Parti Sosialis Malaysia turut terlibat dalam pelbagai isu komuniti yang dihadapi oleh golongan Orang Asli, terutamanya di Semenanjung Malaysia. (dikemaskini Mei 2022)

Orang Asli

Kes 12 Kampung Orang Asli melawan pencerobohan tanah di Lojing, Daerah Gua Musang, Kelantan
Kampung Orang Ali yang terlibat adalah :

Kg Sendrod, Kg Sigar, Kg Kuala Tahu, Kg Kelaik, Kg Jelge, Kg Bahong, Kg Layer, Kg Selyeh, Kg Ladoi, Kg Muyak, Kg Rasah, Kg Badok.

⦁ Pengenalan

Penduduk Orang Asli (OA) dari kampung-kampung di sekitar Lojing ingin meminta SUHAKAM mengadakan satu inkuiri terhadap Kerajaan Negeri Kelantan yang membenarkan secara sedar pencerobohan wilayah adat OA dengan pemberian Lesen Pendudukan Sementara (LPS) atau Hakmilik Kekal (Pajakan Negeri). Pencerobohan ini telah berlaku sejak tahun 2000 lagi. Pencerobohan dilakukan diwilayah adat kami melalui pelbagai cara iaitu , melalui ;

  1. pekebun sayur besar-besaran
  2. syarikat ladang kelapa sawit dan getah
  3. syarikat perlombongan
  4. syarikat pembalakan
  5. agensi-agensi kerajaan negeri dan;
  6. pemilik motel/penginapan

OA sudah menetap di kawasan ini sejak turun temurun. Alam semulajadi seperti hutan, bukit-bukau, gunung-ganang dan sungai sangat berkait rapat dengan kehidupan mereka. Tanpa alam semulajadi ini, hidup mereka menjadi tidak menentu. Mereka makin dikelilingi pembukaan tanah dan dipaksa menjadi ‘penduduk bandar’ yang miskin.

Mereka dijanjikan penyertaan dalam Ladang Rakyat tetapi ia hanya dalam tulisan dan janji sahaja. Ladang Rakyat dipajak kepada pihak-pihak tertentu oleh agensi kerajaan negeri dengan alasan OA tidak tahu mengerjakan tanah. Mereka dijanjikan dividen yang tidak pernah sampai. Jika Kerajaan Negeri Kelantan mahukan penyertaan OA di dalam pertanian, maka polisi Ladang Rakyat perlu dirombak kerana pada penghujungnya OA masih tidak memiliki hakmilik tanah dan diketepikan.

⦁ Isu yang serius di alami pada masa ini ialah:

a.  Orang Asli dari kampung tersebut diatas, telahpun menjalankan aktiviti komuniti mapping dibeberapa kampung dan meneruskan usaha ini dikampung-kampung lain, untuk mengenalpasti wilayah adat kami , berdasarkan dusun, penempatan awal, hutan merayau mencari hasil, kubur nenek moyang, sungai dan sebagainya.

b. Pencerobohan oleh syarikat pemegang lesen ini kini sudah sampai hampir 10 metre dari kediaman kami seperti di Kg.Sendrod dn Kg Sigar.

c.        pencemaran tadahan air OA oleh lumpur akibat aktiviti pencerobohan tanah kami dan penolakan tanah di Kg Sigar, Kg Sendrod dan Kg Kuala Tahu oleh syarikat:
i.          MOONRIVER LODGE (Sigar Highlands)
ii.         All Green Sdn Bhd

c.         pencerobohan oleh syarikat lombong bijih besi di Kg Kelaik. Lombong ini dimiliki Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd dan Sterling Goldhill Sdn Bhd. Syarikat ini mengalirkan air yang deras di Sg Kelaik menyebabkan kematian seorang penduduk kampung pada 23/7/2015. Di samping itu, pelombongan syarikat ini telah menyebabkan Sg Kelaik menjadi keroh dan tidak dapat digunakan dalam kehidupan seharian OA.

d.        syarikat-syarikat ladang kelapa sawit Ladang Kelantan Sdn Bhd, Yung Shin Sdn Bhd dan Ladang MJB yang menceroboh Kg Kelaik menyebabkan OA kehilangan wilayah adat, mengalami masalah air minuman yang tercemar dan penggunaan racun perosak yang membahayakan hidup OA di kampung ini.

