PRN Johor 2022 – Perlunya Parti yang Melawan Arus

PRN Johor 2022 – Perlunya Parti yang Melawan Arus

Sejak keputusan PRN Johor pada hari Sabtu, 12hb.Mac , 2022 yang lalu, pelbagai analisis muncul terutamanya dari penganalisis politik dan juga dari ahli politik. Kebanyakkannya merungut mengenai kesilapan ‘pembangkang’. Apakah sepatutnya mereka buat, apakah salah tafsiran ahli politik, apakah strategi yang harus dipakaim dan sebagainya. Ada mengatakan kemenangan BN adalah disebabkan oleh penurunan peratus keluar mengundi. Kesemuanya berkisar sekeliling apakah baik untuk ‘parti politik’ ini dan itu.

Tetapi saya kurang membaca apajua komentar yang melihat apakah sebenarnya baik untuk rakyat berbanding dengan apakah baik untuk parti politik.

Selama 3 hingga 4 minggu saya berada di Johor untuk menyiapkan jentera Parti Sosialis Malaysia untuk bertanding di kerusi N49 Kota Iskandar Johor, saya mendengar pelbagai komen dari rakyat setempat. Diantara yang biasa didengar ialah “piliharaya ini membazir masa sahaja”, “ semua parti sama sahaja lah”, “lepas undi semua hilang tak tunaikan janji pada rakyat”, “takut Covid, tak keluar mengundi” dan komen-komen lain yang memaparkan ketidalpuashatian rakyat terhadap parti-parti politik sedia ada, dan juga keperluan mengadakan PRN sekarang.

Ada juga yang mengatakan bahawa mereka “confuse (keliru) kerana banyak sangat parti, pembangkang kerana perpecahan”. Saya juga melihat langsung tidak wujud apa-apa suasana pilihanraya dikalangan rakyat. Tidak ada laungan “ini kali lah” ataupun motivasi untuk turun mengundi dengan harapan memperbaiki nasib rakyat biasa.

Justeru itu disinilah kita harus berfikir secara mendalam. Kenapa rakyat merasakan bahawa kehidupan mereka dan kesusahan mereka tidak akan berubah melalui PRN Johor kali ini? Adakah mereka sudah capai ke kesimpulan bahawa, manajua parti yang menang ianya 2×5, 5×2 sahaja? Atau adakah rakyat mendahulukan kestabilan selepas ketidaktentuan politik sejak Langkah Sheraton pada awal tahun 2020 lagi? Rakyat sanggup mengkorbankan aspirasi perubahan sebenar, demi kestabilan politik walaupun ianya datang dari blok yang pernah dicampakkan oleh rakyat sendiri pada tahun 2018.

PRN Johor dan PRN sebelumnya di Melaka dan Sarawak, harus memberikan peluang kepada rakyat untuk merenung kembali sebenarnya apakah peranan parti politik dalam menentukan masa depan mereka.

Jika dilihat parti-parti yang memperjuangkan hak Bumiputera dari UMNO dan serpihannya seperti BERSATU dan Pejuang, rakyat kini jelas memahami bahawa kesemuanya hanya ‘menjual’ retorik hak Melayu untuk menumpukan kekayaan kepada golongan elit Melayu dan bukannya majoriti rakyat Melayu. Begitu juga parti-parti lain yang mengunakan retorik kaum sebagai agenda mereka.

Jika dilihat pada pembangkang (yang pernah menjadi Kerajaan selama 22 bulan) juga gagal membawa perubahan jelas dalam kehidupan rakyat, terutamanya isu-isu asas. Walaupun mereka hanya dalam pemerintahan selama 22 bulan tetapi mereka berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor selama 14 tahun. Apa pula nasib rakyat dikedua-dua Negeri itu?

