Majikan harus beri lebih keutamaan kepada keselamatan, kebajikan dan nyawa pembersihan

Majikan harus beri lebih keutamaan kepada keselamatan, kebajikan dan nyawa pembersihan

oleh M. Sarasvathy

Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) mengucapkan terima Kasih kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah yang telah mengeluarkan arahan untuk menjalankan saringan COVID-19 ke atas kakitangan yang bekerja di Hospital Teluk Intan. Arahan ini telah dikeluarkan pada 26 Mac 2020. Akan tetapi, beliau juga menafikan dakwaan yang dikemukakan dalam kenyataan oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) pada 25 Mac 2020 mengenai 7 orang pekerja pembersihan di Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan yang dilarang oleh majikan Edgenta UEMS untuk melakukan saringan COVID-19.

Berkenaan dengan isu ini, kami telah dimaklumkan bahawa 7 orang pekerja pembersihan tersebut telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada 26 Mac 2020, lebih kurang pada pukul 2.00 petang. Terima kasih kepada pihak hospital Teluk Intan yang mengambil berat terhadap kesihatan 7 orang pekerja tersebut lalu menjalankan saringan COVID-19 ke atas mereka. Kami juga berharap saringan COVID-19 akan dijalankan ke atas semua pekerja pembersihan di Hospital Teluk Intan supaya keselamatan mereka lebih terjamin.

Pada masa yang sama, syarikat Edgenta UEMS, majikan kepada pekerja-pekerja pembersihan berkenaan, juga mengeluarkan kenyataan bahawa kesemua 7 orang pekerja pembersihan akan dijalankan saringan atau sedang tunggu untuk saringan berikutan keputusan positif ujian saringan 37 orang petugas Hospital Teluk Intan yang telah dikuarantin. Persoalan kami adalah, kenapa majikan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan lebih awal untuk pekerja-pekerja tersebut sebaliknya bersikap sambil lewa terhadap kesihatan mereka? Malah, pekerja dilarang oleh Penyelia Edgenta UEMS yang bernama Pn. Azilah untuk menjalankan saringan COVID-19 pada 25 Mac 2020.

Pekerja-pekerja tersebut juga diugut oleh Azilah bahawa jika sesiapa memberitahu dan mendedahkan sebarang perkara atau masalah yang berlaku di hospital kepada kesatuan, mereka akan diberhentikan kerja. Azilah mendakwa bahawa Kesatuan tidak ada kena mengena dengan pekerja dan tiada kesatuan di bawah majikan Edgenta UEMS, serta kesatuan hanya wujud di bawah majikan NS Medik Sdn. Bhd. sebelum ini.

Kesatuan KPSPSHKSM mengecam sekeras-kerasnya dakwaan pihak majikan Edgenta UEMS berkaitan dengan kesatuan. Adalah jelas menunjukkan bahawa tindakan Azilah tersebut merupakan pemangsaan ke atas ahli kesatuan sekerja (union busting). Kesatuan sekerja itu adalah untuk pekerja dan status kesatuan bukanlah ditentukan oleh penukaran atau pengambilalihan oleh majikan baru.

Pada masa kini, negara kita sedang menghadapi krisis yang serius disebabkan oleh wabak COVID-19. Malah, kerajaan telah melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020 untuk kebaikan rakyat Malaysia. Akan tetapi, Edgenta UEMS yang sepatutnya memberikan lebih perhatian kepada langkah-langkah keselamatan untuk pekerja pembersihan, tidak berbuat sedemikian malah memesongkan perkara ini kepada perkara lain yang tidak serius untuk masa kini.

Kesatuan menggesa pada pihak Edgenta UEMS supaya tidak memutarbelitkan fakta dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih efisyen untuk menjamin keselamatan pekerja-pekerja pembersihan yang juga merupakan barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus untuk membendung wabak COVID-19.

==========

M. Sarasvathy ialah Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM).

Mengapa bilangan kes baru COVID-19 masih meningkat?

Mengapa bilangan kes baru COVID-19 masih meningkat?

