Palestin: Perjuangan Pembebasan Nasional yang Penuh dengan Cabaran

Palestin: Perjuangan Pembebasan Nasional yang Penuh dengan Cabaran

Mungkin adanya sesetengah orang cuba menanggapi isu Palestin pada hari ini dengan menjejak asal usulnya dalam sejarah rantau Timur Tengah ke belakang lebih seribu tahun dahulu, ataupun cuba merungkai persoalan ini sebagai pertelingkahan antara agama-agama yang berbeza. Namun, pandangan sebegini bukan sahaja mengalihkan perhatian kita daripada punca permasalahan yang sebenarnya, malah boleh membawa kepada pandangan sempit yang mengajukan kaedah-kaedah “penyelesaian” yang memburukkan lagi permasalahan ini.

Isu Palestin yang berlaku pada hari ini, yang memperlihatkan penindasan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang berusaha untuk menentukan nasib sendiri, merupakan satu persoalan yang hanya muncul pada zaman moden, iaitu zaman di mana wujudnya kapitalisme. Perjuangan rakyat Palestin untuk melawan rejim Zionis Israel merupakan perjuangan pembebasan nasional pada zaman moden.

Penindasan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di bawah kezaliman rejim Zionis Israel pada hari ini, merupakan peninggalan warisan dan kesan daripada perluasan kapitalisme di rantau Timur Tengah apabila dunia melangkah ke dalam zaman moden. Kapitalisme, satu sistem sosio-ekonomi yang berlandaskan pengumpulan modal berterusan melalui eksploitasi terhadap kelas pekerja dan penggondolan sumber alam, telah mendatangkan imperialisme, kolonialisme dan rasisme di seluruh dunia.

Imperialisme, kolonialisme, rasisme dan Zionisme, di mana semuanya berkaitan rapat sesama sendiri dan berpaksikan kapitalisme, merupakan punca permasalahan yang paling asas kepada Persoalan Palestin dalam tempoh lebih satu abad yang lalu. Tanpa menyedari dan memahami hakikat ini, adalah tidak mungkin untuk kita meneroka jalan yang dapat menyelesaikan persoalan ini secara berkekalan dan membebaskan rakyat Palestin daripada kitaran keganasan yang berterusan.

Di mana Palestin?

Wilayah Palestin terletak di satu kedudukan yang amat strategik di rantau Timur Tengah. Ia berada di hujung barat Asia Barat, di hujung timur Laut Mediterranean, di tempat pertemuan antara Semenanjung Sinai (yang dikuasai Mesir pada hari ini) di barat daya, Lubnan di utara, Syria di timur laut dan Jordan di timur, serta Teluk Aqaba di selatannya yang merupakan hujung utara Laut Merah. Wilayah Palestin juga berada di hujung barat “Hilal Subur” atau “Buaian Tamadun”, sebuah kawasan berbentuk bulan sabit di rantau Asia Barat yang mengandungi tanah yang agak lembap dan subur, serta merupakan tempat kelahiran beberapa tamadun purba.

Wilayah Palestin juga terletak tidak jauh ke timur dari Terusan Suez yang siap dibina pada tahun 1869, sebuah terusan buatan manusia yang menjadi laluan air penting untuk menyambungkan Eropah dan Asia tanpa perlu mengelilingi benua Afrika sekali gus bersesuaian dengan perluasan sistem kapitalis dari Eropah ke Asia melalui proses penjajahan yang penuh dengan keganasan dan kezaliman.

Oleh sebab kedudukannya yang amat strategik, sebelum wujudnya lagi kapitalisme, wilayah Palestin sudah pun menjadi pusat pertemuan pelbagai tamadun dan budaya. Wilayah Palestin merupakan “Tanah Suci” kepada tamadun agama Islam, Kristian dan Yahudi. Memang pernah berlakunya konflik antara kumpulan-kumpulan masyarakat yang berbeza budaya di bumi Palestin kerana perebutan kuasa, tetapi juga pernah wujudnya satu tempoh yang agak berpanjangan di mana kumpulan-kumpulan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan budaya itu hidup secara aman damai serta harmoni di atas bumi Palestin.

Sebelum kedatangan kapitalisme dalam bentuk imperialisme, kolonialisme, rasisme dan Zionisme, wilayah Palestin pernah dikuasai oleh Empayar Uthmaniyah selama 400 tahun selepas Empayar Turki Uthmaniyah yang berasal dari Anatolia merampasnya daripada Kesultanan Mamluk pada tahun 1516.

Zionisme

Pada penghujung abad-19, Zionisme muncul dalam kalangan masyarakat Yahudi sebagai reaksi ideologi berhaluan kanan terhadap penularan fahaman anti-Yahudi di Eropah pada masa itu.

Fahaman Zionis berpegang pada idea bahawa orang Yahudi harus mendirikan negara bangsa mereka sendiri, dan sesetengah golongan Zionis berpandangan bahawa negara bangsa Yahudi yang didirikan itu harus terletak di atas “tanah dijanjikan” atau “tanah air bersejarah” mereka, iaitu di wilayah Palestin yang merupakan sebahagian daripada Empayar Uthmaniyah pada masa itu. Golongan Zionis menganggap wilayah Palestin sebagai “sebuah tanah tanpa sebuah bangsa untuk sebuah bangsa tanpa tanah”. Namun, pada hakikatnya bumi Palestin sentiasa dihuni oleh masyarakat manusia sepanjang sejarah ketamadunan, khususnya oleh masyarakat Arab yang sudah menetap di situ lebih seribu tahun sebelum fahaman Zionis itu muncul.

Zionisme ialah sejenis fahaman nasionalis etno-agama berhaluan kanan yang dibangunkan oleh golongan intelek borjuis Yahudi yang mengilhamkan sebuah negara yang eksklusif bagi orang Yahudi. Seperti fahaman nasionalis yang lain, Zionisme merupakan satu fenomena moden yang hanya muncul dalam masyarakat kapitalis.

Abram Leon, seorang tokoh Marxis yang berketurunan orang Yahudi dan tinggal di Belgium, pernah membuat analisis yang mendalam tentang Zionisme. Dalam buku tulisannya “The Jewish QuestionA Marxist Interpretation” yang diterbitkan pada tahun 1946, iaitu 2 tahun selepas Abram Leon mati dibunuh oleh rejim Jerman Nazi di Kem Tahanan Auschwitz, beliau menghujahkan bahawa Zionisme ialah produk fasa lewat kapitalisme. Abram Leon menulis,

Dalam realitinya, ideologi Zionis, seperti semua ideologi yang lain, hanyalah bayangan terpesong bagi kepentingan kelas. Ia merupakan ideologi bagi golongan borjuasi kecil Yahudi, dilemaskan antara feudalisme dalam kehancuran dan kapitalisme dalam keruntuhan.

Zionisme sentiasa berkaitan rapat dengan rasisme dan diskriminasi kaum, di samping mendorong kolonialisme peneroka (settler colonialism) di bumi Palestin yang menganiayai, menindas dan mengusir warga Palestin.

Golongan Zionis telah menggerakkan usaha untuk mendorong penghijrahan besar-besaran orang Yahudi ke wilayah Palestin dengan hasrat mendirikan tanah air mereka di situ. Golongan Zionis mendapat sokongan daripada kuasa imperialis British untuk mendirikan kawasan peneroka Yahudi di dalam wilayah Palestin. Niat kuasa imperialis British menyokong pembinaan kawasan peneroka Yahudi adalah berasaskan penghitungan dan percaturan geopolitiknya untuk memperluaskan pengaruhnya di rantau Timur Tengah demi memajukan lagi kepentingan kapitalis Eropah. Lebih-lebih lagi, pendekatan penerokaan tanah oleh golongan Zionis adalah sepadan dengan ideologi imperialis Eropah yang melakukan perluasan kolonialisme peneroka seperti yang telah berlaku di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia, di mana semuanya menyaksikan perampasan tanah dan penindasan oleh golongan peneroka terhadap masyarakat orang asal.

Tentera British memasuki bandar Baitulmuqaddis pada 11 Disember 1917.

Perluasan kapitalisme dan kolonialisme di Timur Tengah

Kapitalisme yang bermula dari benua Eropah menular ke seluruh dunia melalui imperialisme yang melibatkan perluasan lingkungan pengaruh geopolitik, penaklukan dengan tentera, penjajahan dan penguasaan ekonomi ke atas negara-negara atau wilayah-wilayah yang belum lagi mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Perluasan imperialis yang memasukkan masyarakat bukan kapitalis ke dalam sistem sosio-ekonomi kapitalis diperlukan oleh kuasa-kuasa besar kapitalis untuk memperoleh bekalan bahan mentah, buruh murah dan pasaran baharu bagi pengeluaran ekonomi kapitalis di negara-negara kapitalis yang “maju”. Berbeza dengan golongan pedagang zaman pra-kapitalis yang hanya membeli barangan di satu tempat dan menjualkannya di tempat lain, golongan kapitalis dari negara-negara kapitalis yang maju melaburkan modal mereka di sesebuah tempat itu perlu memastikan pelaburan modal yang bertujuan untuk menjana keuntungan itu terjamin dengan sokongan bersistem dan “kestabilan politik”, maka mereka memerlukan dominasi sosio-ekonomi dan politik yang berterusan ke atas wilayah-wilayah di mana mereka melaburkan modal, iaitu melalui kaedah penjajahan (sama ada secara langsung dengan menempatkan tentera ataupun secara tidak langsung melalui pelbagai perjanjian yang mengikatkan secara undang-undang pemerintah tempatan di sesebuah wilayah itu kepada tanggungjawab melindungi kepentingan pelaburan modal itu).

Proses perluasan imperialis dan penjajahan ke atas negara-negara atau wilayah-wilayah di luar benua Eropah dan Amerika Utara, telah memiskinkan negara-negara atau wilayah-wilayah di benua Asia, Afrika dan Amerika Latin yang pada satu ketika mempunyai masyarakat yang agak kaya raya.

Tentera British melakukan serangan ke atas kawasan Mesir berdekatan Terusan Suez semasa Perang Inggeris-Mesir 1882.

Perluasan imperialis di rantau Timur Tengah memuncak pada penghujung abad ke-19, apabila kuasa imperialis British menawan Mesir pada tahun 1882 dan menempatkan tenteranya di situ untuk menguasai Terusan Suez. Terusan Suez yang menyambungkan Laut Mediterranean dan Laut Merah, merupakan nadi utama untuk mengekalkan dominasi kuasa tentera, ekonomi dan geopolitik British di dunia pada masa itu.

Semasa berlakunya Perang Dunia I (1914-1918), Kuasa Entente yang diterajui oleh Britain, Perancis dan Rusia berperang dengan Kuasa Tengah yang diterajui oleh Jerman dan turut disertai oleh Empayar Uthmaniyah, untuk merebut kuasa dominasi terhadap ekonomi dunia. Kuasa imperialis British menyokong Pemberontakan Arab (1916-1918) yang menentang pemerintahan Empayar Uthmaniyah di rantau Timur Tengah pada masa itu, bukannya kerana golongan pemerintah British itu benar-benar ikhlas dalam mendukung usaha masyarakat Arab untuk membentuk negara bangsa Arab yang merdeka, sebaliknya hanya untuk memastikan kepentingan kapitalis dari Britain dan sekutunya dapat diperkukuhkan dengan kejatuhan Empayar Uthmaniyah.

Pada tahun 1916, Britain dan Perancis membuat satu perjanjian rahsia yang dikenali sebagai “Perjanjian Sykes-Picot”, dengan persetujuan daripada Empayar Rusia, untuk mengagihkan wilayah-wilayah di rantau Timur Tengah sesama kuasa-kuasa besar Eropah sendiri dalam pembahagian Empayar Uthmaniyah dan penstrukturan semula geopolitik pasca Perang Dunia I. Di bawah Perjanjian Sykes-Picot, adalah dibayangkan bahawa kebanyakan wilayah Palestin akan dijadikan sebagai sebuah zon antarabangsa yang tidak dikuasai secara langsung oleh sama ada Britain atau Perancis. Perjanjian Sykes-Picot telah membelakangkan “Surat-menyurat McMahon–Hussein” pada tahun 1915-1916 di mana pihak kerajaan British menjanjikan pembentukan sebuah negara Arab yang bersatu dan merdeka (yang merangkumi wilayah Palestin) sekiranya Empayar Uthmaniyah dijatuhkan.