Perubahan sebenar dalam kehidupan harian hanya akan tercapai jika kita membawa kuasa politik yang berani melawan arus. Melawan arus maksudnya, politik yang memahami hegemoni ekonomi dan politik yang mengkongkong kita. Suatu tatacara sistem ekonomi yang merampas hasil titik peluh rakyat untuk mengkayakan segelintir elit bisnes dan politik. Ianya berlaku dalam pelbagai cara, bermula dari polisi gaji murah kepada pekerja demi membolehkan Ketua Eksekutif (CEO) menerima gaji ratusan ribuan ringgit setiap bulan. Monopoli bisnes yang menekan peniaga kecil. Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terpaksa mengurangkan kos kerana dituntut oleh pembeli multinasional.

Perampasan tanah dari petani, orang asli dan juga penduduk kampong untuk diberikan kepada korporat besar. Penindasan pekerja industry e-hailing, p-hailing , penghantar makanan dan barangan yang melihat pendapatan mereka semakin berkurang walaupun pesanan bertambah.

Hasil nelayan yang berkurang kerana pembangunan sisir pantai dan industry perngorekkan pasir yang berleluasa. Maka kos makanan bertambah kerana nelayan dan petani tempatan dipinggirkan dan rakyat beralih ke makanan impot.

Senarai isu-isu rakyat marhain iaitu majoriti pengundi dimana-mana kawasan mengundi amatlah panjang, tetapi siapa yang berani melawan arus hegemoni ekonomi dan politik ini untuk membawa perubahan sebenar?

Hampir kesemua parti-parti politik dan juga gabungan-gabungan politik samaada yang memerintah atau pernah memerintah ini nampaknya lebih ingin mengekalkan ‘status quo’ hegemoni ini kerana ianya jelas juga menguntungkan kerjaya politik mereka.

Maka, pengajaran dari PRN Johor dan pilihanraya sebelum ini ialah, rakyat harus meneliti pendirian dan pegangan parti-parti politik-politik ini. Retorik politik bersih, telus dan anti-rasuah itu penting, tetapi ianya tidak mencukupi untuk memecahkan hegemoni ekonomi yang menekan rakyat.

Parti Sosialis Malaysia, walaupun suatu kuasa yang kecil, berani membawa suatu naratif politik baru yang benar-benar mencabar hegemoni ekonomi kapitalis ini. Ini bukan suatu kenyataan kosong, kerana rekod sejarah perjuangan PSM sememangnya diakui ramai. Dari perjuangan menentang perampasan tanah orang kampong tradisi, peneroka Bandar, Orang Asli, pekerja estet sehinggalah perjuangan menentang pengumpulan kekayaan oleh korporat bisnes.

Maka, kita perlukan suatu peralihan, dari mengundi parti-parti yang menjual retorik ‘kaum’ kepada alternatif politik yang meletakkan perjuangan kelas masyarakat sebagai agenda utamanya. Sebab perjuangan kelas marhain akan memanfaatkan kesemua kaum, terutamanya kaum Melayu yang masih merupakan kaum yang mempunyai peratus pendapatan isi rumah dibawah RM2000 yang tertinggi.

Politik perjuangan kelas akan mengenalpasti pelakon-pelakon yang menaja dan mengekalkan hegemoni ekonomi ini dan melancarkan perjuangan terhadap mereka agar kekayaan masyarakat dikongsikan dengan lebih adil.

Kini sudah tiba masanya, kita beralih kepada memilih kuasa politik yang jelas dalam perjuangan kelas dan berani memecahkan hegemoni ekonomi yang menghambakan rakyat terbanyak. PRU15 akan memberikan rakyat satu lagi peluang untuk menolak parti-parti perkauman dan parti-parti yang mengelar diri mereka sebagai radikal dan reformis, tetapi sebenarnya amat kabur dalam pendirian mereka menentang hegemoni ekonomi kapitalis ini.

Cukup sudah rakyat diperbodohkan dengan parti-parti politik serpihan ini yang kononya berbeza dan akan menyelesaikan permasalahan rakyat. Pengalaman dan pengkhianatan politik mereka telah menjadikan rakyat lebih matang untuk memilih dengan lebih teliti sebuah parti dan kuasa politik yang berdasarkan perjuangan kelas yang sebenarnya.

Sivarajan A
Setiausaha Agung PSM
14/3/2022