Resolusi Kongres Nasional PSM Ke-27 Kemukakan 21 Tuntutan kepada Kerajaan Madani

Resolusi Kongres Nasional PSM Ke-27 Kemukakan 21 Tuntutan kepada Kerajaan Madani

KENYATAAN AKHBAR PSM – 28 JULAI 2025 – KONGRES PSM KE 27 – PERKUKUHKAN KUASA KETIGA DAN PERTENGAHKAN 21 TUNTUTAN*

Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-27 telah berjaya diadakan pada 25-27 Julai 2025 di Kuala Kangsar, Perak. Kongres Nasional yang bersidang selama 3 hari ini, telah disertai oleh lebih kurang 150 orang perwakilan dan pemerhati.

Dalam kongres kali ini, dua sesi forum telah diadakan. Salah satunya memfokus pada peranan anak muda dalam membina kuasa ketiga di Malaysia, dengan membariskan ahli-ahli panel daripada Pemuda Sosialis PSM bersama-sama wakil daripada dua buah organisasi anak muda, iaitu Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI) dan University of Malaya Association of New Youth (UMANY). Hasil perbincangan berkisar mengenai keperluan anak muda untuk membina kuasa ketiga, analisa kelas dan AUKU.

Sesi forum yang kedua pula berkisar pada strategi pilihan raya PSM, dengan Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM membincangkan topik itu bersama-sama dua orang ahli panel dari luar, iaitu Wong Chin Huat yang merupakan seorang penganalisis politik dan VKK Rajasekaran selaku Pengerusi MUDA Perak.

Perbincangan ini mempertengahkan peranan PSM untuk terus membina kuasa ketiga disamping memfokus kepada pengundi yang disifatkan sebagai PAMU (Parti Aku Malas Mengundi)

USUL DAN RESOLUSI

Sebanyak 19 usul telah dibawa oleh delegasi-delegasi ke Kongres Nasional dan didebat dengan hebat dan akhirnya hanya 7 usul berjaya diluluskan dan selainnya ditolak atau ditarik balik oleh pihak yang usulkan.

Pada hari ketiga (27 Julai 2025), Kongres Nasional PSM meluluskan resolusi yang mengandungi 21 perkara, sebagai tuntutan kepada Kerajaan MADANI. PSM menggesa Kerajaan MADANI untuk serius terhadap semua tuntutan yang dikemukakan dalam Resolusi Kongres Nasional PSM, dan mengaturkan Langkah-langkah sewajarnya.

Kongres Nasional PSM berakhir dengan laungan “Kuasa ketiga, kuasa kita!” yang merupakan tema tahun ini.

===========

*Resolusi Kongres Nasional PSM ke-27*

*27 Julai 2025, Kuala Kangsar*

1. Kerajaan Madani harus melaksanakan Pencen Warga Emas RM500 sebulan bagi semua rakyat yang berumur 65 tahun dan ke atas.

2. Kerajaan harus mempertahankansSistem kesihatan awam dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam untuk semua rakyat dengan:
• Tingkatkan peruntukan kepada sektor kesihatan awam daripada hanya 3% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 5% KDNK seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
• Tidak menyumber luar perkhidmatan kesihatan awam kepada sektor swasta.
• Tidak membenarkan pengeluaran simpanan KWSP untuk membayar insurans kesihatan swasta.

3. Kerajaan harus membina rumah mampu milik dengan harga di bawah RM100,000 supaya golongan B40 dapat membeli rumah.

4. Kerajaan harus mengawal harga barangan asas dengan mengambil langkah yang berkesan untuk memastikan harga barangan keperluan harian berada dalam lingkungan yang mampu ditanggung oleh golongan B40. Ini termasuk tidak menghentikan subsidi petrol.

5. Kerajaan harus mempunyai dasar yang jelas dan tindakan yang tegas untuk melindungi keterjaminan makanan di Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, langkah-langkah di bawah harus diambil:
a) Hentikan pengusiran terhadap petani dan penternak yang mengeluarkan makanan dan kekalkan tanah pertanian yang sedia ada.
b) Beri bantuan kepada petani dan penternak kecil, untuk memastikan kelangsungan aktiviti pertanian mereka.
c) Beri subsidi makanan ternakan untuk menangani kenaikan kos makanan ternakan.

6. Kerajaan harus menghentikan penswastaan pendidikan dan menyediakan pendidikan percuma yang berkualiti untuk semua sehingga peringkat pendidikan tinggi. Kerajaan harus memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Reformasi terhadap sistem pendidikan harus dilakukan supaya ia mengutamakan pembelajaran tulen bukannya keputusan akademik. Selain itu, kerajaan perlu menawarkan kelas tambahan untuk pelajar-pelajar neurodivergen, seperti autisme dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) di sekolah kerajaan. Kerajaan juga perlu mewujudkan had harga untuk kadar bayaran di universiti swasta.

7. Kerajaan perlu mewujudkan peluang pekerjaan dalam pemeliharaan alam sekitar, jagaan, pertanian dan perladangan. Pada masa yang sama, Kerajaan juga harus mengurangkan kebergantungan kepada pengambilan pekerja migran dalam ekonomi negara.

8. Kerajaan harus menghapuskan sistem kontrak untuk pekerja-pekerja di premis kerajaan sebagai langkah menjamin pekerjaan dan selaras dengan undang-undang yang sedia ada.

9. Mansuhkan akta-akta zalim yang menyekat ruang demokrasi, seperti Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan sebagainya.

10. Kerajaan perlu melaksanakan beberapa reformasi institusi dengan kadar segera, seperti pelaksanaan pembahagian kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Perdana Menteri harus disekat daripada memegang jawatan lain dalam kabinet. dan memperbaiki keadaan di dalam penjara dan pusat tahanan.