Pada 2 November 1917, kerajaan British mengeluarkan “Perisytiharan Balfour” yang menyatakan sokongannya kepada pembentukan sebuah negara Yahudi di wilayah Palestin. Walaupun Perisytiharan Balfour menyeru pada golongan Zionis supaya tidak menjejaskan hak sivil dan keagamaan masyarakat bukan Yahudi yang sedia wujud di Palestin, dalam realitinya ia melepaskan tangan kepada golongan Zionis untuk terus menyingkirkan warga Palestin yang sedia ada.

Sokongan kerajaan British kepada cita-cita Zionis untuk menubuhkan negara Yahudi di Palestin boleh juga difahami dalam kerangka strategi kuasa imperialis yang cuba menguasai kawasan jajahan atau lingkungan pengaruhnya melalui pendekatan “pecah dan perintah”. Kuasa imperialis Eropah pada masa itu seperti Britain sudah pasti sedar bahawa membenarkan kolonialisme Zionis yang berusaha untuk membentuk sebuah negara Yahudi secara artifisial dan melibatkan perubahan demografik dalam proses itu, akan mengundang ketegangan antara kumpulan etnik dan ketidakstabilan politik, justeru mewajarkan campur tangan geopolitik yang lebih lanjut lagi daripada kuasa imperialis di rantau Timur Tengah untuk menjaga kepentingan kolonial Eropah.

Dengan kekalahan Kuasa Tengah yang termasuk Empayar Uthmaniyah dalam Perang Dunia I, Tentera British menawan wilayah Palestin dan Transjordan pada bulan Disember 1917. Tentera British memasuki bandar Baitulmuqaddis (yang juga dikenali sebagai Jerusalem) pada 11 Disember 1917. Wilayah Palestin dan Transjordan diletakkan di bawah pentadbiran kolonial British yang dikenali sebagai “Mandat Palestin” daru tahun 1920 sehingga 1948.

Pemberontakan Palestin 1936-1939

Semasa pemerintahan British di Mandat Palestin, sudah wujudnya perjuangan warga Arab Palestin untuk membebaskan diri daripada penjajahan Barat dan mendirikan sebuah negara yang merdeka. Perjuangan menentang pemerintahan kolonial telah menjadi asas kepada pembangunan nasionalisme Palestin. Semangat nasionalis Palestin merupakan sebahagian daripada gerakan nasionalis Arab yang berjuang untuk membentuk sebuah negara Arab yang bersatu di rantau Timur Tengah.

Dengan adanya sokongan daripada pihak pentadbiran kolonial British di Mandat Palestin, golongan Zionis telah menganjurkan penghijrahan orang Yahudi dalam jumlah yang lebih besar lagi berbanding sebelum itu ke dalam wilayah bersejarah Palestin. Ketidakpuasan hati masyarakat Arab di Mandat Palestin terhadap pentadbiran kolonial British dan dasar kolonial yang membolehkan penghijrahan besar-besaran orang Yahudi ke Palestin, akhirnya mencetuskan pemberontakan bebsar-besaran pada tahun 1936.

Jawatankuasa Tinggi Arab yang ditubuhkan pada awal pemberontakan masyarakat Arab di Palestin pada tahun 1936, dipimpin oleh Amin al-Husayni, Mufti Besar Baitulmuqaddis pada masa itu. Jawatankuasa Tinggi Arab menyokong mogok umum seluruh masyarakat Arab di Mandat Palestin pada masa itu, di samping menuntut penamatan penghijrahan masuk peneroka Yahudi secara besar-besaran, pelarangan pemindahan hak milik tanah orang Arab kepada orang Yahudi, dan penubuhan sebuah Kerajaan Kebangsaan yang bertanggungjawab kepada sebuah majlis perwakilan. Aksi mogok umum Palestin yang disertai oleh golongan pekerja dan penduduk bandar di seluruh Mandat Palestin berlarutan dari bulan April hingga Oktober 1936, diikuti dengan fasa kedua pemberontakan yang melibatkan gerakan penentangan secara keganasan daripada golongan petani. Pemberontakan Palestin pada tahun 1936-1939 akhirnya dipatahkan secara kejam oleh pihak pentadbiran kolonial British dengan menggunakan kaedah yang represif. Pihak pentadbiran kolonial British juga bekerjasama dengan kumpulan militia Zionis seperti Haganah untuk mematahkan pemberontakan masyarakat Arab, maka membantu dalam pengembangan kekuasaan tentera Zionis yang menjadi tulang belakang kepada penindasan zalim terhadap rakyat Palestin.  

Pada tahun 1937, Suruhanjaya Peel yang ditubuhkan oleh kerajaan British untuk menyiasat punca-punca rusuhan di Mandat Palestin, mencadangkan untuk membahagikan wilayah Palestin ke dalam sebuah negara Yahudi dan sebuah negara Arab. Cadangan tersebut ditentang kuat oleh masyarakat orang Arab di Palestin.

Sebagai respon kepada Pemberontakan Arab di Palestin pada tahun 1936-1939, kerajaan British menerbitkan “Kertas Putih 1939” yang menolak cadangan pembahagian Mandat Palestin yang dibawa oleh Suruhanjaya Peel, sebaliknya mencadangkan pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka yang diperintah secara bersama-sama oleh masyarakat orang Arab dan orang Yahudi. Kertas Putih 1939 juga mencadangkan supaya mengehadkan penghijrahan masuk orang Yahudi dan menyekat orang Yahudi daripada membeli tanah orang Arab di semua kawasan kecuali 5% kawasan di dalam Mandat Palestin. Golongan Zionis di Palestin yang menolak Kertas Putih 1939 melancarkan kempen serangan keganasan terhadap premis kerajaan dan warga awam Arab selama beberapa bulan.

Semasa berlakunya Perang Dunia II, untuk mendapat sokongan masyarakat Arab terhadap usaha peperangannya, kerajaan British menghalang penghijrahan masuk orang Yahudi ke Mandat Palestin, walaupun ramai orang Yahudi di Eropah pada masa itu terpaksa melarikan diri daripada rejim Jerman Nazi yang anti-Yahudi. Adalah jelas bahawa segala dasar yang diamalkan oleh pentadbiran kolonial British di Palestin hanya untuk menjaga kepentingan kuasa imperialis, tanpa mempedulikan nasib masyarakat tempatan yang terjerumus dalam konflik berterusan kerana dasar kolonialnya.

Pelan Pembahagian PBB dan Nakba

Selepas tamatnya Perang Dunia II, kuasa imperialis British, yang telah dilemahkan dan mengalami kegawatan ekonomi pasca perang, menghadapi kesukaran untuk mengekalkan pentadbiran kolonialnya di Mandat Palestin. Selain kos yang tinggi untuk mengekalkan penempatan lebih 100,000 orang bala tentera British di Palestin, pendapat awam di Britain juga menuntut supaya menamatkan pemerintahan British ke atas Mandat Palestin. Pada awal tahun 1947, kerajaan British mengumumkan keinginannya untuk menamatkan pentadbirannya di Mandat Palestin dan meminta Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membuat cadangan mengenai masa hadapan Palestin. Kuasa imperialis British cuba mencuci tangan daripada tanggungjawab terhadap masalah yang ditimbulkan oleh dasar kolonialnya di rantau Timur Tengah.

Pembahagian wilayah bersejarah Palestin ke dalam sebuah negara Arab dan sebuah negara Yahudi mengikut Pelan Pembahagian PBB untuk Palestin pada tahun 1947.

Pada 29 November 1947, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Resolusi 181 (II) yang dikenali sebagai “Pelan Pembahagian PBB untuk Palestin”. Pelan tersebut mencadangkan untuk membahagikan Mandat Palestin ke dalam sebuah negara Arab dan sebuah negara Yahudi yang kedua-duanya merdeka, serta meletakkan bandar Baitulmuqaddis di bawah sebuah pentadbiran antarabangsa khas. Resolusi Perhimpunan Agung PBB mengenai Pelan Pembahagian Palestin diluluskan dengan 33 undi sokongan (termasuk dua kuasa besar baharu pada masa itu, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, bersama-sama negara-negara sekutu mereka), 13 undi tolak (termasuk semua negara Muslim dan Arab yang merdeka pada masa itu) dan 10 undi berkecuali (termasuk Britain yang hendak melepaskan pentadbirannya ke atas Mandat Palestin). Pelan Pembahagian PBB untuk Palestin tidak pernah mendapatkan pandangan dan persetujuan daripada penduduk-penduduk tempatan di wilayah Palestin, maka pemimpin-pemimpin masyarakat orang Arab Palestin pada masa itu juga menolak pelan pembahagian itu.

Resolusi PBB yang membahagikan Palestin itu menjadi pemangkin kepada pencetusan konflik bersenjata di kawasan Mandat Palestin. Kumpulan-kumpulan militia Zionis melancarkan serangan ganas untuk merampas tanah yang sebanyak mungkin daripada masyarakat orang Arab. Pada 14 Mei 1948, golongan Zionis mengisytihar penubuhan negara Israel, dan mencetuskan “Perang Arab-Israel Pertama”. Penubuhan negara Israel menandakan bermulanya “Nakba”, malapetaka bagi rakyat Palestin yang diusir keluar secara ganas dari kampung halaman mereka oleh rejim Zionis Israel yang zalim.

Selepas perisytiharan penubuhan negara Israel, negara-negara Arab yang berdekatan dengan Palestin, termasuk Mesir, Transjordan, Syria, Lubnan, Iraq, Arab Saudi dan Yaman, mencampur tangan secara ketenteraan untuk menghalang pembahagian wilayah dan menyokong penduduk Arab di Palestin. Namun, gabungan tentera negara-negara Arab itu gagal menewaskan Israel. Israel menandatangani perjanjian gencatan senjata secara berasingan dengan Mesir, Lubnan, Jordan dan Syria pada tahun 1949.

Selepas Perang Arab-Israel Pertama, Israel telah menguasai kawasan yang berkeluasan lebih besar daripada wilayah yang diperuntukkan dalam Pelan Pembahagian PBB, dengan menawan lebih kurang 60% daripada kawasan yang diperuntukkan kepada negara Arab dalam Pelan Pembahagian PBB. Mesir berjaya menguasai Semenanjung Gaza (juga dikenali sebagai Genting Gaza), sementara Jordan menduduki Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur. Sekurang-kurangnya 400 buah pekan dan perkampungan orang Arab Palestin dimusnahkan. Tentera Israel malah meracunkan telaga air di dalam perkampungan Palestin untuk menghalang pelarian Palestin daripada pulang semula ke kampung asal mereka. Lebih 700,000 orang warga Palestin telah diusir keluar dari kampung halaman mereka dan terpaksa hidup berselerak di dalam kem pelarian yang tertabur di Jordan, Lubnan, Syria, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Kerajaan Mesir telah menubuhkan “Kerajaan Seluruh Palestin” di Gaza semasa Perang Arab-Israel Pertama, tetapi memindahkan pusat pentadbirannya ke Kaherah tidak lama kemudian, dan membubarkannya pada tahun 1959.

Di Tebing Barat pula, kerajaan Bani Hashim dari Jordan yang menguasai wilayah itu (termasuk Baitulmuqaddis Timur) selepas Perang Arab-Israel Pertama mengilhakkannya dan menggabungkannya sekali dengan wilayah Tebing Timur Sungai Jordan (juga dikenali sebagai Transjordan) pada tahun 1950. Liga Arab yang sesetengah negara anggotanya tidak bersetuju dengan tindakan pengilhakan Tebing Barat oleh Jordan itu menyatakan bahawa pendudukan Jordan ke atas Tebing Barat hanyalah langkah sementara dan kerajaan Jordan berfungsi sebagai “pemegang amanah” sehingga tercapainya penyelesaian kepada Persoalan Palestin pada masa akan datang. Selepas penggabungan ke dalam Jordan, semua warga Palestin di Tebing Barat menjadi warganegara Jordan dan diberi hak yang sama seperti warga Jordan lain di Tebing Timur.

