Bantah Perjanjian Antarabangsa TPPA
Perjuangan PSM menentang Perjanjian Antarabangsa Bebas yang membawa padah kepada Negara kita telah dilaksanakan sejak Amerika Syarikat ingin menjalankan rundingan untuk perjanjian perdagangan bebas US-Malaysia sekitar tahun 2006. Pada ketika itu satu gabungan dibentuk dikalangan organisasi-organisasi pesakit HIV, Kesatuan Sekerja, Alam Sekitar . Beberapa aksi dilaksanakan diantaranya protes dan penyampaian memo bantah kepada Kemeterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Rundingan diantara Malaysia dan Amerika gagal apabila , Kerajaan terpaksa melakar beberapa garis panduan yang tidak boleh dikompromi jika Malaysia ingin teruskan rundingan ini. Garispanduan ini juga dilakar atas desakan gabungan Bantah FTA dan juga suara petani dari Kedah yang membantah impot beras dari Amerika tanpa cukai jika perjanjian FTA ini ditandatangani. Maka Menteri MITI pada ketika itu Rafidah Aziz terpaksa akur kepada suara rakyat dan menegaskan pendirian Malaysia menjaga jelapang padi Negara.
Pada ketika itu juga kepimpinan Presiden Amerika berubah dari GW Bush ke Obama. Jadi rundingan Perjanjian FTA Amerika- Malaysia tergendala. Malangnya perjanjian ini timbul semula dibawah pentadbiran Obama dengan nama baru iaitu Trans Pacific Partnership Agreement, TPPA , dan Malaysia sekali lagi menyertai rundingannya pada bulan Oktober 2010.
Pada bulan Disember 2010, kami bersama Gabungan Bantah TPPA menyampaikan memorandum bantahan kami kepada MITI. Beberapa aktiviti kempen dilancarkan seperti , jelajah, edaran risalah, mengadakan forum penerangan dan sebagainya.
Pada 14hb.Disember, 2010 kami menganjurkan satu sesi penerangan bersama ahli Parlimen mengenai bahaya dan implikasi TPPA kepada rakyat. Seterusnya sebuah forum dianjurkan oleh organisasi MTAAG ( Malaysian Treatement Access Advocacy Group) menerangkan kesan TPPA terhadap harga ubat . Kita juga mengunakan pelbagai taktik kempen , dimana pada satu ketika awal tahun 2011, puluhan petisyen bantah TPPA oleh pelbagai organisasi dan individu di faks kan sekaligus kepada Pejabat Jabatan Perdana Menteri Putrajaya sehingga mesin faks mereka sangkut. Pada hari Valentine, 14hb. Februari , 2011 kami menyampaikan sebuah kad valentine ke Jabatan Perdana Menteri sebagai simbolik bahawa rakyat Malaysia sayangkan Malaysia dan tidak ingin gadaikan kedaulatannya melalui TPPA ini.
Pada 28hb.Februari, 2011, kami menganjurkan seramai 200 orang aktivis berdemonstrasi di depan hotel Prince Court, Kuala Lumpur, kerana rundingan diantara wakil –wakil Kerajaan Malaysia dan Eropah untuk menandatangani satu lagi perjanjian perdagangan bebas, EU-Malaysia sedang berlangsung.
Kami juga beberapa kali mengadakan rundingan dengan SUHAKAM, demi untuk mempelawa mereka melaksanakan suatu kajian Impak Hak Asasi terhadap rakyat jika TPPA ditandatangani. Malangnya pihak SUHAKAM gagal menerima pelawaan kami , dan kajian tersebut tidak dijalankan.
PSM juga yang telah ditugaskan oleh Gabungan Bantah TPPA untuk menerajui isu-isu pekerja dalam perjuangan menentang TPPA ini. Maka kami mendekati MTUC untuk mengadakan suatu forum dengan semua kesatuan dibawah MTUC. Forum tersebut telah diadakan pada 4hb. Februari, 2012 di Perpustakaan MBPJ, Petaling Jaya .
Pada tahun, 2013 Gabungan Bantah TPPA mendapat nafas baru dengan penyertaan pelbagai organisasi terutamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu MTEM . MTEM sendiri telah mengembelingkan pelbagai NGO dibawah mereka membantah mereka. Maka urusan secretariat diambil alih oleh MTEM dan gabungan kini digelar sebagai Bantah TPPA.