11. Kerajaan harus menegakkan sistem percukaian progresif. Tingkatkan cukai korporat. Hapuskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk barangan keperluan asas. Kutipan cukai dari pusat data harus disalurkan kepada dana PERKESO dan pemuliharaan alam sekitar.

12. Kerajaan harus membenarkan kesatuan pekerja untuk terlibat secara langsung dalam politik, termasuk menyumbangkan dana, menyatakan sokongan secara terbuka dan berkempen untuk calon pilihan raya.

13. Pertahankan hak semua pekerja. Kerajaan perlu memastikan semua pekerja, termasuk pekerja migran tidak berdokumen, mendapat ruang pengadilan untuk menuntut hak mereka sebagai pekerja. Hak seorang pekerja migran sebagai pekerja wajar diutamakan sebelum dia diadili dan dihukum atas sebab imigresen.

14. Kerajaan harus nengawal selia terhadap penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) di syarikat korposar besar, media massa, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta menganjurkan lebih banyak kempen kesedaran tentang penipuan dalam talian (online scam) dan isu berkaitan etika AI, dengan bahan kempen dalam semua bahasa supaya dapat mencapai semua lapisan masyarakat.

15. Pusat data perlu dikawal selia dan pembinaannya perlu mendapatkan kelulusan laporan impak alam sekitar (EIA). Kerajaan harus memantau penggunaan tenaga dan air oleh pusat data supaya penggunaan itu berada dalam linkungan yang mampan dan lestari untuk masyarakat di sekeliling dan menggubal undang-undang khusus untuk mengawal selia pembinaan, pengendalian dan pengoperasian pusat data.

16. Kerajaan perlu meminda Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 untuk meliputi keganasan pasangan intim dan meningkatkan kesedaran awam tentang kebahayaan kandungan serta perkongsian media sosial yang bersifat kebencian dan misoginis yang berterusan.

17. Kerajaan harus mengiktiraf dan mewartakan wilayah tanah adat masyarakat Orang Asli.

18. Kerajaan harus memulihkan demokrasi tempatan dengan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan. Kerajaan harus menyemak semula program penyewaan gerai penjaja MyKiosk di bawah Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang tidak memanfaatkan rakyat marhaen, dan membangunkan alternatif melalui perbincangan dan penjaja-penjaja yang terlibat. Setiap majlis tempatan perlu membina pusat sukan dengan kos sewaan di bawah kadar pasaran.

19. Kerajaan harus meningkatkan pengangkutan awam dan keselamatan jalan raya dengan mengambil beberapa langkah seperti berikut:
a) Mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas dengan kadar segera terhadap syarikat pengangkutan yang melanggar peraturan keselamatan (seperti menggunakan lorong kanan di lebuh raya, muatan berlebihan, melepasi had kelajuan dan sebagainya).
b) Menggubal undang-undang yang mewajibkan setiap pengeluar, pengimport dan syarikat logistik untuk memasang peralatan had kelajuan di lori dan bas.
c) Reformasi terhadap Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) supaya ia lebih cekap dan berkesan.
d) Dalam usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan sistem pengangkutan awam, Kerajaan harus menjadikan pemeliharaan kebajikan pekerja seperti pemandu sebagai tunjang utama usaha penambahbaikan.
e) Memperbaiki proses perancangan pembinaan lebuh raya bagi melindungi hidupan liar daripada kematian akibat pelanggaran oleh kenderaan di lebuh raya.
f) Menjalankan lebih banyak kempen keselamatan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran awam dan mengurangkan kemalangan jalan raya.

20. Kerajaan harus menyediakan parkir percuma kepada semua warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.

21. Kerajaan harus komited dalam bersuara untuk menghentikan genosid terhadap rakyat Palestin. Ini juga termasuk menolak kehadiran duta Amerika Syarikat di Malaysia sehingga genosid di Palestin dihentikan. Selain itu, Kerajaan Malaysia harus menerajui usaha mengadakan persidangan negara-negara Selatan Global seperti Persidangan Bandung untuk mewujudkan solidariti antarabangsa yang menentang imperalisme barat.

Dikeluarkan oleh,
M. Sivaranjani
Setiausaha Agung
Parti Sosialis Malaysia

Malaysia Negara Kaya yang Dimiskinkan

Malaysia Negara Kaya yang Dimiskinkan

*KENYATAAN AKHBAR – 22 JULAI 2025 – MALAYSIA NEGARA KAYA YANG DIMISKINKAN*
Oleh Arveent Kathirtchelvan


Saudara Rafizi baru-baru ini menyatakan bahawa Malaysia negara miskin dan perlukan pelaburan asing. Corak pemikirannya jelas lapuk ketinggalan zaman. Tiada pelabur akan datang ke sebuah negara miskin untuk mengembangkan pelaburannya. Penjajah Portugis, Belanda dan British yang datang ke Tanah Melayu pada suatu zaman dahulu pun inginkan kekayaan yang ada di sini. Pada zaman itu, kekayaannya adalah sumber asli seperti bijih timah, getah dan lada hitam. Pada zaman ini, kekayaannya adalah tenaga buruh murah.

Rafizi yang terhegeh-hegeh ingin menarik pelaburan asing melihat pelaburan ini sebagai sesuatu keperluan untuk negara kita. Sebaliknya, pelaburlah yang memerlukan negara seperti Malaysia. Mereka terpaksa mencari tenaga buruh murah di luar negara sendiri supaya keuntungan mereka terjamin. Dalam era teknologi berkembang pesat, kadar keuntungan makin kurang, lebih-lebih lagi di negara kaya dengan kadar gaji yang tinggi. Oleh itu, pelabur dari negara ini terpaksa mencari jalan untuk menjana keuntungan daripada penindasan pekerja di negara dunia ketiga.