Israel: Negara ketenteraan rasis yang sentiasa bersedia untuk berperang

Negara Israel ditubuhkan melalui peperangan, perampasan tanah, pengusiran paksa dan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin. Golongan Zionis yang menggerakkan penghijrahan besar-besaran orang Yahudi ke wilayah bersejarah Palestin sering menggunakan alasan bahawa orang Yahudi perlu melarikan diri daripada penindasan oleh golongan anti-Yahudi di negara-negara Eropah, dan khususnya penindasan zalim di bawah rejim Jerman Nazi semasa Perang Dunia II. Namun, proses penghijrahan Zionis itu melibatkan perampasan tanah daripada masyarakat penduduk Arab yang sudah lama tinggal di situ dan pengusiran mereka keluar dari kampung halaman mereka, dengan sokongan dan bantuan daripada kuasa-kuasa imperialis yang membiarkan sentimen anti-Yahudi terus merebak di negara mereka sendiri. Lebih-lebih lagi, amalan apartheid dan penindasan terhadap rakyat Palestin yang diamalkan oleh rejim Zionis Israel itu seolah-olah imej pantulan cermin kepada layanan yang diberikan oleh rejim Jerman Nazi kepada orang Yahudi di Eropah.

Sejak penubuhannya, Israel sentiasa merupakan sebuah negara ketenteraan yang bersedia untuk berperang bila-bila masa. Israel tidak dapat berpisah dengan peperangan dalam tempoh lebih tujuh dekad yang lalu ini. Dengan sokongan besar daripada kuasa imperialis Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS), Israel memiliki kekuatan ketenteraan yang sukar ditandingi oleh negara-negara lain di rantau Timur Tengah.

Terdapat dua sebab utama kenapa negara Israel memiliki kekuatan ketenteraan yang begitu besar. Yang pertama, rejim Zionis Israel perlu sentiasa menggunakan kekerasan dan keganasan ketenteraannya untuk menindas rakyat Palestin yang menentang kekuasaannya. Yang kedua, negara Israel perlu memainkan peranannya sebagai penjaga atau pengawal keselamatan bagi kepentingan kuasa imperialis Barat di rantau Timur Tengah.

Port Said yang terletak di tebing Terusan Suez diserang oleh tentera British-Perancis dengan bom semasa Perang Arab-Israel Kedua pada tahun 1956.

Pada tahun 1956, apabila Presiden Mesir pada masa itu Gamal Abdel Nasser (yang mengambil alih kuasa di Mesir selepas Revolusi 1952) cuba memiliknegarakan Syarikat Terusan Suez, sebuah syarikat milikan asing yang menguruskan Terusan Suez, Israel melancarkan pencerobohan ketenteraan ke atas Mesir dan Semenanjung Gaza, diikuti dengan serangan ketenteraan daripada Britain dan Perancis. Tujuan pencerobohan ke atas Mesir itu adalah untuk menguasai semula Terusan Suez demi kepentingan kuasa imperialis Barat dan menjatuhkan Presiden Gamal Abdel Nasser di Mesir yang mengambil posisi politik yang anti-imperialis. Namun, hasil daripada tekanan politik daripada AS dan Kesatuan Soviet, akhirnya ketiga-tiga pihak yang menceroboh Mesir itu mengundurkan tentera mereka. PBB mengerahkan tentera pengaman untuk ditempatkan di sempadan antara Mesir dan Israel.

Britain dan Perancis mendapat tamparan hebat di pentas dunia kerana kegagalan mereka dalam pencerobohan ketenteraan terhadap Mesir yang dilakukan bersama dengan Israel. Krisis Suez 1956 yang juga dikenali sebagai “Perang Arab-Israel Kedua” menandakan kemerosotan pengaruh geopilitik Britain dan Perancis sebagai kuasa besar dunia, dan kedudukan dominasi mereka di pentas dunia telah diambil alih sepenuhnya oleh AS dan Kesatuan Soviet, dua kuasa besar yang menerajui dua blok utama dalam Perang Dingin abad ke-20.

Sejak tahun 1950-an, Israel telah menjadi sekutu utama bagi AS di rantau Timur Tengah. Israel merupakan penerima bantuan asing AS yang terbesar secara terkumpul sejak Perang Dunia II. Setakat bulan Mac 2023, AS telah menyalurkan bantuan sebanyak USD158 bilion (dalam nilai semasa atau belum mengambil kira inflasi) kepada Israel, dengan kebanyakannya dalam bentuk sokongan ketenteraan dan persenjataan.

Pesawat tempur Israel menceroboh ke dalam ruang udara Mesir di Semenanjung Sinai semasa “Perang Enam Hari”.

Pada tahun 1967, tentera Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Mesir dan mencetuskan “Perang Enam Hari” yang juga dikenali sebagai “Perang Jun” atau “Perang Arab-Israel Ketiga”. Dalam peperangan itu, tentera Israel menewaskan tentera dari negara-negara jirannya (Mesir, Jordan dan Syria). Israel merampas Semenanjung Gaza dan Semenanjung Sinai daripada Mesir, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur daripada Jordan, serta Dataran Tinggi Golan daripada Syria. Mesir dan Syria cuba merampas balik kawasan yang ditawan oleh Israel dalam “Perang Ramadan” pada tahun 1973 yang juga dikenali sebagai “Perang Oktober” atau “Perang Arab Israel Keempat”, tetapi tidak berjaya.

Tentera Israel juga pernah menceroboh Lubnan sebanyak 3 kali, pada tahun 1978, 1982 dan 2006. Tentera Israel pernah menduduki Lubnan Selatan untuk satu tempoh yang panjang, dari tahun 1985 hingga 2000, dan hanya berundur keluar kerana penentangan yang berterusan daripada kumpulan bersenjata Hizbullah yang aktif bergerak di situ.

Rejim Zionis Israel tidak pernah berhenti menzalimi warga Palestin yang tinggal di wilayah yang didudukinya, malah sering melancarkan operasi ketenteraan untuk mematahkan penentangan rakyat Palestin dengan cara yang kejam. Warga Palestin yang tinggal di Tebing Barat sering diancam dan dilayan dengan keganasan oleh pihak berkuasa Israel yang bersikap rasis. Israel bukan sahaja mengenakan sekatan ke atas seluruh Semenanjung Gaza sejak tahun 2007, malah telah melancarkan perang ke atas Gaza pada tahun 2006, 2008, 2012, 2014 dan 2023. Setiap kali tentera Israel melancarkan perang ke atas Gaza, sudah pasti meragut nyawa ribuan orang warga Palestin, termasuk kanak-kanak.

“Dari sungai ke segara”: Gerakan perjuangan pembebasan nasional Palestin

Sejak zaman pentadbiran kolonial British lagi, rakyat Palestin telah berjuang untuk menuntut kemerdekaan daripada cengkaman kuasa penjajah asing. Penubuhan negara Israel yang berasaskan pengusiran, penganiayaan dan penindasan terhadap rakyat Palestin, telah mencetuskan gerakan perjuangan rakyat Palestin yang bertekad untuk menjatuhkan rejim Zionis yang bermaharajalela di bumi Palestin.

Perjuangan rakyat Palestin merupakan sebahagian daripada gelombang gerakan perjuangan pembebasan nasional yang melanda negara-negara Dunia Ketiga pasca Perang Dunia II, seperti yang pernah wujud di Afrika Selatan, Algeria, Angola, China, Guinea, Indonesia, Mozambique, Vietnam, Yaman Selatan dan sebagainya.

Dalam persidangan kemuncak Liga Arab yang pertama di Kaherah, Mesir, pada bulan Januari 1964, yang dihadiri oleh 14 buah negara anggotanya pada masa itu, Liga Arab memulakan usaha membentuk sebuah organisasi payung yang mewakili rakyat Palestin di pentas antarabangsa. Berikutan itu, Majlis Kebangsaan Palestin mula bersidang di Baitulmuqaddis pada 28 Mei 1964 dan berakhir dengan pembentukan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 2 Jun 1964.

PLO merupakan sebuah gabungan parti-parti politik yang memperjuangkan pembebasan rakyat Palestin daripada pemerintahan Zionis Israel, menggerakkan usaha rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mendukung hak pelarian Palestin untuk pulang ke kampung halaman asal mereka yang dirampas oleh Israel.

Organisasi-organisasi yang bergabung dalam PLO pada masa ini termasuklah:

  • Fatah: Ditubuhkan pada tahun 1959 sebagai “Gerakan Pembebasan Nasional Palestin” oleh anggota diapora Palestin yang berfahaman nasionalis Arab seperti Yasser Arafat, Salah Khalaf dan Khalil al-Wazir; berpegang pada ideologi sekular dan nasionalis kiri; merupakan kumpulan yang terbesar dalam PLO;
  • Barisan Rakyat untuk Pembebasan Palestin (PFLP): Ditubuhkan pada tahun 1967 oleh George Habash, hasil daripada penggabungan Gerakan Nasionalis Arab yang dipimpinnya dengan dua buah kumpulan yang lain; sebuah organisasi komunis dan militan kiri radikal yang berpegang pada ideologi Marxis-Leninis, anti-imperialis, nasionalis Arab dan Pan-Arab; merupakan kumpulan yang kedua besar dalam PLO;
  • Barisan Demokratik untuk Pembebasan Palestin (DFLP): Sebuah organisasi komunis yang ditubuhkan pada tahun 1968 oleh Nayef Hawatmeh yang berpecah daripada PFLP;
  • Parti Rakyat Palestin (PPP): Ditubuhkan pada tahun 1982 sebagai Parti Komunis Palestin dan kemudian bertukar kepada nama sekarang pada tahun 1991; menyertai PLO pada tahun 1987;
  • dan beberapa buah lagi organisasi yang berasal daripada gerakan berhaluan kiri dan nasionalis Arab yang berbeza aliran.

PLO pada awalnya memperjuangkan pemusnahan negara Israel dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka di atas seluruh kawasan yang berada di dalam Mandat Palestin sebelum tahun 1948, melalui pendekatan perjuangan bersenjata. PLO mengilhamkan sebuah negara Palestin yang tunggal yang terbentang dari Sungai Jordan di timur ke Laut Mediterranean di barat, maka wujudnya slogan “dari sungai ke segara” (kemudiannya sering dilaungkan oleh gerakan solidariti Palestin sebagai “dari sungai ke segara, Palestin akan merdeka!”).

Namun, pendirian politik PLO ini berubah pada tahun 1993 apabila ia menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Israel (yang dikenali sebagai “Perjanjian Oslo I”), di mana PLO mengiktiraf hak Israel untuk wujud secara aman dan bersetuju dengan “Penyelesaian Dua-Negara” dengan syarat-syarat seperti warga Palestin berhak untuk kembali ke kampung halaman asal dan Baitulmuqaddis Timur ditetapkan sebagai ibu negara Palestin, sebagai jalan yang aman untuk menyelesaikan konflik Arab-Israel dan mencapai pendamaian berkekalan di rantau Timur Tengah. Sesetengah organisasi anggota PLO yang tidak bersetuju dengan perubahan pendirian PLO ini telah berpecah keluar dan meneruskan perjuangan berdasarkan matlamat masing-masing.

Leila Khaled (lahir pada tahun 1944) merupakan seorang pejuang Barisan Rakyat untuk Pembebasan Palestin (PFLP) yang terkenal dengan penglibatannya dalam aksi perampasan pesawat pada tahun 1969 dan 1970.

PLO pernah berpegang pada doktrin perjuangan bersenjata untuk membebaskan Palestin daripada rejim Zionis Israel. Pada tahun 1960-an dan 1970-an, PLO sering menggunakan taktik perang gerila untuk menyerang Israel dari markas-markasnya yang terletak di Jordan (termasuk Tebing Barat sebelum tahun 1967), Lubnan, Mesir dan Syria. Pejuang-pejuang militan PLO yang juga dikenali sebagai “fedayeen”, mendapat ilham perjuangan mereka daripada gerakan gerila yang wujud di Dunia Ketiga pada masa itu, seperti Vietnam, Algeria dan Amerika Latin.

Anggota-anggota militan PLO juga sering menggunakan kaedah pengambilan tebusan dan perampasan pesawat untuk menuntut pembebasan warga Palestin yang ditahan oleh rejim Zionis Israel. PLO juga pernah terlibat dalam tindakan serangan ganas yang melibatkan pengorbanan orang awam.

