Tugas Pertama PM ke-10: Tarik Balik Ratifikasi Perjanjian CPTPPA!

Tugas Pertama PM ke-10: Tarik Balik Ratifikasi Perjanjian CPTPPA!

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak mana-mana pihak yang akan menerajui Kerajaan Malaysia dalam beberapa hari ini, dengan segera menarik balik ratifikasi Kerajaan Malaysia menyertai perjanjian perdagangan CPTPPA. Ianya haruslah menjadi tugas pertama Perdana Menteri ke-10 yang baru! 

CPTPPA merupakan penjelmaan baru perjanjian Trans Pacific Partnership Agreement, TPPA yang diterajui oleh Amerika Syarikat. Ribuan rakyat telah turun membantah perjanjian TPPA ini sebelum ianya ditandatangani oleh Najib Tun Razak pada awal tahun 2016. Apabila Kerajaan Amerika Syarikat dibawah Donald Trump enggan menandatangani dan menarik diri dari TPPA ini, maka 11 buah negara lain termasuk Malaysia telah menjenamakan semula perjanjian ini sebagai CPTPPA dan menandatanganinya pada tahun 2018. Walaupun tanpa pernyertaan Amerika Syarikat, perjanjian ini masih merangkumi pelbagai syarat yang akan mengikat tangan Kerajaan Malaysia dan merampas kedaulatan kita. 

Malangnya, beberapa hari sebelum pembubaran Parlimen awal bulan Oktober, 2022 yang lalu, Menteri MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) bertindak dengan tidak bertanggungjawab dan menghantar surat ratifikasi penyertaan Malaysia sepenuhnya dalam perjanjian CPTPPA. Akibatnya, Kerajaan baru terpaksa menanggung implikasi perjanjian ini, kerana pelbagai polisi dan manifesto pro-rakyat tidak akan dapat ditunaikan apabila perjanjian ini mula berkuatkuasa pada 30hb. November, 2022 ini. 

Diantara kekangan yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia jika perjanjian ini berkuatkuasa ialah; 

  1. Penurunan tariff produk import akan menyebabkan lambakkan barangan dari luar negara dengan harga yang lebih murah dari barangan tempatan. 90% industri tempatan (yang masih dalam kategori Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS)) tidak akan dapat bersaing dengan produk impot, justeru menyebabkan mereka gulung tikar dan pekerja dihentikan. Pengangguran akan meningkat. 
  1. Lambakkan produk makanan dari negara-negara yang sektor pertanian mereka menerima subsidi yang tinggi, akan menawarkan produk makanan mereka dengan harga yang lebih rendah dari produk tempatan. Petani dan penternak lokal akan terjejas dan dalam jangka masa yang lama, rakyat terpaksa bergantung pada barangan makanan harian yang dimpot. 
  1. Pelbagai undang-undang negara akan dipaksa dipinda demi mematuhi kehendak perjanjian CPTPPA ini. Salah satunya ialah perundangan untuk mematuhi konvensyen UPOV91, iaitu perundangan yang akan menghalang petani daripada bebas berkongsi dan menjual benih dari ladang mereka. Ianya memaksa petani tempatan sujud kepada korporat industri pertanian antarabangsa yang akan monopoli bekalan benih dan racun perosak syarikat mereka. 
  1. Perjanjian CPTPPA ini melalui peruntukkan ISDS (Investor–State Dispute Settlement) memberikan kuasa kepada pelabur antarabangsa untuk menyaman Kerajaan Malaysia ke Mahkamah Antarabangsa, jika Kerajaan memperkenalkan apajua perundangan atau polisi baru yang ‘dipercayai’ akan menjejaskan keuntungan pelabur. Keputusan Mahkamah Antarabangsa ini dikuatkuasakan dengan merampas harta Kerajaan atau GLC Malaysia diluar negara jika Kerajaan gagal membayar pampasan. 
  1. Perjanjian CPTPPA ini akan menghalang apajua polisi afirmatif membantu peniaga tempatan bersaing dengan syarikat asing, kerana perjanjian ini menuntut ‘layanan saksama’ .Maka segala manifesto PRU dan polisi-polisi yang dirancangkan akan dicabar jika ianya dipercayai memberikan kelebihan kepada rakyat tempatan. 

Justeru itu, PSM bersama dengan pelbagai organisasi masyarakat dan pertubuhan akar umbi mendesak kepimpinan baru Kerajaan menjadikan tugas keluar CPTPPA ini sebagai tugasan pertama kerana ratifikasi ini perlu ditarik balik sebelum 30hb. November, 2022 ini. 

Apajua penilaian semula mengenai peryertaan dalam perjanjian ini harus dilengkapi dengan kajian kos manfaat yang tepat dan perdebatan dalam Parlimen. Peryertaan dalam perjanjian CPTPPA melibatkan isu kedaulatan negara dan harus diambil serius oleh Kerajaan dan Parlimen. 

Keluar dari CPTPPA
Tarik balik Ratifikasi CPTPPA Segera. 

Sivarajan A
Setiausaha Agung PSM 
23/11/2022