Hong Kong di persimpangan kritikal

Hong Kong di persimpangan kritikal

Rakyat Hong Kong sedang berada di persimpangan politik yang kritikal pada ketika ini, setelah gelombang protes besar-besaran yang berlarutan untuk lebih 2 bulan di bandaraya pusat kewangan antarabangsa ini dan keganasan polis yang semakin hebat. Kerajaan Hong Kong sedang menghadapi krisis pentadbiran yang paling teruk di bandaraya tersebut sejak rusuhan golongan kiri pada tahun 1967 ketika masih di bawah penjajahan British.

Gelombang protes yang berterusan telah mengganggu perjalanan kehidupan harian biasa untuk penduduk Hong Kong. Aksi mogok pada 5 Ogos 2019 melumpuhkan banyak sektor. Adanya demonstran menyekat laluan jalanraya untuk seketika di beberapa buah tempat. Pada 12 Ogos 2019, sehari selepas keganasan polis yang paling teruk, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong membatalkan semua penerbangan keluar dan masuk Hong Kong, apabila puluhan ribu rakyat Hong Kong menuju ke Lapangan Terbang untuk berprotes di situ.

Gelombang protes yang terbaru di Hong Kong untuk 2 bulan yang lalu tercetus berikutan rancangan Kerajaan Hong Kong untuk meminda undang-undang ekstradisi yang membenarkan penghantaran suspek jenayah dari Hong Kong ke Tanah Besar China. Pindaan terhadap undang-undang ekstradisi ini mengundang kontroversi kerana kebimbangan di kalangan rakyat Hong Kong bahawa ia akan menghakis kebebasan sivil yang sudahpun semakin digugat oleh cara pemerintahan Kerajaan Hong Kong sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi, kebanyakan rakyat Hong Kong langsung tiada keyakinan terhadap undang-undang di Tanah Besar China yang sering digunakan untuk menindas golongan yang mengkritik Kerajaan Pusat Beijing.

Sebelum ini, tiada orang menjangkakan bahawa bantahan terhadap rang undang-undang ekstradisi ini boleh berkembang menjadi satu gerakan rakyat besar-besaran yang seolah-olah mencapai tahap revolusi. Reaksi daripada Kerajaan Hong Kong pula tidak menampakkan apa-apa keikhlasan untuk menyelesaikan konflik, sebaliknya dunia menyaksikan keganasan polis Hong Kong yang semakin tidak terkawal.

Lebih kurang 2 juta orang membanjiri jalanraya di pusat bandaraya Hong Kong pada 16 Jun 2019, menjadikannya demonstrasi yang paling besar dalam sejarah Hong Kong, melepasi 1.5 juta orang yang berprotes pada bulan Mei 1989 untuk bersolidariti dengan protes pelajar di Beijing ketika itu semasa Hong Kong masih berada di bawah pentadbiran British. Namun, Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam Cheng Yuet-gor hanya mengumumkan bahawa akan menggantungkan sementara proses pindaan undang-undang ekstradisi dan selepas itu tidak memberikan kata putus yang jelas untuk menarik balik sepenuhnya seperti yang dituntut oleh rakyat Hong Kong yang berprotes. Rakyat Hong Kong yang tidak berpuas hati dengan reaksi Kerajaan Hong Kong ini meneruskan protes dengan menyebarkan aksi-aksi protes ke semua daerah dalam bandaraya Hong Kong.

Rakyat Hong Kong bukan sahaja tidak berpuas hati dengan Kerajaan Hong Kong yang tidak memberikan satu jawapan yang jelas dalam perkara menarik balik pindaan undang-undang ekstradisi, malah sangat marah dengan keganasan polis semasa menyuraikan demonstran dengan kekerasan yang melampau.

5 tuntutan utama rakyat Hong Kong yang dikemukakan dalam gerakan terbaru ini ialah:

  1. Menarik balik sepenuhnya rang undang-undang ekstradisi;
  2. Menarik balik pencirian protes rakyat Hong Kong sebagai “rusuhan”;
  3. Membebaskan demonstran yang ditahan dan menggugurkan pendakwaan terhadap mereka;
  4. Menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat keganasan dan salahguna kuasa polis;
  5. Melaksanakan pengundian sejagat untuk pilihanraya Majlis Perundangan (Legco) dan Ketua Eksekutif Hong Kong.

