Hentikan serangan tentera Turki ke atas Kurdistan

Hentikan serangan tentera Turki ke atas Kurdistan

Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Turki yang semakin bersifat autoritarian yang secara hipokritnya berpura-pura cuba menonjolkan diri sebagai “pendamai” kepada perang di Ukraine, telah mengarahkan serangan rentas sempadan yang terbaru bermula pada 17 April 2022, dengan mensasarkan kawasan yang dikuasai oleh golongan gerila Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di wilayah Kurdistan Selatan (Iraq Utara).

Lapan Langkah untuk Menangani Krisis Makanan

Lapan Langkah untuk Menangani Krisis Makanan

Pengurangan dalam eksport gandum dan jagung dari Russia dan Ukraine akan meningkatkan harga bukan sahaja kedua-dua bijirin tersebut tetapi harga beras juga. Besar kemungkinannya rakyat di merata tempat akan beralih dari gandum ke beras apabila harga gandum melambung naik. 

PSM MENGESAHKAN BERTANDING DI DUN KOTA ISKANDAR N49 PRN JOHOR

PSM MENGESAHKAN BERTANDING DI DUN KOTA ISKANDAR N49 PRN JOHOR

21hb.Februari, 2022


PSM MENGESAHKAN BERTANDING DI DUN KOTA ISKANDAR N49 PRN JOHOR


Parti Sosialis Malaysia dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa PSM akan masuk gelanggang bertanding dalam Pilihanraya Negeri Johor 2022. PSM bukanlah kuasa politik baru di Johor, aktivis PSM telah lama bergerak di Johor lebih 15 tahun yang lalu, dan Cawangan pertama PSM di Johor ialah Cawangan Nusa Jaya (kini digelar Kota Iskandar). Cawangan ini didaftarkan pada tahun 2010 dan telah berkhidmat secara beterusan hingga ke hari ini.


Diantara kekuatan PSM di Johor ialah mereka berjaya mengerakkan pelbagai kempen isu rakyat marhain. Diantaranya kempen Gaji Minima, kempen Skim Insurans Pekerja, kempen menuntut Sekolah di Kota Iskandar, kempen Bantah GST, perjuangan menuntut Hospital di Kangkar Pulai, perjuangan Orang Asli , kempen Rumah Mampu Milik dan banyak lagi aktiviti di Johor.


Maka selaras dengan prinsip PSM yang hanya bertanding dikawasan yang kami pernah berkhidmat, maka PSM membuat keputusan untuk bertanding di DUN N49 Kota Iskandar dalam PRN Johor 2022 ini.


Walaupun kami hanya bertanding di satu kerusi, tetapi kami rasa, PSM dapat membawa satu naratif politik yang berlainan dengan parti-parti lain yang telah mengumumkan penyertaan mereka dalam PRN Johor kali ini. Kesemua parti politik, samaada yang sedang memerintah ataupun yang berada sebagai pembangkang tidak mendekati perjuangan mereka dari kacamata rakyat biasa, rakyat MARHAIN.


Justeru itu, kebanyakkan dari cadangan polisi, program dan agenda reform mereka dikaburi dengan kepentingan kelas kapitalis dan korporat. Dari dana politik yang diterima sehinggalah polisi yang mereka bawa semasa dalam pemerintahan, kerap memihak kepada kelas yang ada kekuatan wang dan pengaruh politik elit. Ini harus dihentikan. Rakyat sudah muak dengan politik elit ! PSM bersedia menawarkan politik alternatif progresif dan bertumpukan kuasa rakyat!


Calon yang kami perkenalkan ialah Sdr Arangkanal Rajoo atau dikenali sebagai Ara, merupakan seorang yang berkecimpung dalam dunia perfileman. Beliau merupakan pengarah pelbagai filem sosial yang pernah memenangi anugerah diperingkat antarabangsa. Jiwa sosialisnya yang telah membawa beliau berkhidmat bersama PSM lebih 2 tahun di DUN Kota Iskandar (NusaJaya) .


Maka, kami menyeru kepada rakyat Kota Iskandar agar memberikan peluang dan sokongan kepada PSM jika mereka benar-benar mendahagi perubahan sebenar dan meletakkan rakyat didepan dan memperkasakan mereka.