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Rakyat Malaysia dikejutkan pada 23 Mac 2020 dengan berita bahawa bilangan kes baru COVID-19 di Malaysia telah bertambah seramai 212 orang pesakit. Ini telah membawa kepada jumlah kes keseluruhannya 1518 orang pada 23 Mac 2020.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah memaklum bahawa 212 kes baru telah dikenalpasti dalam dua puluh jam yang tamat pada 12 tengah hari 23 Mac 2020. Jadual di bawah merumuskan bilangan kes baru yang didiagnosis di Malaysia setiap hari sejak 14 Mac 2020.

Series 1: Bilangan kes baru COVID19 di Malaysia

20200325 - series1

Adakah strategi Perintah Kawalan Pergerakan kurang tepat? 

Bilangan kes keseluruhan pesakit COVID-19 adalah 238 orang pada 14 Mac 2020. Ianya telah naik secara mendadak kepada 1518 kes dalam tempoh 8 hari. Ada orang awam yang menyoal mengapa begitu banyak kes baru COVID-19 masih berlaku walhal negara kita telah mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac 2020.

Jawapannya adalah, Perintah Kawalan Pergerakan hanya akan mengurangkan jangkitan baru selepas tarikh dikuatkuasakan secara berkesan (iaitu 18 Mac 2020). Namun, oleh kerana tempoh inkubasi untuk COVID-19 adalah 3 hingga 12 hari, seorang yang dijangkiti hanya akan mula menunjukkan gejala-gejala COVID-19 seperti demam, batuk dan sakit badan antara 3 hingga 12 hari selepas dia dijangkiti virus itu (tempoh masa purata inkubasi adalah 6 hari). Jadi, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mula dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, mereka yang sudahpun dijangkiti virus sebelum tarikh tersebut akan mengalami gejala penyakit COVID-19 selepas tarikh itu. Kita hanya boleh melihat pengurangan dalam kadar kes baru 6 hingga 10 hari selepas tarikh penguatkuasaan PKP, iaitu antara 25 Mac 2020 hingga 29 Mac 2020.

Adakah kadar kematian akan menurun selepas 30 Mac 2020? 

Kadar kemasukan kes ke Unit Jagaan Rapi (ICU) dan kadar kematian tidak akan menurun serentak dengan penurunan kadar kes baru. Sebelum kita ke situ, saya ingin menerangkan bahawa bukan semua kes Covid-19 perlu rawatan ICU. Statistik daripada negera China menunjukkan bahawa 80% kes COVID-19 boleh dirawat di wad biasa dengan ubat batuk dan ubat tahan demam, dan mereka akan sembuh dalam jangka masa 2 minggu. 15% daripada semua kes COVID-19 mengalami kesusahan dalam bernafas dan memerlukan rawatan oksigen yang boleh diberi melalui tiub hidung di wad biasa. Hanya 5% pesakit akan mengalami kesesakan nafas teruk dan memerlukan rawatan di ICU. Jika 5% ini menerima rawatan yang sesuai, 4 daripada 5 orang antara mereka ini akan pulih. Hanya seorang antara setiap 5 orang yang memerlukan rawatan ICU akan meninggal dunia walaupun rawatan yang sesuai diberikan padanya.

20200325 - timeline

Gambarajah di atas menunjukkan bagaimana pengenalpastian kes COVID-19 biasanya berlaku 7 hari selepas pesakit itu dijangiti virus, dan kemasukan ke ICU pula berlaku sepuluh hari selepas diagnosis untuk 5% antara keseluruhan yang didiagnosis. Dan daripada itu, untuk 1% pesakit yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19, secara puratanya mereka meninggal dunia 14 hari selepas kemasukan ke ICU.

Jadi bilangan kemasukan kes ke ICU hanya akan berkurang mulai 10 hari selepas kemuncak bilangan kes baru COVID-19. Dan bilangan kematian setiap hari akan berkurang 24 hari selepas kemuncak kes baru COVID-19.