Apabila organisasi PLO semakin berkembang dengan anggota fedayeen semakin bertambah, khususnya di tapaknya di Jordan, dan wujudnya pandangan dalam PLO yang hendak menjatuhkan pemerintahan kerajaan bani Hashim di Jordan yang rapat dengan kuasa imperialis Barat, Raja Hussein dari Jordan melancarkan operasi ketenteraan yang dikenali sebagai “September Hitam” untuk mengusir keluar PLO dari Jordan pada tahun 1970. PLO yang diusir keluar oleh tentera Jordan terpaksa berpindah ke Lubnan Selatan. Peningkatan anggota PLO di Lubnan Selatan kemudiannya membawa pula kepada Perang Saudara Lubnan yang berlarutan dari tahun 1975 hingga 1990. Tentera Israel menceroboh Lubnan pada tahun 1982 untuk menyingkir keluar PLO dari situ, dan PLO terpaksa berpindah lagi ke Tunis, Tunisia.

Yasser Arafat (1929-2004)

PLO dipimpin oleh Yasser Arafat yang juga merupakan pemimpin utama Fatah dari tahun 1969 hingga 2004. Pada 15 November 1988, Yasser Arafat membacakan “Perisytiharan Kemerdekaan Palestin” yang ditulis oleh Mahmoud Darwish dalam persidangan Majlis Kebangsaan Palestin yang diadakan di Algiers, untuk mengisytiharkan pembentukan “Negara Palestin”.

PLO diiktiraf oleh Liga Arab sebagai “wakil tunggal rakyat Palestin yang sah”. PLO mempunyai status Pihak Pemerhati Perhimpunan Agung PBB sejak tahun 1974 sebagai “wakil rakyat Palestin”.

Kewibawaan PLO telah merosot dan tercabar dalam tempoh dua dekad yang lalu kerana sudah banyak tahun tiadanya pemilihan untuk organ-organ yang penting dalam PLO, seperti Majlis Kebangsaan Palestin (badan perundangan PLO), Jawatan Eksekutif dan Majlis Pusat Palestin. Tambahan pula, perubahan pendirian kepada pendamaian dengan kerajaan Israel turut dipertikaikan oleh kumpulan-kumpulan yang lebih radikal, dan kegagalan proses pendamaian juga menjejaskan kepercayaan sesetengah rakyat Palestin terhadap PLO. Lebih-lebih lagi, Hamas, organisasi politik yang mempunyai perwakilan yang terbesar di dalam Wilayah Palestin selepas pilihan raya umum di wilayah Palestin pada tahun 2006, tidak mempunyai perwakilan dalam PLO, maka menimbulkan persoalan sama ada kepimpinan PLO masih mempunyai mandat rakyat untuk mewakili seluruh rakyat Palestin.

Pada tahun 1993, kumpulan-kumpulan dalam PLO yang tidak bersetuju dengan Perjanjian Oslo (termasuk PFLP, DFLP dan sebagainya), bersama-sama dengan kumpulan pejuang Islamis seperti Hamas, menubuhkan “Perikatan Tentera-tentera Palestin” (APF) untuk menyelaraskan perjuangan senjata. APF memperjuangkan pembebasan seluruh bumi Palestin. Namun, PFLP dan DFLP meninggalkan APF pada tahun 1998 berikutan kedua-dua kumpulan itu bersedia untuk berdialog dengan Pihak Berkuasa Palestin yang dipimpin oleh Yasser Arafat.

Kumpulan-kumpulan militan daripada pelbagai aliran politik kemudiannya menghidupkan semula kerjasama untuk menyelaraskan perjuangan bersenjata apabila tentera Israel meningkatkan tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin. Pada tahun 2018, 12 buah kumpulan penentangan bersenjata (termasuk Briged Izzuddin Al-Qassam daripada Hamas, Briged Abu Ali Mustafa daripada PFLP, Briged Penentangan Nasional daripada DFLP dan sebagainya) menubuhkan “Bilik Gerakan Bersama Palestin”. Bilik Gerakan Bersama Palestin telah menyelaraskan banyak serangan ke atas Israel, termasuk “Operasi Taufan al-Aqsa” pada 7 Oktober 2023.

Intifadah Pertama

Pada 9 Disember 1987, tercetusnya pemberontakan rakyat Palestin yang hebat, dikenali sebagai “Intifadah Pertama”, sebagai respon kepada penindasan, keganasan, serangan dan pendudukan oleh rejim Zionis Israel yang berterusan di wilayah Palestin. Pemberontakan ini mula tercetus secara spontan di kem pelarian Jabalia yang terletak di Semenanjung Gaza selepas berlaku satu insiden trak tentera Israel melanggar sebuah kereta yang membawa pekerja Palestin sehingga membunuh 4 orang pekerja Palestin. Aksi protes harian rakyat Palestin merebak dengan cepat ke seluruh Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Rakyat Palestin mengadakan demonstrasi jalanan, ketidakpatuhan sivil, serangan dengan lontaran batu dan bom api botol, pemboikotan terhadap institusi pentadbiran Israel, pemboikotan ekonomi, dan sebagainya, untuk menentang pendudukan tentera Israel di bumi Palestin.

Rejim Zionis Israel mengerahkan tentera dalam jumlah yang besar untuk cuba mematahkan Intifadah, tetapi rakyat Palestin meneruskan perjuangan dengan penuh semangat kegigihan dan keberanian. Imej anak muda yang melemparkan batu ke arah kereta kebal dan tentera Israel, telah menjadi lambang utama kepada penentangan yang dilakukan oleh rakyat Palestin semasa Intifadah Pertama terhadap penindasan harian yang diamalkan oleh rejim Zionis Israel yang menduduki bumi Palestin.

Intifadah Pertama yang tercetus daripada tindakan secara spontan dalam kalangan penduduk Palestin, merupakan sesuatu yang mengejutkan bagi PLO pada masa itu. Ia merupakan perjuangan yang bermula dari bawah, bukannya datang daripada arahan pemimpin di atas. Selepas tercetusnya Intifadah, aktivis-aktivis akar umbi tempatan daripada pelbagai kumpulan politik menubuhkan satu gabungan yang dikenali sebagai Kepimpinan Kebangsaan Bersatu untuk Pemberontakan (UNLU). UNLU dianggotai oleh aktivis-aktivis daripada 4 buah kumpulan utama dalam PLO, iaitu Fatah, PFLP, DFLP dan Parti Komunis Palestin (yang kemudiannya bertukar nama kepada PPP). UNLU berusaha untuk mengekalkan momentum kebangkitan rakyat dalam Intifadah Pertama dengan mengatur pelbagai aksi perjuangan. Selepas Raja Hussein dari Jordan mengisytiharkan pemisahan pentadbiran dan undang-undang Tebing Barat daripada Jordan pada tahun 1988, UNLU menjadi badan pentadbiran harian untuk mengisi vakum politik di Tebing Barat.

Intifidah Pertama di Palestin mempunyai makna yang penting kepada perjuangan rakyat Palestin, kerana pemberontakan besar-besaran ini merupakan kebangkitan rakyat Palestin yang hebat dari bawah dan secara spontan, bukannya tercetus melalui campur tangan ketenteraan luar oleh negara-negara Arab lain seperti yang pernah berlaku sebelum itu.

Intifadah Pertama yang penuh heroik ini telah berterusan sehingga tercapainya Perjanjian Oslo I pada tahun 1993.

Proses pendamaian yang penuh dengan rintangan

Pada tahun 1970-an, khususnya selepas Perang Oktober pada tahun 1973, sesetengah pemimpin negara Arab menyedari bahawa mereka tidak mungkin dapat menewaskan Israel yang mendapat sokongan kuat daripada AS, sementara golongan pemerintah di Israel juga menginsafi bahawa tentera Israel tidak mungkin dapat menewaskan selama-lamanya tentera negara-negara Arab serta pejuang-pejuang pembebasan Palestin, tambahan pula dengan imbangan kuasa geopolitik yang berubah pada peringkat lewat Perang Dingin, maka terbukanya sedikit ruang untuk mencari pendamaian kepada konflik di Timur Tengah yang melibatkan wilayah Palestin. Namun, proses pendamaian di Palestin tidak mungkin tercapai matlamat akhirnya selagi negara Israel masih berpegang pada doktrin Zionis yang bersifat rasis dan kuasa-kuasa imperialis masih mencampur tangan di rantau Timur Tengah untuk kepentingan kapitalis masing-masing.

Semasa Perjanjian Kem David yang ditandatangani pada tahun 1978 antara kerajaan Israel dan kerajaan Mesir di bawah pimpinan Anwar Sadat yang semakin berpaling kepada kuasa imperialis AS pada masa itu, Israel memulangkan seluruh Semenanjung Sinai yang didudukinya sejak tahun 1967 kepada Mesir, dan ia membawa kepada Perjanjian Damai Mesir-Israel 1979 yang menandakan normalisasi hubungan diplomatik yang pertama antara sebuah negara Arab dengan Israel.

Kejayaan Intifadah Pertama dalam menjejaskan kewibaan kerajaan Israel, telah memberi keyakinan kepada Yasser Arafat dan pengikutnya untuk menyederhanakan program politik mereka supaya mencari jalan penyelesaian yang damai kepada Persoalan Palestin. Dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Palestin di Algiers, ibu negara Algeria, pada bulan November 1988, Arafat mendapat sokongan majoriti bagi keputusan bersejarah untuk mengiktiraf Israel, menerima semua resolusi PBB yang berkaitan sejak 29 November 1947, dan menerima prinsip “Penyelesaian Dua-Negara”. Perubahan pendirian PLO ini, walaupun bukannya dipersetujui oleh semua anggotanya, telah membuka jalan kepada kemungkinan mencapai pendamaian dalam konflik Palestin-Israel.

Proses pendamaian dalam konflik Palestin-Israel pada penghujung zaman Perang Dingin membawa kepada Perjanjian Oslo I yang ditandatangani pada 13 September 1993 oleh Yasser Arafat yang mewakili PLO dan Yitzhak Rabin selaku Perdana Menteri Israel pada masa itu. Mengikut Perjanjian Oslo I, Israel harus mengundurkan tenteranya dari Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, untuk memberi laluan kepada pembentukan kerajaan sendiri Palestin yang sementara bagi rakyat Palestin di situ sehingga mencapai satu perjanjian akhir yang menyelesaikan konflik Palestin-Israel. PLO mengiktiraf Israel dan berjanji untuk tidak lagi menggunakan keganasan, sementara kerajaan Israel mengiktiraf PLO sebagai wakil rakyat Palestin. Berikutan penandatanganan Perjanjian Oslo I, PLO dapat memindahkan ibu pejabatnya dari Tunis ke Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, kemudiannya menubuhkan Pihak Berkuasa Palestin.

Namun, proses pendamaian ini telah menghadapi pelbagai rintangan yang hebat sejak awal lagi. Kumpulan-kumpulan pejuang Palestin yang tidak bersetuju dengan pengiktirafan Israel meneruskan perjuangan bersenjata yang menyasarkan Israel. Mereka tidak percaya bahawa proses pendamaian yang diaturkan oleh kuasa imperialis AS dan berasaskan kompromi negara-negara Arab itu dapat membebaskan rakyat Palestin. Sementara itu, golongan Zionis pelampau kanan juga menolak proses pendamaian. Yitzhak Rabin, Perdana Menteri Israel yang menandatangani perjanjian damai dengan PLO, dibunuh pada tahun 1995 oleh golongan Zionis pelampau kanan yang membantah inisiatif pendamaian. Pembunuhan Yitzhak Rabin telah mengganggu proses pendamaian, di mana kerajaan Israel yang dipilih pada tahun 1996 dan dipimpin oleh Benjamin Netanyahu yang merupakan seorang ahli politik Zionis pelampau kanan menarik diri daripada proses pendamaian.

Satu lagi usaha pendamaian cuba dilakukan dengan penganjuran sidang kemuncak antara Pihak Berkuasa Palestin, kerajaan Israel dan kerajaan AS di Kem David pada tahun 2000 dengan hasrat mencapai perjanjian akhir untuk penyelesaian konflik Palestin-Israel, tetapi berakhir dengan tanpa apa-apa perjanjian.

Kegagalan rundingan damai di Kem David pada tahun 2000, tambahan pula dengan tindakan provokatif ahli politik pelampau kanan Israel dan penindasan pihak berkuasa Israel terhadap aksi protes rakyat Palestin, telah menjadi pencetus kepada “Intifadah Kedua”, yang juga dikenali sebagai “Intifadah Al-Aqsa”. Intifadah Kedua telah berlarutan dari tahun 2000 hingga 2005.  