Ayuh ! Undilah Ara SuARA Kota Iskandar #PSMBinaKuasaRakyat

Salam perjuangan

Sivarajan A
Setiausaha Agung PSM
21/2/2022.

Mengatasi Pelbagai Krisis Kapitalisme – Deklarasi Bersama Penganjur Persidangan Sosialisme 2021

Mengatasi Pelbagai Krisis Kapitalisme – Deklarasi Bersama Penganjur Persidangan Sosialisme 2021

(asalnya diterbitkan di Sosialis.Net)

5 Disember 2021

Krisis kapitalisme semakin hari semakin menjadi lebih teruk dan melampau.

Persidangan Kemuncak Iklim Glasgow (COP26) baru-baru ini mengesahkan (sekali lagi) bahawa sebuah iklim yang sesuai untuk hidup – dan oleh itu memastikan kemandirian spesies kita – itu sedang terancam, pemerintah kapitalis tidak mempunyai jawapan yang bermakna untuk keperluan rakyat.

Golongan elit kapitalis lebih mengutamakan keuntungan korporat berbanding sebuah iklim yang sesuai untuk hidup, berbanding kesihatan dalam pandemik sedunia, dan berbanding mata pencarian asas rakyat di tengah-tengah krisis ketidaksamarataan global.

Penganjur persidangan Sosialisme 2021 percaya bahawa adalah mustahak bagi rakyat biasa menolak agenda kelas pemerintah dan membentuk sebuah gerakan yang menentang elit kapitalis, secara ideologikal dan praktikal.

Pada dasarnya kita perlu menggantikan sistem mereka yang menindas dan berpandukan keuntungan dengan sebuah alternatif yang berasaskan kuasa rakyat dan memenuhi keperluan manusia.

Kami terangsang dengan solidariti dalam kalangan kuasa berhaluan kiri di rantau ini. Solidariti ini ditunjukkan melalui penganjuran persidangan ini dan juga projek-projek yang lain.

Kami berharap untuk membina kerjasama kiri yang lebih kuat dengan berasaskan:

Sosialisme

Sosialisme ialah alternatif yang praktikal kepada kapitalisme.

Pengagihan semula kekayaan

Golongan bilionair telah menjadi lebih kaya semasa pandemik. Kekayaan ini harus diambil semula dan digunakan untuk kepentingan rakyat.

Kesihatan untuk semua

Apartheid vaksin global ialah contoh yang jelas untuk ketidakadilan di bawah kapitalisme yang mengutamakan keuntungan. Setiap orang di dalam setiap negara berhak untuk menikmati perkhidmatan kesihatan yang percuma dan berkualiti baik.

Demokrasi rakyat yang sebenar, melawan penindasan negara

Kami menyatakan solidariti kami bersama dengan perjuangan demokrasi rakyat dari bawah di Thailand, Myanmar, Hong Kong, Sudan dan seluruh dunia.

Kesamarataan gender

Penindasan terhadap Wanita ialah salah satu tonggak utama masyarakat kapitalis. Kami menyokong bukan sahaja kesamarataan undang-undang yang sepenuhnya malah juga pembebasan wanita yang sebenar. Kami juga menyokong hak rakyat untuk menentukan identiti dan ekspresi gender mereka.  

Pertahankan hak pekerja

Setiap orang berhak untuk mendapatkan kerja yang terjamin, gaji yang mencukupi dan persekitaran kerja yang selamat. Kerajaan harus menjamin pekerjaan penuh dan pekerja harus menikmati sepenuhnya hak untuk berorganisasi dalam kesatuan sekerja serta mempertahankan hak kita di tempat kerja.  

Keadilan iklim global

Pemanasan global ialah cabaran terbesar yang sedang dihadapi umat manusia, dan pemerintah kapitalis telah terbukti tidak mampu untuk menghadapi cabaran ini. Kerajaan-kerajaan negara harus mengambil tindakan unilateral untuk memastikan tiada lagi projek bahan api fosil dibangunkan dan projek-projek yang sedia ada akan diberhentikan secara berperingkat. Negara-negara kaya harus membayar hutang iklim mereka kepada negara-negara Selatan Global, termasuk teknologi dan pembiayaan karbon sifar.  