⦁ Apa yang telah OA Lojing buat untuk menuntut balik hak wilayah adat?

a.     30/3/2016 – Memorandum kepada Menteri Besar (MB) Kelantan meminta penyelesaian masalah pencabulan hak terhadap tanah adat OA. Di antara cadangan OA ialah;

⦁ Kerajaan Negeri harus mengadakan mesyuarat berterusan dengan Jaringan Kampung OA Kelantan (JKOAK) untuk penyelesaian isu.

⦁ Kerajaan Negeri harus menawarkan wilayah adat yang dipohon oleh setiap kampung berdasarkan Pemetaan Komuniti

⦁ Tanah yang diluluskan sebagai tanah masyarakat OA harus dipegang oleh OA di bawah geran komunal dan bukan geran persendirian.

⦁ Segala kontrak sewa atau pajakan tanah antara kerajaan Negeri dan pihak-pihak syarikat yang sebelum ini harus dikaji semula apabila tamatnya tempoh kontrak. Pemberian kontrak baru yang melibatkan tanah yang dipohon oleh masyarakat OA harus dibekukan sehingga isu tanah komunal OA diselesaikan.

⦁ Bayaran sewa atau royalty oleh peniaga projek-projek pertanian di atas tanah yang diluluskan kepada masyarakat OA harus dibahagikan antara Kerajaan Negeri dan kampong-kampung OA berkenaan.

⦁ Kerajaan Negeri Kelantan harus menubuhkan satu Lembaga Audit yang dianggotai oleh Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), JKOAK dan juga wakil Kerajaan Negeri untuk memantau pengendalian pendapatan daripada projek-projek pertanian kontrak oleh pihak-pihak ketiga. Ketidakpuasan mana-mana OA terhadap pengendalian dana daripada kegiatan pertanian kontrak harus diadu kepada Lembaga Audit ini.

⦁ Segala penerokaan hutan baru di Lojing dihentikan segera sehingga isu tanah komunal ini selesai.

b.     24/4/2016 – Jawapan dari Setiausaha MB Kelantan bahawa MB Kelantan tidak sihat dan tidak dapat berjumpa.

c.      25/7/2016 – Memorandum kepada Ketua Jajahan Daerah Gua Musang  meminta moratorium untuk menghentikan segala pencerobohan dan penolakan tanah yang baru di Lojing (LAMPIRAN 3). Sebelum itu pernah menghantar 3 surat kepada Ketua Jajahan Daerah Gua Musang pada 23/3/2016, 15/12/2015 dan 21/5/2015. OA Lojing pernah diminta sekali merujuk Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK) oleh Ketua Jajahan Gua Musang.

⦁ Kerajaan Kelantan Cakap Tak Serupa Bikin: Ucapan Timbalan Menteri Besar Kelantan di Lojing pada tahun 2014

Dalam ucapan YB Dato’ Hj Mohd Amar Abdullah,  Timbalan Menteri Besar Kelantan, pada 3/3/2014 ketika melancarkan Perletakan Kerja ECO R&R Lojing; telah berkata bahawa pembangunan di Lojing akan dibuat dengan mengambil kira alam sekitar dan penduduk OA Lojing. Malah beliau menegur supaya pembangunan di Lojing tidak menjadi seperti Cameron Highlands di mana alam sekitar dan OA tidak dihirau. YB Dato’ Hj Mohd Amar Abdullah juga berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk membatalkan kelulusan yang diberikan kepada syarikat di Lojing jika tidak mengikut panduan yang diberikan. Tetapi apabila masalah pencerobohan tanah dan salah urus tanah dilaporkan kepada MB Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan hanya dapat berdiam diri di sebalik tabir alasan bahawa MB Kelantan kurang sihat.

