Forum Sosialisme 2018 anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah berlangsung dengan meriahnya pada 7-9 Disember lalu di Kuala Lumpur, dengan perbincangan yang bersemangat tentang isu-isu penting yang berkaitan dengan usaha membina rakyat dari bawah dan menangani ancaman sistem kapitalis yang berterusan dan memperjuangkan masyarakat masa depan yang lebih adil serta demokratik.

Forum Sosialisme merupakan program tahunan yang diadakan sejak tahun 2005. Forum Sosialisme tahun ini merupakan forum antarabangsa yang menghimpunkan aktivis dari dalam dan luar negara untuk membincangkan beberapa topik penting pada masa kini. Tema untuk Forum Sosialisme 2018 ialah “Keperluan Rakyat Bukan Ketamakan Korporat” (People’s Need Not Corporate Greed).

Antara aktivis kiri dari luar negara yang dijemput untuk berkongsi pandangan mereka dalam Forum Sosialisme 2018, termasuk:

  • Sue Bolton dari Australia, aktivis Socialist Alliance, ahli majlis untuk bandar Moreland (sebahagian daripada kawasan Metropolitan Melbourne).
  • Pablo Bustinduy dari Sepanyol, Ketua Sekretariat Antarabangsa untuk Podemos, wakil rakyat dalam Kongres Perwakilan Sepanyol untuk kawasan Madrid.
  • Marco Fernandes dari Brazil, anggota Gerakan Pekerja Tanpa Tanah (MST), anggota Sekretariat Antarabangsa untuk Perhimpunan Rakyat Antarabangsa.
  • Kavita Krishnan dari India, ahli Biro Politik untuk Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan, Setiausaha untuk Persatuan Wanita Progresif Seluruh India (AIPWA).
  • Cem Sey dari Jerman, anggota Bahagian Dasar Antarabangsa untuk parti Die Linke.
  • Prabir Purkayastha dari India, anggota Parti Komunis India (Marxis), aktivis bidang sains dan pengasas Forum Sains Delhi.

Upacara pembukaan Forum Sosialisme 2018 telah dimeriahkan dengan persembahan lagu yang menarik daripada TingTongKetz, Wolf, Ayam Hitam dan Shh… Diam!, di samping ucapan yang bersemangat daripada tetamu jemputan dan juga pemimpin PSM.

20181207_221522

Kesan kapitalisme global

Dalam sesi yang membincangkan topik “Trump dan Susunan Dunia Baru”, Dr. Jeyakumar Devaraj, Ahli Jawatankuasa PSM, mengatakan bahawa zaman pasca Perang Dingin telah menyaksikan syarikat multinasional (MNC) bebas untuk memindahkan pengeluaran ke negara yang menawarkan gaji rendah, malah juga mendesak institusi kewangan antarabangsa dan negara-negara maju untuk mengubah peraturan mengenai pelaburan, pengaliran modal serta monopoli terhadap teknologi. Pemindahan keluar pekerjaan dari negara maju menyebabkan pekerja-pekerja di negara berkenaan kehilangan kerja dan kesatuan sekerja dilemahkan, tambahan pula dengan tindakan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan memotong peruntukan untuk sistem negara kebajikan, rakyat biasa di negara maju semakin gusar dan mengalihkan sokongan mereka kepada golongan kanan seperti Trump yang mempermainkan sentimen perkauman dan xenofobia untuk meraih sokongan.

Dalam sesi yang bertajuk “Imigrasi, satu krisis global?”, para ahli panel telah mengupas bagaimana sistem kapitalis global mengeksloitasi pekerja migran. Adrian Pereira daripada North South Initiative mengatakan bahawa sistem kapitalis global telah mewujudkan superstruktur eksploitasi yang bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan melalui rantai pembekalan buruh sedunia. Adrian telah mengemukakan 3 cadangan untuk mengatasi masalah yang dihadapi pekerja migran: 1.mengorganisasi semua pekerja secara bersama, tanpa mengira pekerja tempatan, migran atau pelarian, dan semua migran dilayan secara samarata; 2. Melitarpendekkan sistem kapitalis dengan membina gerakan pengguna yang kuat; 3. Membangunkan model ekonomi politik alternatif yang berbeza daripada sistem kapitalis.

Sue Bolton daripada Sosialist Alliance Australia berkongsi tentang situasi di Australia di mana negera tersebut mempunyai sejarah rasisme yang berpanjangan, dan wujudkan banyak pencabulan hak terhadap pelarian atau pencari suaka. Pelarian yang hidup di Australia menghadapi pelbagai masalah seperti dinafikan hak untuk mendapat pendidikan dan kerja, pendapatan yang rendah, penindasan di tempat kerja dan dasar kerajaan Australia yang menutup pintunya untuk orang pelarian yang datang menggunakan bot.

Cem Sey daripada Die linke berkongsi tentang perdebatan yang berlaku dalam partinya berkenaan dengan isu pelarian. Die Linke mendukung dasar sempadan terbuka untuk pelarian.