Demonstration against a proposed extradition bill in Hong Kong

Keganasan polis Hong Kong yang tidak terkawal lagi

Sebelum bulan Jun tahun ini, gas pemedih mata ialah sesuatu yang agak terasing untuk rakyat Hong Kong yang berdemonstrasi di jalanan. Selepas penyerahan kuasa pentadbiran kepada Tanah Besar China pada tahun 1997, kali pertama polis Hong Kong menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstran adalah semasa protes anti-WTO pada bulan Disember 2005, apabila demonstran dari Korea Selatan cuba menyerbu masuk ke dewan persidangan perwakilan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO). Selepas hampir 9 tahun, polis Hong Kong menembak sekali lagi gas pemedih mata pada 28 September 2014, ketika tercetusnya gelombang protes menuntut pengundian sejagat untuk pilihanraya demokratik yang berlarutan untuk 81 hari. Pada tahun 2014, polis hanya menembak gas pemedih mata pada satu hari sahaja, dan tidak lagi menggunakannya sepanjang protes pendudukan jalanan yang hampir 3 bulan itu. Namun, sekarang ini, untuk 2 bulan yang lepas, rakyat Hong Kong yang menyertai protes jalanan dan mereka yang berada berdekatan dengan kawasan protes, pastinya akan terhidu gas pemedih mata selang beberapa hari!

Dengan ruang demokrasi yang semakin mengecut, tindakan polis Hong Kong yang mengganas semasa menangani demonstrasi, bukan sahaja mengancam lebih lanjut lagi kebebasan asas rakyat Hong Kong, maka sedang membahayakan nyawa rakyat Hong Kong. Hong Kong yang pernah diwar-warkan sebagai bandaraya yang paling selamat di dunia, sekarang ini menjadi sangat tidak selamat kerana kehadiran polis.

Sejak penggunaan kekerasan yang melampau dalam menangani demonstran pada 12 Jun 2019, polis Hong Kong telah mengulangi kaedah keganasannya di kebanyakan protes jalanan yang menyuarakan 5 tuntutan asas. Senario perarakan aman secara besar-besaran pada waktu siang diikuti dengan keganasan terhadap demonstran yang melibatkan tembakan gas pemedih mata pada waktu malam menjadi sesuatu yang biasa sepanjang bulan Julai 2019. Memasuki bulan Ogos 2019, gas pemedih mata turut dapat dirasai pada waktu siang.

Polis Hong Kong telah menggunakan penyembur lada secara meluas terhadap demonstran. Lebih 1,000 das gas pemedih mata telah ditembak sejak bulan Jun 2019. Gas pemedih mata yang sudah melepasi tarikh luput turut digunakan. Lebih 500 tembakan peluru getah dan peluru pundi kacang dilepaskan terhadap demonstran. Terdapat insiden di mana polis menembak peluru getah pada jarak yang dekat dan mensasarkan kepala demonstran. Setakat ini, sudah adanya 2 orang peserta aksi mengalami kecederaan mata yang serius kerana tembakan peluru getah pada jarak dekat oleh polis.

Keganasan polis yang paling teruk berlaku pada 11 Ogos 2019. Seorang peserta aksi wanita terkena tembakan gas pemedih mata pada mata kanannya dan menjadi buta. Polis menyerbu dan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke dalam stesen MTR Kwai Fong. Sementara di stesen MTR Tai Koo, polis menembak peluru getah terhadap peserta aksi pada jarak yang amat dekat, di samping mengejar dan memukul peserta aksi di atas ekskalator yang sedang bergerak. Di Causeway Bay, terdapat polis yang menyamar sebagai peserta aksi dengan memakai baju hitam dan kelengkapan yang sama dengan peserta aksi, menghasut peserta aksi untuk mara ke depan tetapi secara tiba-tiba menyerang peserta aksi dan menangkap mereka.

