Sejak tercetusnya pandemik Covid-19 pada Mac 2020, PSM telah mendesak Kerajaan agar memperkenalkan suatu Skim Jaminan Pendapatan Asas, atau Guaranteed Basic Income kepada sesiapa yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid 19.
Dokumen pelan tindakan PSM bertajuk “Kemelesetan Ekonomi Pasca Covid 19 : Cadangan Memulihkan Negara Demi Rakyat” membawa cadangan agar setiap keluarga yang kehilangan punca pendapatan haruslah dibayar sebanyak RM1000 untuk memastikan bahawa keluarga tersebut tidak terjerumus dalam kancah kemiskinan. Dokumen ini telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada Julai, 2020.
Tetapi malangnya Kerajaan masih kekal dengan modal bantuan yang bersifat ‘one off’ .Skim Bantuan Khas Covid (BKC) yang diperkenalkan juga berupa bayaran ‘one off’ dimana golongan miskin tegar akan dibayar RM 1,300/isi rumah, RM 500 untuk warga emas dan RM500 untuk bujang secara ansuran. B40 pula akan menerima bayaran RM800/isi rumah, RM200 untuk warga emas dan bujang RM 200. Bantuan BKC juga dipanjangkan kepada golongan M40. Golongan M40 merupakan mereka yang mempunyai pendapatan isu keluarga melebihi RM 5000. Sebanyak 3.1 billion di khususkan untuk bayaran tersebut.
PSM membawa cadangan bahawa, berbanding dengan bayaran sekali gus ‘one off’ yang disebarkan luas dari golongan miskin tegar sehinggalah M40, adalah lebih memanfaatkan jika Kerajaan memfokuskan bantuan kepada isi rumah yang benar-benar kehilangan punca pendapatan akibat Covid 19. Bantuan melalui Skim Jaminan Pendapatan Asas yang berupa Universal Basic Income (UBI) ini dapat membantu isi rumah tersebut menangani kos asas rumah tangga seperti makanan dan sebagainya.
Dalam suatu kajian lapangan yang dibuat oleh Jabatan Statistik Malaysia , pada March 2020, mereka mendapati golongan yang paling ketara kehilangan kerja ialah mereka yang bekerja sendiri. Sebanyak 46.6% dari responden yang kerja sendiri menyatakan bahawa mereka kehilangan pendapatan berbanding dengan, 23.8% bekerja dengan majikan, 1.8% sektor swasta, 0.4% kerja dengan syarikat Multinasional dan 0.4% yang bekerja dengan syarikat GLC(Government Linked Company)
Kajian yang sama melaporkan, seramai 71.4% responden yang bekerja sendiri hanya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kurang dari satu bulan pendapatan mereka, berbanding dengan 49.2% responden yang bermajikan, 58% bekerja dengan swasta, 31.2% kerja dengan syarikat Multinasional dan 38.9% yang bekerja dengan syarikat GLC. Maka bantuan segera secara bulanan pada masa-masa kritikal apabila mereka kehilangan kerja adalah amat penting sekali. Rujukan
PSM mencadangkan bantuan ini hanya kepada mereka yang hilang kerja dan tiada apajua sumber bantuan yang lain. Maka mereka yang menerima bantuan lain dikecualikan seperti mereka yang
- Sedang mencarum pada Perkeso yang boleh memanfaatkan SIP dan sebagainya,
- Menerima pencen tetap (sama ada pesara kerajaan atau lain) yang amaunya lebih dari RM1,000/sebulan
- Kakitangan kerajaan
- Masih mempunyai pekerjaan alternatif (selepas kehilangan kerja utama)
- Masih ada sumber pendapatan yang layak membayar cukai persendirian
- Masih bekerja di sektor awam atau swasta/berniaga dan sebagainya .
Cadangan ini dikhususkan kepada sesiapa yang kehilangan sumber pendapatan seperti pekerja di sektor formal, pekerja persendirian berskala kecil, peniaga bersifat mikro yang kehilangan punca pendapatan pada waktu ini.
Kini, bantuan yang diberikan oleh Kerajaan seperti Subsidi Upah ataupun bantuan dari Skim Insurans Pekerja (PERKESO) hanya membantu pekerja sektor formal sahaja.
Manakala lebih kurang 3 juta pekerja tidak formal dan 2 juta yang terlibat dalam pekerjaan sendiri tiada sebarang sistem sokongan apabila mereka kehilangan punca pendapatan akibat penutupan bisnes masa pandemik ini.
Anggaran peruntukan yang diperlukan jika skim ini dipanjangkan kepada 700,000 keluarga (10%) sebanyak RM1000 sebulan, maka kita memerlukan RM8.4 billion setahun.
Konsep bantuan Skim Jaminan Pendapatan Asas ini tercetus dari konsep Universal Basic Income (UBI) atau konsep Pendapatan Asas Sejagat. Ianya bukan untuk menjadikan rakyat malas, dengan bayaran tunai RM1000 setiap bulan kepada akuan mereka, Tetapi ianya merupakan suatu jaringan sosial memastikan isi keluarga yang kehilangan punca pendapatan secara mendadak tidak tersungkur dengan kelaparan. Penjelasan lanjut konsep UBI ini boleh difahami dari penulisan berikut.
Jika diambil Garis Kemiskinan terkini iaitu RM 2208, dianggarkan terdapat sehingga 8.3% isi rumah yang berada dalam golongan ini. Ancaman Covid dan kemelesetan ekonomi yang menjurus menekan rakyat terbawah ini dengan paling dahsyat sekali. Maka bayangkan bila mereka ini kehilangan punca pendapatan? Bantuan segera RM1000 terus kepada isi rumah mereka sekurang-kurangnya membolehkan keluarga tersebut menyediakan makanan dan keperluan asas sehinggalah ketua isi rumah dapat mencari kerja atau sumber pendapatan yang baru.
Maka PSM dalam dokumen pelan tindakan “Pemulihan Nasional Haluan Baru Untuk Malaysia – Permintaan Rakyat Mudah Je” meletakkan hujah bahawa rakyat perlu bantuan Skim Jaminan Pendapatan Asas dengan segera dan bukannya bantuan berupa ‘one off’ yang jelas gagal memulihkan sosio ekonomi isi rumah terjejas dengan efektif.
Sivarajan Arumugam
Setiausaha Agung, Parti Sosialis Malaysia