Idea Rafizi ini adalah apa yang dipanggil sebagai fahaman liberal. Bukan liberal yang sering digunakan oleh PAS untuk melabel pihak lawannya, tetapi liberal dari segi ekonomi. Golongan liberal ini terikat kepada sistem kapitalisme dan tidak berupaya berfikir tentang sistem lain. Mereka sangat gembira menjual rakyat negara sendiri untuk mendapatkan pelaburan. Mereka tidak berfikir bahawa pelaburan ini datang dengan beberapa kaveat.

Pelabur asing menggunakan ancaman mengalihkan pelaburan mereka ke negara lain untuk memastikan tenaga kerja tempatan terus dibayar gaji rendah. Acap kali kita disajikan dengan alasan bahawa gaji minimum tidak dapat ditingkatkan oleh sebab ancaman ini. Begitu juga dengan faedah kerja lain. Malah Rafizi sendiri terpaksa memperkenalkan suatu Dasar Gaji Progresif yang hanya sekadar saranan untuk memastikan pelabur-pelabur ini kekal.

Fikiran ala Rafizi inilah yang menyebabkan penswastaan berlaku. “Malaysia negara miskin, kita perlukan pelabur asing. Oleh itu, kita perlu kurangkan cukai korporat. Kita perlu kurangkan campur tangan kerajaan dalam pasaran. Kita perlu swastakan banyak perkhidmatan awam. Kita perlu liberalisasikan sektor tenaga.” Ini adalah disebabkan oleh tekanan daripada pihak kapitalis yang ingin menjana keuntungan daripada sektor-sektor baharu. Malah fikiran sebegini juga menyebabkan undang-undang yang melarang solidariti pekerja serta mogok wujud. Akhirnya, yang mengaut keuntungan adalah pihak kapitalis sementara pekerja kita yang sengsara.

Daripada penswastaan pesat sejak era Mahathir 1.0, apakah yang kita capai kalau bukan peningkatan kekayaan golongan kaya sementara kaum pekerja kekal miskin? Apakah maknanya jika pelaburan asing ini hanya membuka ruang untuk hasil keringat pekerja kita diambil pihak lain? Apa gunanya ada CEO tempatan bergaji berjuta-juta ringgit tetapi pekerjanya tidak mampu menyara kehidupan dirinya?

Malaysia tidak perlukan lebih banyak pelabur asing. Kita perlukan sistem di mana kekayaan yang dijana kekal dalam tangan rakyat biasa. Rancangan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mewujudkan sistem ekonomi sebegini adalah sebuah Skim Jaminan Kerja daripada kerajaan pusat dalam sektor tertentu seperti pertanian makanan, penjagaan (care economy) dan penyelidikan. Ini dapat bersaing dengan pihak swasta untuk meningkatkan gaji serta faedah kerja rakyat biasa.

Bagi tujuan pendanaan skim sebegini, pemusatan keuntungan bersih daripada semua GLC perlu dilaksanakan. Syarikat milik kerajaan bukan bertujuan mengumpul wang untuk dividen pemegang saham, tetapi memacukan ekonomi untuk meningkatkan mutu hidup rakyat Malaysia.

Pendanaan sebeginilah pelaburan yang nyata. Mengapakah negara kita masih mengimport makanan ruji yang begitu banyak? Kerajaan sepatutnya meningkatkan keluaran hasil pertanian tempatan. Akan tetapi, kerajaan MADANI di Perak mengusir petani sayur-sayuran untuk pelabur asing membina kilang mereka. Adakah ini pelaburan yang diingini Rafizi? Bukankah kita patut fokus kepada mengurangkan perbelanjaan mengimport makanan?

Kementerian Ekonomi di bawah Rafizi juga menerbitkan Laporan Peralihan Tenaga Nasional yang mengandungi saranan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Dari manakah kita akan dapat kereta api dan bas baharu? Daripada mengimportnya juga, bukankah lebih baik untuk menghasilkan kenderaan awam kita sendiri? Kita boleh menggunakan infrastruktur pengeluaran kenderaan swasta melalui Proton dan Perodua. Dengan peningkatan penggunaan pengangkutan awam, kita dapat juga mengurangkan pengeluaran kenderaan persendirianjuga tanpa impak negatif besar.

Hasil daripada pelaburan ini dapat direalisasikan di tempat lain. Sebagai contoh, suatu sistem pekerja sosial dapat membendung penularan gejala sosial seperti gangsterisme dengan penyediaan bantuan kaunseling serta kegiatan kemasyarakatan di sesuatu tempat. Inisecara langsungdapat mengurangkan kos menangani kesan negatif akibat penularan masalah tersebut. Nilai pelaburan kerajaan boleh direalisasi melalui penjimatan kos sebegini.

Kebergantungan kepada orang luar, sama ada pelabur atau rakan perdagangan, perlu dikawal supaya keperluan asas rakyat Malaysia terjamin dan terletak dalam tangan rakyat kita sendiri. Beberapa perjanjian perdagangan bebas perlu dikemas kini supaya barangan import tidak menjejaskan kapasiti pengeluaran tempatan. Memang tidak dinafikan bahawa perdagangan itu diperlukan, tetapi biarlah Malaysia mempunyai kuasa rundingan yang lebih, bukannya lemah dengan keperluan asas pun tidak mencukupi.

