Aktivis, peguam sokong calon PSM di Semenyih

Aktivis, peguam sokong calon PSM di Semenyih

Source: Free Malaysia Today

SEMENYIH: Seramai 52 aktivis daripada badan bukan kerajaan dan peguam menyatakan sokongan terhadap calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul bagi pilihan raya kecil DUN Semenyih.

Aktivis sosial, Kua Kia Soong yang mewakili kumpulan itu berkata, pengundi di Semenyih perlu mengundi calon PSM kerana PPBM dan Umno yang turut bertanding dalam PRK Semenyih adalah parti berdasarkan bangsa.

“PPBM dan Umno adalah parti berdasarkan bangsa yang tidak mempunyai tempat dalam Malaysia Baru,” katanya pada sidang di Bilk Gerakan PSM, hari ini, yang turut dihadiri Nik Aziz.

Bekas ahli Parlimen DAP itu juga mempersoalkan mengapa calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi dan calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali tidak mahu menyertai debat yang dianjurkan Bersih 2.0.

“Dua lagi calon ini tidak mahu berdebat dengannya. Apa maksud Malaysia Baru yang kita katakan ini? Malaysia Baru ialah pilihan raya di mana calon tampil dan berdebat tentang isu-isu semasa.

“Mereka ini tidak mempertahankan logo dan bendera yang diwakili. Mereka ini hanya berdiri mewakili diri mereka,” katanya.

Kua turut memberi penjelasan mengapa beliau tidak menyokong calon bebas, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang.

“Saya tak kenal dia. Saya kenal PSM, saya kenal Nik Aziz, saya kenal PH, BN semua, tapi Uncle Kentang saya tak kenal dia.

“Apa rekod dia, siapa dia, apa yang dia akan buat, manifesto dia, dia mewakili siapa? Persendirian atau apa? Apakah pendirian dia terhadap hak asasi manusia, demokrasi dan keadilan sosial,” katanya.

Sementara itu, Nik Aziz memberi penjelasan siapa individu yang terlibat dan membiayainya pada PRK Semenyih.

“Saya tak ada tauke, tokoh-tokoh korporat, tak ada pemodal-pemodal bersama perjuangan saya.

“Tetapi yang bersama-sama memberikan sokongan adalah kawan-kawan aktivis, NGO, aktivis hak asasi yang selama ini bekerja untuk membawa masyarakat kita ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.