PSM SOKONG PENDIRIAN PAC – TETAPKAN GAJI SILING UNTUK CEO DAN PENGARAH BBP SEKARANG

PSM SOKONG PENDIRIAN PAC – TETAPKAN GAJI SILING UNTUK CEO DAN PENGARAH BBP SEKARANG

KENYATAAN MEDIA PSM: 13 OGOS 2024

PSM SOKONG PENDIRIAN PAC- TETAPKAN GAJI SILING UNTUK CEO DAN PENGARAH BBP SEKARANG

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan permintaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menetapkan garis siling bagi gaji ketua eksekutif (CEO) atau pengarah urusan Badan Berkanun Persekutuan (BBP). Rungutan berkaitan pengarah urusan atau CEO sebuah badan berkanun mendapat gaji yang keterlaluan bukanlah sesuatu yang baru.

Pada tahun 2018, arahan daripada Perdana Menteri dikeluarkan untuk menyemak semula gaji dan elaun pengerusi badan berkanun, suruhanjaya dan GLC selepas mendapati gaji pengerusi eksekutif MAVCOM mencecah RM85,000. Baru-baru ini pula, PM Anwar Ibrahim menegur sebuah agensi kerajaan ketika pelancaran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola BBP yang memberi gaji yang keterlaluan kepada pengerusi sehingga RM79,000.

Situasi sebegini hanya akan memburukkan lagi jurang pendapatan dan ketaksamaan antara rakyat di negara kita. Bayangkan situasi di mana seorang pengerusi badan berkanun kerajaan dibayar lebih 50 kali gaji bulanan seorang pekerja gaji minima RM1,500 di organisasi itu ataupun mendapat gaji seorang eksekutif yang bergaji RM3,500 sebagai gaji hariannya.

Penetapan gaji siling untuk sesebuah organisasi bukanlah sesuatu yang baru. Dikhabarkan negara China akan mempunyai penetapan siling untuk gaji tahunan di semua syarikat kewangan yang dimiliki oleh kerajaan. Kita juga dapat tengok terdapat beberapa industri sukan yang mempunyai penetapan gaji siling.

PSM sarankan:

  1. Memperkenalkan gaji siling dan struktur gaji pengurusan tertinggi yang berkait dengan gaji minima organisasi tersebut di semua Badan Berkanun, Agensi, Suruhanjaya dan GLC. Gaji pekerja terendah organisasi tersebut haruslah ditingkatkan terlebih dahulu sebelum gaji CEO ditingkatkan.
  2. Gaji dan elaun ahli lembaga pengarah dan pengerusi semua Badan Berkanun Persekutuan & Negeri, Suruhanjaya dan GLC haruslah telus dan mudah diakses untuk rakyat dan golongan pekerja menilai.

Badan berkanun kerajaan diwujudkan supaya kerajaan bertindak lebih efektif dan pantas dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dan mantapkan pentadbiran. Ia bukanlah suatu tempat untuk golongan profesional atau ahli politik untuk menambahkan kekayaan diri mereka. Adalah lebih baik untuk seorang pekerja gaji minima ataupun gaji median untuk menerima lebihan RM1 berbanding seorang daripada lembaga pengarah atau CEO. Pekerja biasa pasti akan membelanjakan RM1 yang berlebihan itu untuk keperluan asas dan duit itu akan berada dalam kitaran ekonomi lokal.

Ditulis oleh,

Gandipan
Ahli Jawatankuasa Pusat
Parti Sosialis Malaysia