Gabungan Kiri ialah sebuah perikatan antara organisasi politik, sosial dan budaya akarumbi yang bercorak sosialis di Malaysia. Kami berfungsi sebagai sebuah kumpulan untuk mendesak para parti politik untuk menyerap Manifesto kami untuk pilihanraya yang akan datang.

6 idea utama kami:

  1. Agihan adil kekayaan negara untuk semua
    Menutup jarak kaya dan miskin melalui cukai yang adil, pelaburan dalam pendidikan dan program sosioekonomi.
  2. Pendidikan universiti yang percuma
    Membuka peluang untuk semua agar dapat mencapai pendidikan tinggi, tanpa dihindar oleh latar belakang.
  3. Gaji minima yang tinggi untuk semua pekerja
    Satu jaminan untuk gaji minima tinggi dimana pekerja boleh mencapai keselesaan kualiti serta keseimbangan dalam hidup dan kerja.
  4. Perumahan mampu milik yang berkualiti tinggi untuk semua
    Satu janji untuk membina perumahan berkualiti tinggi yang lestari serta mampu dimilik atau disewa.
  5. Menubuhkan dana pencen untuk semua
    Sebuah dana negara untuk memastikan para pesara terus hidup dengan bermaruah.
  6. Transformasi ekonomi hijau dan teknologi tinggi
    Mendepani automasi dan ekonomi berteknologi tinggi melalui pelaburan dalam kemahiran, penyelidikan dan infrastruktur hijau.

Apa itu Sosialisme (atau idea-idea kiri)?

Sosialisme ialah sebuah idea yang menuntut pengagihan adil kekayaan dalam negara kita. Ia menekankan rakyat biasa daripada keuntungan matawang; ia mahu menghentikan penumpuan kekayaan kuasa dalam sebilangan orang sahaja; ia mahukan sebuah sistem ekonomi yang menguntungkan semua orang; ia mengangkat hak samarata kepada semua dalam sebuah demokrasi; dan ia menuntut supaya pembangunan ekonomi dijalankan dengan mampan serta mempelihara alam sekitar.

Apa itu Kapitalisme dan mengapa kami menentangnya?

Kapitalisme ialah sebuah sistem dimana ekonomi dikawal oleh orang yang mempunyai wang modal serta harta kekayaan, dimana mereka juga mengawal hidup pekerja biasa dan politik negara. Keuntungan segelintir melangkaui segalanya dalam kapitalisme, dan oleh itu ia tidak berjaya membawa kesejahteraan kepada rakyat biasa. Sebaliknya, ia hanya memperkayakan sekelompok kecil yang kemudiannya mempengaruhi sistem demokrasi kita. Para kapitalis mempercayai mitos ”pasaran bebas”, dan berusaha untuk memusnahkan hak-hak pekerja dan program kebajikan sosial negara kita yang sedia ada dan sangat terhad.

Kesan berdekad-dekad kapitalisme di Malaysia telah mewujudkan jurang besar kaya dan miskin, pelanggaran hak asasi manusia dan pekerja, dan kemusnahan alam sekitar yang berleluasa. Kedua-dua Pakatan dan BN mewakili kepentingan golongan kapitalis – untuk sebab yang sedemikianlah kami mahu membawa alternatif yang sebenar untuk rakyat Malaysia.

BACAAN LANJUT:

Gabungan Kiri – Manifesto BM [PDF]