“Kuartet Timur Tengah” yang terdiri daripada PBB, Kesatuan Eropah, AS dan Rusia, ditubuhkan pada tahun 2002 dan mengemukakan “Peta Jalan untuk Kedamaian”. Namun, “Peta Jalan untuk Kedamaian” yang menggariskan tiga fasa untuk penyelesaian konflik Palestin-Israel tersebut telah menemui jalan buntu sejak awal lagi dan tidak pernah melepasi fasa I.

Sidang Kemuncak Liga Arab pada tahun 2002 di Beirut, Lubnan, telah mengemukakan “Inisiatif Pendamaian Arab” yang menawarkan normalisasi hubungan negara-negara Arab dengan Israel, sebagai balasan kepada pengunduran Israel dari wilayah yang didudukinya (termasuk Tebing Barat dan Semenanjung Gaza), “penyelesaian yang adil” bagi masalah pelarian Palestin berasaskan Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194 yang diterima pada tahun 1948, dan penubuhan sebuah negara Palestin dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya. Walaupun Pihak Berkuasa Palestin yang dipimpin oleh Yasser Arafat dan penggantinya Mahmoud Abbas menyokong cadangan yang dibawa oleh Inisiatif Pendamaian Arab, wujudnya perbezaan pandangan yang ketara dalam kalangan organisasi-organisasi politik Palestin yang berbeza aliran, sementara kerajaan Israel tidak menunjukkan minat terhadapnya. Inisiatif ini dikemukakan semula dalam Sidang Kemuncak Liga Arab pada tahun 2007 dan 2027, tetapi masih tidak dapat pergi ke mana-mana.

Jata “Negara Palestin”

Pihak Berkuasa Palestin

Salah satu hasil penting Perjanjian Oslo yang ditandatangani oleh PLO dan kerajaan Israel pada tahun 1993 ialah penubuhan “Pihak Berkuasa Palestin” sebagai sebuah badan sementara untuk mentadbir Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, sehingga tercapainya persetujuan akhir mengenai penyelesaian konflik yang berkisar pada Persoalan Palestin. Namun, persetujuan pendamaian dan penyelesaian kepada persoalan status Palestin yang muktamad tidak pernah tercapai sehingga kini.

Pihak Berkuasa Palestin ditubuhkan secara rasminya selepas Perjanjian Gaza-Jericho yang ditandatangani pada tahun 1994 yang merangkumi syarat-syarat seperti pengunduran Israel dari Jericho di Tebing Barat dan sebahagian kawasan Semenanjung Gaza, di samping memperincikan penubuhan sebuah kerajaan sendiri bagi warga Palestin di situ dan pembentukan Pasukan Polis Awam Palestin.

Tebing Barat yang dipecahkan kepada enklaf-enklaf Palestin yang dipisahkan oleh “Kawasan C” yang dikuasai penuh oleh kerajaan Israel.

Pihak Berkuasa Palestin hanya sebuah kerajaan sendiri yang mempunyai kuasa pentadbiran yang terhad di kawasan-kawasan enklaf yang tertabur di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Pihak Berkuasa Palestin memiliki kuasa berkenaan urusan orang awam dan keselamatan dalaman di “Kawasan A” di dalam Tebing Barat (iaitu kawasan bandar Palestin yang tiada petempatan peneroka Israel) dan Gaza; sementara hanya mempunyai kuasa berkenaan urusan orang awam di “Kawasan B” di dalam Tebing Barat (iaitu kawasan perkampungan Palestin yang tiada petempatan peneroka Israel) dengan urusan keselamatan di bawah kawalan tentera Israel. Kerajaan Israel masih mempunyai kuasa penuh ke atas “Kawasan C” di dalam Tebing Barat (iaitu kawasan yang mempunyai petempatan peneroka Israel). Kawasan C yang dikuasai sepenuhnya oleh pihak berkuasa Israel merangkumi 60% keluasan Tebing Barat dan memisahkan kawasan yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin ke dalam enklaf-enklaf yang bertaburan di Tebing Barat. Warga Palestin perlu melepasi pelbagai pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa Israel untuk beredar dari satu tempat ke tempat lain di Tebing Barat yang dipisahkan oleh kawasan yang bukan ditadbir oleh Pihak Berkuasa Paestin.

Pihak Berkuasa Palestin adalah terpisah secara undang-undang daripada PLO yang merupakan perwakilan “Palestin” yang sah dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti PBB, Liga Arab, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan sebagainya.

Berikutan penubuhan Pihak Berkuasa Palestin, pilihan raya umum Palestin yang pertama diadakan di kawasan wilayah Palestin yang ditadbirnya pada tahun 1996 untuk memilih perwakilan Majlis Perundangan Palestin. Fatah mendapat kemenangan besar dengan memperoleh 50 daripada 88 kerusi Majlis Perundangan Palestin yang dipertandingkan pada masa itu. Pemimpin Fatah dan Pengerusi PLO, Yasser Arafat, dipilih sebagai Presiden Pihak Berkuasa Palestin dengan meraih 89.82% undian. Kumpulan Hamas memboikot dan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya umum pertama Palestin yang bersejarah itu, kerana mereka tidak mahu memberikan kesahan kepada Pihak Berkuasa Palestin yang dianggap sebagai sesuatu yang diwujudkan melalui rundingan dan kompromi dengan Israel yang tidak dapat diterima oleh mereka.

Selepas Yasser Arafat meninggal dunia pada penghujung tahun 2004, Pilihan Raya Presiden diadakan pada awal tahun 2005 untuk memilih penggantinya. Mahmoud Abbas daripada Fatah menang dalam pilihan raya tersebut dengan meraih sebanyak 67.38% undian.

Pilihan raya umum yang kedua untuk Majlis Perundangan Palestin diadakan pada tahun 2006, menyaksikan kekalahan Fatah dan kemenangan Hamas. Hamas yang memboikot pilihan raya yang pertama sebelum itu tetapi bertanding dengan menggunakan panji “Perubahan & Pembaharuan”, telah memenangi 74 daripada 132 kerusi yang dipertandingkan; sementara Fatah hanya memperoleh 45 kerusi.

Pilihan raya tempatan juga diadakan di dalam wilayah Palestin yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin pada tahun 2004-2005, 2012, 2017 dan 2021-2022.

Hamas

Kumpulan Hamas, nama singkatan kepada “Gerakan Penentangan Islam”, ialah sebuah organisasi politik dan ketenteraan Palestin yang berasaskan ideologi nasionalis Islam. Sebagai pencabar utama kepada PLO yang mengambil pendekatan sekular dalam perjuangan pembebasan Palestin, Hamas memperjuangkan nasionalisme Palestin dalam konteks Islam politik dan mengamalkan dasar jihad bersenjata terhadap Israel.

Hamas ditubuhkan di Semenanjung Gaza pada tahun 1987 sebagai cabang gerakan Ikhwanul Muslimin di Palestin, semasa tercetusnya Intifadah Pertama. Pengasasnya, Ahmed Yassin, pernah terlibat secara aktif dalam mewujudkan cabang Palestin bagi gerakan Ikhwanul Muslimin yang berasal dari Mesir, dan kemudiannya menjadi penggerak kepada penubuhan Hamas. Ahmed Yassin dibunuh di Gaza pada tahun 2004 oleh tentera Israel yang menembak peluru berpandu ke arahnya dari sebuah helikopter tempur.  

Hamas muncul sebagai kuasa politik yang utama di dalam wilayah Palestin (khususnya di Semenanjung Gaza) selepas Intifadah Pertama, dan pengaruhnya berkembang lebih lanjut lagi apabila PLO dilihat semakin kehilangan taringnya dalam melawan rejim Zionis Israel dan kegagalannya mencapai matlamat pembebasan bangsa Palestin yang ditunggu lama dalam proses pendamaian.

Hamas memperjuangkan pembentukan sebuah negara Islam di seluruh wilayah bersejarah Palestin, dan menekankan kepentingan jihad secara bersenjata sebagai satu-satu caranya untuk menyelesaikan Persoalan Palestin. Hamas juga pernah terkenal dengan pendekatannya yang menggunakan pengeboman berani mati sebagai kaedah perjuangannya.

Retorik Hamas yang anti-Israel (malah ada kalanya boleh dikatakan anti-Yahudi) mendapat sokongan hebat daripada rakyat Palestin yang menderita begitu lama di bawah kezaliman rehjim Zionis Israel, lebih-lebih lagi pada ketika gerakan pembebasan Palestin yang sekular seperti Fatah kelihatan lembap dalam melawan kezaliman rejim Zionis Israel dan gagal mencapai apa-apa yang signifikan dalam proses pendamaian sejak tahun 1990-an. Hubungan antara Hamas dan Fatah menjadi semakin tegang selepas pemimpin PLO Yasser Arafat meninggal dunia pada tahun 2004.

Walaupun Hamas memboikot pilihan raya umum di wilayah Palestin pada tahun 1996, ia mengubah strategi politiknya dengan mengambil bahagian dalam pilihan raya umum yang diadakan 10 tahun kemudian pada tahun 2006. Hamas memenangi majoriti kerusi dalam Majlis Perundangan Palestin dan sebuah kerajaan baharu dibentuk dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, sebagai Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin. Ismail Haniyeh pada awalnya membentuk sebuah kerajaan yang terdiri daripada kebanyakannya ahli Hamas dan beberapa orang wakil rakyat bebas, selepas Fatah dan kumpulan-kumpulan lain yang tidak sehaluan dengannya enggan membentuk kerajaan bersama Hamas.

Selain itu, kerajaan Israel dan Kuartet Timur Tengah yang tidak senang hati dengan keputusan pilihan raya yang demokratik itu telah mengenakan sekatan ekonomi terhadap Pihak Berkuasa Palestin. Sekali lagi, hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri tidak dihormati oleh kuasa-kuasa besar dunia.

Hubungan antara Hamas dan Fatah menjadi lebih buruk lagi selepas Hamas membentuk kerajaan di wilayah Palestin, sehingga tercetusnya pertempuran bersenjata secara sporadik antara dua pihak. Walaupun adanya cubaan untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas penandatangan perjanjian antara Hamas dan Fatah di Makkah, Arab Saudi, pada awal tahun 2007, konflik antara Hamas dan Fatah masih memuncak sehingga berlakunya pertempuran sengit antara dua kumpulan di Semenanjung Gaza pada bulan Jun 2007. Hamas menewaskan Fatah dan menguasai sepenuhnya Semenanjung Gaza. Pegawai-pegawai Fatah di Gaza pada masa itu sama ada ditahan, diusir atau dihukum bunuh oleh pentadbiran Hamas. Mahmoud Abbas selaku Presiden Pihak Berkuasa Palestin mengisytihar darurat dan melantik sebuah kerajaan darurat yang dengan Salam Fayyad sebagai Perdana Menteri, di samping menggantungkan perkara-perkara dalam Undang-undang Asas untuk memintas kelulusan daripada Majlis Kebangsaan Palestin yang diperlukan berkenaan keputusan kerajaan.

Pertempuran Gaza yang menyaksikan penguasaan Hamas terhadap seluruh Semenanjung Gaza pada bulan Jun 2007 mengakibatkan pembubaran kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Ismail Haniyeh dan wilayah Palestin yang sudah berpecah secara fizikal itu dipecahkan lagi secara politik ke dalam dua entiti: Tebing Barat masih ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin yang diterajui oleh Fatah dan sekutu-sekutanya dalam PLO, sementara Semenanjung Gaza ditadbir oleh Hamas. Pertempuran antara Hamas dan Fatah juga pernah berlaku di Tebing Barat.

Hamas dan Fatah telah meneruskan konflik bersenjata antara kedua-dua pihak, namun pada masa yang sama juga terlibat dalam siri usaha untuk berdamai. Proses pendamaian antara Hamas dan Fatah sering menghadapi pelbagai rintangan dan penuh dengan ketidaktentuan. Kerajaan Israel dan kuasa imperialis AS juga sentiasa cuba menghalang pendamaian Hamas-Fatah yang bermakna, kerana ia merupakan ancaman hebat kepada rejim Zionis Israel dan kepentingan kuasa imperialis AS sekiranya Hamas dan Fatah berjaya berdamai untuk membentuk kuasa yang bersatu dalam mencabar kekuasaan mereka.

