5 isu pekerja kontrak di sekolah kerajaan dibangkitkan dalam pertemuan dengan KPM

5 isu pekerja kontrak di sekolah kerajaan dibangkitkan dalam pertemuan dengan KPM

Mesyuarat antara Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula dengan nada serius apabila semua talefon bimbit telah dilarang untuk dibawa masuk ke dalam bilik mesyuarat. Setelah wakil JPKK mengadu, dua telefon dibenarkan untuk dibawa masuk. Selain itu, semua beg diperiksa oleh pihak keselamatan. Walaupun wujudnya ketegangan di luar bilik mesyuarat, namun ia tidak berpanjangan apabila Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan, Dato’ Azizan bin Mohamad Sidin, berkata bahawa beliau bersedia untuk mendengar keluhan JPKK.

Wakil daripada Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah bertemu dengan Dato’ Azizan selaku Timbalan Ketua Setiausaha KPM pada 12 Disember 2019, untuk membincangkan masalah-masalah yang dihadapi oleh pekerja kontrak di premis sekolah, terutamanya pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan. Turut hadir bersama dengan Timbalan Ketua Setiausaha KPM, adalah pegawai-pegawai KPM daripada Bahagian Perolehan dan Bahagian perundangan, serta pegawai daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM). Ini merupakan mesyuarat susulan setelah JPKK berjumpa dengan Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada 27 Mac 2019.

JPKK telah mengutarakan beberapa isu kritikal yang melibatkan hak dan kebajikan pekerja kontrak di premis sekolah yang semakin hari ditindas oleh kontraktor. Pihak KPM turut memberi maklumbalas terhadap isu-isu tersebut.

Time Medi – gaji 5 bulan pada tahun 2015 masih tidak dibayar sehingga kini

Dalam mesyuarat tersebut, isu utama yang diutarakan oleh Rani Rasiah selaku Penyelaras Nasional JPKK, adalah mengenai pekerja pembersihan di sekolah sekitar Kinta Utara, Ipoh, Perak, yang dimangsakan oleh kontraktor Time Medi tanpa membayar gaji dari bulan Ogos hingga Disember 2015. Kontraktor tersebut mengisytihar muflis pada bulan April 2015 dan pekerja terus bekerja di sekolah-sekolah tanpa gaji untuk 9 bulan. Setelah usaha oleh Jabatan Tenaga Kerja, tunggakan gaji sehingga bulan Julai 2015 dapat diselesaikan dan bakinya masih belum diterima oleh pekerja-pekerja. Pengarah Jabatan Perolehan memberikan satu penerangan yang panjang lebar di mana kebanyakannya berkaitan dengan isu birokrasi, perundangan dan lain-lain lagi.

Timbalan Ketua Setiausaha KPM berjanji akan menubuhkan satu “pasukan petugas” (taskforce) untuk mengumpulkan maklumat tentang kes ini dan berkomunikasi dengan JPKK. Mengulas tentang perkara ini, S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi PSM berkata, “Perkara yang terutama adalah pekerja telah berkhidmat, tetapi gaji belum dibayar, wang kontraktor masih di Kementerian Kewangan dan kerajaan perlu menggunakan kesungguhan politik untuk mengambil wang itu supaya menyelesaikan isu ini”.

Pembuangan kerja secara mengejut terhadap pekerja pembersihan

Perkara kedua yang dibangkitkan oleh JPKK adalah tentang isu pembuangan pekerja pembersihan di sekolah seluruh Malaysia pada 31 Mei 2019 kesan daripada pemotongan belanjawan secara tiba-tiba. JPKK turut menyatakan bahawa pekerja dikurangkan lebih 70% di kebanyakan sekolah, iaitu daripada 13 orang pekerja kepada 3 orang pekerja, dan 3 orang pekerja ini terpaksa menanggung beban kerja yang tinggi. Pihak JPKK menegaskan bahawa pihak sekolah sebenarnya meletakkan tekanan ke atas pekerja. Ada juga sekolah tidak membenarkan pelajar untuk menggunakan tandas selepas waktu rehat dan mengunci tandas kerana tiada pekerja untuk membersihkannya, kata seorang ahli JPKK dalam mesyuarat tersebut.

Setelah mendengar keluhan ini, KPM menyatakan bahawa baru-baru ini ada keputusan di peringkat Kementerian untuk meningkatkan pekerja pembersihan di sekolah-sekolah secara berperingkat-peringkat, tetapi akan menggunakan sistem yang sama iaitu jumlah pekerja ditentukan berdasarkan keluasan sesebuah sekolah. Selain itu, pekerja boleh mengadu tentang isu beban ini kepada KPM untuk tindakan. 

Kerja syif pengawal keselamatan sekolah

Isu ketiga adalah berkenaan dengan mengembalikan sistem kerja 2 syif untuk pengawal keselamatan di sekolah. Pada pertengahan tahun 2019, sebahagian kontraktor telah menukar sistem di mana pengawal keselamatan 2 syif ditukar menjadi 3 syif. Ekoran daripada itu, JPKK mendapat banyak aduan daripada pekerja kawalan keselamatan bahawa penukaran ini telah mengurangkan pendapatan mereka dan meletakkan seorang pengawal sahaja pada waktu malam turut menimbulkan kerisauan tentang keselamatan dan kesihatan pekerja tersebut.

