PSM SOKONG PENDIRIAN PAC – TETAPKAN GAJI SILING UNTUK CEO DAN PENGARAH BBP SEKARANG

PSM SOKONG PENDIRIAN PAC – TETAPKAN GAJI SILING UNTUK CEO DAN PENGARAH BBP SEKARANG

KENYATAAN MEDIA PSM: 13 OGOS 2024

PSM SOKONG PENDIRIAN PAC- TETAPKAN GAJI SILING UNTUK CEO DAN PENGARAH BBP SEKARANG

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan permintaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menetapkan garis siling bagi gaji ketua eksekutif (CEO) atau pengarah urusan Badan Berkanun Persekutuan (BBP). Rungutan berkaitan pengarah urusan atau CEO sebuah badan berkanun mendapat gaji yang keterlaluan bukanlah sesuatu yang baru.

Pada tahun 2018, arahan daripada Perdana Menteri dikeluarkan untuk menyemak semula gaji dan elaun pengerusi badan berkanun, suruhanjaya dan GLC selepas mendapati gaji pengerusi eksekutif MAVCOM mencecah RM85,000. Baru-baru ini pula, PM Anwar Ibrahim menegur sebuah agensi kerajaan ketika pelancaran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola BBP yang memberi gaji yang keterlaluan kepada pengerusi sehingga RM79,000.

Situasi sebegini hanya akan memburukkan lagi jurang pendapatan dan ketaksamaan antara rakyat di negara kita. Bayangkan situasi di mana seorang pengerusi badan berkanun kerajaan dibayar lebih 50 kali gaji bulanan seorang pekerja gaji minima RM1,500 di organisasi itu ataupun mendapat gaji seorang eksekutif yang bergaji RM3,500 sebagai gaji hariannya.

Penetapan gaji siling untuk sesebuah organisasi bukanlah sesuatu yang baru. Dikhabarkan negara China akan mempunyai penetapan siling untuk gaji tahunan di semua syarikat kewangan yang dimiliki oleh kerajaan. Kita juga dapat tengok terdapat beberapa industri sukan yang mempunyai penetapan gaji siling.

PSM sarankan:

  1. Memperkenalkan gaji siling dan struktur gaji pengurusan tertinggi yang berkait dengan gaji minima organisasi tersebut di semua Badan Berkanun, Agensi, Suruhanjaya dan GLC. Gaji pekerja terendah organisasi tersebut haruslah ditingkatkan terlebih dahulu sebelum gaji CEO ditingkatkan.
  2. Gaji dan elaun ahli lembaga pengarah dan pengerusi semua Badan Berkanun Persekutuan & Negeri, Suruhanjaya dan GLC haruslah telus dan mudah diakses untuk rakyat dan golongan pekerja menilai.

Badan berkanun kerajaan diwujudkan supaya kerajaan bertindak lebih efektif dan pantas dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dan mantapkan pentadbiran. Ia bukanlah suatu tempat untuk golongan profesional atau ahli politik untuk menambahkan kekayaan diri mereka. Adalah lebih baik untuk seorang pekerja gaji minima ataupun gaji median untuk menerima lebihan RM1 berbanding seorang daripada lembaga pengarah atau CEO. Pekerja biasa pasti akan membelanjakan RM1 yang berlebihan itu untuk keperluan asas dan duit itu akan berada dalam kitaran ekonomi lokal.

Ditulis oleh,

Gandipan
Ahli Jawatankuasa Pusat
Parti Sosialis Malaysia

PSM merakamkan penghargaan kepada Republik Afrika Selatan

PSM merakamkan penghargaan kepada Republik Afrika Selatan

PSM mengiringi gabungan Kepung Demi Palestin untuk menyerahkan surat kepada Duta Besar Afrika Selatan, H.E Encik Dave Malcolmson dalam merakamkan penghargaan kepada Republik Afrika Selatan kerana membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas jenayah pembunuhan beramai-ramai (genosid). Surat ini diserahkan pada 18 Januari 2024.

PSM diwakili oleh Komrad Danny dari Pemuda Sosialis. PSM berharap kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel akan memberi lebih banyak tekanan terhadap negara aparteid supaya rakyat Palestin memperoleh kebebasan selama-lamanya.

Memegang kata-kata Presiden Nelson Mandela, “Kemerdekaan kita tidak lengkap tanpa kemerdekaan rakyat Palestin”.