Semua langkah ini adalah berpaksi pada membebaskan diri daripada kemelut kapitalisme sedunia yang juga dipanggil imperialisme. Imperialisme ini tersusun untuk memindahkan kekayaan dari dunia ketiga kepada negara maju, seakan-akan penjajahan baharu. Propaganda Amerika Syarikat, Britain dan sekutunya memang akan mempromosikan sistem sebegini kerana merekalah yang akan mengaut keuntungan daripadanya, sepertimana yang dilakukan oleh mereka apabila mereka menjajah negara lain tidak lama dahulu.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemimpin negara dunia ketiga, sama ada sosialis atau tidak, untuk melawan sistem sebegini. Jika tidak, pekerja serta ekonomi tempatan akan kekal mundur. Kadar keuntungan pula akan menurun juga. Pada suatu hari nanti, mungkin pelabur negara kaya berpindah ke negara lebih miskin, seperti di benua Afrika. Adakah kita pada masa itu akan menurunkan lagi cukai korporat, gaji minimum dan faedah kerja untuk kekal “berdaya saing”? Dengan tiadanya perkembangan sektor penting seperti pertanian, adakah kita terpaksa bergantung kepada derma negara lain?

Lawanlah sistem yang memperhambakan anda, bukannya percaya kepada janji manis penciptanya.

Dikeluarkan oleh:

Arveent Kathirtchelvan
Ketua Biro Kajian Dasar
Parti Sosialis Malaysia

Kuasa Ketiga Kuasa Kita – PSM Berkongres Buat Kali Ke-27

Kuasa Ketiga Kuasa Kita – PSM Berkongres Buat Kali Ke-27

KENYATAAN AKHBAR PSM – 23 JULAI 2025 – KUASA KETIGA KUASA KITA – PSM BERKONGRES BUAT KALI KE 27
Oleh: Choo Chon Kai

Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-27 akan diadakan pada 25-27 Julai 2025 di Kuala Kangsar, Perak. Kongres PSM kali ini diadakan dalam suasana dunia dan negara kita yang penuh dengan ancaman serta ketidaktentuan. Jadi, Kongres PSM menjadi satu forum yang penting untuk ahli-ahli PSM yang komited dalam perjuangan masyarakat membincangkan cara-cara yang dapat memantapkan lagi kerja-kerja organisasi parti dan memajukan usaha pembinaan alternatif politik yang progresif.

Sudah 26 kali PSM mengadakan kongres nasional sejak penubuhannya pada tahun 1998. Kongres PSM pertama yang diadakan di Cameron Highlands pada tahun 1998 hanya disertai oleh 12 orang aktivis kiri merupakan pengasas PSM, termasuk Dr. Nasir Hashim, M. Sarasvathy, Dr. Jeyakumar Devaraj, S. Arutchelvan, Rani Rasiah, V. Panneerselvam dan sebagainya. Daripada kongres yang dihadiri oleh 12 orang pada tahun 1998, PSM telah berkembang menjadi sebuah parti politik yang penting kepada perjuangan untuk hak rakyat marhaen, demokrasi dan keadilan sosial di tanah air.

Walaupun PSM masih merupakan sebuah parti politik yang kecil dari segi bilangan anggota berbanding parti-parti arus perdana, selama 27 tahun sejak penubuhannya, PSM telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan nasib rakyat marhaen. PSM pernah mengadakan pelbagai kempen rakyat untuk menuntut pembaharuan sosial yang penting demi memperbaiki kehidupan rakyat marhaen, sehingga membuahkan hasil seperti pelaksanaan gaji minimum dan sistem insurans pekerjaan. PSM masih terus menganjurkan pelbagai kempen seperti Kempen Pemulihan Negara semasa pandemik COVID-19, pencen warga emas RM500 sebulan untuk semua rakyat dan usaha mempertahankan sistem kesihatan awam daripada hakisan dasar yang pro-pasaran.

PSM juga pernah mengharungi pelbagai cabaran sepanjang 27 tahun lalu, tetapi dapat bertahan dan terus mara ke hadapan. PSM telah berjuang selama 10 tahun untuk mendaftarkan parti. PSM pernah menghadapi penindasan hebat daripada pihak berkuasa seperti penangkapan di bawah Ordinan Darurat (EO) pada tahun 2011, tetapi berjaya mengadakan sebuah kempen pembebasan tahan politik yang menggegarkan seluruh negara. PSM akan terus melangkah ke hadapan untuk mencabar sistem sosioekonomi dan politik yang menekan rakyat biasa.

Tema Kongres Nasional PSM kali ini ialah “Kuasa Ketiga, Kuasa Kita”. Tema ini sesuai dengan suasana hati rakyat yang muak dengan dua gabungan politik utama dalam arena pilihan raya di negara kita pada masa ini, iaitu “Kerajaan Perpaduan” yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) sebagai pihak pemerintah dan Perikatan Nasional (BN) sebagai pihak pembangkang utama dalam Parlimen selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Kerajaan Perpaduan PH-BN gagal membawa pembaharuan yang diperjuangkan oleh masyarakat sivil, sementara PN gagal menawarkan alternatif yang meyakinkan rakyat melainkan terus mempermainkan politik perkauman yang sempit.

Cabaran untuk Kuasa Ketiga yang melangkaui kedua-dua blok parti politik arus perdana bukan sekadar sistem pilihan raya “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post), tetapi yang lebih kritikal adalah jenis politik yang hendak dibawa oleh Kuasa Ketiga. Jika sebuah gabungan parti politik yang menggelar dirinya “Kuasa Ketiga” masih menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan dan gagal mengemukakan dasar sosioekonomi yang meyakinkan dalam memastikan keterjaminan kesejahteraan rakyat, maka ia tidak berbeza dengan dua gabungan parti politik arus perdana yang sedia ada.