Bebepada perjanjian pendamaian pernah ditandatangani oleh Hamas dan Fatah, pada tahun 2008 (Sana’a, Yaman), 2011 (Kaherah, Mesir), 2012 (Doha, Qatar dan Kaherah), 2014 (Bandar Gaza dan Kaherah), 2017 (Kaherah), 2020 (Istanbul, Turki) dan 2022 (Algiers, Algeria). Namun, beberapa perkara asas yang perlu dilaksanakan dalam perjanjian pendamaian seperti pilihan raya umum masih tertangguh kerana pelbagai faktor yang mengganggu pendamaian antara dua kumpulan terbesar dalam gerakan pembebasan nasional rakyat Palestin.

Gaza

Selepas pembentukan negara Israel pada tahun 1948, wilayah Palestin dipecahkan kepada dua bahagian yang terpisah secara fizikal, iaitu Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Kedua-dua wilayah Palestin yang berpecah itu diduduki oleh tentera Israel selepas Perang Enam Hari pada tahun 1967, dan masih dianggap sebagai “wilayah Palestin yang diduduki” selepas penubuhan Pihak Berkuasa Palestin pada tahun 1994.

Semenanjung Gaza pernah dikuasai oleh Mesir dari tahun 1948 hingga 1967 selepas Perang Arab-Israel Pertama. Banyak pelarian Palestin yang diusir keluar dari kampung halaman mereka di dalam kawasan bekas Mandat Palestin telah pergi ke Semenanjung Gaza dan tinggal di dalam kem-kem pelarian yang didirikan di situ. Dari tahun 1948 hingga 1959, Semenanjung Gaza ditadbir secara rasminya oleh “Kerajaan Seluruh Palestin” yang beribupejabat di Kaherah (walaupun pada awalnya beribupejabat di Gaza). Walaupun kewujudan Kerajaan Seluruh Palestin itu hanyalah secara simbolik, tetapi ia diiktiraf oleh kebanyakan negara anggota Liga Arab. Warga Palestin yang tinggal di dalam Semenanjung Gaza diberikan pasport “Seluruh Palestin”, dan Mesir tidak memberikan mereka kewarganegaraan Mesir. Kerajaan Mesir mengehadkan pergerakan keluar masuk Semenanjung Gaza.

Semasa berlakunya Perang Arab-Israel Kedua yang juga dikenali sebagai Krisis Suez pada tahun 1956, tentera Israel pernah menduduki Semenanjung Gaza dan Semenanjung Sinai yang bersebelahan dengannya untuk seketika sebelum terpaksa berundur keluar di bawah tekanan antarabangsa pada masa itu.

Berikutan pembubaran Kerajaan Seluruh Palestin di Gaza oleh kerajaan Mesir pada tahun 1959, Mesir tidak mengilhakkan secara rasmi Semenanjung Gaza ke dalam Republik Arab Bersatu yang ditubuhkan oleh Mesir bersama dengan Syria, tetapi meletakkan di bawah pemerintahan tentera Mesir sementara menunggu satu penyelesaian yang berkekalan untuk Persoalan Palestin.

Semenanjung Gaza dirampas dan diduduki oleh Israel yang menewaskan tentera Mesir dalam Perang Enam Hari atau Perang Arab-Israel Ketiga pada tahun 1967. Semasa pendudukan Israel ke atas Semenanjung Gaza, sering tercetusnya konflik antara penduduk Palestin di situ dan pihak berkuasa Israel yang pada asalnya berniat untuk mengusir keluar warga Palestin dari Gaza. Rejim Zionis Israel mendirikan petempatan peneroka Israel di dalam Semenanjung Gaza sehingga pengundurannya pada tahun 2005.

Semenanjung Gaza merupakan tempat terperciknya bunga api yang mencetuskan Intifada Pertama pada tahun 1987. Aksi penentangan rakyat Palestin yang hebat dapat disaksikan di Semenanjung Gaza sepanjang Intifadah. Semenanjung Gaza juga tempat lahirnya Hamas semasa Intifadah Pertama.

Selepas pembentukan Pihak Berkuasa Palestin pada tahun 1994, tentera Israel berundur keluar dari sebahagian besar kawasan Semenanjung Gaza, terutamanya kawasan-kawasan bandar, dan pentadbiran kawasan-kawasan tersebut dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin. Namun, rejim Zionis Israel juga mula membina penghalang yang memisahkan kawasan Palestin di Gaza dengan Israel pada tahun 1994 untuk memperkukuhkan dasar apartheid yang diamalkannya terhadap rakyat Palestin. Semasa tercetusnya Intifadah Kedua pada tahun 2000, sebahagian besar penghalang Semenanjung Gaza-Israel dirobohkan oleh rakyat Palestin yang berprotes, tetapi dibina semula oleh kerajaan Israel tidak lama kemudian.

Pada tahun 2005, kerajaan Israel mengundurkan semua tenteranya dan memindahkan semua peneroka Israel keluar dari Semenanjung Gaza. Tindakan pengunduran Israel tersebut bukannya benar-benar hendak menamatkan pendudukannya di Semenanjung Gaza, sebaliknya hanya bertujuan untuk memperkukuhkan pengasingan dan dasar apartheid terhadap rakyat Palestin yang tinggal di dalam Semenanjung Gaza. Kerajaan Israel bukan sahaja telah menyempurnakan pembinaan penghalang yang mengepung sepenuhnya daratan Semenanjung Gaza, malah masih menguasai kawasan perairan dan ruang udara Semenanjung Gaza. Pada hakikatnya, Semenanjung Gaza menjadi “penjara terbuka” yang terbesar di dunia, dengan penduduknya dikurung dan terus ditindas oleh rejim Zionis Israel yang mengamalkan dasar apartheid. Setakat tahun 2023, lebih 2 juta orang warga Palestin hidup di dalam Semenanjung Gaza yang dikepung oleh Israel.

Rejim Zionis Israel mengenakan sekatan yang lebih hebat lagi ke atas Semenanjung Gaza apabila Hamas menguasai wilayah tersebut sepenuhnya pada tahun 2007. Tentera Israel sering melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza, termasuk operasi peperangan berskala besar pada tahun 2006, 2008, 2012, 2014 dan 2023. Kumpulan Hamas yang menguasai Gaza pula menjadikan tempat ini pangkalannya untuk melancarkan serangan ke atas Israel, dengan menembak roket-roket buatan sendirinya ke dalam kawasan Israel.

Dari bulan Mac 2018 hingga Disember 2019, aktivis-aktivis pejuang pembebasan Palestin menganjurkan siri aksi demonstrasi di sempadan Gaza-Israel untuk memprotes terhadap sekatan berterusan oleh kerajaan Israel terhadap daratan, perairan dan ruang udara Semenanjung Gaza, dan juga tindakan kerajaan AS pimpinan Donald Trump pada masa itu yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, di samping menuntut hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah asal mereka yang diduduki oleh Israel sekarang.

Pada 7 Oktober 2023, semasa ulang tahun ke-50 Perang Arab-Israel Keempat, Hamas melancarkan serangan mengejut yang hebat terhadap Israel dari Semenanjung Gaza. Serangan tersebut merupakan kemuncak baharu penentangan rakyat Palestin terhadap kezaliman rejim Zionis Israel. Rejim Zionis Israel pula menggunakan kesempatan itu untuk mengisytihar perang terhadap Hamas (yang sebenarnya perang terhadap seluruh warga Palestin) dengan melancarkan serangan ketenteraan yang hebat dan mengenakan sekatan menyeluruh terhadap Semenanjung Gaza. Tindakan kejam rejim Zionis Israel itu berniat untuk melakukan pembersihan etnik di Semenanjung Gaza.

Apartheid dan pembersihan kaum: Rejim Zionis Israel yang tidak berminat dengan pendamaian

Selain sekatan dan serangan ketenteraan yang berterusan ke atas Semenanjung Gaza, dasar rejim Zionis Israel di kawasan Tebing Barat juga tidak kurang hebat kezalimannya. Sejak penubuhannya, negara Israel membangun dengan pendekatan yang menyahmanusiakan, mengasingkan dan meminggirkan rakyat Palestin untuk memperkukuhkan kedudukan kuasa golongan Zionis. Penguasaan rejim Zionis Israel terhadap wilayah Palestin yang didudukinya adalah berasaskan dasar apartheid yang mendiskriminasi rakyat Palestin dan melakukan pelbagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Layanan rejim Zionis Israel terhadap warga Palestin adalah serupa dengan dasar apartheid yang pernah diamalkan oleh kerajaan Afrika Selatan dari tahun 1948 hingga 1990-an, di mana rejim kolonial peneroka yang datang dari luar memisahkan penduduk-penduduk asal Afrika Selatan dan menyekat hak demokratik mereka.

Tembok apartheid Israel yang didirikan di Baitulmuqaddis Timur.

Rejim Zionis Israel mula mengamalkan dasar pemisahan yang dikenali sebagai “Hafrada” pada tahun 1990-an, dengan alasan melindungi warganegara Israel daripada serangan keganasan warga Palestin, tetapi pada hakikatnya hanyalah lanjutan dasar perkauman Israel yang menganiayai warga Palestin sejah penubuhan Israel. Dasar pemisahan yang diamalkan oleh rejim Zionis Israel melibatkan pembinaan tembok atau pagar penghalang yang memisahkan warga Israel dan warga Palestin secara fizikal. Penghalang itu dibina di kedua-dua Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Penghalang yang mengepung Semenanjung Gaza telah menjadikan Semenanjung Gaza “penjara terbuka” terbesar di dunia, sementara penghalang yang didirikan untuk memisahkan enklaf-enklaf Palestin di Tebing Barat dengan kawasan yang diduduki oleh peneroka Israel menjadikan enklaf-enklaf Palestin di Tebing Barat itu bagaikan “kem-kem tahanan” berselerak yang dikenakan kawalan keselamatan yang ketat oleh pihak berkuasa Israel.

Walaupun diberikan kuasa untuk mentadbir wilayah Palestin sejak tahun 1994, Pihak Berkuasa Palestin sebenar hanya menguruskan sebuah wilayah yang tidak berdaulat malah berpecah-pecah ke dalam “kem-kem tahanan” yang berselerak di dalam wilayah bersejarah Palestin. Wujudnya ketidaksamarataan yang ketara dari segi akses kemudahan infrastruktur, pengagihan sumber, penggunaan tanah dan hak asasi yang dilindungi undang-undang antara penduduk-penduduk Palestin dan golongan peneroka Israel. Warga Palestin yang menghuni di kawasan wilayah Palestin tiadanya kebebasan untuk bergerak, bukan sahaja dilarang memasuki kawasan yang diduduki oleh peneroka Israel, malah amat sukar untuk beredar dari sebuah enklaf Palestin ke enklaf Palestin lain yang semuanya dikepung dengan penghalang fizikal atau sekatan jalan yang mengkehendaki warga Palestin menjalani pemeriksaan keselamatan setiap kali melaluinya. Pihak berkuasa Israel sering mengganggu orang awam yang tinggal di enklaf-enklaf Palestin, malah menggunakan kekuasaannya untuk mengganggu, mengancam dan menyeksa mereka.

Walaupun wujudnya proses pendamaian sejak tahun 1990-an, rejim Zionis Israel yang sentiasa dipengaruhi malah didominasi oleh golongan pelampau kanan tidak pernah bersikap ikhlas dalam mencapai pendamaian yang sebenar dengan menghormati dan menegakkan hak demokratik rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri. Penindasan harian terhadap warga Palestin dan pelancaran perang ke atas rakyat Palestin dari semasa ke semasa menunjukkan rejim Zionis Israel tidak pernah memandang rakyat Palestin sebagai manusia.

Apabila terdapatnya rakyat Palestin yang tidak lagi tahan dengan penindasan Israel dan menggunakan pendekatan keganasan untuk membalas keganasan Israel, rejim Zionis Israel pasti akan menggunakan kesempatan itu untuk mempertingkatkan dan memperhebatkan serangannya terhadap rakyat Palestin dengan niat yang jelas untuk menghapuskan penduduk Palestin di bumi Palestin. Lebih-lebih lagi, tindakan zalim rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin itu sentiasa mendapat sokongan daripada kuasa imperialis AS dan sekutu-sekutunya dengan menyalurkan pelbagai bantuan kewangan dan persenjataan yang memperkuatkan lagi keupayaan jentera perang negara Israel untuk menindas rakyat Palestin.

