10 Disember setiap tahun ialah Hari Hak Asasi Manusia Sedunia. Hari ini disambut untuk memperingati penerimaan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat pada 10 Disember 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Hak Asasi Manusia Sejagat merupakan dokumen pertama yang diterima di peringkat global untuk menggariskan hak asasi manusia yang merentasi sempadan negara. Kelahiran Hak Asasi Manusia Sejagat juga salah satu pencapaian penting pada awal PBB yang ditubuhkan pada penghujung Perang Dunia II, sebagai usaha untuk mewujudkan keamanan di dunia. Walaupun Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat sendiri bukannya sebuah dokumen tiada kuasa undang-undang yang mengikat negara-negara anggota PBB, tetapi ia telah membentuk sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa, di mana prinsip yang digariskannya telah menjadi asas kepada banyak perjanjian konvensyen antarabangsa. Hak asasi manusia yang termaktub dalam Perisytiharan tersebut telah menjadi garis panduan untuk perlindungan hak asasi manusia di seluruh dunia, sama ada dalam konvensyen antarabangsa ataupun kerangka undang-undang dalam sesebuah negara, seperti Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Sambutan Hari Hak Asasi Sedunia telah diterima secara rasminya oleh PBB pada 4 Disember 1950 melalui Resolusi 423(V) dalam Persidangan Agung PBB. Sejak itu, rakyat di seluruh dunia menyambut hari yang penuh bermakna ini dengan cara masing-masing.
Perjuangan untuk melindungi dan merealisasikan hak asasi manusia adalah satu proses sejarah yang berpanjangan. Hak asasi manusia yang dinikmati oleh ramai orang pada hari ini bukannya jatuh dari langit secara sendiri tetapi merupakan hasil perjuangan rakyat yang berterusan. Jika tiada perjuangan untuk hak asasi manusia pada masa yang lampau, kita tidak mungkin akan menikmati hak untuk kebebasan bersuara, hak untuk kerja, hak untuk pendidikan dan sebagainya. Namun, hak asasi manusia sentiasa diancam oleh mereka yang ingin merampasnya untuk memperkukuhkan kekuasaan pemerintah ataupun kepentingan diri sendiri. Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada dengan ancaman terhadap hak asasi manusia dan bersedia untuk mempertahankan segala hak asasi daripada dihakis.
Sejarah ringkas hak asasi manusia zaman moden
Pemikiran tentang kebebasan individu sebagai hak asasi manusia mula berkembang selari dengan kemunculan masyarakat borjuasi dan perjuangan menentang sistem feudal. Ahli-ahli falsafah di Eropah pada abad ke-17 dan ke-18, seperti John Locke (1632-1704), mula membangunkan konsep hak semulajadi yang menganggap setiap orang dilahirkan bebas dan samarata. Perakuan Hak England 1689 (English Bill of Rights) merupakan salah satu dokumen awal yang menggariskan sebahagian hak asasi sivil, termasuk kebebasan daripada hukuman yang zalim. Kemudiannya dua revolusi penting pada abad ke-18, telah melahirkan dokumen undang-undang yang membawa idea hak asasi manusia. Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat pada tahun 1776, telah memasukkan konsep hak semulajadi yang menyatakan bahawa “semua orang dicipta secara samarata, bahawa mereka dikurniakan oleh Pencipta mereka dengan hak-hak tertentu yang tidak boleh dipisahkan; antaranya Hidup, Kebebasan dan Pengejaran untuk Kebahagiaan”. Revolusi Perancis pada tahun 1789 pula melahirkan Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara menaktrifkan satu set hak individu dan kolektif rakyat. Hak yang dimaksudkan dalam dokumen ini adalah universal, bukan sahaja untuk warganegara Perancis, tetapi untuk semua orang tanpa pengecualian. Namun, perjuangan untuk menjadikan hak asasi manusia diiktiraf sebagai sesuatu yang universal, adalah proses yang berpanjangan dan penuh cabaran.
Berikutan tamatnya Perang Dunia I, Liga Bangsa ditubuhkan pada tahun 1919 ketika rundingan damai untuk Perjanjian Versailles. Matlamat penubuhan Liga Bangsa termasuk pelucutan senjata, mengelakkan peperangan melalui keselamatan kolektif, menyelesaikan perbalahan antara negara melalui perundingan atau diplomasi, serta mempertingkatkan kebajikan sedunia; namun matlamat ini tidak membawa apa-apa makna kerana persaingan antara kuasa-kuasa imperialis untuk kepentingan kelas pemerintahan kapitalis berterusan, malah akhirnya mengakibatkan Perang Dunia II yang jauh lebih dahsyat. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) ditubuhkan pada tahun 1919 sebagai agensi di bawah Liga Bangsa (dan sekarang menjadi sebahagian daripada PBB), telah diberi mandat untuk memperkembangkan dan melindungi hak-hak pekerja.
Selepas Perang Dunia II, PBB yang ditubuhkan bertujuan untuk mengelakkan satu lagi perang peringkat global yang menjahanamkan seluruh masyarakat dunia. Salah satu usaha awal PBB yang penting adalah mengemukakan dan meluluskan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat pada tahun 1948. Selepas itu, beberapa instrumen hak asasi manusia antarabangsa telah diwujudkan, termasuk:
- Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), 1966
- Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR), 1966
- Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), 1979
- Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC), 1989
- Konvensyen Menentang Penyeksaan (CAT), 1984
- Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), 1969
- Konvensyen Berkaitan Status Pelarian, 1951
Apa itu hak asasi manusia?