Kuasa Ketiga yang hendak dibina oleh PSM adalah berlandaskan aspirasi untuk membina sebuah masyarakat Malaysia yang lebih inklusif dan progresif, berlandaskan prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan sosial yang sejati. Ini bukannya sesuatu yang mudah, dan ia bukan semata-mata untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya, tetapi berwawasan jangka panjang demi memajukan masyarakat Malaysia secara bersama. Oleh itu, salah satu sesi forum yang akan diadakan semasa Kongres Nasional PSM kali ini bertajuk “Anak Muda dan Kuasa Ketiga”, untuk mendapatkan pandangan daripada aktivis-aktivis anak muda mengenai idea-idea membina Kuasa Ketiga.

Kongres Nasional merupakan badan pembuat keputusan yang tertinggi dalam organisasi PSM. Keputusan penting dalam PSM tidak dibuat oleh seorang dua pemimpin tertinggi parti, sebaliknya harus dibincangkan, dibahaskan dan diputuskan secara demokratik oleh ahli-ahli parti yang mengambil bahagian dalam Kongres Nasional setiap tahun dan Sesi Perbincangan Dalaman yang diadakan jika perlu. Oleh itu, Kongres Nasional PSM yang diadakan setiap tahun menjadi ruang yang penting dalam PSM untuk menyemak dan menilai gerak kerja parti, di samping membahaskan dan menentukan hala tuju serta dasar-dasar parti demi memajukan perjuangan parti.

Terdapat 38 buah usul yang dibawa oleh cawangan-cawangan PSM untuk dibahaskan dalam Kongres Nasional kali ini, antaranya fokus semula kepada isu perumahan mampu milik, kajian tentang sistem percukaian alternatif, pempiawaian nama cawangan, penambahbaikan dalam kerja-kerja publisiti, latihan kepimpinan, strategi pilihan raya, penambahbaikan proses pemilihan dalaman parti, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.

Seperti biasa, ahli-ahli PSM akan mengambil bahagian dalam Kongres Nasional PSM dengan semangat memajukan usaha membina alternatif sosialis di bumi Malaysia.

Dikeluarkan oleh,
Choo Chon Kai
Ahli Jawatankuasa Pusat
Parti Sosialis Malaysia

Tolak Kunjungan Trump ke Malaysia

Tolak Kunjungan Trump ke Malaysia

KENYATAAN PSM – 11 JULAI 2025 – TOLAK KUNJUNGAN TRUMP KE MALAYSIA
Oleh: Choo Chon Kai

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengemukakan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS yang akan diadakan pada bulan Oktober 2025 di Malaysia. Tindakan sedemikian jelas merupakan pengkhianatan terhadap segala usaha bersolidariti bersama Palestin dalam menentang genosid di Gaza oleh rejim Zionis Israel yang disokong oleh AS.

Jemputan tersebut telah dibuat oleh Anwar Ibrahim sendiri kepada Setiausaha Negara AS Marco Rubio yang mengunjungi Malaysia baru-baru ini. Adalah menghinakan bagi kerajaan Malaysia menerima kunjungan seorang pegawai tinggi kerajaan Trump dan pemangku Penasihat Keselamatan Negara kepada Presiden AS yang baru mengenakan sekatan terhadap Francesca Albanese, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai wilayah-wilayah Palestin yang diduduki, berhubung dokumentasinya tentang jenayah genosid Israel terhadap warga Palestin di Gaza dan seruannya untuk tindakan menghentikan pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel.

Genosid yang sedang dilakukan oleh rejim Zionis Israel sejak bulan Oktober 2023 telah membunuh sekurang-kurangnya 57,000 orang di Gaza. Pada ketika ini, tentera Israel malah menembak dan membunuh warga Palestin yang cuba mencapai lokasi pengedaran makanan. Rejim Zionis Israel dapat meneruskan jenayahnya terhadap kemanusiaan tanpa sebarang hukuman kerana sokongan kuat daripada kerajaan AS selama ini. Kerajaan pimpinan Trump telah menunjukkan sokongannya yang tidak berbelah bahagi kepada perluasan kuasa Israel dan menyertai perang Israel terhadap Iran baru-baru ini dengan mengebom Iran secara langsung.

Pemimpin tinggi kerajaan yang membolehkan dan menyokong genosid, seperti Donald Trump, harus dilayan sebagai persona non grata (orang yang tidak dialu-alukan), bukannya dijemput sebagai tetamu untuk pertunjukan diplomatik yang membazir wang. Ia semata-mata munafik untuk sebuah kerajaan menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin sambil beramah-mesra dengan rakan subahat jenayah genosid terhadap rakyat Palestin.

Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk menarik balik jemputan kepada Donald Trump untuk mengunjungi Malaysia. Kami juga menyeru Kerajaan Malaysia, selaku pengerusi ASEAN tahun ini, untuk membatalkan Sidang Kemuncak ASEAN-AS sebagai protes simbolik terhadap penglibatan AS dalam genosid terhadap rakyat Palestin. Kita tidak harus berurusan seperti biasa dengan kerajaan AS sehingga dunia menamatkan genosid terhadap rakyat Palestin.

Dikeluarkan oleh,
Choo Chon Kai
Ahli Jawatankuasa Pusat &
Ketua Biro Internasional
Parti Sosialis Malaysia

Protes Peguam Adalah Amaran Kepada Kerajaan

Protes Peguam Adalah Amaran Kepada Kerajaan

KENYATAAN AKHBAR PSM – 11 JULAI 2025 – PROTES PEGUAM ADALAH AMARAN KEPADA KERAJAAN
Oleh: M. Sivaranjani

Jika peguam berprotes, mesti ada sesuatu yang tidak betul di negara kita.