Bantah “Perang Dingin” baharu

Kami membantah ancaman serangan kuasa imperialis pimpinan Amerika Syarikat yang mensasarkan China, dan kami menyeru untuk penyahtenteraan di perairan Asia Tenggara (Laut China Selatan).

Hentikan sekatan bersifat jenayah ke atas Venezuela dan Cuba

Hentikan campurtangan imperialis di Amerika Latin.

Solidariti dengan perjuangan rakyat menentukan nasib sendiri

Kami memanjangkan solidariti kami kepada rakyat tertindas di mana-mana sahaja, termasuk Papua, Palestin, Kashmir dan Rojava.

Keadilan untuk petani

Bangunkan sebuah program yang komprehensif untuk meningkatkan jaminan makanan, untuk memastikan akses rakyat kepada makanan sihat dan melindungi mata pencarian petani-petani kecil tempatan di semua negara. Kami memberi penghormatan kepada kemenangan petani-petani India yang berjaya menewaskan serangan daripada kerajaan Modi.

Golongan elit kapitalis tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat. Alternatifnya ialah sosialisme yang berasaskan organisasi akar umbi dan demokrasi popular. Kami mengikrarkan solidariti kami untuk memajukan perjuangan demi mencapai matlamat ini.

**********

Penganjur Sosialisme 2021 terdiri daripada:

Kenyataan bersama ini juga boleh didapati dalam versi Bahasa Inggeris, Bahasa Indonesia, Bahasa Thai dan Bahasa Tionghua.

Penindasan di Premis Kerajaan? Impak Penyumberluaran Khidmat Kepada Pekerja Premis Kerajaan

Penindasan di Premis Kerajaan? Impak Penyumberluaran Khidmat Kepada Pekerja Premis Kerajaan

Begitulah ironinya keadaan para pekerja yang bekerja di premis sekolah-sekolah, bangunan Hospital dan Jabatan–jabatan Kerajaan yang lain. Mereka yang kerja setiap hari dibawah bumbung bangunan Kerajaan malangnya gagal dilindungi oleh Kerajaan kita sendiri. 

Siapakah mereka ini? Mereka adalah para pekerja pembersih bangunan Kerajaan dan juga pengawal keselamatan di sekolah-sekolah, Hospital Kerajaan, Kementerian , Jabatan dan agensi Kerajaan yang lain . Dianggarkan seramai 230 ribu pekerja memberikan khidmat tersebut kepada premis Kerajaan . 

Sebelum pertengahan 1990an, semua pekerja pembersihan, pekebun dan Pengawal keselamatan di premis bangunan Kerajaan adalah penjawat awam Kerajaan yang mempunyai jaminan kerja. Namun sejak dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke 4 – Tun Dr. Mahahtir pada tahun 1996, sistem ini telah ditukar kepada sistem kontrak yang telah menghancurkan jaminan kerja. 

Sistem kontrak ini dimulakan bertujuan untuk mewujudkan golongan kontraktor Melayu, dengan hasrat meningkatkan penyertaan usahawan Melayu dalam bidang perniagaan dan sebagainya. Maka kesemua pekerja yang dulunya bekerja terus sebagai staf Kerajan diminta untuk masuk bekerja dibawah syarikat-syarikat kontraktor ini dan meneruskan tugas mereka seperti biasa di premis yang sama. 

Kontraktor –kontraktor ini pula diberikan kontrak oleh unit perolehan jabatan kerjaan untuk suatu tempoh tetap, biasanya 3 tahun. Selepas tamatnya 3 tahun, kontraktor tersebut akan bida semula tender tersebut. Jika syarikat lain yang berjaya memperolehi tender tersebut, maka para pekerja yang sama akan terus diserap masuk sebagai pekerja baru kontraktor baru ini . 

Maka, walaupun pekerja tersebut telah bekerja sebagai pembersih bangunan sekolah sebagai contohnya untuk tempoh 20 tahun, tetapi beliau akan dilayan sebagai pekerja baru setiap 3 tahun , dan gaji dan kemudahan lainnya kekal pada tahap pekerja baru. Maksudnya beliau hanya dibayar gaji minima walaupun telah bekerja lama. Tiada peningkatan gaji, kerana bagi setiap kontraktor beliau adalah pekerja baru! Kelayakan cuti tahunan dan cuti sakit juga kekal sama sebagai pekerja baru. 

