26, 31, dan 34 mengancam keselamatan orang kerana memberi kuasa berlebihan kepada badan penguatkuasaan, membolehkan salah guna kuasa yang mengganggu ketenteraman individu serta komuniti. Ini berpunca daripada penggunaan bahasa yang kabur dalam RUU. Tiada syarat jelas untuk menentukan apa yang dianggap sebagai kelakuan mencurigakan bagi membolehkan badan penguatkuasaan memasuki premis, menghenti, memeriksa serta merampas pengangkutan, dan mendapat akses kepada maklumat dalam rekod termasuk data komputer. Meluluskan RUU tanpa mengubah fasal-fasal ini akan menjejaskan keselamatan dan privasi rakyat, termasuk orang yang ada kaitan dengan suspek. Kelulusan IPCC yang lemah juga perlu diberi perhatian kerana buat masa sekarang, tiada badan bebas daripada pengaruh kerajaan untuk memantau kegiatan badan penguatkuasaan; masalah salah guna kuasa akan terus berlaku dengan meluluskan RUU ini.

Seterusnya, Fasal 33 yang memperkasakan badan penguatkuasaan untuk bertindak menurut Fasal 32 tanpa waran memudaratkan masyarakat. Sama ada mereka mempunyai alasan munasabah atau tidak untuk mengabaikan waran tertangguh bagi memeriksa dan merampas premis (secara paksa jika perlu seperti termaktub dalam Fasal 32), perkara ini membolehkan mereka untuk melakukan demikian, hanya perlu menjawab penyoalan Majistret (jika mereka dipertanggungjawabkan) setelah pencabulan hak suspek berlaku. Izharnya, kuasa yang diberikan oleh fasal ini tidak munasabah dan hanya mengundang keburukan kepada masyarakat terutamanya golongan kemacar dan berpendapatan rendah yang sering menjadi sasaran.

Seperti yang disebut, Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan telah memuat naik hantaran twitter pada 1 Ogos 2022, jam 6.15 petang, di mana beliau mengumumkan beberapa pengubahsuaian kecil pada RUU seperti mengurangkan bayaran denda maksimum, meletakkan opsyen khidmat kebajikan, mengharamkan pemeriksaan badan pada orang bawah umur 18 tahun, dan menggugurkan hukuman bagi mereka yang ditangkap memiliki produk tembakau. Namun demikian, hal ini tidak memadai kerana masih lagi wujud fasal yang memberi kuasa melampau kepada badan penguatkuasaan untuk disalahgunakan. Pengubahsuaian yang dilakukan pula tidak mengubah keberkesanan RUU, malah masih menyebabkan golongan berpendapatan rendah lebih terkesan kerana sama ada denda diberikan adalah RM500 mahupun RM5,000, kedua-duanya adalah jumlah yang sangat besar kepada mereka. Lebih-lebih lagi, sesiapa pun tidak patut mengalami pemeriksaan badan hanya kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan RUU ini.

Sebagai rumusan, RUU yang dibentangkan KKM perlu diubahsuai sepenuhnya sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan di Parlimen. Ia mengandungi pelbagai peruntukan berbahaya yang mendedahkan masyarakat kepada pencabulan hak demokratik dan kemanusiaan mereka. Dengan ini, Pemuda Sosialis menuntut penggubalan RUU yang menjaga kepentingan rakyat, menitikberatkan kaedah pemulihan bukannya hukuman bagi menangani isu merokok di Malaysia. KKM juga wajib mempertimbangkan pengedaran tampalan nikotin dan alternatif lain secara percuma bagi membantu orang dalam mengatasi ketagihan merokok jika KKM benar-benar mengambil berat akan kesihatan masyarakat.

Titania
Ahli Jawatankuasa
Pemuda Sosialis

Barisan Kepimpinan Pemuda Sosialis 2022-2024

Barisan Kepimpinan Pemuda Sosialis 2022-2024

Untuk penggal 2022-2024, komrad-komrad di bawah telah dipilih untuk menjadi barisan ahli jawatankuasa Pemuda Sosialis.


