Dr Kumar disiasat kerana Perhimpunan Memperingati Perjanjian Damai Hatyai

Dr Kumar disiasat kerana Perhimpunan Memperingati Perjanjian Damai Hatyai

KUALA LUMPUR – 11 DISEMBER 2019: Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), telah dipanggil polis untuk diambil keterangan di Ibupejabat Polis Bukit Aman pada hari ini, berkenaan dengan siasatan polis terhadap Perhimpunan Memperingati Perjanjian Damai Hatyaiyang diadakan baru-baru ini.

Pihak polis sedang membuat siasatan terhadap perhimpunan untuk memperingati ulangtahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang diadakan pada 1 Disember 2019 di Kajang. Siasatan tersebut dibuat di bawah Sekyen 505 Kanun Keseksaan (kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain lagi).

Sebelum ini, Ronnie Liu, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk kawasan Sungai Pelek, juga telah dipanggil untuk rakaman percakapan di Bukit Aman berkenaan dengan kehadirannya dalam program memorial Perjanjian Damai Hatyai. Selain Dr. Jeyakumar dan Ronnie Liu, program tersebut juga dihadiri bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Syed Husin Ali dan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Rahman Embong. Program tersebut dianjurkan oleh beberapa persatuan masyarakat termasuk sekumpulan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM), untuk memperingati ulangtahun ke-30 pemeteraian Perjanjian Damai Hatyai yang menamatkan konflik bersenjata di negara kita yang berlarutan selama lebih 4 dekad.

Menurut Dr. Jeyakumar, beliau dimaklumkan bahawa terdapat 72 aduan polis telah dibuat terhadap perhimpunan tersebut, khususnya dibuat di balai polis di Melaka. Dr. Jeyakumar percaya bahawa adanya pihak cuba mewujudkan isu daripada satu perhimpunan yang sekadar memperingati detik sejarah yang membawa keamanan kepada negara kita. Dr. Jeyakumar berkata, “saya tidak mendengar sesiapa bercakap tentang membangkitkan semula perjuangan bersenjata dalam perhimpunan itu.”

Terdapat sesetengah pihak cuba membuat spekulasi dan menuduh bahawa Perhimpunan Memperingati Perjanjian Damai Hatyai itu cuba menghidupkan semula “komunisme”, sedangkan program tersebut hanya memperingati satu perjanjian penting yang menamatkan konflik bersenjata dan membawa keamanan berkekalan kepada negara kita. Perjanjian Damai Hatyai ialah satu perjanjian yang ditandatangani secara bersama oleh Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dan PKM. Perjanjian Damai Hatyai ialah satu proses pendamaian yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia sendiri, tetapi masih adanya pihak menjadikan isu PKM sebagai isu perkauman untuk agenda politik sempit.

Konflik bersenjata di negara kita yang melibatkan PKM, adalah sebahagian daripada Perang Dingin yang sudahpun berakhir sejak 3 dekad yang lalu. PKM sudah meletak senjata 30 tahun dahulu, dan satu perjanjian damai sudah dimeterai. Adalah tidak memberi apa-apa makna kepada kemajuan masyarakat kita sekiranya masih membangkitkan semula naratif anti-komunis zaman Perang Dingin yang biasanya digunakan sebagai alasan untuk melenyapkan suara yang mengkritik golongan berkuasa.

Siasatan polis terhadap satu program yang meraikan ulangtahun satu perjanjian damai yang membawa keamanan kepada negara kita adalah sesuatu yang membuang masa. Adalah tidak masuk akal untuk negara kita masih terperangkap dalam kerangka pemikiran sempit zaman Perang Dingin dan mewujudkan halangan mental untuk maju ke depan.

Bacaan lanjut: Perjanjian Damai Hatyai 1989: Pengakhiran tragedi sejarah yang dipaksakan imperialis Zaman Perang Dingin