Begitulah ironinya keadaan para pekerja yang bekerja di premis sekolah-sekolah, bangunan Hospital dan Jabatan–jabatan Kerajaan yang lain. Mereka yang kerja setiap hari dibawah bumbung bangunan Kerajaan malangnya gagal dilindungi oleh Kerajaan kita sendiri.
Siapakah mereka ini? Mereka adalah para pekerja pembersih bangunan Kerajaan dan juga pengawal keselamatan di sekolah-sekolah, Hospital Kerajaan, Kementerian , Jabatan dan agensi Kerajaan yang lain . Dianggarkan seramai 230 ribu pekerja memberikan khidmat tersebut kepada premis Kerajaan .
Sebelum pertengahan 1990an, semua pekerja pembersihan, pekebun dan Pengawal keselamatan di premis bangunan Kerajaan adalah penjawat awam Kerajaan yang mempunyai jaminan kerja. Namun sejak dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ke 4 – Tun Dr. Mahahtir pada tahun 1996, sistem ini telah ditukar kepada sistem kontrak yang telah menghancurkan jaminan kerja.
Sistem kontrak ini dimulakan bertujuan untuk mewujudkan golongan kontraktor Melayu, dengan hasrat meningkatkan penyertaan usahawan Melayu dalam bidang perniagaan dan sebagainya. Maka kesemua pekerja yang dulunya bekerja terus sebagai staf Kerajan diminta untuk masuk bekerja dibawah syarikat-syarikat kontraktor ini dan meneruskan tugas mereka seperti biasa di premis yang sama.
Kontraktor –kontraktor ini pula diberikan kontrak oleh unit perolehan jabatan kerjaan untuk suatu tempoh tetap, biasanya 3 tahun. Selepas tamatnya 3 tahun, kontraktor tersebut akan bida semula tender tersebut. Jika syarikat lain yang berjaya memperolehi tender tersebut, maka para pekerja yang sama akan terus diserap masuk sebagai pekerja baru kontraktor baru ini .
Maka, walaupun pekerja tersebut telah bekerja sebagai pembersih bangunan sekolah sebagai contohnya untuk tempoh 20 tahun, tetapi beliau akan dilayan sebagai pekerja baru setiap 3 tahun , dan gaji dan kemudahan lainnya kekal pada tahap pekerja baru. Maksudnya beliau hanya dibayar gaji minima walaupun telah bekerja lama. Tiada peningkatan gaji, kerana bagi setiap kontraktor beliau adalah pekerja baru! Kelayakan cuti tahunan dan cuti sakit juga kekal sama sebagai pekerja baru.
Selain dari itu, para pengawal keselamatan pula mengalami masalah lambat dibayar gaji, gaji dipotong tanpa sebab, penyelewengan dalam pengiraan gaji lebih masa, caruman KWSP, PERKESO dan Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) yang tidak cukup dan sebaginya.
Jika dilihat keadaan pekerja kontrak yang bekerja sebagai pembersih bangunan Hospital Kerajaan, mereka dilayan begitu teruk walaupun mereka ini adalah barisan hadapan ‘frontliner melawan Covid 19. Pada masa dunia berjuang melawan pandemik Covid-19, Kerajaan pula enggan memberikan pengiktirafan kepada pekerja kontraktor ini sebagai ‘frontliner’.
Para doktor-doktor dan para jururawat di Hospital diiktiraf sebagai frontliners dan diberikan elaun khas RM600 dalam pakej stimulus pendamik pada tahun 2020. Bajet 2021 juga ada peruntukan untuk elaun khas kepada mereka. Tetapi pekerja-pekerja kontrak pembersihan dan pengawal keselamatan di premis Hospital Kerajaan yang sama tidak diiktiraf oleh Kerajaan. Kerajaan mengamalkan diskriminasi terhadap golongan ini. Seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof pernah berkata dalam Parlimen bahawa pembersih hospital tidak akan diberikan bayaran atau “one-off” sebanyak RM300 (https://www.malaysiakini.com/news/553331).
Tidakkah mereka sedar bahawa, sebelum dan selepas Doktor atau Jururawat merawat pesakit, pekerja pembersihanlah yang kena membersihkan tempat tersebut dan bagaimana pula mereka ini tidak layak diiktiraf sebagai frontliner padahal risiko yang dihadapi oleh mereka sama dengan Doktor dan Jururawat.
Inilah penindasan yang pekerja mengalami akibat sistem kontrak ini. Demi menjadikan segelintir kaum Melayu sebagai ushawan Melayu majoriti pekerja Melayu ditindas dan dirampas hak mereka.
Jelas sistem kontrak yang dipraktikkan ini bertentangan dengan Akta Pekerja 1955 sendiri. Seksyen 11 Akta Pekerja menyatakan bahawa, suatu kerja hanya boleh ditawarkan sebagai kerja tempoh tetap , ‘fixed term contract’ jika ianya kerja bermusim, spesifik dan tidak diperlukan selalu. Maksudnya kerja –kerja pembinaan atau penyelenggaraan yang akan selesai bila binaan atau penyelenggaraan itu siap.
Tetapi kerja pembersihan bangunan premis Kerajaan dan juga kerja memgawal keselamatan bangunan ini senantiasa diperlukan selagi bangunan ini masih berfungsi. Maka kenapa pula pekerja –pekerja ini diambil kerja sebagai pekerja kontrak khidmat tetap dan dicampakkan keluar bila tidak diperlukan lagi?
Sistem kontrak ini hanya untuk menjaga kroni-kroni politik demi mengekalkan sokongan politik dan kewangan Kerajaan yang memerintah. Sistem ini membenarkan orang tengah iaitu syarikat kontraktor, yang tiada kaitan dengan kerja dan tempat kerja untuk mengawal dan mentadbir pekerja. Orang tengah ataupun kontraktor-kontraktor ini melanggar undang-undang pekerjaan dan sering memangsakan pekerja seperti gagal membayar caruman Perkeso, KWSP dan sebagainya.
Walaupun banyak aduan dibuat terhadap kontraktor-kontraktor yang menindas ini , tetapi mereka seolah-olah kebal dan terus berjaya memperolehi kontrak dari Kerajaan. Jika disenarai hitam pun, mereka dengan mudah menggunakan syarikat kontraktor lain atas nama ahli keluarga mereka untuk meneruskan perniagaan dan membida untuk tender Kerajaan.
Sistem kontrak yang diperkenalkan dulu, sepatutnya mengurangkan kos kepada Kerajaan apabila khidmat sedemikain disumberluarkan. Maka Kerajaan tidak payah membayar pekerja dan menjaga kebajikan mereka.
Tetapi dalam 25 tahun ini, secara realitinya ianya menimbulkan lebih banyak kos kepada Kerajaan apabila banyak aduan pekerja terpaksa dikendalikan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ataupun Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) kerana layanan kontraktor-kontraktor swasta ini terhadap pekerja mereka.
Justeru itu , sistem pengambilan pekerja sebagai kontrak akibat penyumberluaran khidmat asas premis Kerajaan ini harus dihentikan. PSM mendesak agar Kerajaan terus menyerap pekerja-pekerja ini sebagai pekerja tetap Kerajaan dengan segala kemudahan seperti penjawat awam yang lain. Penindasan hak pekerja secara tidak langsung oleh Kerajaan sendiri adalah amatlah ironik dan memalukan. Demi hak pekerja ianya haruslah dihentikan segera.