Pengerusi: Arveent Kathirtchelvan


Saya seorang aktivis berlandasan Marxisme-Leninisme yang berfokus kepada perkembangan sistem ekonomi dan politik sosialisme di Malaysia. Bersama Pemuda Sosialis, saya ingin berusaha mengasah bakat serta mengembangkan potensi aktivis sosialis muda supaya lapisan aktivis kini dapat terus dikukuhkan. Saya juga seorang aktivis alam sekitar yang berminat dalam isu sumber tenaga alternatif.


Timbalan Pengerusi: Ahmad Yasin @ Sin


Seorang pelajar dengan minat untuk menulis namun sering ditimpa kemalasan yang melarat. Telah menghasilkan beberapa penulisan yang berfokuskan isu komuniti marginal. Mempunyai impian untuk menyaksikan penganut konservatisme dan kapitalisme ditelan bumi serta menjadi baja bagi menyuburkan dunia baru yang lebih mulia untuk semua.


Setiausaha: Gandipan Nantha Gopalan


Seorang graduan jurusan Petroleum Geoscience yang ingin membantu sedaya upaya dalam menggerakkan gerakan sosialisme dan marhaen di negara. Ayuh pemuda-pemudi negara kita dalam menentang ketidakadilan sosial dan membina sebuah masyarakat yang lebih sejahtera untuk semua.


Bendahari: Yap Xin Yit


Sepanjang dua tahun penglibatan saya dalam Pemuda Sosialis, saya telah mengasaskan Biro Keadilan Kekurangan Upaya dan aktif menyumbangkan tenaga kepada Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) untuk membantu pekerja kontrak dalam perkhidmatan awam.


Ahli-Ahli Jawatankuasa:


Emil Malek Chew @ Viktor


Penglibatan saya dalam aktivisme bermula pada tiga tahun yang lepas apabila saya membantu menubuhkan MISI Solidariti (MS). Melalui MS, saya telah memberi sokongan kepada gerakan #Lawan dan #Demi1086. Sejak Januari 2022, saya telah mengetuai Biro Propaganda Pemuda Sosialis dan menggerakkan projek seperti Sosialisme 101. Untuk penggal ini, saya ingin berdedikasi menjayakan Parti dari segi Biro Propaganda dan juga projek jangka masa panjang Pemuda Sosialis yang lain.


Sean


Saya seorang pelajar psikologi yang memahami bahawa krisis kesihatan mental berasal dari sistem kapitalisme yang saban hari kian menyebabkan ramai orang bunuh diri setiap tahun. Saya ingin menjayakan program PSM merampas kuasa supaya isu-isu marhaen boleh diutamakan.


Audrey Chan


Sejak menjadi ahli PSM pada 7 bulan yang lalu, saya telah menulis 2 artikel yang mengetengahkan krisis iklim dunia. Saya juga aktif turun padang dan menyumbang tenaga sebagai ahli Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim (BASKI) dan Biro Propaganda serta mengambil bahagian dalam Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM). Saya cuma rakyat marhaen yang hendak aktif berjuang demi rakyat marhaen.


Titania


Saya berpengalaman selama setahun dalam bidang advokasi LGBTQIA+ dan ingin mengembangkan lagi usaha dalam membebaskan semua golongan kemacar.


Amanda


Saya percaya kepada kepentingan persimpangan dalam setiap aspek. Bersama PSM, saya berhasrat untuk meruntuhkan sistem kapitalis kini bersama komrad-komrad saya. Tidak sesekali patut kita lupakan, kita tidak akan kehilangan apa-apa kecuali rantai kita.


Daenie


Sebagai seorang queer dengan kekurangan upaya, saya berdedikasi dalam membawa isu-isu OKU ke hadapan dan berjuang untuk sistem baharu yang menitikberatkan kepentingan orang kurang upaya. Bersama PSM, saya berhasrat untuk menggalakkan lebih banyak golongan OKU mengambil landasan tindakan langsung!

KEMPEN PEMULIHAN NASIONAL – Peka Nasib Kami! Rakyat Minta Lima!

KEMPEN PEMULIHAN NASIONAL – Peka Nasib Kami! Rakyat Minta Lima!

Kenyataan Media
22hb Mei 2022

Kelemahan struktur pentadbiran Malaysia telah didedahkan pada tahun 2020 apabila pandemik COVID-19 menyerang dan memberikan tamparan yang terdahsyat sejak merdeka kepada sosioekonomi dan politik negara. Sistem ekonomi neoliberal yang dianuti sejak lebih 40 tahun lalu oleh kedua-dua blok pemerintahan, gagal melindungi kebajikan rakyat terbanyak apabila sebuah pandemik sebegini menyerang.