“Penyelesaian Satu-Negara” atau “Penyelesaian Dua-Negara”?

Konflik di bumi Palestin yang disebabkan oleh rejim Zionis Israel merupakan satu pergolakan geopolitik dan isu antarabangsa yang mendapat perhatian dunia dalam tempoh tujuh dekad yang lalu sejak tahun 1948. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak, termasuk gerakan pembebasan rakyat Palestin itu sendiri, untuk mencari penyelesaian kepada persoalan yang berlarutan lama ini atau menghasilkan pendamaian yang berkekalan.

Terdapat dua pendekatan utama yang dicadangkan untuk menyelesaikan konflik di Timur Tengah yang melibatkan Palestin.

(grafik: Carlos Latuff)

Salah satunya ialah “Penyelesaian Dua-Negara”. “Penyelesaian Dua-Negara” merupakan pendekatan yang diperkenalkan di arena antarabangsa sejak Pelan Pembahagian PBB untuk Palestin pada tahun 1947, dan menjadi hala tuju yang dipersetujui dalam proses pendamaian konflik Palestin-Israel sejak tahun 1990-an. Apa yang dimaksudkan “Penyelesaian Dua-Negara” ialah sebuah negara dengan majoriti penduduk Arab yang dikenali sebagai “Palestin” wujud secara aman dan bersama dengan sebuah negara dengan majoriti Yahudi yang dikenali sebagai “Israel”. Penyelesaian ini melibatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kedua-dua buah negara Palestin dan Israel, di samping saling pengiktirafan antara kedua-dua buah negara yang wujud secara bersebelahan itu.

Namun, pada masa ini, nampaknya tiada apa-apa hasil yang konkrit dan meyakinkan daripada “Penyelesaian Dua-Negara” yang cuba diusahakan oleh pelbagai pihak dalam tempoh lebih tiga dekad yang lalu. Tindakan rejim Zionis Israel yang meneruskan dasar apartheid terhadap rakyat Palestin menjadi penghalang utama kepada pelaksanaan wawasan untuk kewujudan bersama Palestin-Israel secara aman.

“Penyelesaian Dua-Negara” mempunyai banyak kelemahan. Jika wujudnya sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan kerangka “Penyelesaian Dua-Negara”, negara Palestin yang wujud itu masih dipisahkan secara fizikal, iaitu Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dipisahkan secara geografi oleh wilayah di bawah Israel. Tambahan pula, Tebing Barat yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Palestin sekarang pun telah dipecah-pecahkan ke dalam enklaf-enklaf yang dikelilingi oleh petempatan-petempatan peneroka Israel yang didirikan oleh rejim Zionis Israel yang sentiasa hendak memperluaskan jajahannya, sehingga merumitkan lagi pelaksanaan “Penyelesaian Dua-Negara”.

Satu lagi pendekatan untuk penyelesaian konflik Palestin-Israel ialah “Penyelesaian Satu-Negara”. Namun, pandangan tentang apa itu “Penyelesaian Satu-Negara” adalah berbeza mengikut kumpulan masyarakat yang berbeza dari segi identiti dan aliran politik.

Bagi golongan Zionis, “Penyelesaian Satu-Negara” sudah pastinya sebuah negara tunggal di atas seluruh wilayah bersejarah Palestin yang mengambil nama “Israel” dan ia merupakan sebuah negara bangsa Yahudi. “Penyelesaian Satu-Negara” daripada golongan Zionis sebeginilah yang menjadi punca utama kepada konflik yang melanda bumi Palestin dan rantau Timur Tengah.

(grafik: Rachel Domond)

Bagi gerakan nasionalis Palestin yang muncul daripada penentangan terhadap pendudukan kolonial British dan Zionis Israel, “Penyelesaian Satu-Negara” bermakna penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat di atas seluruh wilayah yang dikenali sebagai “Mandat Palestin” semasa zaman pendudukan British. Bagi golongan nasionalis Arab, seperti Fatah dan PLO dengan pendirian asalnya, negara Palestin yang tunggal itu seharusnya sebuah negara bangsa Arab yang bersatu dan merdeka, ataupun sebuah negara yang terdiri daripada dua bangsa (Arab dan Yahudi) dengan bangsa Arab yang merupakan majoriti.

Bagi golongan Islamis seperti Hamas, negara Palestin yang tunggal itu seharusnya sebuah negara Islam yang berdaulat di seluruh wilayah bersejarah Palestin, tetapi pernah mengatakan bahawa mereka tidak menolak kemungkinan golongan Muslim, Yahudi dan Kristian hidup secara bersama di dalamnya. “Gerakan Jihad Islam di Palestin” (PIJ), sebuah lagi kumpulan Islamis yang menentang Israel, mengambil pendirian yang lebih eksklusif iaitu menganggap seluruh wilayah Palestin itu tanah yang dimiliki oleh orang Arab yang beragama Islam.

Golongan kiri yang mendukung “Penyelesaian Satu-Negara” secara umumnya menyokong penubuhan sebuah negara Palestin merdeka yang berasaskan kewarganegaraan sejagat yang sama rata untuk semua orang Arab Palestin dan orang Yahudi. Negara Palestin yang benar-benar merdeka dan berdaulat seharusnya berdasarkan prinsip-prinsip demokrasi, sekularisme, kewujudan bersama semua kumpulan masyarakat secara aman, hak untuk pelarian Palestin pulang ke kampung halaman asal, kesamarataan hak dan keadilan sosial, jika tidak, ia hanya akan merosot menjadi sebuah lagi negara bangsa yang dihantui dengan pelbagai masalah penindasan terhadap golongan minoriti.

Oleh sebab “Penyelesaian Dua-Negara” tidak menunjukkan apa-apa kemajuan yang meyakinkan dalam tempoh tiga dekad yang lalu, “Penyelesaian Satu-Negara” cuba dibangkit semula oleh banyak pihak, termasuk sesetengah golongan kiri.

Namun, cabaran untuk “Penyelesaian Satu-Negara” tidak kurang hebatnya berbanding “Penyelesaian Dua-Negara”. Salah satu cabaran untuk pembentukan sebuah negara Palestin dengan majoriti orang Arab ialah perubahan demografik yang ketara dalam tempoh tujuh dekad yang lalu. Penduduk Israel telah mencecah lebih 9.5 juta orang pada tahun 2022 berbanding hanya 2 juta orang pada tahun 1960. Pada masa sekarang lebih 70% atau lebih kurang 7 juta orang warganegara Israel ialah orang Yahudi. Sementara itu, wilayah Palestin mempunyai lebih kurang 5.4 orang penduduk pada tahun 2022 (hampir 3.2 juta orang di Tebing Barat dan hampir 2.2 juta orang di Semenanjung Gaza); jika ditambah dengan lebih kurang 2 juta orang Palestin yang mempunyai status kewarganegaraan Israel, jumlah warga Arab Palestin yang menetap di wilayah bersejarah Palestin adalah lebih 7 juta orang, satu angka yang hampir sama dengan jumlah orang Yahudi yang tinggal di situ. Namun begitu, terdapat lagi lebih 6 juta orang warga Palestin yang merupakan pelarian atau keturunan pelarian yang kebanyakannya hidup di negara-negara Arab lain. Jadi, persoalan timbul jika hendak menubuhkan sebuah negara Palestin di atas seluruh wilayah bersejarah Palestin, adakah ia akan melibatkan pengusiran sebahagian orang Yahudi? Jika ini berlaku, ia akan menimbulkan satu lagi masalah yang rumit. Oleh itu, jika “Penyelesaian Satu-Negara” itu berkemungkinan dilaksanakan pada masa hadapan, banyak lagi isu harus ditangani supaya keadilan dapat ditegakkan untuk semua komuniti yang menetap di atas bumi Palestin.

Walau bagaimanapun, sama ada “Penyelesaian Satu-Negara” atau “Penyelesaian Dua-Negara”, ia adalah tidak bermakna sekiranya rakyat Palestin tiadanya hak demokratik untuk menentukan nasib sendiri. Apabila kita mengatakan bahawa kita menyokong hak demokratik rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, maka ini bermakna sama ada “Penyelesaian Satu-Negara” atau “Penyelesaian Dua-Negara”, ia harus hanya ditentukan secara demokratik oleh rakyat Palestin tanpa campur tangan kuasa asing. Selain itu, penyelesaian yang sebenar dan bermakna bagi Persoalan Palestin hanya dapat dicapai dengan cara politik bukannya cara ketenteraan (walaupun rakyat Palestin yang dizalimi oleh rejim Zionis Israel sejak awal itu memang berhak untuk melawan balik dengan cara perjuangan senjata). Penyelesaian dengan cara politik itu juga seharusnya menyasarkan punca masalah yang sebenar: kapitalisme, imperialisme, kolonialisme peneroka, rasisme dan Zionisme.

Campur tangan kuasa besar asing dalam Persoalan Palestin

Isu Palestin sentiasa menjadi tumpuan antarabangsa di mana ia sentiasa dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung PBB, persidangan Majlis Keselamatan PBB, pelbagai forum di peringkat antarabangsa dan sebagainya. Walaupun begitu banyak perhatian antarabangsa diberikan, rakyat Palestin masih ditindas oleh rejim Zionis Israel dan dinafikan hak demokratik mereka untuk menentukan nasib sendiri. Keadaan ini berlaku sejak awal lagi dan berlarutan sehingga kini kerana kuasa-kuasa besar asing yang “prihatin” pada isu Palestin, sama ada kuasa besar dunia seperti AS ataupun kuasa serantau, bukannya benar-benar hendak menyelesaikan persoalan ini untuk pembebasan dan kesejahteraan rakyat Palestin, sebaliknya hanya hendak mempergunakan isu Palestin untuk memajukan kepentingan geopolitik masing-masing.

Adalah jelas bahawa kuasa imperialis AS ialah penghalang utama kepada usaha pembebasan rakyat Palestin dan proses pendamaian di bumi Palestin. Sejak awal lagi, selaku pengganti kepada Britain sebagai kuasa besar dunia selepas Perang Dunia II, kuasa imperialis AS perlu memastikan rantau Timur Tengah berada dalam jangkauan hegemoninya. Sokongan padu yang diberikan oleh AS kepada rejim Zionis Israel adalah untuk menjadikan Israel sebagai penjaga kepentingan kekuasaannya dan alat geopolitik untuk mengawal negara-negara lain di rantau Timur Tengah. Kerajaan AS sering menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan PBB untuk menghalang kelulusan usul-usul yang kritikal terhadap rejim Zionis Israel. Apabila kuasa imperialis AS menerima tekanan untuk menjadi pengantara kepada proses pendamaian Palestin-Israel, ia juga sentiasa memastikan proses pendamaian itu selaras dengan agenda kepentingan geopolitiknya, bukan untuk pendamaian yang sebenar dan berkekalan. Kuasa imperialis AS juga menggunakan segala taktik yang mungkin dalam “proses pendamaian” untuk menjinakkan sesetengah golongan pejuang rakyat Palestin supaya jika wujudnya sebuah negara Palestin yang merdeka pun, ia hanya akan bersesuaian dengan kepentingan imperialis AS. Adalah terbukti daripada pengalaman sejarah di Afghanistan, Iraq, Syria dan sebagainya, campur tangan kuasa imperialis AS di merata tempat di dunia hanya mengundang lebih banyak peperangan, ketidakstabilan, penularan keganasan dan penderitaan rakyat biasa.

Negara-negara Arab yang lain (seperti Mesir dan Jordan) walaupun pada awalnya menentang penubuhan negara Israel, kebanyakannya kemudiannya menjadi sekutu dan budak suruhan kepada kuasa imperialis AS sehingga segala laungan melawan Israel hanya sekadar retorik kosong dan tidak membantu dalam usaha perjuangan pembebasan rakyat Palestin. Mesir dan Jordan, sebagai dua buah negara Arab yang bersebelahan dengan Israel, walaupun pernah berperang dengan Israel dalam Persoalan Palestin, telah menormalisasi hubungan mereka dengan Israel sejak tahun 1979 dan 1994 masing-masing. Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Maghribi dan Sudan pula menandatangani perjanjian pada tahun 2020 untuk menormalisasi hubungan dengan Israel, di bawah pengaruh kuasa imperialis AS.

