PSM MENGESAHKAN BERTANDING DI DUN KOTA ISKANDAR N49 PRN JOHOR

PSM MENGESAHKAN BERTANDING DI DUN KOTA ISKANDAR N49 PRN JOHOR

21hb.Februari, 2022


PSM MENGESAHKAN BERTANDING DI DUN KOTA ISKANDAR N49 PRN JOHOR


Parti Sosialis Malaysia dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa PSM akan masuk gelanggang bertanding dalam Pilihanraya Negeri Johor 2022. PSM bukanlah kuasa politik baru di Johor, aktivis PSM telah lama bergerak di Johor lebih 15 tahun yang lalu, dan Cawangan pertama PSM di Johor ialah Cawangan Nusa Jaya (kini digelar Kota Iskandar). Cawangan ini didaftarkan pada tahun 2010 dan telah berkhidmat secara beterusan hingga ke hari ini.


Diantara kekuatan PSM di Johor ialah mereka berjaya mengerakkan pelbagai kempen isu rakyat marhain. Diantaranya kempen Gaji Minima, kempen Skim Insurans Pekerja, kempen menuntut Sekolah di Kota Iskandar, kempen Bantah GST, perjuangan menuntut Hospital di Kangkar Pulai, perjuangan Orang Asli , kempen Rumah Mampu Milik dan banyak lagi aktiviti di Johor.


Maka selaras dengan prinsip PSM yang hanya bertanding dikawasan yang kami pernah berkhidmat, maka PSM membuat keputusan untuk bertanding di DUN N49 Kota Iskandar dalam PRN Johor 2022 ini.


Walaupun kami hanya bertanding di satu kerusi, tetapi kami rasa, PSM dapat membawa satu naratif politik yang berlainan dengan parti-parti lain yang telah mengumumkan penyertaan mereka dalam PRN Johor kali ini. Kesemua parti politik, samaada yang sedang memerintah ataupun yang berada sebagai pembangkang tidak mendekati perjuangan mereka dari kacamata rakyat biasa, rakyat MARHAIN.


Justeru itu, kebanyakkan dari cadangan polisi, program dan agenda reform mereka dikaburi dengan kepentingan kelas kapitalis dan korporat. Dari dana politik yang diterima sehinggalah polisi yang mereka bawa semasa dalam pemerintahan, kerap memihak kepada kelas yang ada kekuatan wang dan pengaruh politik elit. Ini harus dihentikan. Rakyat sudah muak dengan politik elit ! PSM bersedia menawarkan politik alternatif progresif dan bertumpukan kuasa rakyat!


Calon yang kami perkenalkan ialah Sdr Arangkanal Rajoo atau dikenali sebagai Ara, merupakan seorang yang berkecimpung dalam dunia perfileman. Beliau merupakan pengarah pelbagai filem sosial yang pernah memenangi anugerah diperingkat antarabangsa. Jiwa sosialisnya yang telah membawa beliau berkhidmat bersama PSM lebih 2 tahun di DUN Kota Iskandar (NusaJaya) .


Maka, kami menyeru kepada rakyat Kota Iskandar agar memberikan peluang dan sokongan kepada PSM jika mereka benar-benar mendahagi perubahan sebenar dan meletakkan rakyat didepan dan memperkasakan mereka.


Ayuh ! Undilah Ara SuARA Kota Iskandar #PSMBinaKuasaRakyat

Salam perjuangan

Sivarajan A
Setiausaha Agung PSM
21/2/2022.