Bolehkah Perintah Kawalan Pergerakan dapat ditamatkan pada 31 Mac 2020?

Saya rasa tidak boleh. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerana sistem kesihatan negara kita tidak dapat mengawal dan mengurangkan penularan penyakit COVID-19 di kalangan rakyat pada takat itu. Apabila terlalu ramai orang dijangkiti pada tempoh masa yang sama, sistem kita tidak mampu mengenalpasti semua kontak dan kuarantin mereka dengan selamat. Jika kita dapat mengasingkan semua kes penyakit COVID-19 di dalam hospital, dan mengasingkan semua kontaknya, ia tidak membawa kepada situasi seperti yang kita perhatikan di negara Itali. Di Itali, bilangan kes baru adalah 3,000 sehari dan sistem kesihatan Itali tidak mampu memberi kesemua pesakit rawatan yang sepatutnya diberi. Itulah sebabnya kadar kematian di Itali sudah mencapai 9% daripada semua kes yang dikenalpasti. (Kadar kematian di China di luar Wilayah Hubei adalah hanya 1%.)

Kerajaan kita telah mengambil keputusan yang bijak dalam mengumumkan PKP supaya kami dapat memasang tembok pertahanan terhadap wabak COVID-19 ini. Pada saya, kita perlu mengurangkan kes baru di Malaysia ke bawah 50 sehari sebelum kita melepaskan tembok pertahanan ini. Barulah sistem kesihatan kita akan dapat mengasingkan kes-kes baru itu, dan juga mencari dan mengkuarantin semua kontak-kontak mereka. Matlamat kita adalah untuk membawa bilangan jangkitan dalam negara kita ke angka sifar seperti telah dilakukan di wilayah Hubei di negara China. Tetapi jika berjaya mencapai itu pun, kita perlu terus berjaga-jaga kerana wujudnya risiko tinggi kes-kes COVID-19 akan diimport semula ke Malaysia oleh pelawat ataupun warga Malaysia yang melawat ke luar negara.

Saya juga berpandangan bahawa bilangan kes baru tidak akan turun kepada 50 sehari pada 31 Mac 2020 dan tempoh PKP harus dilanjutkan untuk sekurang-kurangnya satu minggu lagi. Saya sedar bahawa PKP ini menyusahkan rakyat kerana ramai sudah menghadapi masalah kewangan untuk membeli keperluan harian. Tetapi jikalau kita menghentikan PKP terlalu cepat, wabak COVID-19 akan meletup semula dan ianya akan membawa masalah yang lebih besar kepada kita semua. Kerajaan harus menangani situasi kekangan wang dengan melaksanakan bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) secepat mungkin supaya sebahagian besar keluarga B40 mendapat sedikit wang untuk menguruskan keluarga mereka buat masa ini.  (Nota: Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pada 25 Mac 2020 bahawa PKP akan dilanjutkan 2 minggu lagi sehingga 14 April 2020.)

Tulisan saya sampai setakat ini dahulu.  Tolong mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Ianya dilaksanakan untuk kebaikan umum. Dan pada masa yang sama, hulurkanlah bantuan kepada jiran-jiran yang menghadapi masalah dalam memperolehi makanan untuk keluarga. Cuba menganjurkan bantuan di peringkat komuniti saudara-saudari masing-masing, tetapi jika tidak dapat memberi bantuan secukupnya, hubungilah pihak kerajaan. Kita boleh mengatasi masalah wabak COVID-19 ini jika kita semua bekerjasama dan bertindak atas prinsip solidariti sesama manusia.

========== 

Dr Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan seorang doktor pakar pernafasan dan anggota kepada Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK).

Ujian COVID-19 dan KWSP: Jangan umum sesuatu sebelum berfikir betul-betul

Ujian COVID-19 dan KWSP: Jangan umum sesuatu sebelum berfikir betul-betul

oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya berhenti membuat keputusan tergesa-gesa pada ketika seluruh negara sedang menempuh kesusahan. 

