Kenyataan Bersama: Solidariti bersama 1,086 #Demi1086

Kenyataan Bersama: Solidariti bersama 1,086 #Demi1086

 

1,086 kasut dan selipar. Banyak compang-camping dan koyak

Mewakili 1,086 orang Myanmar yang dicekup jauh dari kehidupan yang mereka bina untuk diri mereka di Malaysia.

ChallengerMalaysia, MISI: Solidariti, Pemuda Sosialis dengan sokongan pelbagai NGO lain bersolidariti dengan 1,086 warga Myanmar yang dihantar pulang ke Myanmar pada 23 Februari 2021, dan secara tegas mengutuk tindakan Jabatan Imigresen Malaysia atas tindakan tersebut. Penghantaran ini tetap diteruskan walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan penangguhan pelaksanaan bagi penghantaran warga-warga Myanmar pada pagi 23hb tersebut. Perbuatan ini juga tidak selari dengan prinsip non-refoulement dalam undang-undang antarabangsa.

Pada hari ini, 5 Mac 2021, organisasi yang disenaraikan di atas telah berkumpul di sini di Tasik Taman Jaya untuk meletakkan 1,086 pasang kasut ini bagi menggambarkan betapa ramai orang – lelaki, wanita, dan juga kanak-kanak di kalangan mereka seperti dilaporkan oleh Amnesty International Malaysia – mungkin telah dibinasakan oleh kerajaan Malaysia, ramai yang meninggalkan Myanmar dalam usaha mencari kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri dan keluarga mereka.

Semua nyawa ini tidak boleh dikurangkan semata-mata kepada angka, hingga terputus dari realiti, jadi kita mesti melihat ruang yang mereka mungkin berdiri sekiranya mereka di sini. Walau bagaimanapun, ini tidak dapat menangkap imej kemanusiaan individu-individu ini; kasut-kasut ini tidak boleh menggambarkan siapa mereka sebagai seorang manusia: harapan mereka, impian mereka dan aspirasi mereka yang dimiliki oleh semua individu.

Menurut laporan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), terdapat pemohon suaka dalam kumpulan tersebut yang melarikan diri daripada kezaliman dan penindasan oleh kerajaan yang ingin melaksanakan dasar pembersihan etnik di Myanmar – suatu fakta yang dinafikan secara eksplisit oleh Jabatan Imigresen apabila mereka menyatakan bahawa pemohon suaka tidak tergolong dalam 1,086 orang yang dihantar pulang. Namun begitu, pihak berkuasa Malaysia tetap menghantar mereka pulang dalam apa yang hanya boleh digambarkan sebagai tindakan xenofobia yang tidak terkawal.

Dalam semangat memperjuangkan maruah dan hak asasi manusia, kami menyenaraikan empat tuntutan:

  • Tidak berkoperasi dengan kerajaan Tamatdaw
    • Kerajaan Tamatdaw yang mengawal Myanmar kini berada di kerusi kuasa tanpa pilihan yang demokratik dengan menggunakan kekerasan. Kerajaan tersebut mengekalkan kuasa mereka melalui cara autoritarian yang melibatkan keganasan dan membawa maut. Malaysia tidak patut dilihat mengiktiraf kerajaan ini – dalam perjanjian bilateral atau kerjasama dalam sebarang bentuk- yang menunjukkan sokongan terhadap kerajaan Tamatdaw
  • Akses terbuka ke pusat tahanan imigresen diberikan kepada Suruhanjaya Tinggi Pelarian Bangsa-Bangsa bersatu (UNHCR).
    • Kerajaan mesti membenarkan UNHCR mengakses pusat tahanan imigresen, untuk memastikan golongan yang ditahan yang terdedah secara khusus kerana status mereka sebagai minoriti yang dianiaya dan memberikan mereka perlindungan yang sepatutnya diberi di bawah hak manusia antarabangsa.
  • Moratorium bagi penghantaran pulang, tamatkan penahanan migran yang arbitrari dan tidak menentu.
    • Migran hendaklah dilindungi daripada serbuan tanpa sebab, penangkapan, dan penahanan hanya atas dasar status imigresen mereka. Amalan ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah menceroboh hak mereka sebagai individu, serta mengakibatkan mereka untuk hidup sengsara dan menahan penderaan secara fizikal dan/atau lisan.
    • Sebagai lanjutan perkara di atas, kami menegaskan tuntutan agar mahkamah Malaysia memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan, Ketua Pengarah Imigresen Dzaimee Daud, dan Kementerian Hal Ehwal dalam Negeri atas dasar peranan mereka dalam tindakan hantar pulang ini, semasa perbicaraan yang akan berlangsung pada 9 Mac 2021.
  • Ketelusan penuh daripada Jabatan Imigresen Malaysia
    • Jabatan Imigresen mesti mengeluarkan data mengenai penahanan migran secara awam dan mudah diakses – termasuk tetapi tidak terhad kepada bilangan tahanan, diasingkan oleh jantina, kumpulan umur, dan kewarganegaraan; status pelarian; lokasi tempat di mana tahanan ditahan; tempoh masa tahanan yang dilaksanakan; sebab-sebab pelanjutan tahanan dan sebagainya.
    • Kami juga menuntut penjelasan daripada Jabatan Imigresen mengenai alasan di mana pemindahan migran dijalankan pada 23 Februari melanggar perintah mahkamah; mengapa baki 114 warga Myanmar tidak dihantar pulang, serta status semasa mereka.

Akhir kata, kami yang bersama-sama menandatangani, membangkang tindakan menghantar pulang warga Myanmar, dan menegaskan bahawa jenayah terhadap kemanusiaan ini tidak boleh diabaikan dan dilepas pandang begitu sahaja. Kita tidak boleh mengembalikan 1,086 orang, tetapi kami bertekad dan berazam untuk memastikan sejarah kezaliman ini tidak berulang lagi.

#MigranJugaManusia

Ditandatangani oleh:
Challenger Malaysia
MISI: Solidariti
Pemuda Sosialis
Demokrat Kebangsaan
Suaram
North South Initiative
Parti Sosialis Malaysia
Refuge for the Refugees
Beyond Borders
Tenaganita
Liberasi
Al-Hasan Volunteer Network