Tiada penjelasan mengenai isu utama dalam kenyataan Exco Kerajaan Negeri Selangor tentang perobohan kedai-kedai di Kampung Manickam

Tiada penjelasan mengenai isu utama dalam kenyataan Exco Kerajaan Negeri Selangor tentang perobohan kedai-kedai di Kampung Manickam

Respon kepada kenyataan Kerajaan Negeri Selangor mengenai isu perobohan kedai-kedai dan gerai-gerai di Kampung Manickam, Bangi Lama

oleh S. Arutchelvan, 9 April 2021

Saya berasa simpati dan lucu melihat “kawalan kerosakan” (damage control) yang cuba dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor, melalui kenyataan bertarikh 8 April 2021 oleh YB Ng Sze Han selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, mengenai isu perobohan gerai-gerai dan kedai-kedai di Kampung Manickam Bangi Lama dan kawasan sekitarnya pada 6 April 2021. Kami juga cukup sedar bahawa kenyataan ini dibuat dalam tempoh 48 jam selepas kritikan-kritikan teruk yang dilontarkan oleh pelbagai pihak mengenai cara Kerajaan Negeri Selangor menangani isu pengusiran pada masa COVID-19. Namun, kenyataan Exco Kerajaan Negeri ini langsung tidak menyentuh perkara pokok dalam isu ini.

Isu utama di sini adalah:

  1. Mengapa pengusiran dijalankan semasa rakyat menghadapi tekanan ekonomi pada ketika pandemik COVID-19?
  2. Mengapa gerai alternatif tidak diberikan sebelum dirobohkan? YB Mazwan, ADUN Sungai Ramal, dalam kenyataannya dalam Malaysiakini, mengatakan bahawa tidak ada kesegeraan (urgency) untuk membuat perobohan pada masa itu.
  3. ADUN Sungai Ramal memberitahu kepada peniaga-peniaga terbabit dan saya bahawa Menteri Besar telah memberitahunya operasi perobohan tidak akan dilakukan pada hari Selasa lalu dan hanya akan dilakukan selepas penempatan alternatif diberikan, manakala Pegawai Daerah (DO) pula mengatakan bahawa Menteri Besar meminta supaya operasi diteruskan setelah mendengar pandangan semua pihak. Maka siapa yang bercakap benar – Menteri Besar, Pegawai Daerah atau ADUN Sungai Ramal?
  4. YB Ronnie Liu (ADUN Sungai Pelek) mengatakan bahawa perobohan pada hari Selasa yang lalu itu melanggar dua dasar Kerajaan Pakatan Harapan (PH), iaitu yang pertama, memberikan tempat alternatif terlebih dahulu baru menjalankan perobohan; dan yang keduanya adalah tidak menyusahkan rakyat semasa Pandemik COVID-19.

Selain itu, kenyataan damage control oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor tersebut cuba memberikan penekanan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menjunjung tinggi keluhuran undang-undang dan menghormati proses-prosesnya.

Namun pandangan ini tercalar kerana timbul persoalan-persoalan berikut:

  1. Bagaimanakah seorang peniaga yang kaya di Kampung Manickam telah membina kedai-kedai untuk lebih 20 tahun di atas tanah rizab kerajaan dan juga mengutip sewa daripada peniaga-peniaga kecil, tetapi tidak ada sebarang tindakan penguatkuasaaan diambil terhadapnya?
  2. Ada gambar video yang menunjukkan peniaga kaya tersebut telah membawa dua orang anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam keretanya, di mana aduan berkenaan telah dibuat oleh peniaga-peniaga kecil Kampung Manickam melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 29 Januari 2021 (ID tiket: SEL.073112)
  3. Salah seorang peniaga gerai makanan juga telah mengadu bahawa pada bulan Januari lalu, adanya satu cadangan bahawa dia membayar duit sewa kepada Koperasi MPKj secara bulanan tetapi tawaran itu terbatal apabila mendapat satu notis lagi pada hari keesokannya.
  4. Sebelum ini, peniaga kaya itu (pemilik lot tanah yang bersebelahan dengan tanah rizab kerajaan) juga telah membawa samseng upahan untuk membantu TNB dalam memotong bekalan elektrik kepada gerai-gerai yang dibina di atas tanah rizab kerajaan di Kampung Manickam? Satu aduan polis juga telah dibuat oleh pekedai-pekedai Kampung Manickam pada 8 Ogos 2020.

Akhir kata, ini adalah masa untuk mengambil tanggungjawab dan mengubati kecederaan. Saya difahamkan bahawa semua pengusaha gerai dan kedai yang dirobohkan masih belum mendapat sebarang tawaran sehingga hari ini, dan saya juga dimaklumkan bahawa kerja-kerja perancangan untuk tempat alternatif masih belum disiapkan. Ada banyak kerja lain yang harus dilaksanakan sebelum tempat alternatif ini dapat siap. Selain itu, saya masih memikirkan bagaimana bengkel mekanik boleh dimasukkan dalam kawasan tempat alternatif di Pasar Bangi Lama yang dicadangkan?

 

S. Arutchelvan
Timbalan Pengerusi
Parti Sosialis Malaysia (PSM).