#HariIniDalamSejarah
4hb Julai 2011
4hb Julai merupakan satu hari lagi yang penuh ketegangan kerana walaupun, Mahkamah telah memutuskan sebelum untuk tidak menyambung reman dan membebaskan 24 orang aktivis PSM, tetapi kami mendapat maklumat bahawa pegawai polis dari Bukit Aman berada di perkarangan Mahkamah Butterworth untuk membuat satu lagi siri tahanan dibawah Ordinan Darurat.
Kami juga lihat kehadiran polis yang begitu ramai di Mahkamah pada hari itu menyakinkan kerisauan kami yang penahanan akan dibuat sebaik sahaja tahanan dibebaskan bila tamat tempoh reman. Justeru itu kami mengadakan satu sidang akhbar segera untuk membongkarkan ‘perancangan’ polis untuk menahan lebih ramai dibawah Ordinan Darurat. Nampaknya perancangan rahsia polis terbongkar!
Timbalan Pendakwaraya akhirnya membuat keputusan untuk menuduh kami dibawah Seksyen 43 dan 48 di dalam Akta Pertubuhan serta Seksyen 29 (1) ISA Akta Keselamatan Dalam Negeri Seksyen 23 Akta Pertubuhan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Polis bertindak melampau dan menuntut ikat jamin sebanyak RM15,000 seorang. Tetapi selepas hujahan peguam, Mahkamah memutuskan untuk memberikan jaminan dengan bayaran RM8000 seorang. Pendakwaan ini berniat jahat kerana ianya dibuat lewat pada jam 4pm agar kami sukar untuk memproseskan akaun wang jaminan dari bank kerana bank semua tutup pada 4.30pm. Nasib baik pegawai bank memahami keadaan kami dan memproseskan kesemua deposit dan buku jaminan untuk diserahkan ke Mahkamah.
Kami juga teruja kerana dalam masa ½ jam kami dapat sumbangan sebanyak RM 192,000 sebagai wang jaminan. Cabaran kita seterusnya ialah fokus kepada perjuangan untuk membebaskan 6 orang komrad yang ditahan dibawah Ordinan Darurat (Emergency Ordinance)
Siri #HariIniDalamSejarah ini akan menjejaki usaha PSM dalam Perjuangan Membebaskan Tahanan PSM EO6 sehingga hari mereka dibebaskan pada 29 Julai, 2011. Nantikan kiriman kami yang seterusnya.
#PartiSosialis
Untuk maklumat terkini, sertai saluran Telegram PSM di t.me/partisosialis