Ada pula negara-negara Arab yang kononnya menyokong perjuangan rakyat Palestin, tetapi dengan agenda geopolitik masing-masing, seperti Syria di bawah pemerintahan keluarga al-Assad dan Iraq semasa pemerintahan Saddam Hussein. Golongan elit pemerintah di negara-negara Arab yang sentiasa memikirkan kepentingan kelas sendiri sebenarnya merupakan sebahagian daripada penyumbang permasalahan di rantau Timur Tengah. Arab Saudi yang merupakan sekutu rapat kuasa imperialis AS sejak awal lagi, walaupun sentiasa menyokong Palestin secara retorik, pada hakikatnya tidak pernah melakukan perkara yang bermakna kepada pembebasan rakyat Palestin, malah wujudnya usaha bekerjasama dengan rejim Zionis Israel demi kepentingan ekonomi dan geopolitiknya sendiri.

Iran memutuskan hubungannya dengan Israel selepas Revolusi 1979 dan mula menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam konteks menyatukan perjuangan politik yang dikatakan menegakkan agama Islam. Republik Islam Iran yang ditubuhkan selepas Revolusi 1979 bercita-cita menjadi pemimpin dunia Islam dengan membentuk pakatan dengan gerakan politik Sunni untuk mengatasi perpecahan mazhab.

Beberapa hari sahaja selepas Revolusi 1979, kerajaan baharu Iran menyambut lawatan perwakilan PLO yang diketuai oleh Yasser Arafat, dan menyerahkan secara simboliknya kunci kedutaan Israel di Tehran kepada PLO yang kemudiannya menjadi kedutaan Palestin. Republik Islam Iran menyambut Hari Quds pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadan sejak tahun 1979 juga, untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin yang menentang Zionisme dan Israel. Namun, Iran semakin mengalihkan sokongannya kepada Hamas selepas PLO terlibat dalam proses pendamaian dengan Israel sejak tahun 1990-an.

Iran memberikan sokongan ketenteraan dan kewangan ke pada Hamas, termasuk memberikan latihan ketenteraan kepada ribuan pejuang Hamas di markas Pengawal Revolusi di Iran dan Lubnan, serta membekalkan persenjataan kepada pejuang-pejuang Hamas. Sokongan Iran kepada perjuangan Palestin berkaitan rapat dengan usaha memajukan kepentingan geopolitiknya. Selain Hamas, Iran juga menyokong kumpulan-kumpulan seperti Hizbullah di Lubnan dan PIJ di Palestin yang bersedia untuk menyerang Israel.

Turki pula merupakan negara yang mempunyai hubungan kompleks dengan kedua-dua Palestin dan Israel. Walaupun Turki merupakan negara Muslim pertama di dunia yang mengiktiraf kedaulatan negara Israel sejak tahun 1949, ia telah mewujudkan hubungan rasmi dengan PLO pada tahun 1975 dan merupakan antara negara yang paling awal mengiktiraf “Negara Palestin” apabila Yasser Arafat mengisytiharkan kemerdekaan Palestin pada tahun 1988. Selepas Recep Tayyip Erdoğan mengambil alih kuasa, kerajaan Turki telah menjalin hubungan erat dengan kumpulan Hamas sementara hubungannya dengan Israel semakin merosot. Adanya sesetengah pihak melihat Turki yang berkedudukan unik dalam hubungan dengan kedua-dua Palestin dan Israel boleh memainkan peranan sebagai pengantara dalam proses pendamaian di wilayah bersejarah Palestin, tetapi kerajaan Turki sendiri mempunyai rekod penindasan terhadap masyarakat Kurdi di dalam negaranya di samping melancarkan serangan ketenteraan terhadap kumpulan pejuang pembebasan masyarakat Kurdi di Utara Syria dan Selatan Iraq. Pemimpin berhaluan kanan di Turki seperti Erdoğan mempunyai cita-cita geopolitik untuk mengembalikan kegemilangan kekuasaan negara itu seperti yang pernah wujud pada zaman Empayar Uthmaniyah.

Pendek kata, pembebasan rakyat Palestin daripada rejim Zionis Israel tidak boleh bergantung atau menaruh apa-apa harapan kepada kuasa-kuasa besar, sama ada kuasa imperialis AS dan sekutunya ataupun kuasa-kuasa serantau, kerana mereka hanya sentiasa mempergunakan isu Palestin mengikut penghitungan dan percaturan geopolitik demi kepentingan kuasa kelas pemerintah masing-masing.

(grafik: Vane Julian)

Pendirian yang harus diambil oleh golongan sosialis dalam Persoalan Palestin

Persoalan Palestin merupakan satu isu yang sentiasa diberi perhatian oleh golongan kiri dan sosialis di seluruh dunia. Golongan kiri daripada aliran-aliran yang berlainan mungkin mempunyai pendirian yang berbeza dalam pelbagai perkara mengenai Persoalan Palestin dan mengambil strategi yang berbeza dalam menangani persoalan ini. Walaupun begitu, secara amnya golongan kiri menganalisis Persoalan Palestin dalam kanta perjuangan kelas, pembebasan nasional dan anti-imperialis.

Persoalan Palestin merupakan satu persoalan yang timbul daripada proses perluasan kuasa dan penjajahan imperialis Barat di rantau Timur Tengah. Rakyat Palestin telah dimangsakan dan dinafikan hak demokratik mereka untuk menentukan nasib sendiri kerana proses penjajahan kuasa Barat dan pembentukan sebuah negara apartheid yang disokong oleh kuasa imperialis Barat. Pendudukan Israel yang berterusan ke atas wilayah bersejarah Palestin, di samping dasar apartheid, diskriminasi, penindasan dan serangan ganas yang berterusan terhadap rakyat Palestin, merupakan punca kepada ketidakstabilan dan konflik yang berpanjangan di bumi Palestin serta rantau Timur Tengah.

Perjuangan rakyat Palestin ialah perjuangan pembebasan nasional untuk rakyat Palestin menentukan nasib mereka sendiri, termasuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bebas daripada cengkaman mana-mana kuasa besar dunia. Perjuangan rakyat Palestin ialah barisan hadapan perjuangan gerakan anti-imperialis di dunia.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab untuk golongan kiri dan sosialis menyokong perjuangan pembebasan rakyat Palestin. Pendirian asas golongan kiri dan sosialis mengenai Persoalan Palestin seharusnya merangkumi tuntutan-tuntutan berikut:

  • Iktiraf, hormati dan tegakkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri – Hak menentukan nasib sendiri ialah hak demokratik yang paling asas untuk mana-mana bangsa yang tertindas untuk menentukan hala tuju usaha pembebasan mereka.
  • Tamatkan pendudukan Israel ke atas Palestin – Hanya dengan tamatkan sepenuhnya pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin, rakyat Palestin baru dapat mengamalkan hak demokratik mereka untuk menentukan nasib mereka dan menjalani kehidupan mereka secara bebas serta bermaruah.
  • Hentikan perluasan petempatan peneroka Israel – Perluasan petempatan peneroka di wilayah Palestin seperti Tebing Barat, bukan sahaja merampas tanah dan ruang hidup bagi rakyat Palestin, malah menjadi penghalang kepada segala proses pendamaian yang mungkin.  
  • Hapuskan dasar apartheid yang diamalkan oleh rejim Zionis Israel – Diskriminasi terhadap rakyat Palestin tetap akan wujud selagi dasar apartheid masih diamalkan. Semua tembok dan penghalang yang memisahkan rakyat Palestin harus dirobohkan.
  • Hentikan segala serangan keganasan terhadap rakyat Palestin – Hanya dengan kerajaan Israel menghentikan segala serangan ketenteraan dan keganasan terhadap rakyat Palestin, barulah dapat wujudkan ruang untuk proses pendamaian dan mengurangkan konflik di wilayah bersejarah Palestin.
  • Hentikan sekatan terhadap Semenanjung Gaza – Sekatan terhadap Semenanjung Gaza telah membawa krisis kemanusiaan dan penderitaan yang hebat kepada rakyat Palestin yang hidup di situ.
  • Kenakan emborgo sentaja terhadap Israel – Ini harus dilakukan oleh seluruh masyarakat antarabangsa untuk menyekat malah melumpuhkan keupayaan jentera perang Israel daripada terus melakukan serangan terhadap rakyat Palestin.
  • Realisasikan hak pelarian Palestin untuk pulang ke kampung halaman – Pembebasan rakyat Palestin dan proses pendamaian yang sebenar tidak akan dapat tercapai selagi pelarian Palestin yang hidup bertaburan masih dinafikan hak untuk pulang ke kampung halaman asal mereka di wilayah bersejarah Palestin yang dirampas oleh Israel.
  • Hancurkan Zionisme – Rakyat Palestin akan terus ditindas selagi punca utama kepada penindasan itu, Zionisme, tidak dihancurkan sepenuhnya.

Kita juga harus sedar bahawa anti-Zionisme bukannya anti-Yahudi. Ini kerana mungkin adanya sesetengah orang mencampur aduk kedua-dua pendirian ini dan menjadi keliru, sehingga melakukan perkara yang langsung tidak membantu dalam usaha pembebasan rakyat Palestin. Anti-Yahudi ialah fahaman perkauman yang membenci dan memusuhi orang Yahudi hanya kerana identitinya. Anti-Zionisme ialah pendirian tegas terhadap fahaman perkauman yang merampas hak dan mendiskriminasi satu kumpulan etnik-agama yang lain. Seorang yang anti-Zionisme seharusnya menentang segala bentuk rasisme dan kebencian yang berasaskan kaum atau agama. Kebencian terhadap sesuatu kumpulan masyarakat berasaskan identiti etnik atau agama, tidak akan membawa apa-apa pembebasan kepada mana-mana masyarakat yang tertindas, sebaliknya hanya mengundang lebih banyak penindasan dan kezaliman.

Golongan sosialis sentiasa mendukung solidariti merentasi kaum dan agama dalam usaha memperjuangkan pembebasan masyarakat. Pembebasan sebenar untuk rakyat Palestin hanya dapat dicapai dengan solidariti rakyat di wilayah bersejarah Palestin yang merentasi batasan kaum dan agama. Masyarakat antarabangsa, khususnya gerakan-gerakan rakyat dan kerajaan-kerajaan yang progresif, juga harus memanjangkan solidariti kepada perjuangan pembebasan rakyat Palestin yang masih belum selesai ini.

(grafik: ONe Rad Latina)

==========

Kronologi peristiwa penting berkaitan Palestin

1882Tentera British menawan Mesir
1915-1916Surat-menyurat McMahon–Hussein
1916Perjanjian Sykes-Picot
7 November 1917Perisytiharan Balfour
11 Disember 1917Tentera British memasuki Baitulmuqaddis
1920-1948Pemerintahan Mandat British ke atas Palestin
1936-1939Pemberontakan Arab di Mandat Palestin
1937Suruhanjaya Peel
1939Kertas Putih 1939
29 November 1947Pelan Pembahagian PBB untuk Palestin
14 Mei 1948Perisytiharan penubuhan negara Israel
1948-1949Perang Arab-Israel Pertama
1956Krisis Suez / Perang Arab-Israel Kedua
1964Penubuhan PLO
1967Perang Enam Hari / Perang Arab-Israel Ketiga
1967-1970Perang Pelumpuhan Mesir-Israel
1968-1982Pemberontakan Palestin di Lubnan Selatan
1970“September Hitam”
1973Perang Oktober / Perang Arab-Israel Keempat
1975-1990Perang Saudara Lubnan
1978Perjanjian Kem David antara Mesir dan Israel
1982Perang Lubnan
1987-1993Intifadah Pertama
15 November 1988Perisytiharan Kemerdekaan Palestin
1991Persidangan Madrid
1993Perjanjian Oslo I
1994Penubuhan Pihak Berkuasa Palestin
1995Perjanjian Oslo II
1996Pilihan raya umum Palestin yang pertama
2000-2005Intifadah Kedua
2005Pengunduran Israel dari Semenanjung Gaza
2006Hamas menang dalam pilihan raya umum wilayah Palestin
2007Hamas menguasai Semenanjung Gaza
2008-2009Perang Gaza
29 November 2012Resolusi Perhimpunan Agung PBB 67/19 – Palestin diiktiraf sebagai “negara bukan anggota PBB”
2014Perang Gaza
2018-2019Protes sempadan Gaza-Israel
2023Perang Palestin-Israel

==========

(oleh Choo Chon Kai)

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap dan Ketua Pengarang Sosialis.net.