Selain dari itu, para pengawal keselamatan pula mengalami masalah lambat dibayar gaji, gaji dipotong tanpa sebab, penyelewengan dalam pengiraan gaji lebih masa, caruman KWSP, PERKESO dan Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) yang tidak cukup dan sebaginya. 

Jika dilihat keadaan pekerja kontrak yang bekerja sebagai pembersih bangunan Hospital Kerajaan, mereka dilayan begitu teruk walaupun mereka ini adalah barisan hadapan ‘frontliner melawan Covid 19. Pada masa dunia berjuang melawan pandemik Covid-19, Kerajaan pula enggan memberikan pengiktirafan kepada pekerja kontraktor ini sebagai ‘frontliner’. 

Para doktor-doktor dan para jururawat di Hospital diiktiraf sebagai frontliners dan diberikan elaun khas RM600 dalam pakej stimulus pendamik pada tahun 2020. Bajet 2021 juga ada peruntukan untuk elaun khas kepada mereka. Tetapi pekerja-pekerja kontrak pembersihan dan pengawal keselamatan di premis Hospital Kerajaan yang sama tidak diiktiraf oleh Kerajaan. Kerajaan mengamalkan diskriminasi terhadap golongan ini. Seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof pernah berkata dalam Parlimen bahawa pembersih hospital tidak akan diberikan bayaran atau “one-off” sebanyak RM300 (https://www.malaysiakini.com/news/553331).

Tidakkah mereka sedar bahawa, sebelum dan selepas Doktor atau Jururawat merawat pesakit, pekerja pembersihanlah yang kena membersihkan tempat tersebut dan bagaimana pula mereka ini tidak layak diiktiraf sebagai frontliner padahal risiko yang dihadapi oleh mereka sama dengan Doktor dan Jururawat. 

Inilah penindasan yang pekerja mengalami akibat sistem kontrak ini. Demi menjadikan segelintir kaum Melayu sebagai ushawan Melayu majoriti pekerja Melayu ditindas dan dirampas hak mereka. 

Jelas sistem kontrak yang dipraktikkan ini bertentangan dengan Akta Pekerja 1955 sendiri. Seksyen 11 Akta Pekerja menyatakan bahawa, suatu kerja hanya boleh ditawarkan sebagai kerja tempoh tetap , ‘fixed term contract’ jika ianya kerja bermusim, spesifik dan tidak diperlukan selalu. Maksudnya kerja –kerja pembinaan atau penyelenggaraan yang akan selesai bila binaan atau penyelenggaraan itu siap. 

Tetapi kerja pembersihan bangunan premis Kerajaan dan juga kerja memgawal keselamatan bangunan ini senantiasa diperlukan selagi bangunan ini masih berfungsi. Maka kenapa pula pekerja –pekerja ini diambil kerja sebagai pekerja kontrak khidmat tetap dan dicampakkan keluar bila tidak diperlukan lagi?

Sistem kontrak ini hanya untuk menjaga kroni-kroni politik demi mengekalkan sokongan politik dan kewangan Kerajaan yang memerintah. Sistem ini membenarkan orang tengah iaitu syarikat kontraktor, yang tiada kaitan dengan kerja dan tempat kerja untuk mengawal dan mentadbir pekerja. Orang tengah ataupun kontraktor-kontraktor ini melanggar undang-undang pekerjaan dan sering memangsakan pekerja seperti gagal membayar caruman Perkeso, KWSP dan sebagainya. 

Walaupun banyak aduan dibuat terhadap kontraktor-kontraktor yang menindas ini , tetapi mereka seolah-olah kebal dan terus berjaya memperolehi kontrak dari Kerajaan. Jika disenarai hitam pun, mereka dengan mudah menggunakan syarikat kontraktor lain atas nama ahli keluarga mereka untuk meneruskan perniagaan dan membida untuk tender Kerajaan. 

Sistem kontrak yang diperkenalkan dulu, sepatutnya mengurangkan kos kepada Kerajaan apabila khidmat sedemikain disumberluarkan. Maka Kerajaan tidak payah membayar pekerja dan menjaga kebajikan mereka. 