Pemerintahan ala kapitalisme yang pro-korporat, telah melemahkan asas jaringan perlindungan sosial rakyat dan mendedahkan mereka kepada pelbagai tekanan sosioekonomi. Kegagalan tersebut perlu diatasi segera, agar kita dapat pulih dari pandemik dan sekaligus mengukuhkan asas jaringan perlindungan sosial supaya bersedia menangani cabaran pada masa akan datang.

 

Apa yang kita pelajari dari era pandemik Covid

Selain daripada penderitaan harian yang dilalui rakyat, pandemik mengajar kita ;

  1. Rakyat termiskin B40 lah yang menerima kesan yang terdahsyat,  walaupun krisis pandemik seperti COVID-19 tidak mengenal kaya mahupun miskin.  Pengalaman menunjukkan bahawa pendapatan isi rumah, perumahan, jaminan kerja dan persekitaran memainkan peranan yang penting dalam menentukan daya tahan sesebuah keluarga apabila krisis menyerang. 
  1. Pekerjaan dan sumber rezeki kita yang dahulu dianggap berkekalan boleh hilang sekelip mata. Tanpa jaringan perlindungan sosial yang baik, kita akan terus terhumban dalam kemiskinan. Ramai keluarga M40 kini ditolak ke situasi B40 juga apabila mereka diberhentikan kerja atau hilang punca pendapatan dengan mengejut.  
  1. Walaupun industri swasta dan korporat diagung-agungkan sebagai entiti yang paling penting memacu pembangunan negara selama ini, apabila negara diserang krisis,  pihak yang berjaya mendukung rakyat dalam pandemik adalah perkhidmatan hospital kerajaan dan agensi-agensi kerajaan. Perkembangan sektor hospital swasta dan pembangunan pelancongan kesihatan gagal memberikan sumbangan yang signifikan kepada rawatan pesakit COVID-19.
  1. Sektor ekonomi bekalan kemudahan asas terbukti menjadi (essential) amat penting kepada rakyat pada masa krisis. Peniaga kecil, petani, pekerja penyelenggaraan, pembersihan, pemungut sampah, pemandu lori, penghantaran barangan, merekalah yang memainkan peranan paling penting. Jika petani tempatan diabaikan dan produk pertanian import tergendala, maka bekalan makanan kepada rakyat akan terputus.
  1. Langkah pencegahan sesebuah jangkitan seperti COVID-19, hanya boleh dilaksanakan jika kita mempunyai rumah yang memadai dan persekitaran yang baik. Perlaksanaan kuarantin dan penjarakan sosial sukar dilaksanakan oleh golongan marhaen yang tinggal dalam sebuah rumah PPR berkeluasan 650 kaki persegi sahaja.  Jauh berbeza dengan keluarga yang duduk dalam banglo mewah di Damansara. Maka perumahan selesa penting bagi rakyat yang dilanda krisis. 
  1. Jika rakyat tiada daya tahan untuk melawan krisis kesihatan COVID-19, bagaimana pula rakyat akan menghadapi krisis iklim yang impaknya berlipat kali ganda lebih teruk? Maka, isu pembalakan tanpa kawalan, pencemaran sungai, perlombongan mineral perlu ditangani dengan segera. 

Selaras dengan pengajaran penting itu, maka PSM melancarkan sebuah 

Kempen  Pemulihan Nasional , Peka Nasib Kami, Rakyat Minta Lima !

Kempen Pemulihan Nasional ini berasaskan kepada 5 TERAS Utama iaitu ;

  • TERAS  1  – MEMPERKASAKAN PERLINDUNGAN SOSIAL 
  • TERAS  2 –  SKIM JAMINAN KERJA
  • TERAS  3 –  PERUMAHAN HAK RAKYAT
  • TERAS  4 –  TINGKATKAN KHIDMAT KESIHATAN AWAM
  • TERAS  5 – TANGANI  KRISIS IKLIM SEGERA 

Ringkasan setiap Teras adalah seperti berikut ; 

