Pilihan dalam tangan pengundi Semenyih

Pilihan dalam tangan pengundi Semenyih

SEMENYIH, SELANGOR – 1 MAC 2019: “Kami telah melakukan yang sebaik mungkin untuk menampilkan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berkualiti sebagai pilihan untuk mewakili rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, dan kini terletak dalam tangan pengundi Semenyih untuk menentukan siapa yang bakal dipilih menjadi ADUN Semenyih,” begitu katanya S. Arutchelvan selaku Pengarah Jentera Kempen Pilihanraya PSM untuk PRK Semenyih, dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada hari ini sebagai penggulungan kepada kempen PSM dalam PRK Semenyih sepanjang dua minggu ini,

Sepanjang tempoh kempen PRK Semenyih, PSM bersama dengan calonnya Nik Aziz Afiq telah melakukan banyak perkara sebagai usaha memantapkan amalan demokrasi di negara kita, antaranya:

  • Pengisytiharan harta oleh calon PSM;
  • Melafazkan ikrar anti perkauman;
  • Tidak melakukan serangan peribadi terhadap calon lain;
  • Calon yang paling awal mengemukakan manifesto;
  • Manifesto tempatan yang memang serasi dengan hasrat pengundi Semenyih;
  • Kesediaan calon untuk berdebat dalam debat calon anjuran BERSIH 2.0 dan kemudian terlibat dalam Wacana Sinar yang disiarkan secara langsung dalam Astro Awani
  • Berjaya mengetengahkan pelbagai isu nasional dan mendapat reaksi, seperti gaji minimum, masalah yang dihadapi pekerja kontrak, sistem kesihatan awam yang terancam, perumahan mampu milik, masalah yang dihadapi pangsapuri kos rendah, pendidikan awam dan pengangkutan awam.
  • Ketika parti lain membawa masuk orang-orang kenamaan dan menteri-menteri (termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri) untuk berkempen di Semenyih, PSM pula berjaya membawa suara pekerja kontrak, pekerja ladang dan penghuni pangsapuri kos rendah untuk bercakap terus kepada media tentang masalah dan tuntutan mereka, selaras dengan slogan PSM “Bersama Membina Kuasa Rakyat”;
  • Mengadakan sidang media setiap hari untuk mengetengahkan isu-isu rakyat;
  • Siaran langsung di laman facebook setiap malam untuk membincangkan isu-isu rakyat;
  • Mendapat sokongan daripada aktivis hak asasi manusia dan masyarakat sivil.

Arutchelvan berkata, “Kempen PSM berjaya mengungkitkan beberapa isu yang mendapat reaksi terus daripada kerajaan, dan ini sebenarnya menguntungkan rakyat Semenyih. Sebelum adanya keputusan Pilihanraya Kecil pun, kempen kami berjaya membawa manfaat kepada penduduk Semenyih.” Antara isu yang dibangkitkan oleh PSM semasa kempen PRK Semenyih yang mendapat reaksi daripada kerajaan termasuklah menaiktaraf Klinik Kesihatan di Semenyih kepada Hospital Kerajaan, mendesak pemansuhan tol di Semenyih, penggubalan undang-undang baru untuk melindungi pekerja ladang dan kritikan terhadap skim insurans mySalam.

Menurut Arutchelcan, calon PSM Nik Aziz Afiq dan Jentera Kempen PSM mendapat pujian daripada pihak media kerana calon itu sendiri tahu tentang isu-isu tempatan dan mampu mengupas isu secara jelas, di samping kempen yang teratur.

Kempen PSM juga mendapat reaksi yang memberangsangkan daripada rakyat tempatan. Respon daripada golongan anak uda dalam mesia sosial amat menggalakkan. Terdapatnya pengundi yang tidak mengundi PSM dalam PRU lalu memberi respon yang positif dan berkata bahawa akan mengundi PSM kali ini. Ramai pengundi berpendapat bahawa perlunya satu alternatif ketiga selain Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Walau bagaimanapun, Arutchelvan mengatakan bahawa jumlah pengundi yang keluar mengundi mungkin akan menurun kerana masih ramai yang tidak terlalu teruja dengan PRK Semenyih ini.

Arutchelvan juga merespon kepada kenyataan Perdana Menteri Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mengkritik golongan sosialis dengan mengatakan bahawa pemimpin kerajaan hari ini harus mengubah cara pemikiran sosialis mereka dan tidak patut terus mengecam sistem kapitalis. Arutchelvan berkata bawa ini ada kaitan dengan pengundi yang semakin tertarik dengan ideologi sosialis yang memperjuangkan keadilan sosial sebenar. Golongan sosialis seperti PSM telah membangkitkan pelbagai isu rakyat seperti membantah penglibatan syarikat insurans dalam sistem kesihatan awam, mengenakan sekatan terhadap pembinaan rumah mewah supaya lebih rumah mampu milik dapat dibina, menolak penswastaan pendidikan yang dikendalikan oleh GLC yang bermotifkan keuntungan dan isu gaji minimum, di mana semua isu ini dan kritikan PSM terhadap Kerajaan PH memang mendapat respon yang baik daripada rakyat secara umumnya.

Calon PSM Nik Aziz Afiq berharap pada pengundi Semenyih supaya keluar mengundi secara beramai-ramai dan mengundi calon yang terbaik untuk membawa suara rakyat biasa ke dalam DUN Selangor.

Nik Aziz Afiq telah berjaya menunjukkan dirinya sebagai calon yang terbaik antara 4 calon yang bertanding dalam PRK Semenyih. Walaupun merupakan calon yang paling muda dari segi usia, tetapi pengalamannya melibatkan diri dalam aktivisme dan kebolehannya dalam menyampaikan penghujahan dengan jelas untuk membincangkan isu-isu rakyat, nampaknya jauh lebih menyerlah berbanding calon yang lain. PSM berkeyakinan bahawa Nik Aziz Afiq ialah calon yang terbaik dan bakal menjadi wakil rakyat yang dapat membawa suara rakyat secara lantang dalam DUN Selangor jika dipilih.

Proses pengundian untuk PRK Semenyih akan berlangsung pada hari esok, 2 Mac 2019, dengan masa pengundian dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang.