Jangan biar Lynas jadikan Malaysia tong sampahnya

Jangan biar Lynas jadikan Malaysia tong sampahnya

Kerajaan Pakatan Harapan tidak patut membiarkan syarikat Lynas menjadikan Malaysia sebagai ‘tong sampah’ dengan membenarkan penyimpanan bahan-bahan buangan radioaktif dan kimia yang dikeluarkannya di Malaysia. Begitu seruan Sharan Raj, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Alam Sekitar PSM, dalam kenyataannya yang dikeluarkan pada 11 Ogos 2019.

Kerajaan Australia telah menggunakan Konvensyen Basel untuk menghalang pemgimportan sisa radioaktif Lynas bali ke Australia Barat, iaitu tempat asalnya bahan mentah yang dibawa ke kilang Lynas di Malaysia. Setakat bulan Disember lalu, terdapat sebanyak 451,564 tan metrik sisa water leach purification (WLP) dan 1.113 juta tan metrik sisa neutralization underflow (NUF) sudah terkumpul di kilang Lynas di Gebeng, Pahang. Dijangkakan bahawa kilang lynas akan mengeluarkan lebih 1.5 juta tan WLP dan 3.7 juta tan NUF pada tahun 2032.

Sharan Raj berkata, “Jelasnya sekali Lynas sedang menganggap Malaysia seperti ‘tong sampah’ untuknya dengan meninggalkan sisa-sisa buangan mereka kepada generasi kita akan datang untuk dibimbangkan. Australia telah menolak untuk menerima sisa Lynas walaupun ia mempunyai keluasan padang pasir yang ke-4 besar di dunia. Malaysia akan dibiarkan untuk menangani 5.2 juta tan sisa radioaktif dan kimia sementara pemegang saham Lynas terus menikmati keuntungan.”

“Lynas telah membuat propaganda yang hebat untuk cuba menyakinkan rakyat bahawa sisa-sisa buangannya boleh dikomersialkan. Menggunakan sisa-sisa buangan sebagai baja telah membawa kepada peningkatan kandungan logam berat dalam hasil tanaman. Eksperimen demi eksperimen untuk mengeluarkan thorium daripada WLP telah gagal dan menjadikan upcycling WLP itu mustahil,” ulas Sharan Raj.

“Ketika kemuncak isu sampah plastik, Yeo Bee Yin selaku Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim membuat sidang akhbar yang penuh dramatik dengan mengatakan pengimport plastik sebagai pengkhianat. Pakatan Harapan akan melakukan ‘pengkhianatan pada tahap tertinggi’ dengan membenarkan 5.2 tan sisa radioaktif dan kimia disimpan di Malaysia,” tambah Sharan Raj.

PSM menggesa Kerajaan Pakatan Harapan supaya tidak memperbaharukan kebenaran untuk Lynas terus beroperasi sehingga Lynas menghantar balik semua sisanya ke Australia. Faksiliti Pembuangan Kekal untuk sisa Lynas terlalu berisiko tinggi kerana sekiranya berlaku bencana alam yang merosakkan faksiliti ini boleh mengundang akibat yang lebih teruk daripada kesan pencemaran di Pasir Gudang.