Ini bukan kali pertama peguam-peguam kita berarak. Pada tahun 1988, lebih 500 peguam berarak ke Parlimen membantah penyingkiran Ketua hakim Negara Salleh Abbas dan 5 hakim Mahkamah Persekutuan. Manakala pada tahun 2007, lebih 2000 peguam berarak kerana skandal VK Lingam. Pada tahun 2022, sebuah perarakan lagi telah diladakan oleh peguam-peguam untuk mempertahankan kebebasan sistem kehakiman. Kini pada tahun ini, sekali lagi peguam berarak kerana mempertahankan kebebasan kehakiman.

Kemelut krisis kehakiman hari ini adalah mengapa Jawatan Ketua Hakim Negara masih belum diisi? Apakah ada kegusaran bahawa jalan pintu belakang digunakan untuk memastikan beberapa orang kroni Perdana Menteri akan dilantik?

Ketidaksinambungan penggal lantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempunyai rekod yang bersih dipersoalkan oleh kedua-dua ahli-ahli parlimen Kerajaan dan Pembangkang. Tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memperbaharui kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki yang bermasalah dengan keengganan untuk memberikan sambungan kepada Tengku Maimun mendedahkan double standard yang wujud.

Justeru bila wujud ketidakadilan, maka adalah tugas kita semua menegakkan keadilan. Peguam-peguam menjadi antara simbol mencari keadilan mempunyai tugas penting apabila sistem kehakiman dalam bahaya. Protes ini adalah satu tindakan tepat pada masa ini untuk memberi amaran dan peringatan kepada kerajaan tentang peranan kerajaan. Peguam-peguam kita yang prihatin ini hanya memainkan peranan semak dan imbang dalam memastikan sistem kehakiman adalah bebas daripada campur tangan kuasa eksekutif.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut bersolidiriti dan menyokong penuh inisiatif peguam dan kami akan bersama pada hari tersebut. Kami juga meminta pihak polis dan lain-lain memberikan kerjasama yang sewajarnya supaya perhimpunan bersejarah ini berjaya.

Dikeluarkan oleh:
M. Sivaranjani
Setiausaha Agung
Parti Sosialis Malaysia

Pertemuan Parti-parti Politik Blok Pembangkang

Pertemuan Parti-parti Politik Blok Pembangkang

KENYATAAN AKHBAR – 19 JULAI 2025 – PERTEMUAN PARTI-PARTI POLITIK BLOK PEMBANGKANG
Oleh: Arul PSM


Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah dijemput oleh President Parti Bersatu dan Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk satu perjumpaan Blok parti-parti Pembangkang. PSM telah hadiri perjumpaan tersebut kerana ia tidak bercanggah dengan pendirian PSM untuk hadir jika dipanggil mesyuarat oleh mana-mana parti politik,

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melontarkan beberapa cadangan termasuk satu persefahaman merentasi parti-parti politik pembangkang. PSM menyambut baik perbincangan yang diadakan dan telah memberikan pandangan dan posisi kami; Namun demikian tidak ada sebarang keputusan oleh PSM untuk menyertai Perikatan Nasional(PN) mahupun sebarang gabungan baru.

Selaras dengan pendirian PSM sebelum ini, PSM hanya mempunyai perikatan persefahaman politik dengan parti Muda dan Parti Rakyat Malaysia(PRM). Sebelum ini pun, PSM pernah mempunyai persefahaman politik dengan Gagasan Demokrasi Rakyat(GDR) dan Pakatan Rakyat(PR).

Sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana Gabungan Politik hanya boleh diambil oleh Kongres PSM selaras dengan tradisi Demokratik Sentralisma yang dianuti oleh parti.

Oleh,
S.Arutchelvan
Timbalan Pengerusi
Parti Sosialis Malaysia

Jangan Korbankan Masa Depan Persaraan untuk Menampung Kelemahan Sistem Kesihatan Negara

Jangan Korbankan Masa Depan Persaraan untuk Menampung Kelemahan Sistem Kesihatan Negara

KENYATAAN AKHBAR PSM – 20 JUN 2025 – JANGAN KORBANKAN MASA DEPAN PERSARAAN UNTUK MENAMPUNG KELEMAHAN SISTEM KESIHATAN NEGARA
Oleh: Wan Zamzaidi Wan Zahid

Parti Sosialis Malaysia (PSM) memandang serius apa yang disiarkan di media sosial dan pautan ke media utama berkaitan pemakluman daripada Menteri Kesihatan sedang mengkaji kemungkinan membenarkan rakyat menggunakan akaun KWSP mereka untuk tujuan mencarum ke dalam polisi insurans kesihatan, agar pencarum boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta. Sejujurnya, ini satu cadangan yang salah arah dan jelas membimbangkan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditubuhkan untuk menjamin masa depan persaraan rakyat Malaysia. Ia bukan untuk menampung kos sistem kesihatan swasta yang mahal, dan bukan juga untuk mengimbangi kegagalan sistem kesihatan awam yang antara lain berpunca daripada pengurusan yang lemah atau pembiayaan yang tidak mencukupi. Jika cadangan ini diteruskan, ia hanya akan menguntungkan syarikat insurans dan hospital swasta, sedangkan rakyat akan terus terhimpit dengan beban kewangan.

Kerajaan mempunyai tanggungjawab dalam menyediakan kesihatan percuma atau berkemampuan kepada rakyat. Itulah asas kontrak sosial antara rakyat dan negara. Apabila kerajaan mula menyarankan rakyat menggunakan simpanan sendiri (KWSP) untuk membiayai rawatan di hospital swasta, ini menunjukkan kerajaan gagal menyediakan kesihatan yang berkualiti dalam sektor awam. Lebih membimbangkan, ia juga menormalisasikan beban kos kesihatan ke atas individu dan bukannya menuntut penyelesaian sistemik.