1. Isu bayaran ujian COVID-19

Perdana Menteri berkata dalam sidang akhbar tengahari tadi (23 Mac 2020) bahawa warga asing perlu membayar untuk ujian COVID-19. Namun, nasib baiknya Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hashim Abdullah menjelaskan kemudian bahawa ujian COVID-19 di mana-mana klinik atau hospital di bawah Kementerian Kesihatan adalah PERCUMA untuk semua orang termasuk warga asing. Ketika kita sedang sibuk melawan pandemik ini dan menggalakkan warga migran, termasuk mereka yang tanpa dokumen, untuk keluar mendapatkan ujian dan rawatan jika mereka mempunyai simptom penyakit, kenyataan daripada Muhyiddin Yassin sebegini adalah tidak bertanggungjawab. Ini bukan masanya untuk menjimat kos ataupun terus melaksanakan dasar-dasar yang bersifat diskriminasi. Serangan virus itu tidak mendiskriminasi sesiapa pun.

PSM menyeru pada Perdana Menteri, Menteri Kesihatan dan Ketua Polis Negara supaya memberi jaminan yang jelas bahawa sesiapa yang mempunyai simptom boleh menjalani ujian dan rawatan COVID-19 secara percuma dan tanpa sebarang gangguan. Jaminan ini penting kerana golongan migran dan pelarian di negara kita akan berasa lega untuk tampil ke hadapan tanpa ketakutan daripada ditangkap atau didakwa atau dihantar pulang ke negara asal apabila mereka menjalani ujian saringan atau rawatan COVID-19.

PSM juga menyeru pada Kerajaan untuk mengisytihar moratorium ke atas operasi penangkapan imigresen selama 6 bulan. Kerajaan harus menubuhkan satu jawatankuasa bersama dengan komuniti pekerja asing untuk membantuk Kementerian Kesihatan dalam mengenalpasti dan menghubungi kes-kes COVID-19 dalam kalangan mereka di samping menyampaikan maklumat kesihatan kepada pekerja-pekerja asing.

2. Pengeluaran simpanan KWSP

PSM bersetuju dengan pendirian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mengkritik Kerajaan Perikatan Nasional kerana membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan wang maksimum RM500 sebulan sehingga bulan Disember ini. Ini merupakan satu tindakan yang tidak bijak dan tidak dipertimbangkan betul-betul. Kebanyakan orang yang memang menghadapi kesusahan hidup sebenarnya tidak mempunyai akaun simpanan KWSP pun, seperti petani, pekerja dalam sektor ekonomi gig dan sebagainya. Oleh sebab Kerajaan sudahpun menyatakan bahawa majikan tidak boleh memotong gaji dan adanya Skim Insurans Pekerjaan (SIP) untuk membantu pekerja-pekerja yang menghadapi pemberhentian kerja, maka adalah tidak perlu untuk ini. Pendekatan sebegini akan sekali lagi menghakis kebajikan hari tua pekerja dan mewujudkan lubang besar dalam jaring keselamatan mereka.

==========

S.Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pekerja migran derita kerana syarikat milik CMI Melaka gagal laksana tanggungjawab sebagai majikan yang berperikemanusiaan

Pekerja migran derita kerana syarikat milik CMI Melaka gagal laksana tanggungjawab sebagai majikan yang berperikemanusiaan

BANDAR BARU BANGI, SELANGOR – 17 FEBRUARI 2020: Seramai 130 orang pekerja migran dari Bangladesh tidak dibayar gaji 5 bulan dan terpaksa hidup dalam keadaan menderita tanpa pendapatan asas untuk makanan serta keperluan asas lain, kerana majikan yang mengupah mereka gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk melindungi hak asasi pekerja. Lebih-lebih lagi, pemegang saham terbesar syarikat yang tidak mempedulikan kebajikan pekerjanya ini ialah sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Melaka,  Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI).

