Kerajaan digesa pinda undang-undang untuk lindungi hak pekerja Malaysia daripada dicabuli kedutaan asing

Kerajaan digesa pinda undang-undang untuk lindungi hak pekerja Malaysia daripada dicabuli kedutaan asing

KUALA LUMPUR – 11 OKTOBER 2023: Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama-sama dengan organisasi-organisasi pekerja di Malaysia mengesa pada Kerajaan Malaysia supaya meminda undang-undang di negara kita untuk membolehkan setiap orang rakyat Malaysia yang bekerja di kedutaan asing di negara kita mempunyai hak untuk menyaman majikan mereka yang merupakan kedutaan asing itu sekiranya berlaku pemecatan kerja yang tidak adil.

Seruan ini dibuat dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan secara bersama oleh Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), Gabungan Marhaen dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK). Turut hadir ialah wakil daripada Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dan Subramaniam a/l Letchimanan, seorang bekas pengawal keselamatan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang sedang menuntut keadilan kerana diberhentikan kerja secara tanpa sebab atau alasan yang adil sejak 15 tahun dahulu.

“Tiada undang-undang yang membela pekerja-pekerja yang bekerja di kedutaan-kedutaan asing di negara kita pada masa ini,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM yang hadir dalam sidang akhbar hari ini. “Dalam kes Subramaniam ini, untuk menyelesaikan satu isu pembuangan kerja yang mudah, ia telah mengambil masa 15 tahun dan masih belum adanya penyelesaian. Menteri Sumber Manusia sudah bertukar orang sebanyak 4 kali dalam tempoh 15 tahun lalu, tetapi kes ini masih belum selesai! Kes ini ditangguh-tangguhkan kerana pihak Kedutaan AS mengelakkan diri daripada menghadap mahkamah dengan berselindung di belakang kekebalan diplomatik.”

Subramaniam a/l Letchimanan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kedutaan AS dari tahun 1998 hingga 2008. Subramaniam diberhentikan kerja pada bulan April 2008 tanpa apa-apa sebab. Dia memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan pada bulan Mei 2008 tetapi tidak dikendalikan atas alasan bukan bidang kuasanya. Selepas usaha gigih Subramaniam dan PSM selama 10 tahun untuk mendapatkan keadilan, Menteri Sumber Manusia (M. Kulasekaran pada masa itu) telah merujuk kes ini kepada Mahkamah Perusahaan menurut Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pada 12 Julai 2018. Kerajaan AS pula memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai usaha membatalkan perujukan Menteri Sumber Manusia itu. Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Januari 2020, Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan itu pada 3 Februari 2021 dan Mahkamah Persekutuan juga membuat keputusan pada 20 Jun 2022 untuk menolak rayuan kerajaan AS. Mahkamah Perusahaan kemudiannya mendengar kes ini pada 16 dan 17 Februari 2023 dan memutuskan pada 27 April 2023 bahawa kerajaan AS harus membayar pampasan dan gaji ke belakang kepada Subramaniam dengam jumlah RM66,000. Akan tetapi, pihak kerajaan AS masih berdegil untuk menghalang Subramaniam daripada mendapat keadilannya dengan memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan Mahkamah Perusahaan. Pada 3 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memberi kebenaran kepada Keduataan AS untuk mencabar keputusan Mahkamah Perusahaan, dan kes ini akan didengar di mahkamah pada 16 Januari 2024.

“Kami amat kecewa dengan cara pihak Kedutaan AS menggunakan pelbagai dalih untuk tidak mematuhi undang-undang Malaysia dan masih hendak berselindung di sebalik kebebalan diplomatik,” kata M. Sivaranjani, Penyelaras JPKK. “Pihak kedutaan AS menggunakan Akta Keistimewaan Diplomatik (Konvensyen Vienna 1966) dan Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992 sebagai alasan untuk tidak mahu bertanggungjawab ke atas pemberhentian kerja seorang pekerja warganegara Malaysia secara tidak sah. Tindakan mereka seolah-olah memperlekehkan sistem undang-undang di negara kita dan meremehkan kedaulatan negara kita. Tindakan mereka yang tidak mahu mematuhi undang-undang dan sengaja berdolak-dalik dalam kes ini amat mengecewakan dan amat memalukan bagi sebuah negara besar.”

“Kami berpandangan bahawa undang-undang imuniti diplomatik di Malaysia sekarang ini bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, kerana ia menjejaskan hak seseorang untuk mencari rezeki dan mendapat akses sama rata kepada keadilan,” ulas Sivaranjani. “Undang-undang negara kita harus dipinda untuk membolehkan setiap orang rakyat Malaysia, termasuk mereka yang bekerja dengan badan-badan negara asing yang bertempat di Malaysia, mempunyai hak untuk menyaman di Malaysia dan mengehadkan imuniti perwakilan negara asing ini terutamanya dalam perkara seperti pemecatan kerja yang tidak adil dan pelanggaran kontrak.”

“Kami menyeru pada Kerajaan Malaysia supaya mencontohi United Kingdom (UK) yang mencadangkan pindaan pada tahun lepas terhadap Akta Kekebalan Negara 1978 untuk membolehkan pekerja-pekerja di kedutaan dan konsulat membawa kes pekerjaan mereka ke mahkamah,” tambah Sivaranjani. “Pada tahun 2017, Mahkamah Agung UK mendapati undang-undang itu tidak sepadan dengan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia kerana ia memberikan negara asing kekebalan yang bebas daripada undang-undang UK berhubung pertikaian pekerjaan yang dibawa oleh pekerja dalam misi diplomatik. Jadi, negara kita juga harus menggubal satu undang-undang sedemikian untuk membantu pekerja-pekerja Malaysia agar hak dan kepentingan mereka dilindungi dan tidak dibuli oleh mana-mana negara asing.”

JPKK juga melancarkan satu tabung khas untuk membiayai kos guaman bagi kes Subramaniam ini dan kempen untuk mendesak perubahan undang-undang yang berkenaan. Sebarang sumbangan Ikhlas boleh disalurkan kepada akaun bank di bawah:

Nama akaun: JPKK Communications

Nama bank: Public Bank

Nombor akaun: 3232440525.