Kita perlu sedar, simpanan KWSP bukan bantuan kerajaan. Ia adalah hasil titik peluh pekerja. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, gaji yang belum mencapai tahap yang dianggap berpatutan, dan kos sara hidup yang tinggi, ramai dalam kalangan rakyat tidak mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi untuk bersara. Kajian KWSP sendiri menunjukkan bahawa majoriti pencarum tidak mempunyai simpanan yang mencukupi apabila mencapai umur persaraan.

Dengan membenarkan penggunaan simpanan KWSP, kali ini untuk membayar insurans atau rawatan hospital swasta, maka kerajaan secara halus menggalakkan rakyat mengorbankan masa depan persaraan mereka untuk menampung kelemahan sistem kesihatan negara.

Mari kita berfikir, siapa yang paling untung jika skim ini diluluskan?

Jawapannya jelas, iaitu syarikat insurans kesihatan dan rangkaian hospital swasta di mana syarikat insurans akan mendapat pelanggan baharu yang “dipaksa” untuk mengambil perlindungan oleh sebab duit KWSP “dibolehkan”, manakala hospital swasta pula akan menerima lebih banyak pesakit yang membayar melalui insurans, tanpa perlu bersaing harga atau memperbaiki perkhidmatan.

Sedangkan rakyat akan kehilangan sebahagian duit persaraan, terus terperangkap dalam sistem kesihatan dua darjat dan akhirnya tetap terpaksa kembali bergantung kepada hospital kerajaan(yang kekal bermasalah) apabila rawatan lebih kompleks diperlukan.

Jika kerajaan benar-benar mahu membantu rakyat dalam mendapatkan akses kepada kesihatan yang berkualiti, perkara utama yang harus dilakukan ialah memperkasakan hospital awam. Kita semua tahu keadaan sebenar: masa menunggu yang terlalu lama, kekurangan doktor pakar, masalah kelengkapan seperti kurangnya katil, peralatan yang rosak berbulan-bulan tidak dibaiki, dan juga beban kerja yang berat kepada petugas kesihatan. Ini sepatutnya menjadi fokus sebenar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbanding apa yang diperkatakan ini.

Kalau kita boleh selusuri permasalahan ini, kita mungkin boleh lihat ada kepincangan-kepincangan dari segi hala tuju, termasuk kekurangan peruntukan dan tumpuan dalam dasar kesihatan negara.

Jika kerajaan salurkan lebih banyak dana kepada KKM, menambah baik fasiliti dan pakar, menyediakan insentif kepada penjawat kesihatan, dan mengurangkan birokrasi, rakyat sebenarnya tidak perlu pun untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Daripada mencadangkan penggunaan KWSP untuk insurans kesihatan swasta, kerajaan sepatutnya berusaha untuk meningkatkan peruntukan bagi kesihatan awam dalam belanjawan tahunan.

Apa yang kita ingin lihat sebenarnya adalah usaha untuk membangunkan pusat rawatan pakar kerajaan di kawasan bandar dan luar bandar agar rakyat tidak perlu ke hospital swasta, bukan sebaliknya.

Kita tidak menolak sebarang usaha untuk memperluaskan akses kesihatan. Tetapi ia mesti dilakukan dengan keadilan, tidak menindas rakyat, dan tidak memberi ruang kepada kapitalis kesihatan memperkaya diri atas penderitaan orang ramai.

Justeru, PSM menyeru khalayak untuk bersuara. Jangan biarkan hak kita dirampas perlahan-lahan atas nama “pilihan rawatan”. Jangan benarkan duit KWSP kita, yang sepatutnya untuk masa depan kita, digunakan untuk menampung sistem kesihatan yang gagal diurus oleh kerajaan.

Kesihatan adalah hak, bukan keistimewaan, manakala KWSP adalah simpanan masa depan, bukan dana kecemasan untuk menutup kelemahan dasar. Apa yang seharusnya dilakukan adalah meningkatkan keupayaan hospital kerajaan, bukan mencari peluang untuk keuntungan hospital swasta.

Dikeluarkan oleh,
Wan Zamzahidi Wan Zahid
Pengerusi PSM Pahang

Mengapa Malaysia Tidak Bangkitkan Isu Cukai Korporat di Peringkat ASEAN?

Mengapa Malaysia Tidak Bangkitkan Isu Cukai Korporat di Peringkat ASEAN?

KENYATAAN PSM – 19 JUN 2025 – MENGAPA MALAYSIA TIDAK BANGKITKAN ISU CUKAI KORPORAT DI PERINGKAT ASEAN?
Oleh: Gandipan Nantha Gopalan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil maklum alasan Perdana Menteri mengenai keperluan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk pembiayaan projek rakyat seperti Hospital Manjung. PSM tidak menolak keperluan hasil cukai untuk membiayai kemudahan awam. Namun, persoalannya adalah mengapakah Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, tidak membangkitkan isu persaingan dalam penurunan kadar cukai korporat (“race to the bottom”) di peringkat ASEAN?

Pada bulan Januari 2025, PSM telah menghantar satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dengan sokongan 55 buah organisasi masyarakat sivil, mencadangkan supaya Malaysia memulakan perbincangan untuk menyelaraskan kadar cukai korporat minimum di peringkat ASEAN – dengan matlamat mencapai kadar 30% dalam tempoh sepuluh tahun. Cadangan ini merupakan satu alternatif konkrit untuk mengelak pelarian modal. Cadangan ini tidak mendapat sebarang maklum balas rasmi hingga ke hari ini.