Sekumpulan wakil untuk pekerja yang diupah oleh SSN Medical Products Sdn Bhd telah membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Cawangan Bangi pada hari ini kerana majikan mereka gagal membayar gaji dari bulan Oktober 2019 sehingga sekarang. Selain itu, majikan mereka juga tidak memperbaharui permit kerja pada tahun lalu untuk semua pekerja migran yang dibawa masuk sejak bulan Mei 2018. Pekerja-pekerja migran ini masih bekerja selepas tamat tempoh permit kerja kerana kontrak mereka adalah untuk 3 tahun. Majikan juga tidak membeli tiket penerbangan pulang ke negara asal untuk semua perja walaupun permit kerja sudah tamat tempoh sejak bulan Mei 2019, seperti dikehendaki undang-undang.

Pemegang saham yang terbesar sekarang untuk SSN Medical Products Bhd Bhd dengan kilang pengeluar barangan perubatan getah yang terletak di Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan, Selangor, ialah Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) yang memiliki 80% daripada jumlah saham syarikat tersebut.

Syarikat SSN Medical Products Bhd Bhd membawa masuk 130 orang pekerja dari Bangladesh melalui perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan Bangladesh (G2G) sejak tahun 2018. Pekerja-pekerja ini dibawa masuk secara berperingkat dalam lima kumpulan mulai bulan Mei 2018. Pekerja-pekerja ini mempunyai kontrak pekerjaan dengan syarikat tersebut untuk tempoh 3 tahun dari tarikh masuk ke negara ini. Permit kerja mereka hanya diambil untuk jangkamasa setahun ketika mereka dibawa masuk, iaitu tamat tempoh permit antara bulan Mei 2019 hingga Januari 2020. Namun, pihak syarikat gagal memperbaharui permit kerja mereka sehingga hari ini.

Pasport untuk pekerja-pekerja ini masih dipegang oleh pihak majikan. Keadaan ini menyebabkan mereka sering menghadapi gangguan daripada pihak polis kerana tidak memiliki dokumen sah, walaupun keadaan ini wujud bukan kerana kesalahan mereka.

Menurut pekerja-pekerja migran ini, pengeluaran syarikat telah berkurangan dan jumlah hari bekerja juga semakin berkurangan sejak bulan November 2019. Kelewatan dalam pembayaran gaji bermula sejak bulan Julai 2019, kemudiannya langsung tidak dibayar gaji sejak bulan Oktober 2019. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa meminjam wang daripada kawan-kawan lain untuk mendapatkan keperluan asas mereka. Pekerja-pekerja ini tinggal di asrama yang disediakan oleh majikan dengan RM50 dipotong daripada gaji mereka setiap bulan.

Pihak pekerja juga pernah mengadu masalah ini kepada Kedutaan Bangladesh pada bulan Ogos 2019 dan 8 Feb 2020, namun tiada sebarang tindakan diambil. Pada 12 Feb 2020, pekerja-pekerja telah membuat satu aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja di Putrajaya.

Memandangkan situasi pekerja semakin teruk, di samping pihak majikan langsung tidak mengambil peduli tentang kebajikan dan kesihatan pekerja, dalam aduan yang dibuat di JTK Bangi pada hari ini, para pekerja menggesa JTK Bangi untuk mengambil tindakan berikut:

  • Mendapatkansemula gaji 3 bulan pekerja berkenaan yang disimpan oleh pihak majikan sebagai deposit sekuriti.
  • Mendapatkan semula gaji pekerja yang tidak dibayar dari bulan Oktober 2019 hingga Februari 2020 (5 bulan).
  • Menguruskan pas sementara untuk semua pekerja berkenaan(yang tamat tempoh permit kerja) sehingga gaji tertunggak dan  pampasan yang lain dibayar penuh.
  • Memastikan majikan membelikan tiket penerbanganuntuk semua pekerja yang berkenaan supaya mereka dapat kembali ke negara asal selepas di ayar gaji tertunggak dan pampasan lain.

Aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Kajang, Letchimi Devi dan Vaani, telah membantu pekerja-pekerja migran ini untuk mengemukakan aduan mereka kepada pihak JTK. Turut hadir bersolidariti untuk pekerja migran ini ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM.