Timbalan Ketua Setiausaha KPM mengmumkan berita baik bahawa selepas ini akan kembali kepada 2 syif. Beliau mengumumkan bahawa semua kontraktor baru yang mengambilalih pada bulan Januari 2020 akan mula mengamalkan sistem kerja 12 jam.

Walaupun begitu, JPKK dan PSM menyatakan bahawa kami menyokong sistem 2 syif ini dengan hati yang berat kerana pekerja pilih untuk kerja 2 syif (12 jam) oleh kerana gaji untuk kerja 8 jam tidak mencukupi. Dalam keadaan gaji rendah, apakah pilihan yang ada pada pekerja? Oleh itu, wakil pekerja menuntut peningkatan gaji minimum kepada RM1800 sebulan. Kami juga mengingatkan KPM mengenai cadangan Bank Negara bahawa seseorang pekerja harus mendapat gaji sebanyak RM2700 sebulan untuk hidup di bandar sekarang.

Senaraihitamkan kontraktor yang mangsakan pekerja

Pada 27 Mac 2019, salah satu isu kritikal yang dibawa kepada perhatian Menteri Pendidikan Dr. Maszlee adalah mengenai syarikat-syarikat kontraktor yang sering melanggar undang-undang buruh dan memangsakan pekerja. Dalam mesyuarat tersebut, Menteri berjanji akan menyenaraihitamkan kontraktor yang berbuat demikian. Pihak JPKK bertanyakan tentang status mengenai janji tersebut dalam mesyuarat kelmarin. Pihak KPM berkata bahawa mereka telah menghantar lebih 20 nama syarikat kontraktor pada 28 November 2019 kepada Kementerian Kewangan dan menyarankan untuk menyenaraihitamkan syarikat-syarikat tersebut. Kini keputusan di Kementerian Kewangan, kata pegawai daripada Bahagian Perolehan KPM dalam mesyuarat ini. Pihak JPKK juga diberitahu supaya meneruskan usaha menghantar aduan terhadap syarikat yang memangsakan pekerja kepada pihak JTKSM dan KPM. 

Kerja 7 hari seminggu, 365 hari setahun

Wakil JPKK Batu Arang, Cecilia, telah membangkitkan isu pekerja kawalan keselamatan yang bekerja 7 hari seminggu, 30 hari sebulan tanpa cuti rehat. Ini adalah satu fenomena yang berlaku di seluruh negara. Mengapa pihak KPM mahupun KSM tidak memberi sebarang garisp anduan kepada kontraktor-kontraktor untuk menepati cuti rehat? Ini adalah sesuatu yang wajib diperuntukkan mengikut Akta Kerja 1955, tetapi semua pihak membiarkan kontraktor untuk terus melanggar perkara ini dengan selesanya.

Munir selaku wakil JPKK Negeri Sembilan berkata bahawa gaji yang dibayar oleh kontraktor-kontraktor juga adalah berbeza. Adakah KPM mempunyai standard yang berbeza dalam memberi kontrak? Pihak KPM berkata bukan sebegitu, malah pihak JTKSM turut menjawab bahawa ini hanya perlu ikut pengiraan gaji minimum. Timbalan Ketua Setiausaha KPM berkata bahawa pihak KPM akan cuba memperbaiki keadaan ini.

Hapuskan sistem kontrak

Kebanyakan tuntutan JPKK yang dikemukakan semasa pwrjumpaan dengan Menteri Pendidikan pada Mac 2019, berjaya dicapai dalam mesyuarat susulan ini. Namun, JPKK berpendirian bahawa harus terus berjuang untuk membawa perubahan dalam isu-isu asas seperti sambungan perkhidmatan.

Sentimen tersebut turut dilihat apabila Thina selaku wakil JPKK Negeri Sembilan dengan suara lantang meminta pada pihak KPM supaya jangan mencuci tangan. Beliau berkata bahawa semua penindasan yang berlaku kepada pekerja kontrak di premis sekolah adalah kerana sistem kontrak yang diamalkan oleh Kerajaan. Penyelesaian untuk semua masalah adalah menghapuskan sistem kontrak. Adakah KPM komited untuk berbuat demikian? Pegawai Khas Menteri Pendidikan, Puan Shaza, berkata bahawa KPM tidak cuci tangan dan memang sedang berusaha untuk menyelesaiakan masalah ini dengan kekangan kewangan yang terhad.

Bagi pihak JPKK dan PSM, selagi wujudnya sistem kontrak, selagi itu akan terus wujudnya orang tengah yang akan mengambil sebahagian wang yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat B20.

Walau bagaimanapun, JPKK mengucapkan terima kasih kepada pihak KPM atas usaha ini dan juga memanggil pelbagai agensi lain untuk turut serta dalam mesyuarat ini. Namun, kakitangan yang hadir mesyauarat ini tidak boleh melakukan banyak perkara jika tiada pembaharuan dasar di peringkat atasan. JPKK berharap bahawa ibu kepada segala permasalahan, iaitu sistem kontrak yang diwujudkan untuk membela kroni politik, dapat ditangani sepenuhnya. Kerajaan sekarang ini harus mengembalikan dasar yang pernah diamalkan sebelum tahun 1980-an, di mana gaji untuk pekerja di sekolah dibayar terus kepada pekerja melalui sekolah. Ini dapat menjimat wang selain daripada memberi jaminan pekerjaan kepada pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang berkhidmat di sekolah-sekolah seluruh negara.

==========

M. Sivaranjaniialah Setiausaha Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).