20181208_092604

Cabaran untuk kiri sedunia

Dalam sesi yang membincangkan “Cabaran kepada golongan kiri antarabangsa, kejayaan dan kegagalan”, Prabir Purkayastha daripada CPI(M) India menerangkan tentang monopoli digital dalam era perkembangan teknologi yang hebat pada hari ini. Monopoli digital memerah surplus daripada informasi yang wujud di dunia maya. Bentuk ekonomi kapitalis terbaru wujud dalam bentuk kapitalisme pengawasan, ekonomi gig dan syarikat korporat menjadi orang tengah antara mereka yang menghasilkan surplus dengan pelanggan. Teknologi sebagai pedang bermata dua boleh mencipta kekayaan untuk semua ataupun hanya mewujudkan golongan mahakaya, maka golongan kiri pada abad ke-21 perlu menyesuaikan diri dengan bentuk perjuangan dan medan perjuangan yang baru.

“Sains dan teknologi, ataupun kuasa-kuasa produktif tidak akan membina sosialisme secara automatic. Namun, tiadanya masyarakat sosialis dapat dibina tanpa sains dan teknologi. Ini adalah cabaran di depan gerakan kelas pekerja hari ini,” ujar Prabir.

Marco Fernandes daripada MST Brazil mengatakan bahawa kemunculan rejim pelampau kanan di banyak tempat seluruh dunia berkait rapat dengan perkembangan ekonomi neoliberal. Marco juga berkongsi tentang bagaimana golongan pelampau kanan di Brazil dan India menggunakan taktik seperti penyebaran berita palsu untuk mempengaruhi kecenderungan politik rakyat biasa.

Pablo Bustinduy daripada Podemos Sepanyol pula berkongsi tentang bagaimana krisis ekonomi di Sepanyol yang membawa kepada kewujudan peluang untuk perubahan sosial. Podemos ditubuhkan oleh kumpulan anak muda yang terlibat dalam protes besar-besaran menentang dasar penjimatan kerajaan Sepanyol, dan berkembang dengan pesatnya sehingga meraih undi sebanyak 21% dalam pilihanraya tahun 2015 dan 2016. Pablo juga mengatakan bahawa kuasa besar Eropah telah bertungkus lumus untuk menghancurkan kemungkinan bagi Greece membina contoh alternatif kiri supaya pengalaman untuk alternatif kiri tidak dapat diwujudkan dalam situasi menangani krisis ekonomi yang disebabkan oleh sistem kapitalis antarabangsa; namun pada masa yang sama golongan elit pemerintah di Eropah tidak melakukan apa-apa untuk menghalang kebangkitan golongan pelampau kanan yang membawa agenda berdasarkan diskriminasi dan penindasan terhadap golongan monoriti.

Dalam sesi yang membincangkan sumbangan dan kerelevanan Marx sempena 200 tahun kelahiran Karl Marx, Dr. Khairil Izamin Ahmad daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menerangkan tentang kerelevanan konsep kelas yang bertahan lama dan cabaran pada masa kini seperti kemunculan autoritariansme neoliberal dan kemaraan pelampau kanan.

Peranan golongan kiri dalam Malaysia Baru

Dalam sesi bertajuk “Peranan Kiri dalam Malaysia Baru”, Imran Rashid daripada Imagine Malaysia mengatakan golongan kiri di Malaysia perlu menyemak diri sendiri kenapa politik kiri tidak jadi popular pada masa kini. Imran berpandangan bahawa golongan kiri perlu adanya pelan rangka tindak berjangkamasa panjang untuk mengambilalih kuasa, di samping mencari jalan untuk menyampaikan mesej politik kiri secara efektif kepada rakyat jelata.

S. Arutchelvan daripada PSM menegaskan tentang keperluan untuk membina alternatif baru yang berlandaskan prinsip politik kiri. Arutchelvan mengatakan bahawa PSM bertekad untuk membina gerakan kelas pekerja yang baru melalui pembentukan jaringan rakyat marhaen, membina kuasa politik yang anti-rasisme, dan bekerjasama dengan kuasa-kuasa progresif untuk memperjuangkan masyarakat yang lebih baik.

Lengkapkan diri dengan pengetahuan demi memajukan perjuangan

Perbincangan dan perbahasan dalam setiap sesi Forum Sosialisme tahun ini memang hangat. Banyak persoalan telah dibangkitkan dan dibincangkan. PSM sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan alternatif yang lebih baik untuk rakyat biasa, sentiasa mempertingkatkan pemahaman tentang teori-teori masyarakat yang sentiasa berkembang di samping melakukan kerja-kerja akar umni di lapangan. Perbincangan berbentuk ilmiah di ruang diskusi seperti Forum Sosialisme membolehkan ahli-ahli PSM dan orang awam membuka minda dengan pengetahuan yang lebih meluas tentang dunia kita hari ini.

Kita perlu sentiasa melengkapkan diri kita dengan pengetahuan tentang masyarakat terkini, untuk membolehkan kita menggerakkan perjuangan rakyat ke tahap yang lebih tinggi.

48194105_2476392552387339_5390601083703787520_n

Leave a Reply