50,000 pekerja pembersihan sekolah bakal terjejas dengan pengurangan gaji

Surat terbuka

YB Menteri KPM,

Kami Parti Sosialis Malaysia kecewa dan terkejut mendengar bahawa kerajaan telah mengurangkan bayaran kepada kontraktor pembersihan sekolah berasaskan SOP PKP yang hanya membenarkan 60% pekerja di tempat kerja pada satu-satu masa.

Adakah YB sedar bahawa tindakan kerajaan akan mengurangkan gaji pekerja pembersihan sebanyak 40% ke RM660 – RM720 sebulan? Dan bahawa ia akan menjejaskan sejumlah 50,000 pekerja pembersihan di seluruh Malaysia, bandar dan luar bandar?

Kami sedar akan keengganan kerajaan melihat pekerja kontrak sebagai pekerjanya walaupun menjadi ‘paymaster’ mereka. Kami biasa dengan posisi kerajaan bahawa sebarang masalah kerja yang dihadapi pekerja kontrak adalah tanggungjawab kontraktor, dan aduan harus dibuat di Jabatan Tenaga Kerja. Tetapi kerajaan tidak boleh lari dari tanggungjawabnya terhadap hak dan kebajikan pekerja kontrak di premisnya.

Kami faham pandemic Covid telah menyebabkan tekanan kewangan yang besar kepada kerajaan yang terpaksa belanja berbilion-bilion ringgit bagi menyokong ekonomi dengan membantu perniagaan dan keluarga B40 yang terjejas.

Namun, tindakan memotong gaji bercanggah dengan niat nyata kerajaan untuk mengelakkan kemiskinan tegar dan kelaparan semasa krisis Covid. Sebab sesungguhnya, pengurangan gaji bagi lapisan pekerja ini yang kebanyakan mereka sudah pun dalam lingkungan B20 akan memiskinkan mereka lagi.

Sebilangan besar golongan ini terdiri dari ibu tunggal, atau adalah punca pendapatan tunggal yang sedang bersusah payah dengan gaji minima RM1,100 – RM1,200 untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat. Mungkin YB ada cadangan bagaimana golongan pekerja ini dapat uruskan belanja mereka dengan separuh gaji? Seperti YB sedar, golongan miskin menghabiskan semua pendapatan mereka untuk keperluan harian – makanan, perumahan dan utiliti, pengangkutan dan kesihatan. Maka kalau pendapatan dipotong 40%, keperluan asas mereka tidak dapat diperolehi.

Sebabnya, pekerja pembersihan sekolah kerajaan ini tidak ada simpanan wang yang boleh membantu mereka apabila berlaku pengurangan pendapatan. Mereka adalah antara pekerja yang amat tertindas akibat sistem kontrak yang disalahpakai oleh kerajaan kononnya untuk menjimatkan kos. YB, sistem kontrak sepatutnya digunakan untuk kerja-kerja sementara, bukan untuk kerja-kerja yang tetap seperti pembersihan sekolah. Akibat sistem ini, seorang pekerja akan sentiasa menerima gaji permulaan sahaja tidak kira 2 atau 20 tahun perkhidmatannya; caruman kepada Perkeso dan KWSP akan sentiasa dikira berasaskan gaji minima maka pada umur persaraan simpanannya hanya beberapa sahaja di KWSP.

Kami tak faham. Kerajaan amalkan SOP hanya 60% pekerja dibenarkan ditempat kerja. Adakah kerajaan potong gaji untuk kakitangannya? Untuk syarikat swasta, kerajaan sediakan skim bantuan upah. Semua ini adalah langkah-langkah yang baik untuk rakyat. Jadi mengapakah menganaktirikan pekerja pembersihan sekolah?

Menurut undang-undang kerja negara kita, majikan tidak boleh potong gaji pekerja. Tetapi kerajaan sendiri melanggar Akta Kerja!

PSM menyeru kepada Kerajaan Malaysia untuk membatalkan dengan serta merta keputusan untuk mengurangkan gaji pekerja kontrak di sekolah-sekolah kerajaan.

R. Mohanarani
Ahli J/kuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia