1. Pemuda Sosialis memandang serius hutang isi rumah yang telah meningkat ke 93.3% dan penurunan gaji lepasan siswazah yang telah mencecah gaji minima negara. Pemuda Sosialis amat kecewa dengan tindakan kerajaan yang langsung tidak mengendahkan isu ini.
2. Pemuda Sosialis berpendapat bahawa kedua-kedua situasi ini berlaku bukan sahaja akibat pandemik, malah ia adalah kesan kegagalan polis-polisi kerajaan selama lebih 20 tahun. Dasar penswastaan yang berleluasa dan polisi-polisi yang berpihak kepada keuntungan besar syarikat-syarikat swasta dan sistem perbankan telah membawa negara kita ke situasi dan ekonomi yang rapuh hari ini.
3. Walaupun masalah tunjangnya adalah akibat sistem ekonomi kapitalisme neoliberal, Pemuda Sosialis dan Parti Sosialis Malaysia telah mencadangkan beberapa pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan untuk membantu rakyat terutamanya sepanjang pandemik ini.
4. Pemuda Sosialis menggesa kerajaan untuk laksanakan moratorium automatik terutamanya kepada golongan B40 sehingga ekonomi menjadi stabil. Moratorium automatik akan memastikan rakyat mempunyai sedikit sebanyak duit untuk mereka memenuhi keperluan harian mereka dan memastikan ekonomi lokal berjalan sedikit lancar. Pemuda Sosialis tidak memahami keperluan kerajaan untuk meneruskan pembayaran balik apabila pihak bank masih mencatat keuntungan berjuta-juta/berbillion semasa moratorium fasa pertama.
5. Pemuda Sosialis berpendapat bahawa pendekatan-pendekatan yang diambil untuk “upskilling” dan melatih semula siswazah sebagai usaha menurun pengangguran tidak efektif langsung. Insentif-insentif kepada syarikat swasta langsung tidak masuk akal dalam usaha menangani pengangguran. Pemuda Sosialis ingin menekan kerajaan untuk membuka luas sektor kerajaan melalui Skim Jaminan Pekerjaan sebagai satu usaha mewujudkan peluang pekerjaan. Pekerjaan-pekerjaan yang diwujudkan dalam skim ini harus diberikan gaji kehidupan wajar yang berpatutan berdasarkan jangka masa tertentu.
6. Kerajaan boleh fokus untuk merancakkan penyelidikan dan pengindustrialisasi teknologi yang melibatkan tenaga hijau, melebihkan pekerja-pekerja sosial yang boleh membantu rakyat miskin dan mengutip data untuk kerajaan dan melebihkan tenaga pekerjaan di sektor kesihatan dan pendidikan. Pekerjaan yang diwujudkan melalui Skim Jaminan Pekerjaan akan menjadi satu anjakan paradigma yang efektif dalam menangani masalah pengangguran di negara kita. Pekerjaan-pekerjaan yang terjamin dengan gaji kehidupan wajar ini juga akan menekan majikan-majikan swasta yang menggunakan kesempatan kemelesetan ekonomi untuk mengurangkan tawaran gaji.Soalannya di sini, adakah kerajaan ini atau yang akan datang mempunyai keinginan politik untuk melaksanakannya?
7. Pemuda Sosialis juga berpendapat bahawa satu skim UBI yang diubah suai dilancarkan supaya dapat membantu golongan miskin dan juga kepada pekerja-pekerja berpendapatn rendah yang telah kehilangan kerja. Kehilangan kerja dalam jangka masa ini bukanlah salah rakyat atau golongan pekerja. Ia adalah disebabkan kegagalan polisi dalam mewujudkan pekerjaan dan disebabkan pandemik.
8. Pemuda Sosialis kecewa dengan respons menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional yang menasihati lepasan graduan untuk menerima kerja yang mencecah paras gaji minima. Alasan bahawa mempunyai kerja dalam jangka masa ini lebih baik daripada menganggur adalah jawapan yang angkuh dan tidak bijak daripada Menteri-menteri tertentu.
9. Pemuda Sosialis berpendapat bahawa selagi kita bergantung kepada pelaburan asing untuk mewujudkan pekerjaan tanpa membuka luas sektor kerajaan, masalah pengangguran tidak akan diselesaikan langsung. Pendekatan seperti memberi elauns kepada para majikan yang mengambil lepasan graduan, pelepasan cukai dan lain-lain yang hanya fokus untuk menggembirakan para majikan tidak akan selesaikan masalah ini. Kegagalan pendekatan dapat kita lihat dari pentadbiran Pakatan Harapan lagi yang gagal melibat terus dalam proses mewujudkan pekerjaan.
oleh;
Gandipan Nantha Gopalan,
Setiausaha Pemuda Sosialis
(7/4/2021)