Batalkan Terus Projek Lombong Nadir Bumi di HSK Ulu Jelai dan penempatan Orang Asli Pos Lanai

Batalkan Terus Projek Lombong Nadir Bumi di HSK Ulu Jelai dan penempatan Orang Asli Pos Lanai

KENYATAAN AKHBAR PARTI SOSIALIS MALAYSIA- 25HB.OGOS, 2021

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan kenyataan YAB Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 24hb. Ogos, 2021 di Dewan Negeri Pahang bahawa tiada kelulusan pajakan melombong untuk nadir bumi Lanthanide di HSK Ulu Jelai, Lipis yang juga menjadi penempatan Orang Asli Pos Lanai.

Beliau mengatakan bahawa “Permohonan baru akan diproses oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan akan ada laporan awal teknikal. Ada dua perkara yang mesti dipatuhi iaitu Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar dan Skim Pengendalian Melombong (OMS) sebelum pajakan lombong boleh diluluskan. Tanpa dua perkara ini, mereka tidak boleh beroperasi.” YAB Menteri Besar berkata demikian apabila menjawab soalan-soalan dari YB Lee Chean Chung (PKR-Semambu) dan YB Young Syefura Othman (DAP-Ketari).

Tiada Pajakan Melombong Lanthanide Dikeluarkan Di Jelai – MB Pahang

Walaupun, pengerak projek (syarikat perlombongan) pernah melampirkan suatu surat ‘kelulusan’ dari PTG Pahang dalam Laporan Terms of Reference EIA nya ( Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar), tetapi kami berharap YAB Menteri Besar akan kekal dengan keputusannya untuk tidak meluluskan apajua pajakan perlombongan nadir bumi dan terus membatalkan projek lombong nadir bumi Lanthanide di HSK Ulu Jelai ini.

PSM bersama pelbagai organisasi alam sekitar dan masyarakat prihatin telah menyuarakan bantahan kami kepada projek ini kerana pencemaran alam sekitar yang teruk akan berlaku jika lombong toksik ini dibenarkan.

Perlombongan ini yang akan mengunakan suatu teknologi in-situ leaching melibatkan proses mengepam bahan kimia dalam tanah Hutan Simpanan Kekal untuk mengeluarkan mineral yang mengandungi elemen nadir bumi Lanthanide. Penempatan terdekat yang akan kena tempias projek perlombongan ini ialah Kampung Orang Asli Pos Lanai kerana tapak lombong berada dihulu Sungai Telom. Sungai Telom yang menjadi sumber air kepada semua aktiviti kebun, ikan kepada komuniti Orang Asli Semai ini, mengalir betul-betul melalui tapak perlombongan ini!

Selain dari itu juga, yang merisaukan lagi ialah Sg Telom dan juga Sg Jelai merupakan ‘river basin’ Sungai Pahang yang menjadi sumber air untuk rakyat Pahang. Kami juga dimaklumkan oleh Pengurusan Air Pahang (PAiP) bahawa loji-loji air yang mengunakan Sg Jelai telah ditutup sebanyak 23 kali sepanjang tahun 2020 sebab aktiviti perlombongan dan perladangan yang mencemari punca air. Pihak Suruhanjaya Pengurusan Air Negara ( SPAN) juga memberikan amaran bahawa terdapat 18 ‘water intake’ ,iaitu 5 loji rawatan di Sg Jelai dan 13 loji di Sg Pahang yang terpaksa ditutup jika pencemaran berlaku. Ianya akan menyebabkan bekalan air untuk lebih 120,000 akaun penguna terputus di seluruh Pahang.


Maka, kami berharap Kerajaan Negeri akan terus membatalkan projek ini, yang akan membawa kemudaratan jangka panjang kepada alam sekitar dan masyarakat setempat, Orang Asli Pos Lanai. Tindakan sedemikian adalah selaras dengan hasrat KDYMM Pemangku Raja Pahang yang menekankan prinsip Environment, Social dan Governance (ESG) dalam titah baginda semasa pembukaan Dewan Negeri Pahang pada hari Isnin lalu.

Sivarajan A
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia

Kenyataan kami terdahulu