Siri 6 – Memperingati Perjuangan Pembebasan Aktivis PSM EO6 (2011) – Ulangtahun ke-10.

#HariIniDalamSejarah
Apa berlaku pada hari ini, 2hb Julai, 2011?

Hari yang amat bersejarah dan penuh dengan pelbagai insiden. Pada hari inilah 6 komrad PSM ditahan semula selepas dibebaskan dibawah Ordinan Darurat (Emergency Ordinance) dan Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa BERSIH adalah haram!

Sejak pagi kehadiran polis begitu banyak sekali dekat Mahkamah Butterworth, seolah-olah kita berada disebuah medan peperangan. Ianya taktik kotor Kerajaan yang ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa Negara sedang mengalami ancaman keselamatan nasional dari BERSIH dan juga PSM. Kami dikendalikan seperti pengganas antarabangsa!

Kehadiran polis yang begitu banyak sekali di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Khalis Abu Bakar, memohon lanjutan menahan reman 7 hari lagi keatas 30 aktivis PSM yang ditahan sejak 25hb Jun, 2011 itu. Ianya sengaja diminta walaupun polis langsung tidak mempunyai apajua bukti untuk menuduh kami dengan tuduhan berat Seksyen 122 Penal Code “memerangi YDPA dengan senjata” itu. Jelas dari pengalaman ini, bahawa polis boleh bertindak secara melampau demi menjaga kehendak politik pemerintah untuk kekal berkuasa.

Peguam mewakili PSM, Haji Sulaiman Abdullah

Walaubagaimanapun peguam arif kita, Haji Sulaiman Abdullah berjaya berhujah dengan efektif dan mematahkan permohonan polis untuk menyambung reman. Mahkamah menolak permohonan reman tambahan polis dan memutuskan semua aktivis dibebaskan dalam masa 2 hari iaitu 4hb Julai, 2011.

Berita gembira bahawa komrad kami akan dibebaskan dalam masa dua hari itu menjadi muram apabila 6 orang komrad kami iaitu Dr Kumar, Sarasvathy, Choo Chon Kai, Sarathbabu, Letchumanan dan Sugumaran ditahan semula dibawah Ordinan Darurat pada hari yang sama.

Mahkamah menolak permohonan reman tambahan polis dan memutuskan semua aktivis dibebaskan dalam masa 2 hari iaitu 4hb Julai, 2011.

Dari hari inilah bermulanya kempen intensif selama 27 hari secara beterusan menuntut pembebasan PSM EO6.

Siri #HariIniDalamSejarah ini akan menjejaki usaha PSM dalam Perjuangan Membebaskan Tahanan PSM EO6 sehingga hari mereka dibebaskan pada 29 Julai, 2011. Nantikan kiriman kami yang seterusnya.

#PartiSosialis

ℹ️ Untuk maklumat terkini, sertai saluran Telegram PSM di ? t.me/partisosialis

 

 

Siri 5 – Memperingati Perjuangan Pembebasan Aktivis PSM EO6 (2011) – Ulangtahun ke-10.

Apa berlaku hari ini, 1hb Julai, 2011?

Penahanan komrad-komrad PSM tercetus apabila pemerintah tercabar dengan seruan kempen politik yang dilancarkan oleh PSM bertemakan “ Udah lah tu Bersaralah BN” . Tekanan politik bertambah apabila rakyat mula bangkit bersiap sedia untuk turun ke jalan raya pada 9hb Julai, 2011 untuk himpunan BERSIH 2. Sebagai tindakan balas menakutkan rakyat, kempen PSM dikaitkan dengan BERSIH 2 dan tohmahan palsu dilemparkan keatas kami bahawa PSM menghidupkan semula fahaman komunisme !

Tambahannya pula, apabila dua orang komrad aktivis luar Negara hadir bersama kempen kami, pemerintah dan kuncu-kuncunya, UMNO, Perkasa dan media Utusan memainkan cerita bahawa kempen ini didalangi oleh agen luar. Dua orang yang hadir bersama kami ialah Song Min Youn seorang intern dari Korea dan Romy Castillo Deputy General-Secretary dari Partido Lakas ng Masa (PLM) Filipina.

Pada 1hb.Julai, 2011, Song Min Youn dibebaskan dan dihantar balik ke Korea tanpa apajua tuduhan dan syarat. Maka ianya membuktikan bahawa naratif pemerintah dan medianya hanyalah suatu manipulasi politik memburukkan PSM dan kempen kami. Dengan bebasnya komrad dari Korea itu, maka ianya memperkuatkan desakan kami bahawa Romy Castillo juga harus dibebaskan segera tanpa syarat.

Pada 1hb Julai, 2011 juga kami mengadakan suatu sidang media bersama YB Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Prof Dr Ramasamy di pejabatnya.

Romy Castillo, Deputy General-Secretary, Partido Lakas ng Masa (PLM) Filipina
Romy Castillo, Deputy General-Secretary, Partido Lakas ng Masa (PLM) Filipina

Siri #HariIniDalamSejarah ini akan menjejaki usaha PSM dalam Perjuangan Membebaskan Tahanan PSM EO6 sehingga hari mereka dibebaskan pada 29 Julai, 2011. Nantikan kiriman kami yang seterusnya.

#PartiSosialis

ℹ️ Untuk maklumat terkini, sertai saluran Telegram PSM di ? t.me/partisosialis

SIRI 2 Memperingati Perjuangan Pembebasan Aktivis PSM EO6 (2011) – Ulangtahun ke-10

SIRI 2 Memperingati Perjuangan Pembebasan Aktivis PSM EO6 (2011) – Ulangtahun ke-10

Kesemua keluarga 30 aktivis PSM yang ditahan apabila dalam perjalanan kempen Udahlah tu Bersaralah BN, membuat laporan polis di balai polis Seberang Prai Utara Pulau Pinang, memberikan desakan agar aktivis dibebaskan.

Pada malam itu, kami di ’serang’ oleh sekumpulan besar samseng UMNO dan Pekida yang bertindak mengintimidasi kami apabila kami berkumpul untuk membuat laporan polis.

Ianya seolah–olah dirancang bersama PDRM, supaya kami berasa takut dan beredar dari perkarangan balai polis itu. Pada ketika itu, kami bernasib baik bila ahli-ahli PAS Kepala Batas membantu kami dan memberikan kami tempat berteduh di markas mereka dan memastikan samseng–samseng UMNO tidak mengacau kami.

Pada pagi tersebut juga kami membuat laporan polis terhadap suratkhabar Utusan Malaysia dan Pekida yang menyebarkan tohmahan palsu bahawa kempen aktivis PSM didalangi oleh agen luar Negara.