Tetapi dalam 25 tahun ini, secara realitinya ianya menimbulkan lebih banyak kos kepada Kerajaan apabila banyak aduan pekerja terpaksa dikendalikan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ataupun Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) kerana layanan kontraktor-kontraktor swasta ini terhadap pekerja mereka. 

Justeru itu , sistem pengambilan pekerja sebagai kontrak akibat penyumberluaran khidmat asas premis Kerajaan ini harus dihentikan. PSM mendesak agar Kerajaan terus menyerap pekerja-pekerja ini sebagai pekerja tetap Kerajaan dengan segala kemudahan seperti penjawat awam yang lain. Penindasan hak pekerja secara tidak langsung oleh Kerajaan sendiri adalah amatlah ironik dan memalukan. Demi hak pekerja ianya haruslah dihentikan segera.

Tanah runtuh & kehilangan nyawa di Cameron Highlands, dimanakah had ketamakan manusia?

Tanah runtuh & kehilangan nyawa di Cameron Highlands, dimanakah had ketamakan manusia?

KENYATAAN AKHBAR – PARTI SOSIALIS MALAYSIA – 20/9/2021

Baru-baru rakyat Cameron Highlands digemparkan dengan pelbagai kejadian tanah runtuh. Salah satu kejadian yang berlaku pada 16hb. September, 2021 di Sg Palas Brinchang menyebabkan seorang wanita meninggal dunia apabila tanah runtuh diatas rumahnya. Satu lagi kejadian tanah runtuh juga berlaku di jalanraya Simpang Pulai ke Cameron Highlands di Seksyen 43.9 sepertimana yang dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya. 

Kejadian sedemikian tidaklah baru dan kawasan tanah tinggi ini telah lama menjadi mangsa pembangunan yang melampau sejak beberapa dekad yang lalu. Memandangkan Cameron Highlands sememangnya menerima taburan hujan yang tinggi, maka apajua pembangunan yang melibatkan pembersihan hutan, pemotongan pokok, akan mengeruhkan lagi keadaan dan meningkatkan kejadian tanah runtuh. 

Tanah runtuh pertama yang direkodkan di Cameron Highlands adalah pada tahun 1961 dimana ianya mengaut nyawa seramai 16 orang di kawasan Ringlet. Tetapi nampaknya kita gagal belajar dari kejadian-kejadian sedemikian, dan masih bertindak untuk melakukan projek pembinaan berterusan di Cameron Highlands.

Pada masa bila pihak pakar dan Jabatan-jabatan Kerajaan sedang bertungkus lumus memperbaiki jalan dan melaksanakan langkah-langkah mitigasi untuk mengurangkan kejadian tanah runtuh,  pihak pemodal nampaknya hanya bertumpukan kepada mencari lokasi baru yang dapat mengaut keuntungan kepada mereka.  

Kami difahamkan suatu projek taman tema yang dikenali sebagai ESCAPE Cameron Highlands akan dibina dengan keluasan 60ha. Projek ini yang akan dimajukan oleh syarikat Sim Leisure Group dijangka akan membuka fasa pertamanya seluas 24.3 hektar pada tahun 2023. 

PSM Cameron Highlands membantah projek ini yang sudah pastinya melibatkan pembersihan kawasan hutan, pembalakan dan pembangunan cerun. Eksploitasi beterusan dikawasan tanah tinggi ini melalui pelbagai projek pembangunan, hanya menguntungkan pihak pemodal dan merugikan rakyat tempatan dalam pelbagai cara. Rakyat tempatan Cameron Highlands, kinipun merungut kerana kesesakan jalanraya akibat kehadiran pelancong yang melebihi kapasiti kemudahan infrastruktur yang sedia ada.

Pada masa bila para pemodal mengaut keuntungan, rakyatlah yang terpaksa berhadapan bahaya tanah runtuh dan kesesakan jalanraya yang menganggu kehidupan harian mereka. 