⦁ Tanggapan negatif diberi oleh Kerajaan Negeri Kelantan Untuk Mengalih Pandangan Rakyat Terhadap Masalah OA Lojing

OA Lojing diberikan imej yang negatif dengan dikatakan dihasut oleh UMNO-BN supaya menentang kerajaan pimpinan PAS. Ini adalah tipu muslihat untuk mengalihkan pandangan dari masalah OA di Lojing.

Juga dikatakan terdapat beberapa kumpulan OA di Lojing yang masing-masing mempunyai tuntutan tersendiri. OA Lojing pernah menerangkan kepada MB Kelantan bahawa di dalam isu ini, mereka mewakili sebilangan besar penduduk di Lojing. Mereka bekerja rapat dengan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) yang mempunyai wakil di lebih 50 kampung OA di seluruh Kelantan. Di dalam memorandum yang dihantar kepada MB Kelantan pada 30/3/2016, terdapat lebih kurang 300 tandatangan penduduk OA dari Lojing.

OA Lojing juga dituduh meminta hampir separuh Daerah Gua Musang untuk dijadikan rizab OA. Tuduhan ini adalah palsu. OA Lojing sedang/siap membuat ukuran saiz kampung-kampung kami menggunakan kaedah Peta Komuniti dan peranti GPS. Kawasan kampung mereka melingkungi tanah rayau, kubur, rumah, kampung lama dan tempat moyang mereka. Tidak lama lagi mereka akan mendapat tahu saiz sebenar kampung kami.

KES MAHKAMAH KG KELAIK ( oleh Suresh Balasubramaniam)

Pada 21 April 2022, satu pendengaran kes telah berlangsung di Mahkamah Rayuan yang terletak di Putrajaya. Ini adalah kes di mana penduduk-penduduk Orang Asli (OA) di Kampung Kelaik memohon injunksi terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dan 13 pihak lain. 13 pihak tersebut termasuk 10 buah syarikat yang sedang menceroboh wilayah adat OA Kampung Kelaik di Pos Blau, Gua Musang, Kelantan. Kegiatan syarikat ini termasuk pembalakan, perlombongan, perladangan dan dusun durian.

OA Kampung Kelaik telah mula memfailkan writ saman ini di Mahkamah Tinggi Kota Bahru pada bulan Mac 2021. Writ saman ini bertujuan untuk menuntut semula hak wilayah adat OA Kampung Kelaik. Dengan memfailkan writ saman ini, OA Kampung Kelaik telah memperoleh injunksi interim untuk menghentikan kerja-kerja 10 buah syarikat di wilayah adat OA. Injunksi ini bukanlah tindakan utama dalam writ saman ini, tetapi OA Kampung Kelaik berpendapat bahawa injunksi ini penting untuk menghentikan pemusnahan wilayah adat OA yang telah pun mencemarkan air minuman mereka.

Injunksi interim yang diberikan pada Mac 2021 telah dibatalkan pada bulan Ogos 2021 oleh hakim Mahkamah Tinggi Kota Bahru dengan alasan-alasan seperti berikut:

  • Injunksi terhadap badan kerajaan tidak boleh diberikan menurut kes Tan Bun Teet dan Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan.
  • Memandangkan Orang Asli telah merayu untuk ganti rugi, ganti rugi akan menjadi remedi yang sepatutnya dan oleh itu tidak ada keperluan untuk injunksi. Defendan akan membuat pembayaran ganti rugi sekiranya Mahkamah Kota Bahru membuat keputusan bahawa tanah adat Orang Asli Kg Kelaik telah diberi milik secara salah.
  • Bagi menyokong perkara (a), kerajaan mempunyai kuasa untuk memberi hak milik tanah dan meminta pampasan dibayar, dan oleh itu, injunksi tidak boleh terletak di sini (menurut Akta Pengambilan Tanah).
  • Mahkamah tidak yakin dengan dakwaan bahawa jika injunksi tidak diberikan maka akan menjejaskan kehidupan Orang Asli. Jika ini berlaku, adalah tidak munasabah untuk mereka tidak menyedari kewujudan Defendan.