Tindakan polis Hong Kong semakin tidak mendapat kepercayaan daripada kebanyakan rakyat Hong Kong. Lebih-lebih lagi, ketika menggunakan kekerasan yang melampau terhadap demonstran yang pro-demokrasi, pihak polis Hong Kong bersikap lepas tangan apabila samseng upahan golongan pro-Beijing menyerang peserta aksi pro-demokrasi dan orang awam yang tidak berkenaan. Pada 21 Julai 2019, ratusan orang samseng menyerbu stesen MTR Yuen Long untuk memukul peserta aksi yang baru pulang dari perarakan dan orang awam yang tidak berkenaan, tetapi polis Hong Kong langsung tidak mengambil tindakan. Perkara yang serupa berlaku pada 11 Ogos 2019, apabila polis Hong Kong membiarkan samseng upahan yang dibawa masuk terus dari Tanah Besar China untuk mengganas di kawasan North Point.

Sehingga kini, dalam tempoh masa 2 bulan yang lalu, sudah hampir 700 orang ditangkap polis Hong Kong, dengan orang kena tangkap yang paling muda berumur 15 tahun, mengikut angka yang dikeluarkan oleh polis Hong Kong sendiri.

Kewibawaan polis Hong Kong yang disanjung tinggi sebelum ini sejak pembaharuan terhadap pasukan polis pada tahun 1970-an, telah lesap begitu sahaja dalam insiden demi insiden keganasan polis yang sudah sampai ke tahap di luar kawalan baru-baru ini.

20190813 - 600_phpmB2ZyT.jpg

Rakyat Hong Kong semakin terasa cengkaman kekuasaan Beijing

Gelombang protes yang hebat di Hong Kong baru-baru ini, mencerminkan kebimbangan, kegusaran, ketidakpuasan hati dan kemarahan yang semakin meningkat di kalangan rakyat Hong Kong, khususnya golongan anak muda yang terasa dengan tekanan ekonomi dan pengecutan ruang demokrasi di bandaraya ini.

Hong Kong mempunyai hubungan rapat dengan Tanah Besar China, sejak zaman penjajahan, kerana bandaraya ini menjadi pintu masuk keluar ke Tanah Besar China. Kebanyakan penduduk Hong Kong hari ini ialah mereka atau anak cucu kepada mereka yang melarikan diri dari Tanah Besar China, sama ada untuk mengelakkan diri daripada penindasan Kerajaan Pusat Beijing ataupun cuba membebaskan diri daripada kesusahan hidup di kampung halaman mereka.

Semasa penyerahan kuasa daripada penjajah British kepada Kerajaan Republik Rakyat China yang beribunegara di Beijing, Kerajaan Pusat Beijing pernah menjanjikan prinsip “satu negara, dua sistem” yang membenarkan autonomi politik dan ekonomi yang tinggi untuk Hong Kong. Kerajaan Pusat Beijing juga menjanjikan pengundian sejagat untuk pilihanraya demokratik yang memilih ketua kerajaan di Hong Kong. Namun, janji Beijing bukan sahaja tidak ditunaikan, sebaliknya menyaksikan penghakisan autonomi Hong Kong yang semakin serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sejak tahun 2014, Kerajaan Pusat Beijing telah menggunakan label “fahaman pemisah” atau “kemerdekaan Hong Kong” terhadap golongan yang anti-Beijing atau mereka yang memperjuangkan demokrasi di Hong Kong. Golongan berkuasa di Beijing telah menyamakan tuntutan untuk demokrasi atau hak mengundi sejagat (universal suffrage) dengan menuntut kemerdekaan Hong Kong.

Sebelum itu, fahaman atau seruan untuk “kemerdekaan Hong Kong” bukannya sesuatu yang berpengaruh di Hong Kong, tetapi tindakan campurtangan Beijing yang semakin menghakis autonomi Hong Kong, telah mendorong atau memaksa ramai orang yang hilang kepercayaan terhadap prinsip “satu negara, dua sistem” untuk bersimpati dengan idea-idea pemisahan. Dasar nasionalis Kerajaan Pusat Beijing yang mahu mengekalkan “kesempurnaan wilayah” dan tidak dapat bertoleransi dengan tuntutan demokratik itulah yang menggalakkan kemunculan dan perkembangan fahaman pemisahan.