“Kami berharap pihak JTK akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan perkara ini memandangkan situasi pekerja-pekerja ini yang tidak mempunyai sebarang pendapatan atau simpanan untuk keperluan asas mereka. Tanpa dokumen sah, mereka juga tidak boleh bekerja di tempat lain,” kata Letchimi Devi.

Penternak jadi mangsa kepada pembangunan yang abaikan kesejahteraan rakyat marhaen

Penternak jadi mangsa kepada pembangunan yang abaikan kesejahteraan rakyat marhaen

oleh Gandi CF

Sejak kebelakangan ini, timbulnya banyak isu berkaitan dengan penternak dan petani, terutamanya isu pengusiran paksa. Beberapa bulan yang lepas, pihak pengurusan syarikat Sime Darby telah mengeluarkan notis pengusiran paksa kepada semua penternak yang mengusahakan penternakan lembu dan kambing di ladang-ladang Sime Darby, dan kelmarin pula satu kandang di Bukit Tinggi, Selangor, telah dirobohkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang. Apakah nasib penternak selepas ini?

Apabila isu-isu pengusiran paksa diviralkan dalam laman media sosial, saya rasa sakit hati apabila terbaca komen-komen yang ditulis. Begitu sempit pemikiran segelintir rakyat Malaysia di mana mereka tidak dapat membezakan antara isu penternak dengan isu perkauman. Masalah ini adalah masalah seorang penternak yang menghadapi pengusiran paksa, dan jangan pandang dari sudut perkauman.

Apakah masalah sebenarnya yang dihadapi oleh penternak?

Sebenarnya, penternak ini menternak di sesuatu kawasan untuk beberapa generasi tetapi mereka mula mengalami masalah apabila sesuatu kawasan itu berlaku pembangunan. Masalah ini wujud akibat perancangan pembangunan yang tidak seimbang dan mengabaikan bidang pertanian. Baru-baru ini, kita dapati kebanyakan kerajaan negeri melantik penguatkuasa untuk menangkap lembu-lembu yang berkeliaran di tempat awam dan usaha ini dapat sambutan baik daripada kalangan orang ramai, tetapi sebab lembu-lembu itu berkeliaran tidak diketahui oleh orang ramai. Punca sebenarnya, kawasan-kawasan tersebut merupakan kawasan penternakan dari dulu lagi, tetapi akibat daripada berlakunya pembangunan, maka ternakan tersebut tiada lagi tempat untuk meragut dan terpaksa berkeliaran di kawasan awam.

Persoalan di sini adalah, mengapa kerajaaan tidak menyediakan atau menawarkan tempat lain untuk penternak-penternak ini, sebaliknya beria-ia untuk mengambil tindakan pengusiran paksa. Sepatutnya sebelum sesuatu perancangan pembangunan dilakukan, perlu buat tinjauan terlebih dahulu. Selesaikan masalah penternak dan bincang terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan. Sekiranya tempat yang sesuai sudah ditawarkan, tetapi penternak masih berdegil untuk tidak berpindah, barulah ambil tindakan, tetapi perkara ini tidak berlaku. Nampaknya kerajaan langsung tidak mempedulikan penternak.

Kawasan ladang diberi notis pengusiran, kawasan bandar pun diberi notis pengusiran. Jadi, ke manakah penternak ini akan pergi? Ada antara kalangan kita akan bertanya, kenapa tidak beli tanah sendiri? Untuk menjalankan aktiviti penternakan, perlunya tanah yang luas. Harga tanah yang terlalu tinggi menjadi batu penghalang untuk penternak memiliki tanah sendiri, terutamanya penternak kecil-kecilan. Lagipun, di mana adanya tanah untuk dibeli? Memang sukar sekali. Jika ada tanah pun, harganya adalah jauh lebih tinggi daripada kemampuan penternak itu sendiri. Oleh itu, isu penternak adalah serius dan perlu mencari jalan penyelesaian untuk menjamin kesejahteraan penternak. Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk menyelamat sektor penternakan.

==========

Gandi CF ialah aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Seremban. Beliau juga merupakan seorang penternak.