Memperkasakan Perlindungan Sosial

  • Skim jaminan pendapatan asas (RM1,000 sebulan kepada mereka yang hilang punca pendapatan dan juga mereka yang tidak mendapat faedah daripada skim perlindungan sosial yang sedia ada)
  • Hapuskan penyumberan luar perkhidmatan kerajaan – hapuskan sistem kontrak untuk kerja tetap
  • Pinda undang-undang buruh dan PERKESO untuk perlindungan pekerja ekonomi Gig
  • Reformasi Skim Insurans Pekerjaan agar semua pekerja mendapat manfaat tanpa syarat yang membebankan
  • Pencen bulanan untuk warga emas
  • Jawatankuasa khas COVID-19 di tempat kerja (yang terdiri daripada wakil pekerja dan wakil majikan) untuk memantau secara ketat pematuhan tatacara pengendalian piawai (SOP) pencegahan wabak.

Skim Jaminan Kerja

  • Penjanaan pekerjaan hijau (peralihan daripada tenaga fosil ke tenaga hijau)
  • Penambahan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian yang mengeluarkan makanan
  • Pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur kesihatan
  • Pemulihan infrastruktur dan warisan negara
  • Kajian perubatan dan farmakologi
  • Penambahan pekerja sosial
  • Pekerjaan dalam sektor pengasuhan kanak-kanak dan pendidikan awal
  • Sosialisasikan kerja rumah
  • Pengubahsuaian waktu kerja
  • Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan dalam penjanaan kerja
  • Tubuhkan agensi pemantauan pelaksanaan skim ini
  • Gubal Akta Anti-Diskriminisasi Pekerja

Perumahan Hak Rakyat

  • Bina rumah sewa PPR yang mencukupi untuk golongan B20
  • Keluarkan perumahan rakyat dari pasaran
  • Hentikan pengusiran paksa – tawarkan rumah dan lot ganti
  • Tubuh sebuah amanah (tanpa motif untung) untuk bina perumahan rakyat
  • Kerajaan ambil alih penyelengaraan rumah pangsa kos rendah

Tingkatkan Khidmat Kesihatan Awam

  • Perkasakan khidmat kesihatan awam
  • Libatkan doktor pengamal am (GP) dalam pengendalian penyakit kronik
  • Gunakan levi untuk bayar kos perubatan migran
  • Peralatan pembedahan dibiayai oleh kerajaan
  • Bendung penghijrahan doktor pakar dari hospital awam ke hospital swasta
  • Tubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan yang khas untuk kakitangan kesihatan
  • Tambahkan peruntukan bajet kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 6 billion setiap tahun untuk 5 tahun akan datang
  • Perkhidmatan kesihatan berkualiti yang disubsidi oleh kerajaan sebagai “upah sosial” kepada rakyat

Tangani Krisis Iklim Segera

  • Penggunaan 100% tenaga boleh baharu sebelum tahun 2035
  • Kawal pencemaran daripada industri petroleum
  • Tingkatkan pengangkutan awam
  • Moratorium kekal terhadap pembalakan dan perlombongan di hutan primer

Maka, Parti Sosialis Malaysia pada hari ini, melancarkan suatu Kempen Pemulihan Nasional secara serentak di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kuala Lumpur , Selangor, Negeri Sembilan dan Johor pada 22hb. Mei, 2022. 

PSM akan menjelajah keseluruh negara membawa mesej kempen ini dengan tujuan mengembeling sokongan dan fokus perjuangan rakyat kearah isu-isu asas kehidupan dan bukan isu-isu perkauman yang sering memecahbelahkan rakyat. Diantara aksi –aksi yang akan dijalankan ialah; 

  • Konvoi dari bandar ke bandar 
  • Penyebaran maklumat kepada umum.  
  • Mengembeling sokongan – Pengendosan 5 Teras oleh penduduk kawasan perjuangan
  • Banner dilokasi awam 
  • Ceramah kelompok 
  • Lawatan ke kawasan perjuangan 
  • Perjumpaan dan pengendosan dengan NGO lokal 

Nantikan pemberitahuan jelajah Kempen Pemulihan Nasional Rakyat Minta Lima nanti. 

Sila baca dokumen lengkap dipautan : 

https://partisosialis.org/ms/event/pemulihan-nasional/

Untuk maklumat lanjut sila hubungi: 

Sivarajan A,

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia
pusat@partisosialis.org