Calon PSM DUN Ayer Kuning isytihar harta, ikrar elak main unsur perkauman.

Calon PSM DUN Ayer Kuning isytihar harta, ikrar elak main unsur perkauman.

Calon PSM N48 Ayer Kuning, Bawani KS  memegang dokumen Pengisytiharan Harta. Turut bersama, Dr Kumar, Yee Shan, Saraswathy.

(asalnya dimuat naik di Sosialis.Net)

AYER KUNING, PERAK – 07 NOVEMBER 2022: Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan DUN N48 Ayer Kuning di Perak, mengisytihar hartanya kepada pengetahuan umum pada hari ini.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ini, sudah adanya beberapa orang calon pilihan raya yang mengisytiharkan harta, namun amalan mengisytihar harta ialah sesuatu yang bermula daripada PSM sejak tahun 1999 apabila PSM yang belum lagi berdaftar pada masa itu meletakkan Dr. Jeyakumar Devaraj untuk bertanding di Sungai Siput.

Turut hadir bersama dalam sidang media khas pengisytiharan harta calon PSM untuk kawasan DUN Ayer Kuning ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, M. Sarasvathy selaku mantan Timbalan Pengerusi Nasional PSM dan Chong Yee Shan selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.

“Salah satu punca utama berlakunya rasuah di negara kita ialah ahli-ahli politik,” kata Dr. Jeyakumar. “Setiap tahun, ketirisan daripada belanjawan Persekutuan dianggarkan lebih kurang 30 hingga 40 bilion ringgit yang hilang melalui kontrak-kontrak yang ditingkatkan harganya, kerja-kerja yang tidak baik dan sebagainya. Nilai RM30 bilion yang lesap kerana rasuah ini adalah jauh lebih besar daripada belanjawan setahun Kerajaan Negeri Perak yang hanya RM1.5 bilion. Jika dana kerajaan ini dapat diselamatkan, ia dapat digunakan untuk kebajikan rakyat dan memperkukuhkan jaringan keselamatan bagi rakyat.”

“Oleh itu, PSM menyediakan calon-calon pilihan raya yang bersih dan tidak boleh dibeli. Kami sedang cuba mewujudkan satu budaya politik yang bersih dan baharu. Amalan PSM sejak dahulu lagi ialah setiap calon untuk Parlimen, DUN dan malah Ahli Majlis Tempatan mengisytihar harta sebelum mereka mengambil jawatan berkenaan. Jika mereka menang, mereka harus mengisytihar harta setiap tahun supaya rakyat boleh memantau tingkah laku wakil rakyat yang dipilih itu,” ujar Dr. Jeyakumar. “Pengisytiharan harta ini bukannya hanya ditujukan kepada pemimpin parti atau Speaker Parlimen, tetapi ia ialah sesuatu yang akan dipamerkan dalam laman web PSM untuk disemak orang awam. Rakyat boleh semak sama ada Bawani menjadi lebih kaya selepas setahun dia dipilih menjadi ADUN. Jika kekayaannya bertambah, rakyat boleh tanya bagaimana dia boleh jadi kaya dan mana datangnya wang itu.”

“Ini ialah sesuatu yang harus kita buat supaya adanya semak dan imbang terhadap ahli-ahli politik kita serta memastikan mereka menjauhi diri daripada rasuah. Inilah budaya politik baharu yang dibawa oleh PSM,” tambah Dr. Jeyakumar. “Setiap orang calon PSM harus bersetuju bahawa jika dia menang, dia akan menggunakan jawatannya untuk kebaikan awam, bukannya untuk mencari kontrak, ataupun mengkayakan diri sendiri, keluarganya dan kawannya.”

Pengisytiharan harta juga akan dibuat oleh S. Tinagaran @ Cikgu Tina yang merupakan calon PSM untuk kawasan Parlimen P131 Rembau.

Selain mengisytihar harta, Bawani juga berikrar bahawa beliau tidak akan mempermainkan sentimen perkauman. – Sosialis.Net