OA Kampung Kelaik tidak bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kota Bahru itu, dan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada bulan September 2021. Kes ini telah didengar pada 21 April 2022 yang lalu.

Hakim Suraya Othman yang mempengerusikan pendengaran pada 21 April 2022, bersama Hakim Supang Lian dan Hakim Ghazali Cha, telah memutuskan bahawa injunksi tidak boleh diberikan terhadap semua 14 defendan. Antara alasan yang telah diberikan ialah injunksi tidak boleh diambil ke atas kerajaan atau ejen-ejen kerajaan. Apa yang mengejutkan OA Kampung Kelaik adalah apabila hakim-hakim ini sebulat suara menakrifkan 10 buah syarikat yang menceroboh wilayah adat OA Kampung Kelaik itu sebagai ejen kerajaan. Oleh sebab itu, hakim-hakim ini berpendapat bahawa injunksi tidak boleh diberikan ke atas 10 buah syarikat yang menceroboh wilayah adat OA Kampung Kelaik.

Keputusan ini bukan sahaja mengejutkan, malah mewujudkan satu “duluan” yang tidak sihat dalam perjuangan OA Semenanjung Malaysia menuntut hak wilayah adat mereka. 10 buah syarikat ini menceroboh wilayah tanah adat OA dan merupakan entiti yang membuat keuntungan dengan memanipulasi kekayaan sumber alam. Bagaimanakah syarikat-syarikat ini boleh dikatakan sebagai ejen kerajaan?

Pandangan hakim semasa pendengaran yang menyamakan 10 buah syarikat ini dengan syarikat pembinaan lebuhraya, UEM Engineering, juga dilihat sebagai satu perbandingan yang salah. Walaupun UEM Engineering mengaut keuntungan melalui pembinaan lebuhraya, namun lebuhraya dibina dengan niat memberi keselesaan kepada kelompok masyarakat yang besar (rakyat Malaysia). Adakah tujuan 10 buah syarikat penceroboh wilayah adat OA Kampung Kelaik juga sama seperti UEM Engineering?

Semasa pendengaran kes, OA Kampung Kelaik juga tidak selesa dengan kenyataan yang diajukan berkali-kali oleh hakim berkaitan peluang pekerjaan kepada masyarakat OA Kampung Kelaik oleh syarikat-syarikat penceroboh itu. Hakim sentiasa mengaju persoalan kepada peguam OA Kampung Kelaik sama ada kehadiran 10 buah syarikat ini mewujudkan peluang pekerjaan atau tidak kepada OA Kampung Kelaik. Sebagai hakim Mahkamah Rayuan, hakim-hakim ini perlu lebih arif bahawa kehilangan sumber alam mendorong OA Kampung Kelaik menjadi “penerima upah”(wage earner). Pilihan untuk OA Kampung Kelaik makan gaji dengan 10 buah syarikat penceroboh itu bukanlah satu pilihan, tetapi satu “paksaan” akibat kehilangan cara hidup yang lebih progresif, seperti mengutip sumber alam, memburu, memancing, dan bertani kecil-kecilan.

Kesimpulannya, OA Kampung Kelaik tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan dan telah membuat keputusan untuk merayu kes injunksi ini di Mahkamah Persekutuan. Perjuangan menuntut hak wilayah adat OA Kampung Kelaik diteruskan. Syabas kepada Ahak Uda dan penduduk Kampung Kelaik yang terus cekal berjuang walaupun dengan kekangan kewangan dan kekalahan di mahkamah.