Tanah runtuh & kehilangan nyawa di Cameron Highlands, dimanakah had ketamakan manusia?

Tanah runtuh & kehilangan nyawa di Cameron Highlands, dimanakah had ketamakan manusia?

KENYATAAN AKHBAR – PARTI SOSIALIS MALAYSIA – 20/9/2021

Baru-baru rakyat Cameron Highlands digemparkan dengan pelbagai kejadian tanah runtuh. Salah satu kejadian yang berlaku pada 16hb. September, 2021 di Sg Palas Brinchang menyebabkan seorang wanita meninggal dunia apabila tanah runtuh diatas rumahnya. Satu lagi kejadian tanah runtuh juga berlaku di jalanraya Simpang Pulai ke Cameron Highlands di Seksyen 43.9 sepertimana yang dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya. 

Kejadian sedemikian tidaklah baru dan kawasan tanah tinggi ini telah lama menjadi mangsa pembangunan yang melampau sejak beberapa dekad yang lalu. Memandangkan Cameron Highlands sememangnya menerima taburan hujan yang tinggi, maka apajua pembangunan yang melibatkan pembersihan hutan, pemotongan pokok, akan mengeruhkan lagi keadaan dan meningkatkan kejadian tanah runtuh. 

Tanah runtuh pertama yang direkodkan di Cameron Highlands adalah pada tahun 1961 dimana ianya mengaut nyawa seramai 16 orang di kawasan Ringlet. Tetapi nampaknya kita gagal belajar dari kejadian-kejadian sedemikian, dan masih bertindak untuk melakukan projek pembinaan berterusan di Cameron Highlands.

Pada masa bila pihak pakar dan Jabatan-jabatan Kerajaan sedang bertungkus lumus memperbaiki jalan dan melaksanakan langkah-langkah mitigasi untuk mengurangkan kejadian tanah runtuh,  pihak pemodal nampaknya hanya bertumpukan kepada mencari lokasi baru yang dapat mengaut keuntungan kepada mereka.  

Kami difahamkan suatu projek taman tema yang dikenali sebagai ESCAPE Cameron Highlands akan dibina dengan keluasan 60ha. Projek ini yang akan dimajukan oleh syarikat Sim Leisure Group dijangka akan membuka fasa pertamanya seluas 24.3 hektar pada tahun 2023. 

PSM Cameron Highlands membantah projek ini yang sudah pastinya melibatkan pembersihan kawasan hutan, pembalakan dan pembangunan cerun. Eksploitasi beterusan dikawasan tanah tinggi ini melalui pelbagai projek pembangunan, hanya menguntungkan pihak pemodal dan merugikan rakyat tempatan dalam pelbagai cara. Rakyat tempatan Cameron Highlands, kinipun merungut kerana kesesakan jalanraya akibat kehadiran pelancong yang melebihi kapasiti kemudahan infrastruktur yang sedia ada.

Pada masa bila para pemodal mengaut keuntungan, rakyatlah yang terpaksa berhadapan bahaya tanah runtuh dan kesesakan jalanraya yang menganggu kehidupan harian mereka. 

Kerajaan Negeri haruslah dengan segera menghentikan projek sedemikian dan membuat evaluasi serius mengenai had pembangunan yang dibenarkan dikawasan tanah tinggi ini. Apakah rasionalnya terus meluluskan pelbagai projek pembangunan sedemikian disuatu lokasi yang terhad keluasannya? Pembangunan tidak terkawal selama beberapa abad ini, menyebabkan semakin hari semakin luas kawasan tanah hutan yang sensitif geologi tanah dan ekosistem dibersihkan. Sudah tentu, impak jangka panjang yang terpendam akan membawa pelbagai kejadian tanah runtuh dan dan sebagainya.

PSM ingin tanya, adakah Kerajaan Negeri tetapkan suatu had pembangunan di Cameron Highlands? Sememangnya tidak masuk akal bagaimana projek pembinaan terus diluluskan dalam suatu kawasan yang kerap memaparkan impak akibat pembangunan seperti ini.

Kejadian tanah runtuh dan pencemaran dengan mudah diketepikan dengan janji palsu bahawa pembangunan baru yang diluluskan itu pasti mampan dan langkah mitigasi telah diambilkira.

Tetapi sejarah kejadian kerosakan alam sekitar sehingga kini jelas menunjukkan bahawa, bilangan projek yang kononnya ‘mampan’ lengkap dengan kelulusan EIA juga  menonjolkan kesan pencemaran dan kemungkinan kejadian tanah runtuh dalam jangka masa panjang. 

Justeru itu, kami menyarankan bahawa semua pembangunan baru di Cameron Highlands harus dibekukan dan dikaji semula keperluannya. Berbanding dengan manfaat ekonomi, kos kehilangan nyawa dan hartabenda tidak dapat diganti apabila musibah berlaku kerana ketamakan manusia. 

 

Sivarajan  A
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia
PSM Cameron Highlands. 
20/9/2021