Ramai rakyat Hong Kong yang sedang memperjuangkan demokrasi di bandaraya itu memang sedar dengan realiti objektif bahawa Hong Kong memang tidak dapat berpisah dengan Tanah Besar China, dan mereka tidak pernah memikirkan Hong Kong akan berpisah dari China sebelum ini. Namun, dengan pengaruh campurtangan Beijing yang semakin menghakis ruang demokrasi dan reaksi Kerajaan Hong Kong yang seolah-olah boneka Beijing, telah memburukkan lagi kegusaran rakyat Hong Kong terhadap kekuasaan Beijing.

20190813-20190702002252-0e17f6f31f85b5d755432649e94fa522-tablet.jpg

Campurtangan kuasa imperialis barat?

Kerajaan Pusat Beijing semakin kerap melemparkan tuduhan bahawa kuasa-kuasa luar, khususnya kuasa imperialis barat, adalah dalang di sebalik protes rakyat di Hong Kong. Ada yang menggunakan contoh terdapat demonstran yang mengibarkan bendera Amerika Syarikat dan Britain semasa protes, malah ada yang mengibarkan bendera Hong Kong semasa zaman penjajahan, sebagai “bukti” campurtangan kuasa luar.

Memang adanya segolongan peserta aksi yang tiada idea tentang imperialisme dan terpengaruh dengan hegemoni barat, yang menganggap kuasa barat itu dapat menyelamatkan mereka daripada kekuasaan kuku besi Beijing yang sedang mengancam kebebasan rakyat Hong Kong. Tetapi, mereka hanya golongan yang kecil dalam satu gerakan massa yang tercetus secara spontan dan kompleks dari segi komposisinya. Walaupun adanya trend pelampau kanan di kalangan anak muda Hong Kong (yang menunjukkan sifat anti-China dan xenofobia terhadap pendatang dari Tanah Besar China), tetapi ia belum lagi berkembang menjadi satu kuasa politik yang tersusun dan popular.

Kem Pan-Demokrat yang mempunyai ahli-ahli politik yang rapat dengan Amerika Syarikat, bukan lagi kuasa politik yang berpengaruh, kerana sejarah mereka membuat kompromi dengan golongan berkuasa yang pro-Beijing, telah menjatuhkan kredibiliti mereka dalam perjuangan demoraksi di Hong Kong. Hong Kong bukannya Kuba atau Venezuela, kerana ia masih mempunyai fungsi sebagai jambatan untuk menghubungkan Tanah Besar China dengan kepentingan ekonomi kuasa barat sejak dahulu lagi (walaupun fungsi ini semakin diambilalih oleh bandaraya lain di Tanah Besar China, seperti Shenzhen yang bersebelahan dengan Hong Kong, dan bandar metropolitan Shanghai). Kerajaan Amerika Syarikat tidak akan mendapat faedah daripada Hong Kong yang dilanda kekacauan kerana kepentingan korporatnya turut akan terjejas jika “kekecohan” sebegini berterusan.

Pada 1 Ogos 2019, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memanggil apa yang sedang berlaku di Hong Kong sebagai “rusuhan”, satu istilah yang dibantah hebat oleh demonstran apabila Kerajaan Hong Kong menggunakannya. Trump mengatakan bahawa AS tidak akan terlibat dalam isu ini, kerana ia adalah antara Hong Kong dengan China, dan Hong Kong ialah sebahagian daripapda China. Sikap sebegini amat berbeza dengan pendekatan Kerajaan Trump terhadap Venezuela dan Iran. Walaupun negara AS sedang mengadakan “perang perdagangan” dengan China, tetapi apa yang berlaku di Hong Kong hanyalah gangguan bukannya aset yang berguna kepada AS.

20190813-GettyImages-1159841106-600x400.jpg

Kespontanan massa yang hebat, tetapi cabarannya lagi hebat

Gelombang protes di Hong Kong baru-baru ini, merupakan satu kebangkitan rakyat secara spontan, seperti Gerakan Jaket Kuning (Gilets jaunes). Kespontanan ini dapat ditunjukkan dalam siri aksi sepanjang 2 bulan yang lepas, di mana tiadanya satu organisasi atau parti politik yang dapat memainkan peranan memimpin gerakan.