Kerajaan Negeri haruslah dengan segera menghentikan projek sedemikian dan membuat evaluasi serius mengenai had pembangunan yang dibenarkan dikawasan tanah tinggi ini. Apakah rasionalnya terus meluluskan pelbagai projek pembangunan sedemikian disuatu lokasi yang terhad keluasannya? Pembangunan tidak terkawal selama beberapa abad ini, menyebabkan semakin hari semakin luas kawasan tanah hutan yang sensitif geologi tanah dan ekosistem dibersihkan. Sudah tentu, impak jangka panjang yang terpendam akan membawa pelbagai kejadian tanah runtuh dan dan sebagainya.

PSM ingin tanya, adakah Kerajaan Negeri tetapkan suatu had pembangunan di Cameron Highlands? Sememangnya tidak masuk akal bagaimana projek pembinaan terus diluluskan dalam suatu kawasan yang kerap memaparkan impak akibat pembangunan seperti ini.

Kejadian tanah runtuh dan pencemaran dengan mudah diketepikan dengan janji palsu bahawa pembangunan baru yang diluluskan itu pasti mampan dan langkah mitigasi telah diambilkira.

Tetapi sejarah kejadian kerosakan alam sekitar sehingga kini jelas menunjukkan bahawa, bilangan projek yang kononnya ‘mampan’ lengkap dengan kelulusan EIA juga  menonjolkan kesan pencemaran dan kemungkinan kejadian tanah runtuh dalam jangka masa panjang. 

Justeru itu, kami menyarankan bahawa semua pembangunan baru di Cameron Highlands harus dibekukan dan dikaji semula keperluannya. Berbanding dengan manfaat ekonomi, kos kehilangan nyawa dan hartabenda tidak dapat diganti apabila musibah berlaku kerana ketamakan manusia. 

 

Sivarajan  A
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia
PSM Cameron Highlands. 
20/9/2021

Skim Jaminan Pendapatan Asas RM1,000 sebulan kepada keluarga yang hilang punca pendapatan akibat COVID-19.

Skim Jaminan Pendapatan Asas RM1,000 sebulan kepada keluarga yang hilang punca pendapatan akibat COVID-19.

Sejak tercetusnya pandemik Covid-19 pada Mac 2020, PSM telah mendesak Kerajaan agar memperkenalkan suatu Skim Jaminan Pendapatan Asas, atau Guaranteed Basic Income kepada sesiapa yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid 19. 

Dokumen pelan tindakan PSM bertajuk “Kemelesetan Ekonomi Pasca Covid 19 : Cadangan Memulihkan Negara Demi Rakyat” membawa cadangan agar setiap keluarga yang kehilangan punca pendapatan haruslah dibayar sebanyak RM1000 untuk memastikan bahawa keluarga tersebut tidak terjerumus dalam kancah kemiskinan. Dokumen ini telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada Julai, 2020. 

Tetapi malangnya Kerajaan masih kekal dengan modal bantuan yang bersifat ‘one off’ .Skim Bantuan Khas Covid (BKC) yang diperkenalkan juga berupa bayaran ‘one off’ dimana golongan miskin tegar akan dibayar RM 1,300/isi rumah, RM 500 untuk warga emas dan RM500 untuk bujang secara ansuran.  B40 pula akan menerima bayaran RM800/isi rumah, RM200 untuk warga emas dan bujang RM 200. Bantuan BKC juga dipanjangkan kepada golongan M40. Golongan M40 merupakan mereka yang mempunyai pendapatan isu keluarga melebihi RM 5000. Sebanyak 3.1 billion di khususkan untuk bayaran tersebut. 

PSM membawa cadangan bahawa, berbanding dengan bayaran sekali gus ‘one off’ yang disebarkan luas dari golongan miskin tegar sehinggalah M40, adalah lebih memanfaatkan jika Kerajaan memfokuskan bantuan kepada isi rumah yang benar-benar kehilangan punca pendapatan akibat Covid 19. Bantuan melalui Skim Jaminan Pendapatan Asas yang berupa Universal Basic Income (UBI) ini dapat membantu isi rumah tersebut menangani kos asas rumah tangga seperti makanan dan sebagainya. 