Hak asasi manusia ialah satu set prinsip dan piawaian amalan masyarakat yang bertujuan untuk menjadi kehidupan manusia di mana segala keperluan hidupnya dapat dipenuhi secara bermaruah dan bebas daripada sebarang bentuk ancaman. Hak asasi manusia adalah bersifat universal dan tidak boleh dipisahkan antara satu hak dengan satu hak yang lain. Misalnya, tiada sesiapa boleh dinafikan hak untuk bersuara secara bebas kerana untuk mendapatkan hak untuk makanan atau hak untuk bebas daripada kelaparan.
Setiap kerajaan patut mengambil langkah-langkah yang proaktif untuk memastikan setiap orang rakyat menikmati hak asasi manusia. Apabila kita menikmati hak asasi manusia, kita juga perlu menghormati hak asasi manusia untuk orang lain.
Hak asasi manusia secara kasarnya boleh dibahagikan kepada 3 kategori utama. Kategori hak asasi manusia ini boleh dicerminkan dalam cogan kata yang popular dalam Revolusi Perancis, iaitu “Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan” (Liberté, Égalité, Fraternité). Karel Vasak (1929-2015), seorang pakar hak asasi manusia dari Czech, pernah membahagikan hak asasi manusia kepada “3 generasi”:
- Hak asasi manusia generasi pertama – hak sivil dan politik: Konsep hak asasi manusia yang dibangunkan semasa revolusi demokratik borjuis yang menumpu kepada “kebebasan individu”, merangkumi hak untuk hidup, kebebasan bersuara, kebebasan beragama, hak untuk mengundi, kesamarataan di bawah undang-undang, kebebasan berhimpun dan sebagainya. Hak-hak ini disenaraikan dalam Perkara 3 hingga 21 dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
- Hak asasi manusia generasi kedua – hak ekonomi, sosial dan budaya: Konsep hak asasi manusia yang dibangunkan secara utamanya dalam gerakan kelas pekerja untuk menuntut pengagihan kekayaan yang samarata, kesejahteraan bersama dan keadilan sosial, merangkumi hak untuk bekerja di bawah keadaan yang bersesuaian, hak untuk makanan, hak untuk perumahan, hak untuk kesihatan, hak untuk pendidikan, hak untuk perlindungan kebajikan sosial dan sebagainya. Hak-hak ini termaktub dalam Perkara 22 hingga 28 dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
- Hak asasi manusia generasi ketiga – spektrum hak yang luas melangkaui hak sivil dan sosial yang “tradisional”: Konsep yang dibangunkan secara utamanya dalam gerakan pembebasan nasional pasca Perang Dunia II dan juga gerakan sosial baru yang memperjuangkan isu seperti penyahjajahan, keadilan alam sekitar dan sebagainya, merangkumi hak untuk sesuatu bangsa menentukan nasib sendiri, hak untuk pembangunan, hak untuk sumber asli, hak untuk persekitaran yang sihat, hak untuk komunikasi, hak untuk penyertaan dalam warisan budaya, hak untuk ekuiti antara-generasi dan sebagainya.
2019: Anak muda bangkit untuk hak asasi manusia
Tema sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia tahun ini yang diperkenalkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR), ialah “Anak Muda Bangkit untuk Hak Asasi Manusia”, dengan hasrat meraikan potensi anak muda sebagai agen konstruktik dalam perubahan demi mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia.
Sepanjang setahun yang lalu, kita dapat menyaksikan kebangkitan anak muda yang hebat di banyak negara untuk mempertahankan hak mereka demi masa hadapan yang lebih terjamin untuk semua. Dari Algeria ke Chile, dari Catalonia ke Hong Kong, dari Sudan ke Ecuador, rakyat termasuk ramai anak muda beraksi di jalanan untuk melawan kezaliman pemerintah dan dasar kerajaan yang menghakis hak rakyat. Ini jelas menunjukkan bahawa perjuangan untuk mempertahankan hak asasi manusia jauh daripada berakhir, malah perlu diteruskan dalam usaha membina masa hadapan yang lebih bebas, adil, samarata dan sejahtera untuk semua.
Di negara Malaysia, walaupun kita telah melalui perubahan kuasa pemerintahan dari Barisan Nasional ke Pakatan Harapan pada tahun 2018, tetapi komitmen kerajaan Pakatan Harapan dalam melindungi hak asasi manusia masih belum ditunaikan sepenuhnya, malah pencabulan hak asasi berterusan, termasuk penahanan tanpa bicara yang menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (atau dikenali sebagai SOSMA). Aktivis sosial dan pelindung hak asasi manusia masih disoal siasat oleh polis hanya kerana menyuarakan kritikan mereka terhadap kerajaan ataupun mengadakan aksi protes.
Kita perlu melipatgandakan usaha kita untuk mendesak pembaharuan institusi dan memperjuangkan jaminan hak asasi manusia untuk semua sekiranya ingin mewujudkan Malaysia Baru yang sebenar. Perlindungan hak asasi manusia adalah jaminan untuk kehidupan yang bermaruah untuk rakyat tanpa mengira kaum, agama, gender dan latar belakang.