Keputusan Menangguh Perlaksanaan Gaji Minimum Langsung Tidak Adil Kepada Pekerja

Keputusan Menangguh Perlaksanaan Gaji Minimum Langsung Tidak Adil Kepada Pekerja

KENYATAAN AKHBAR PARTI SOSIALIS MALAYSIA

Sebilangan besar pekerja berpendapatan rendah telah menerima berita tahun baharu yang amat menghampakan daripada Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar. Akibat daripada keputusan Menteri itu, pekerja-pekerja di tempat kerja kurang daripada 5 orang pekerja terpaksa menunggu 6 bulan lagi sehingga 1 Julai 2023 untuk menikmati gaji minimum RM1,500 yang dinanti-nantikan mereka. 

Perintah Gaji Minimum yang menetapkan kadar gaji minimum pada RM1,500 telah berkuatkuasa mulai 1 Mei 2022, tetapi kerajaan pada masa itu memberi pengecualian kepada para majikan yang menggajikan kurang daripada 5 orang pekerja. Kini, kerajaan baharu juga turut bersimpati dengan majikan-majikan dalam golongan ini dan menangguhkan lagi penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 berdasarkan alasan cabaran ekonomi dan kewangan yang dihadapi oleh mereka.  

Parti Sosialis Malaysia (PSM) tiada sebarang halangan terhadap keputusan kerajaan untuk membantu golongan perniagaan mikro atau majikan yang menghadapi masalah kewangan. Tetapi kami amat tidak dapat menerima satu keputusan yang mengabaikan dan langsung tidak mengambil kira pekerja miskin yang terjejas akibat penangguhan pelaksanaan gaji minimum ke Julai 2023. 

Kementerian Sumber Manusia harus berlaku adil dan mewakili kepentingan golongan pekerja juga. Adakah Menteri mendapatkan pandangan golongan pekerja sebagai antara pihak berkepentingan utama? Pekerja berpendapatan rendah yang menghadapi kos hidup tinggi setiap hari sudah tentu tidak dapat menyokong satu keputusan yang akan terus menyusahkan mereka.

PSM berpendapat bahawa dalam keadaan ini kerajaan harus menyediakan satu tabung untuk memberi subsidi upah kepada setiap pekerja dalam kategori ini untuk enam bulan yang akan datang – RM300 sebulan untuk 3 bulan dan RM150 sebulan untuk baki 3 bulan dengan RM150 lagi ditanggung oleh majikan. Pada anggaran PSM, hanya kurang daripada 300,000 orang pekerja bekerja untuk majikan dalam kategori ini, dengan gaji RM1,200. 

Belanjawan untuk bantuan subsidi ini hanya RM90 juta sebulan untuk 3 bulan pertama dan RM45 juta sebulan untuk 3 bulan seterusnya. Peruntukan ini bukan begitu besar, tetapi akan banyak membantu pekerja yang bergaji rendah di negara kita.

Beban daripada penangguhan penguatkuasaan gaji minimum tidak harus ditanggung oleh pekerja termiskin. Kami sedar bahawa pegawai kerajaan sedang mengorbankan sebahagian gaji mereka sebagai aksi solidariti kepada rakyat yang mengalami kos hidup yang tinggi, tetapi pekerja termiskin tidak mampu berbuat demikian.

Menteri Sumber Manusia juga harus sedar dan mengambil tindakan tegas terhadap sebilangan besar majikan yang masih belum membayar RM1,500 sebulan kepada pekerja-pekerja mereka sejak bulan Mei 2022. PSM menganggarkan bahawa kerajaan sendiri belum mengubahsuai kontrak untuk membolehkan kontraktor di sesetengah sekolah kerajaan membayar gaji minimum baharu kepada pekerja-pekerja mereka. Jangan abaikan pekerja!

Kerajaan harus tunaikan janji pilihan raya dengan peka dan mesra terhadap lapisan-lapisan yang termiskin dan terpinggir.

MohanaRani Rasiah
Ahli Jawatankuasa Pusat dan Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia
28hb.Disember, 2022