Berbeza dengan Gerakan Payung pada tahun 2014 yang masih adanya kepimpinan gerakan yang terdiri daripada organisasi pelajar dan golongan intelek liberal, kebangkitan rakyat Hong Kong pada tahun 2019 ini mempamerkan sifat kespontanan dan kefleksibelan yang tinggi. Organisasi-organisasi dan individu-individu daripada spektrum politik yang amat berbeza mengambil taktik yang berbeza dan menganjurkan aksi yang berlainan tanpa mengutuk sesama sendiri. Ruangan siber digunakan sebagai platform untuk membincangkan taktik di kalangan peserta yang tidak kenal sesama sendiri.

Terdapatnya sentimen yang kuat di kalangan anak muda yang radikal yang menolak budaya politik “Da Toi” (pentas utama), iaitu menolak kepimpinan daripada mana-mana parti politik ataupun organisasi masyarakat sivil yang dikenali ramai sebelum ini. Fron Hak Asasi Manusia Sivil (CHRF) yang menjadi penganjur kepada perarakan besar-besaran kebelakangan ini pun tidak berani mengisytihar dirinya sebagai pemimpin gerakan.

Semangat “be water” telah diterap dalam hampir semua aksi, di mana peserta-peserta aksi bergerak secara rancak tanpa sekatan mana-mana organisasi. Potensi kespontanan massa telah ditunjukkan dalam penampilan kreativiti yang hebat dari segi bahan publisiti dan aksi ketidakpatuhan sivil dalam pelbagai bentuk. Petisyen online dianjurkan mengikut kumpulan alumni daripada universiti dan sekolah yang berlainan; “Dinding Lennon” dengan mesej solidariti daripada orang awam diwujudkan di setiap daerah secara spontan oleh penduduk setempat; taktik anarkis “black bloc” digunakan secara berkesan dalam menghadapi polis; orang awam secara sukarela menyediakan tiket MTR di stesen MTR supaya peserta aksi dapat beredar secara cepat selepas aksi…

Walau bagaimanapun, ketiadaan organisasi politik yang memimpin turut mengundang pelbagai kekurangan, termasuk halatuju politik yang jelas, dalam menghadapi jentera Kerajaan Hong Kong yang disokong oleh kekuasaan Kerajaan Pusat Beijing yang jauh lebih kuat.

Kegagalan Kerajaan Hong Kong untuk mendengar tuntutan rakyat secara serius dan kedegilannya untuk membawa agenda pemerintah Beijing yang menghakis autonomi Hong Kong, telah memaksa rakyat Hong Kong untuk terus turun berprotes dan melakukan pelbagai aksi ketidakpatuhan sivil (civil disobedience). Namun, tindakan polis yang semakin di luar kawalan (baca: gila), menimbulkan kebimbangan bahawa represi yang semakin hebat akan terjadi selepas ini.

Hong Kong ialah satu-satunya bandaraya di negara China yang dapat mengadakan aksi memperingati peristiwa berdarah 4 Jun 1989 sejak 30 tahun yang lalu, dan rakyat Hong Kong mempunyai ingatan kolektif yang mendalam tentangnya. Sekarang ini, imej tragedi Beijing 1989 sedang berada di jarak yang terdekat dengan rakyat Hong Kong. Situasi memang tidak optimis dan pilihan untuk rakyat Hong Kong memang sangat terhad. Cabaran yang bakal menunggu rakyat Hong Kong yang memperjuangkan demokrasi dan mempertahankan autonomi adalah amat hebat!

20190813- hkt2fVRDgfh55nVSO3OjQuTYroC9s0suCNJrAM_CawDPw

Kronologi ringkas gelombang protes Hong Kong 2019:

