Yang dipanggil “Dr. Kumar” oleh orang ramai dan kawan, adalah seorang pakar perubatan yang telah graduate dari Univ Malaya pada tahun 1981. Beliau telah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia di Pulau Pinang, di Sarawak (1983 – 1985) dan selepas itu di Perak sehingga beliau letakkan jawatan untuk bertanding kerusi parlimen Sg Siput pada PRU 1999.
Dr Kumar telah kalah pada 1999 dan sekali lagi pada tahun 2004, tetapi berjaya menewaskan Dato Seri Samyveloo, Presiden MIC, pada tahun 2008 dan menjadi MP tunggal Sosialis di Parlimen setelah lebih dari 40 tahun. Dia dipilih antara tiga anggota Parlimen terbaik oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat kerana mengutamakan perbincangan yang sihat dan fokus pada keutamaan / kepentingan masyarakat
Dr Kumar merupakan salah seorang pengasas kumpulan Kalvikkuzhu, yang memberikan pendidikan percuma kepada murid miskin di ladang-ladang di Sg Siput pada tahun 1986; salah seorang pengasas kumpulan “Alaigal” yang memperjuangkan masalah pekerja estet di Perak; seorang pengasas Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada tahun 1998; dan seorang anggota Jawatankuasa Pusat PSM sejak tahun 1998.
Beliau telah mengarang lebih daripada sepuluh buah buku yang menganalisa isu-isu sosio-ekonomi, termasuk Sucked Oranges, Logging Against the Natives, Othukkepadum Samuthaayam (Bahasa Tamil, bermakna Masyarakat Terpinggir), Speaking Truth to Power, Malaysia at the Crossroads, Maaf Tuan Speaker, Visi Alternatif untuk Malaysia, Building Back Better, Notes on the Way Forward dan Jalan Keluar daripada Cengkaman Penjajahan Baru.
Dr Kumar adalah penggerak utama dalam Gabungan Menentang Penswastaan Penjagaan Kesihatan yang ditubuhkan pada 2004. Pada tahun 2007, dia menerima Anugerah Hak Asasi Manusia daripada SUARAM atas nama “The Coalition against Healthcare Privatization”.
Beliau telah ditahan di bawah Akta Darurat (Emergency Ordinance) bersama 5 orang ahli PSM yang lain pada Julai 2011. Kerajaan pada masa itu, mencuba mengambinghitamkan PSM dengan fitnah bahawa PSM adalah kumpulan pengganas yang ingin melancarkan perjuangan bersenjata. Kempen bersemangat yang diterajui oleh PSM dengan penyertaan berani beberapa kumpulan sivil telah membebaskan kumpulan EO6 selepas 35 hari tahanan. Akta itu, dan ISA juga, dimansuhkan tidak lama kemudian. Dan kerajaan telah membayar pampasan RM 200,000 kepada EO6 selepas dihadapkan ke mahkamah.
Kini Dr Kumar merupakan Pengerusi Nasional PSM (sejak Tahun 2019). Penglibatan utama beliau sekarang adalah isu petani kecil yang menghadapi pengusiran, pembalakan hutan yang tidak terkawal dan kes-kes yang sedang memohon kewarganegaraan (stateless people). Beliau masih berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan dan berada di kliniknya sehari setiap minggu.