(asalnya dipaparkan di Sosialis.Net)
oleh S. Arutchelvan
Bangi Lama, 6 April 2021
Walaupun kadangkala ada perkara yang saya tidak bersependapat dengan Ketua Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saudara Anwar Ibrahim; tetapi dalam bab membela rakyat berpendapatan rendah, marhaen dan sebagainya, saya cukup kagum dengan pendirian DSAI yang sentiasa konsisten dan berjiwa rakyat.
Hari ini harapan ini kecundang, bukan kerana Anwar Ibrahim tetapi bagaimana Kerajaan PH Selangor menangani isu kedai-kedai dan gerai-gerai golongan berpendapatan rendah. Di sini, saya tidak mahu salahkan Pejabat Tanah atau Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kerana mereka hanyalah pelaksana polisi. Namun cara ahli politik PH mengendalikan isu hari ini cukup mendukacitakan, zalim dan angkuh.
Menteri Besar dari PKR, ADUN dari Parti Amanah dan Ahli Parlimen dari DAP. Ini bukan kawasan pembangkang. Rakyat yang kedai dan gerai diroboh hari ini ialah peniaga kecil seperti penjual bunga, penjahit pakaian, pengusaha kedai makan, mekanik dan sebagainya. Gerai dan kedai mereka walaupun di atas tanah rizab kerajaan tetapi ia adalah kecil, tidak mengganggu lalu lintas, tidak menghalang pembangunan dan tidak pula menimbulkan pencemaran sungai dan sebagainya. Kedai-kedai dan gerai-gerai ini sudah lama di sini dan ada yang berusia lebih 40 tahun dan merupakan sebahagian landskap Pekan Bangi Lama. Hari ini keharmonian dan ketenteraman ini dihancurkan oleh mesin-mesin jentolak yang datang merobohkan sebanyak 12 buah gerai dan kedai di sana. Orang ramai terperanjat melihat gerai-gerai kunjungan harian mereka diratakan begitu sahaja.
Walaupun gerai-gerai ini sudah lama diberi notis, tetapi mereka telah mencuba banyak perkara. Mereka disuruh membuat permohonan ini dan itu di Pejabat Tanah dan MPKj, mereka memang mencuba. Mereka disuruh tulis surat rayuan, mereka telah tulis. Mereka diminta isi borang itu dan ini, mereka juga isi. Mereka melakukan semua itu dan akhirnya mendapat surat penolakan. Kadangkala saya rasa, adakah ini hanya taktik untuk memberikan harapan palsu demi harapan palsu tanpa penyelesaian.
Pada hari kelmarin, ADUN tempat mereka, YB Mazwan memberitahu saya bahawa beliau sedang merancang tempat ganti untuk mereka di Pasar Bangi dan memberi jaminan bahawa kedai/gerai ini tidak akan diroboh. Malah mereka akan dibenarkan beroperasi sehingga tempat alternatif siap. Begitu juga berita daripada Ahli Parlimen di situ. Kedua-dua orang wakil rakyat ini semalam nampak macam setuju bahawa ini zaman COVID-19 dan krisis ekonomi, bukan masa untuk menghukum rakyat biasa. Semalam ADUN pula bercakap kepada pemilik kedai dan gerai bahawa tiada operasi perobohan pada hari ini dan beliau berjaya bercakap dengan MB dan dapat selesaikan masalah sehingga tempat alternatif disediakan.
Namun hari ini, operasi perobohan tetap dijalankan juga. Janji ADUN tidak ditepati. Pegawai Daerah (DO) berkata, siapa cakap operasi ini tidak akan dilaksanakan? Yang amat sedih bagi saya adalah, semasa rakyat biasa menunggu, termasuk pegawai penguatkuasa turut menunggu untuk ADUN datang memberi pencerahan, tetapi ADUN yang menaburkan janji semalam, tidak mahu mengambil telefon atau menjawab mesej teks. Tidak mahu turun bersama apabila rakyat bersusah. Jika Mat Sabu di depan saya, saya akan tanya, inikah kualiti ADUN Parti Amanah? Ahli Parlimen dari DAP pula tidak mahu turun dan berkata beliau boleh lawat tempat ini pada hari Ahad nanti. Inikah cara rakyat akan dilayan? Inikah kualiti ADUN dan Ahli Parlimen PH?
Sekarang saya dengar cerita bahawa ADUN AMANAH merasakan beliau disabotaj oleh Menteri Besar dari PKR. Apabila saya dengar alasan macam ini, tertanya-tanya saya, begitu terukkah PH sehingga tidak dapat merasai keperitan rakyat? Setiap orang ada jari untuk dituding.
Saya kecewa kerana tidak dapat selamatkan rumah orang miskin hari ini tetapi saya masih berasa bertanggungjawab apabila rakyat telefon saya. Jika begini cara PH layan orang biasa di sebuah pekan yang tidak banyak aktiviti ekonomi, kasihanlah rakyat Malaysia.
S. Arutchelvan
Timbalan Pengerusi
Parti Sosialis Malaysia (PSM).