(Artikel Asal di Sosialis.Net)
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya serangan rentas sempadan terbaru yang bertambah hebat oleh angkatan tentera Turki terhadap masyarakat Kurdi.
Pada ketika berita antarabangsa didominasi oleh perang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kita tidak harus mengabaikan pencerobohan yang berterusan oleh Turki, sebuah negara anggota NATO, terhadap masyarakat Kurdi, dengan pencerobohan terbaru berlaku di wilayah Kurdistan Selatan (Iraq Utara). Tentera Turki juga sedang meningkatkan serangannya ke atas wilayah yang dibebaskan di Rojaya (Timur Laut Syria).
Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Turki yang semakin bersifat autoritarian yang secara hipokritnya berpura-pura cuba menonjolkan diri sebagai “pendamai” kepada perang di Ukraine, telah mengarahkan serangan rentas sempadan yang terbaru bermula pada 17 April 2022, dengan mensasarkan kawasan yang dikuasai oleh golongan gerila Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di wilayah Kurdistan Selatan (Iraq Utara). Salah satu rancangan Erdoğan ialah mengambilalih wilayah yang dikuasai oleh PKK dan mewujudkan pangkalan tenteranya sendiri di situ. Tentera Turki telah pun mewujudkan puluhan pangkalan tentera di wilayah tersebut. Pada masa yang sama dengan pencerobohan Turki ke atas Kurdistan Selatan (Iraq Utara), tentera Turki terus mengerahkan dron untuk menyerang dan membunuh penduduk di Rojava (Timur Laut Syria).
Di dalam negara Turki sendiri, rejim Erdoğan sedang meneruskan penindasan secara sistematik terhadap Parti Demokratik Rakyat (HDP) yang pro-Kurdi. Sejak tahun 2016, lebih 10,000 orang ahli HDP telah ditangkap atas pelbagai pertuduhan yang direka-rekakan, dengan lebih 4,000 orang antara mereka masih berada di dalam penjara, termasuk ahli-ahli parlimen dan datuk-datuk bandar yang dipilih secara demokratik.
Justeru, PSM menyeru untuk perkara yang berikut:
- Turki harus menghentikan segera pencerobohan tenteranya ke atas Kurdistan Selatan (Iraq Utara) dan mengundurkan semua tenteranya dari wilayah itu.
- Pembaharuan kepada proses perundingan damai – di mana PKK telah menunjukkan kesediaan mereka untuk terlibat dalam perundingan sebegini – untuk mencapai satu solusi yang mampan dan adil demi memulihkan keamanan di wilayah Kurdistan.
- Pengiktirafan hak demokratik untuk menentukan nasib sendiri bagi masyarakat Kurdi dan semua bangsa di wilayah Kurdistan, sebagai asas kepada solusi politik kepada “Persoalan Kurdi”.
- Bebaskan semua tahanan politik di Turki.
- Hentikan penindasan terhadap gerakan pro-Kurdi di Turki.
Choo Chon Kai
Ahli Jawatankuasa
Parti Sosialis Malaysia (PSM)