Realitinya, negara-negara ASEAN sedang terperangkap dalam perlumbaan menurunkan kadar cukai korporat untuk menarik pelaburan asing. Malaysia kini mengenakan cukai korporat sebanyak 24%, berbanding 40% pada tahun 1988. Negara-negara jiran turut bersaing untuk menurunkan kadar cukai korporat: Thailand 20%, Indonesia 22%, dan Singapura 17%. Akibatnya, nisbah pendapatan kerajaan terhadap KDNK telah jatuh daripada 30% pada tahun 1980-an kepada hanya 15% tahun lalu. Perlumbaan menurunkan cukai ini menyebabkan negara kehilangan hasil penting, mengehadkan ruang fiskal untuk membina hospital, memperkukuh jaringan keselamatan sosial, dan menangani isu iklim.

Di samping usaha serantau ini, Malaysia juga perlu melaksanakan pembaharuan percukaian secara dalaman, termasuk:

  1. Memperkenalkan cukai kekayaan terhadap individu ultra-kaya yang memiliki aset melebihi RM500 juta.
  2. Memperkenalkan cukai karbon progresif, dengan pelepasan melebihi tahap tertentu dikenakan kadar lebih tinggi.
  3. Melaksanakan semula cukai harta pusaka terhadap pemindahan kekayaan besar antara generasi.
  4. Cukai ke atas transaksi spekulatif kewangan (Tobin Tax), untuk menyekat aktiviti pasaran yang tidak produktif.

Penyelesaian sebenar kepada masalah hasil negara bukanlah dengan mengenakan cukai tambahan ke atas pengguna atau pekerja berpendapatan rendah. Sebaliknya, kutipan cukai perlu ditumpukan kepada mereka yang memiliki keupayaan paling tinggi – syarikat gergasi dan individu terkaya di negara ini. PSM menyeru kerajaan supaya lebih berani mencabar kepentingan korporat besar dan tidak terus-menerus membebankan rakyat biasa untuk menampung hasil negara.

Gandipan Nantha Gopalan
Ahli Jawatankuasa Pusat
Pusat Parti Sosialis Malaysia.

The Likely Impact of Trump’s Tariffs on Ordinary Citizens

The Likely Impact of Trump’s Tariffs on Ordinary Citizens

PSM STATEMENT: 17 JULY 2025 – THE LIKELY IMPACT OF TRUMP’S TARIFFS ON ORDINARY CITIZENS

Though the dust hasn’t fully settled, it appears that Trump is going to proceed with his plans to put tariffs on almost all imports into the United States. This is definitely going to impact the global economy. We need to be prepared for the economic challenges that ensue.

America’s import totaled USD 3.4 trillion in 2024[1]. Given the US GDP of USD 29.2 trillion[1], imports were 11.6% of US GDP by value. Trump has said that he wants US producers to produce more of the goods that are currently being imported. But that, obviously, cannot occur overnight. So, these goods will still have to be imported, but perhaps from a country with a slightly lower tariff.

The impact of these tariffs on the US population would be a higher retail price for imported goods, as the importing firms and retail outlets will try to pass as much of the increase in prices to the US consumers. In the case of non-essential goods, which have a more elastic[2] price-demand curve, the US importers and the retail businesses in the US might absorb some of the increase in prices.

The tariffs collected by US Customs will go to government coffers. The income of US households will not be augmented in any way because of these tariff collections. On the contrary, the real purchasing power of US households will decrease by about 10% to 20% because the prices of goods have increased. This decrease in real[3] buying power will depress the demand for goods and services produced in the US and tend to push the US economy into a recession. The increase in the cost of living is likely to increase the level of unhappiness in the US public.

Countries exporting to the US will also face recessionary pressures as the US market for their goods shrinks as a result of the decline in real buying power of the US population. The countries punished with higher tariffs might see their exports being substituted by relatively cheaper goods produced by countries that have been prescribed lower tariffs. The countries with the higher US tariff would therefore face stronger recessionary pressures.

Global exports of goods were USD 25 trillion[4] in 2024. US imports of goods are equivalent to about 13.6% of total export value of goods in the world. This is significant, and taking into account the existing over-capacity in multiple sectors – housing, construction, iron and steel, several commodities etc – this additional downward pressure is likely to push the global economy into a downward spiral, which as usual, will affect the bottom 20% of the population in all countries most adversely, as they are the least likely to have savings or be enrolled in social protection schemes.

If a recession unfolds, it probably will occur about a 1 year from now, as it takes time for the negative multiplier effects[5] to kick in. That gives us sufficient time to plan carefully how we in Malaysia can manage this downturn. As the PSM stressed during the Covid induced lockdowns in 2020-2021, one of the primary policy goals should be to ensure that no Malaysian is deprived of basic needs – food, housing, health care and education. We have more than enough resources to ensure that. But we need to work on a good contingency plan.

The PSM calls on the Madani government to take the possibility of a global recession seriously and start working on a contingency plan to deal with it.

Released by,
Jeyakumar Devaraj
Chairperson
Parti Sosialis Malaysia

Notes

  1. https://tradingeconomics.com/united-states/gdp
  2. Elasticity of prices refers to the impact of prices on the effective demand for particular goods. Essential goods tend to have inelastic demand. In other words, people will have to buy them even though they are more expensive. Basic food products and medicines fall in this category.
  3. Real buying power is the actual buying power after taking into account inflation.
  4. UNCTAD figures. Trade in services accounted for about USD 7 trillion.
  5. Multiplier effects refers to the knock-on effects of an economic event. For example, the reduction of total income received by the factory workers in a country due to loss of overtime (due to reduction of exports to the US) for example, will lead to a decrease in aggregate demand in that economy, which in turn will lead to some lay-offs as well further diminution of overtime, which will further aggravate the decrease in aggregate demand.