Parti Sosialis Malaysia (PSM) berharap bahawa kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya mulai 1 Jan 2023 jika majikan-majikan tidak mematuhi atau mengubah polisi syarikat selaras dengan undang-undang baharu selepas pindaan terbaru Akta Kerja 1955.
Salah satu perubahan yang penting dalam pindaan Akta Kerja 1955 ialah pengurangan tempoh masa bekerja seminggu dari 48 jam ke 45 jam, termasuk waktu rehat. Ini telah dikemukakan di Parlimen oleh Datuk Seri M. Saravanan pada bulan Ogos 2022 ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Sumber Manusia.
Daripada pantauan kami, ramai pekerja masih tidak tahu mengenai pengurangan tempoh waktu bekerja termasuk waktu rehat, dan tiada sebarang perubahan dilakukan oleh majikan mereka.
Pihak kami menerima banyak soalan daripada pekerja yang untuk selama ini telah pun bekerja 5 hari dan separuh hari seminggu, iaitu bekerja dari hari Isnin ke Jumaat, Sabtu (separuh hari) atau pekerja yang bekerja penuh pada hari Sabtu setiap 2 minggu. Waktu bekerja ini telah lama digunakan oleh majikan kerana sebelum ini kerajaan tidak tegas dalam memastikan waktu rehat juga termasuk dalam pengiraan tempoh bekerja.
Dengan undang-undang baharu yang mula berkuatkuasa ini, seorang pekerja yang bekerja dari 8 am ke 5 pm telah bekerja selama 9 jam sehari. Jikalau pekerja ini bekerja dari hari Isnin ke Jumaat, Maka pekerja tersebut telah pun bekerja untuk 45 jam seminggu. Jika majikan ingin pekerja ini bekerja lagi separuh hari pada hari Sabtu, maka majikan mesti membayar gaji kerja lebih masa (OT).
PSM berharap Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia yang baharu, memastikan pengiraan jam kerja ini dipatuhi selaras dengan pengumuman Datuk Seri Saravanan, bekas Menteri Sumber Manusia, dan tindakan tegas diambil ke atas syarikat-syarikat yang tidak mematuhi undang-undang baharu.
Geetha Anbalagan
Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia
31 Disember 2022