KENYATAAN AKHBAR – 19HB. OGOS, 2021 – PARTI SOSIALIS MALAYSIA
BANJIR DI KEDAH – PSM MENDESAK JKUASA BIPARTISAN DEWAN NEGERI SIASAT
Semalam, rakyat Kedah dikejutkan dengan banjir kilat di sekitar kawasan Yan yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan alam sekitar. Rakaman dalam media social, menunjukkan visual banjir lumpur yang deras melalui kawasan perumahan itu sangat menakutkan dan memberi impak yang teruk kepada rakyat biasa yang sedang melawan pandemik Covid-19 pada masa kini.
Kejadian tersebut nampaknya dari suatu lokasi yang ditelah ‘bersihkan’ samaada kerana aktiviti pembalakan, pembangunan ataupun kerja kuari. Arus air melimpah melepasi kawasan tadahan air tanpa kawalan dan halangan semulajadi iaitu pokok-pokok hutan rimba.
Sahabat Alam Sekitar (SAM) mensyaki banjir ini adalah punca dari pembersihan kawasan dari pokok, dikawasan hutan di Gunung Jerai. SAM dan masyarakat setempat pernah mengheret Kerajaan Negeri Kedah ke mahkamah untuk menghalang perlombongan kuari yang intensif di kawasan berkenaan beberapa tahun yang lalu tetapi mereka kalah.
Walaupun aktiviti yang merosakkan alam sekitar dan kemungkinan banjir akan berlaku pernah diutarakan oleh pihak aktivis sebelum ini, malangnya kejadian banjir ini membuktikan kegagalan apajua tindakan mengelakkan perkara ini. Akibatnya, rakyat jelata terpaksa menanggung penderitaan akibat kesan banjir teruk ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor pula pernah berkata pembalakan tidak akan dihentikan kerana Kerajaan Negeri akan kerugian berbillion ringgit. Adakah MB sedar bahawa banyak aduan SPRM terhadap pembalak-pembalak haram pernah dilaporkan ? Jabatan Alam Sekitar Negeri (DoE) sendiri mengakui bahawa tiada kelulusan EIA diberikan kepada aktiviti pembalakan di beberapa kawasan seperti Rimba Teloi dan Gunung Bongsu. Tahun lalu pula, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki yang melakukan aktiviti pembalakan haram di kompartmen 50 Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, Kedah.
Adakah ini menunjukkan Kerajaan Negeri bersikap was-was membuat penguatkuasaan kerana risau hasil pembangunan, pembalakkan akan terhenti dari disalurkan ke dana Negeri jika penguatkuasaan ketat dilaksanakan?
Tetapi jika hasil kepada Negeri difikirkan, sekarang siapa yang akan tanggung kos kerosakan harta benda dan nyawa rakyat yang terjejas? Siapa yang akan tanggung, kos pembaikpulihan infrasturktur yang rosak?
MB harus menyarankan suatu penyiasatan bebas dan segera keatas trajedi ini tanpa melindungi mana-mana pihak ataupun kepentingan politik Kerajaan Negeri.
PSM mencadangkan suatu Jawatankuasa Bipartisan dibawah Dewan Negeri Kedah dianggotai oleh ADUN-ADUN Kedah harus dibentuk segera untuk menyiasat perkara ini . Selain dari kejadian di Yan ini, jawatankuasa ini harus menyiasat pembalakan dan perlombongan haram di Negeri Kedah. Jawatankuasa ini juga harus diberikan kuasa untuk mengarah mana-mana pihak berkuasa Negeri dan syarikat swasta berkaitan untuk menjawab didepan panel inkuiri khas ini. Hasil penyiasatannya harus dijadikan laporan umum kepada rakyat Kedah.
Sumber Alam adalah harta warisan keseluruhan rakyat Kedah dan tidak dipunyai oleh mana-mana Kerajaan yang memerintah. Kerajaan hanyalah bertugas sebagai pemegang amanah yang menjaga warisan alam ini bagi pihak rakyat, dan dilarang mengondol kekayaan sumber alam untuk kepentingan segelintir.
Sdr. R. Karthiges
Penyelaras Zon Utara PSM (Kedah)
Ahli JKuasa Pusat PSM