Pemuda Sosialis: Ringankan beban rakyat semasa PKP

Pemuda Sosialis: Ringankan beban rakyat semasa PKP

Pemuda Sosialis mengalu-alukan keputusan kerajaan di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh diumumkan walaupun kami berpendapat bahawa keputusan seharusnya diambil lebih awal dahulu. Beberapa pendekatan harus diambil oleh pihak kerajaan supaya perintah kawalan ini tidak membebankan rakyat negara kita.

  1. Pemuda Sosialis telah lama menyarankan dan menggesa kerajaan untuk melaksanakan moratorium hutang automatik kepada golongan yang berpendapatan rendah (B40 dan M40). Pelanjutan moratorium ini akan membantu golongan pekerja dan pemilik perniagaan kecil/sederhana untuk mengharungi pandemik COVID-19. Adakah kerajaan akan memberi keutamaan untuk keuntungan bank atau kebajikan rakyat? Pilihan di tangan kerajaan.

  2. Pemuda Sosialis menjangka PKP ini akan dilanjutkan pada masa hadapan apabila kapasiti hospital-hospital tertentu sedang dan telah mencapai tahap maksimum. Dalam situasi sebegini, kerajaan harus melaksanakan program Pendapatan Asas Sejagat Diubahsuai (Modified UBI) supaya rakyat tidak mengalami kesulitan dalam memperolehi keperluan asas seperti makanan dan minuman.

  3. Pemuda Sosialis berpendapat bahawa kerajaan harus melaksanakan moratorium ke atas kutipan sewa tempat tinggal sepanjang pelaksanaan PKP. Moratorium ke atas kutipan sewa ini amat penting supaya rakyat yang terjejas akibat pandemik ini tidak kehilangan tempat tinggal. Satu pendekatan melalui kerangka undang-undang diperlukan supaya dapat melaksanakan moratorium kutipan sewa.

  4. Kerajaan harus menyerap penganggur belia sebagai pekerja sosial kerajaan sepanjang tempoh masa pandemik ini. Kita memerlukan ramai pekerja sosial di kawasan-kawasan tertentu supaya bantuan kerajaan dapat sampai kepada rakyat dan keperluan rakyat dapat dikemukakan kepada pihak kerajaan. Tanpa pekerja-pekerja sosial yang efektif, memang mempunyai kemungkinan besar kepentingan rakyat dibiarkan tanpa diberi perhatian dalam tempoh masa ini.

  5. Pengumuman SOP baru dan senarai sektor ekonomi dan perkhidmatan perlulah diumumkan serta merta dan secara jelas supaya rakyat dapat bersedia PKP yang menyeluruh kali ini. Kerajaan seharusnya tidak mengulangi kesilapan yang akhirnya menyusahkan rakyat.

Gandipan Nantha Gopalan
Setiausaha Pemuda Sosialis
28/5/2021

Instagram : PEMUDA SOSIALIS
Facebook : Pemuda Sosialis
Twitter : Pemuda Sosialis