  • 31 Mac 2019: Perarakan pertama anjuran Fron Hak Asasi Manusia Sivil (CHRF), disertai 12,000 orang
  • 28 April 2019: Perarakan kedua anjuran CHRF, disertai 130,000 orang.
  • 6 Jun 2019: Perarakan senyap peguam, disertai lebih 3,000 orang peguam.
  • 9 Jun 2019: Perarakan ketiga anjuran CHRF, disertai 1,030,000 orang.
  • 12 Jun 2019: Aksi mengepung bangunan Dewan Perundangan di Admiralty; polis menyuraikan protes secara kekerasan dengan menembak gas pemedih mata untuk kali pertama sejak tahun 2014.
  • 13 Jun 2019: Protes duduk bantah kaum ibu di Central, disertai 6,000 orang.
  • 16 Jun 2019: Perarakan keempat anjuran CHRF, disertai 2,000,000 orang.
  • 21 Jun 2019: Aksi mengepung Ibupejabat Polis Hong Kong di Wan Chai.
  • 26 & 28 Jun 2019: Aksi protes bersempena Persidangan Kemuncak G20.
  • 1 Julai 2019: Perarakan kelima anjuran CHRF, juga aksi pro-demokrasi tahunan, disertai 550,000 orang. Ratusan demonstran menyerbu masuk ke dalam bangunan Dewan Perundangan pada waktu malam.
  • 5 Julai 2019: Protes duduk bantah kaum ibu kedua, disertai 8,000 orang.
  • 7 Julai 2019: Perarakan di kawasan Kowloon (sekitar Tsim Sha Tsui), disertai lebih 230,000 orang. Polis menggunakan kekerasan terhadap peserta aksi di Mongkok.
  • 14 Julai 2019: Perarakan di kawasan Sha Tin, disertai 115,000 orang. Pada waktu malam, polis menghalang pintu masuk ke stesen MTR di dalam bangunan pusat beli-belah New Town Plaza dan bertempur dengan peserta aksi.
  • 15 Julai 2019: Sekumpulan orang yang bermogok lapar berarak ke Kediaman Rasmi Ketua Eksekutif Hong Kong, disertai 2,400 orang.
  • 17 Julai 2019: Perarakan “rambut perak” oleh golongan warga emas, disertai 9,000 orang.
  • 21 Julai 2019: Perarakan senyap pekerja sosial, disertai 4,000 orang. Perarakan keenam CHRF, disertai 430,000 orang. Pada waktu malam, polis menggunakan kekerasan terhadap peserta aksi, sementara itu berlakunya insiden samseng menyerang peserta aksi yang balik rumah di stesen MTR Yuen Long.
  • 26 Julai 2019: Aksi duduk bantah di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.
  • 27 Julai 2019: Perarakan di kawasan Yuen Long, disertai 288,000 orang.
  • 28 Julai 2019: Perarakan di Sheung Wan.
  • 2 Ogos 2019: Perhimpunan pengamal perubatan, disertai oleh 10,000 orang. Perhimpunan kakitangan awam yang menyokong gerakan pro-demokrasi, disertai oleh 40,000 orang.
  • 3 Ogos 2019: Perarakan di kawasan Mongkok, disertai oleh 120,000 orang.
  • 4 Ogos 2019: Perarakan di kawasan Tseung Kwan O, disertai oleh 150,000 orang. Pada masa yang sama, perhimpunan di Kennedy Town, disertai 20,000 orang.
  • 5 Ogos 2019: Mogok seluruh Hong Kong, dengan perhimpunan besar-besaran di 7 tempat: Admiralty, Sha Tin, Tuen Mun, Tsuen Wan, Wong Tai Sin, Mongkok dan Tai Po, disertai lebih 350,000 orang. Peserta aksi diserang oleh samseng di Tsuen Wan dan North Point. Pada malam itu, polis Hong Kong menembak lebih 800 das gas pemedih mata dalam satu hari (rekod tertinggi dalam sejarah Hong Kong), di 14 daripada 18 daerah di Hong Kong. Gas pemedih mata digubakan di kawasan perumahan yang padat dengan penduduk.
  • 7 Ogos 2019: Peguam berarak lagi.
  • 9-11 Ogos 2019: Protes duduk bantah di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.
  • 10 Ogos 2019: Protes di merata tempat. Terowong merentasi laut pernah disekat untuk seketika.
  • 11 Ogos 2019: Perarakan di kawasan Shum Shui Po, disertai lebih 10,000 orang. Protes lain di merata tempat. Keganasan polis yang paling teruk.
  • 12 Ogos 2019: Protes duduk bantah di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. Pada pukul 4 petang, semua penerbangan keluar dan masuk dibatalkan.