Dalam suatu kajian lapangan yang dibuat oleh Jabatan Statistik Malaysia , pada March 2020, mereka mendapati golongan yang paling ketara kehilangan kerja ialah mereka yang bekerja sendiri. Sebanyak 46.6% dari responden yang kerja sendiri menyatakan bahawa mereka kehilangan pendapatan berbanding dengan, 23.8% bekerja dengan majikan, 1.8% sektor swasta, 0.4% kerja dengan syarikat Multinasional dan 0.4% yang bekerja dengan syarikat GLC(Government Linked Company)

Kajian yang sama melaporkan, seramai 71.4% responden yang bekerja sendiri hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kurang dari satu bulan pendapatan mereka, berbanding dengan 49.2% responden yang bermajikan, 58% bekerja dengan swasta, 31.2% kerja dengan syarikat Multinasional dan 38.9% yang bekerja dengan syarikat GLC. Maka bantuan segera secara bulanan pada masa-masa kritikal apabila mereka kehilangan kerja adalah amat penting sekali. Rujukan

PSM mencadangkan bantuan ini hanya kepada mereka yang hilang kerja dan tiada apajua sumber bantuan yang lain. Maka mereka yang menerima bantuan lain dikecualikan seperti mereka yang 

  1. Sedang mencarum pada Perkeso yang boleh memanfaatkan SIP dan sebagainya, 
  2. Menerima pencen tetap (sama ada pesara kerajaan atau lain) yang amaunya lebih dari RM1,000/sebulan
  3. Kakitangan kerajaan
  4. Masih mempunyai pekerjaan alternatif (selepas kehilangan kerja utama)
  5. Masih ada sumber pendapatan yang layak membayar cukai persendirian
  6. Masih bekerja di sektor awam atau swasta/berniaga dan sebagainya . 

Cadangan ini dikhususkan kepada sesiapa yang kehilangan sumber pendapatan seperti pekerja di sektor formal, pekerja persendirian berskala kecil, peniaga bersifat mikro yang kehilangan punca pendapatan pada waktu ini

Kini, bantuan yang diberikan oleh Kerajaan seperti Subsidi Upah ataupun bantuan dari Skim Insurans Pekerja (PERKESO) hanya membantu pekerja sektor formal sahaja. 

Manakala lebih kurang 3 juta pekerja tidak formal dan 2 juta yang terlibat dalam pekerjaan sendiri tiada sebarang sistem sokongan apabila mereka kehilangan punca pendapatan akibat penutupan bisnes masa pandemik ini. 

Anggaran peruntukan yang diperlukan jika skim ini dipanjangkan kepada 700,000 keluarga (10%) sebanyak RM1000 sebulan, maka kita memerlukan RM8.4 billion setahun.

Konsep bantuan Skim Jaminan Pendapatan Asas ini tercetus dari konsep Universal Basic Income (UBI) atau konsep Pendapatan Asas Sejagat. Ianya bukan untuk menjadikan rakyat malas, dengan bayaran tunai RM1000 setiap bulan kepada akuan mereka, Tetapi ianya merupakan suatu jaringan sosial memastikan isi keluarga yang kehilangan punca pendapatan secara mendadak tidak tersungkur dengan kelaparan. Penjelasan lanjut konsep UBI ini boleh difahami dari penulisan berikut.

Jika diambil Garis Kemiskinan terkini iaitu RM 2208, dianggarkan terdapat sehingga 8.3% isi rumah yang berada dalam golongan ini. Ancaman Covid dan kemelesetan ekonomi yang menjurus menekan rakyat terbawah ini dengan paling dahsyat sekali. Maka bayangkan bila mereka ini kehilangan punca pendapatan? Bantuan segera RM1000 terus kepada isi rumah mereka sekurang-kurangnya membolehkan keluarga tersebut menyediakan makanan dan keperluan asas sehinggalah ketua isi rumah dapat mencari kerja atau sumber pendapatan yang baru. 

Maka PSM dalam dokumen pelan tindakan “Pemulihan Nasional Haluan Baru Untuk Malaysia – Permintaan Rakyat Mudah Je” meletakkan hujah bahawa rakyat perlu bantuan Skim Jaminan Pendapatan Asas dengan segera dan bukannya bantuan berupa ‘one off’ yang jelas gagal memulihkan sosio ekonomi isi rumah terjejas dengan efektif.

Sivarajan Arumugam
Setiausaha Agung, Parti Sosialis Malaysia