PSM SERU HENTIKAN PEROBOHAN RUMAH DI LADANG PADANG MEHA, KEDAH

PSM SERU HENTIKAN PEROBOHAN RUMAH DI LADANG PADANG MEHA, KEDAH

Hari ini, Pemaju bertindak merobohkan rumah kosong beratap asbestos di ladang Padang Meha Kedah sedangkan masih ada banyak keluarga yang tinggal disitu. Jika perobohan berlaku pada hari ini maka bekas pekerja yang masih menduduki ladang tersebut akan terdedah kepada debu bahaya dari Atap Asbestos yang akan menyebabkan kanser/masalah Kesihatan.

Pekerja-pekerja di Ladang Padang Meha – Padang Serai Kedah ataupun dikenali sebagai Ladang Hup Seng, telah diberhentikan kerja oleh majikan Asiatic Company (Malaysia) Bhd (EACM) pada tahun 1995 apabila ladang tersebut dijual kepada syarikat MBf.

EACM telah membayar RM 3.3 juta kpd MBF untuk dibayar kepada 210 orang bekas pekerja tetapi MBF tidak membayar. Anak syarikat MBF, Alamanda, telah berjanji untuk membina rumah teres dengan caj RM12,500 sebuah. Tetapi tidak ditunaikan dan bila pekerja fail kes, Alamanda gulung tikar.

130 orang bekas pekerja telah ambil kes di bawah peguam Hakem Arabi dan mendapat perintah mahkamah untuk dibayar pampasan yang disediakan oleh EAC. Mereka sedia kosongkan rumah.

Tetapi Kumpulan ke-2, seramai 80 orang, masih belum mendapat sebarang pampasan. Oleh itu mereka tidak rela mengosongkan rumah dan masih berjuang.

Vintage telah cuba dapat perintah pengusiran terhadap mereka pada tahun ini, tetapi ditolak oleh mahkamah. Sekarang kes menuntut pampasan sedang berlangsung di Mahkamah Sg Petani Kedah.

Perobohan pada hari ini adalah untuk mengusir mereka yang telah menerima pampasan. Namun, oleh kerana masih ada penduduk yang tinggal disana, PSM bimbang Kesihatan mereka yang terdedah kepada debu asbestos yang berbahaya.

Kerja 45 jam seminggu: Majikan harus patuhi pindaan Akta Kerja

Kerja 45 jam seminggu: Majikan harus patuhi pindaan Akta Kerja

Parti Sosialis Malaysia (PSM) berharap bahawa kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya mulai 1 Jan 2023 jika majikan-majikan tidak mematuhi atau mengubah polisi syarikat selaras dengan undang-undang baharu selepas pindaan terbaru Akta Kerja 1955.

Salah satu perubahan yang penting dalam pindaan Akta Kerja 1955 ialah pengurangan tempoh masa bekerja seminggu dari 48 jam ke 45 jam, termasuk waktu rehat. Ini telah dikemukakan di Parlimen oleh Datuk Seri M. Saravanan pada bulan Ogos 2022 ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Sumber Manusia.

Daripada pantauan kami, ramai pekerja masih tidak tahu mengenai pengurangan tempoh waktu bekerja termasuk waktu rehat, dan tiada sebarang perubahan dilakukan oleh majikan mereka.

Pihak kami menerima banyak soalan daripada pekerja yang untuk selama ini telah pun bekerja 5 hari dan separuh hari seminggu, iaitu bekerja dari hari Isnin ke Jumaat, Sabtu (separuh hari) atau pekerja yang bekerja penuh pada hari Sabtu setiap 2 minggu. Waktu bekerja ini telah lama digunakan oleh majikan kerana sebelum ini kerajaan tidak tegas dalam memastikan waktu rehat juga termasuk dalam pengiraan tempoh bekerja.

Dengan undang-undang baharu yang mula berkuatkuasa ini, seorang pekerja yang bekerja dari 8 am ke 5 pm telah bekerja selama 9 jam sehari. Jikalau pekerja ini bekerja dari hari Isnin ke Jumaat, Maka pekerja tersebut telah pun bekerja untuk 45 jam seminggu. Jika majikan ingin pekerja ini bekerja lagi separuh hari pada hari Sabtu, maka majikan mesti membayar gaji kerja lebih masa (OT).

PSM berharap Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia yang baharu, memastikan pengiraan jam kerja ini dipatuhi selaras dengan pengumuman Datuk Seri Saravanan, bekas Menteri Sumber Manusia, dan tindakan tegas diambil ke atas syarikat-syarikat yang tidak mematuhi undang-undang baharu.

Geetha Anbalagan
Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia
31 Disember 2022